87 Membunuh Khinzir dengan Satu Hentaman

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Benua Naga Tersembunyi itu luas dan kaya dengan pelbagai sumber. Ada banyak gunung-ganang yang tinggi, sungai dari pergunungan yang tiada penghujungnya, lautan yang tidak terbatas luasnya, dan tasik juga diselubungi miasma1.

Tanah Belantara ialah dataran yang terletak di luar sempadan Empayar Bayu. Terdapat hutan yang luas dan satu tasik besar di dataran itu. Namun, itu bukan perkara yang penting. Nama Tanah Belantara itu diberi kerana banyak binatang semangat yang tinggal di situ. Binatang-binatang semangat ini sangat berbeza dari segi kekuatan mereka.

Seperti bulatan bersarang, Tanah Belantara itu terbahagi kepada tiga lapisan: pinggir, dalam dan tengah. Kekuatan binatang semangat yang bertebaran dalam setiap lapisan itu berbeza. Lebih hampir mereka dengan lapisan tengah, lebih kuatlah binatang semangat itu... Ada khabar angin yang mengatakan binatang semangat kelas kesembilan tinggal di tengah-tengah Tanah Belantara.

Oleh itu, kawasan tengah Tanah Belantara dikenali sebagai kawasan larangan bagi manusia. Santo Pertempuran kelas ketujuh sekalipun tak berani masuk ke kawasan itu. Di hadapan seekor binatang semangat agung kelas kesembilan, Santo Pertempuran manusia tak ada beza dengan seekor semut.

Pinggiran Tanah Belantara.

Dengan beberapa siri letupan, taufan tiba-tiba muncul dan memusnahkan pokok-pokok di kawasan sekeliling itu. Tiga kelibat bergerak pantas di sebalik pokok-pokok itu sambil melepaskan tenaga ganas.

Di sebalik taufan itu, dua susuk tubuh sedang berlari ke arah binatang semangat di depan mereka untuk cuba mengepungnya. Binatang semangat itu sedang cuba melarikan diri.

Binatang semangat itu berlari dengan sangat laju dan auranya begitu berkuasa. Itu ialah binatang semangat kelas keenam. Kuasa elektrik memancar di badannya sambil ia berdesis. Bila ia memecut di kawasan itu, terdapat bau hangit di udara.

"Abang Ngah! Babi Semangat Api Kilat sudah semakin perlahan! Kita tak boleh biarkan ia terlepas!" Satu suara yang jelas dan lemah lembut kedengaran sambil aliran daya tulen meletus dan menghentam Babi Semangat Api Kilat yang berlari di hadapan mereka.

Dengan bunyi ngauman, Babi Semangat Api Kilat itu berlari lebih laju dan menumbangkan satu pokok besar. Satu lengkok elektrik melonjak dari badannya dan membakar pokok yang tumbang itu.

Seorang lelaki berpakaian hijau dengan rambut yang panjang mengurai sedang mengejar binatang semangat itu sambil berdiri di atas pedang terbang. Dia tersenyum kecil dan dia memandang ke arah babi yang sedang berlari itu sambil berkata, "Junior perempuanku, tak perlu tergesa-gesa. Walaupun Babi Semangat Api Kilat itu ialah binatang semangat keenam, hanya pertahanannya saja yang kuat. Kebolehan bertarung, kelajuan dan staminanya lemah. Tak lama lagi ia akan berhenti."

Di sebelah lelaki yang kacak itu, ada seorang perempuan muda yang comel dengan mata yang galak. Dia sedang memerhatikan babi itu dengan teruja. Senyumannya menyebabkan lesung pipitnya timbul di pipi.

Lelaki itu tiba-tiba terperanjat sambil dia memandang jauh di depannya dengan rasa hairan.

Babi Semangat Api Kilat itu juga berhenti berlari. Ruang kosong di hadapannya tiba-tiba herot-benyot. Tak lama kemudian, taufan meletus keluar dari ruang itu. Percikan cahaya terang memancar dalam taufan itu.

Boom!

Dengan letupan yang kuat, taufan itu terbelah dan satu kelibat bertubuh langsing muncul dalam susunan magik yang terbina oleh cahaya.

Babi itu mengaum marah dan berlari laju sambil ia menyerang kelibat itu. Ia merupakan binatang semangat kelas keenam. Walaupun kebolehan bertarungnya lemah, kesan serangannya masih boleh meninggalkan kesan buruk.

"Hmm? Apa benda ni?" Kelibat yang sedang bingung itu berkata dengan selamba bila terlihat seekor babi sedang berlari ke arahnya.

"Hati-hati!" Walaupun lelaki berbaju hijau itu tak faham macam mana lelaki yang bertubuh langsing itu boleh muncul, dia masih memberi amaran kepadanya.

Perempuan berlesung pipit yang mengikuti di belakangnya pucat lesi kerana takut. Dia menutup matanya dengan tangan kerana tak berani melihat tragedi yang akan berlaku...

Lelaki berbaju hijau itu tak sangka yang seseorang akan muncul di hadapan babi itu. Walaupun ia tak handal bertarung, kuasa pertahanannya sangat menakutkan. Dengan kulitnya yang kenyal dan otot yang tebal, Maharaja Pertempuran kelas keenam pun boleh cedera teruk dengan serangannya. Kalau orang itu orang biasa, dia pasti habis dilenyeknya.

Namun, apa yang berlaku seterusnya menyebabkan ekspresi lelaki itu kaku dan matanya penuh tanda tanya.

Walaupun berdepan Babi Semangat Api Kilat, lelaki itu langsung tak terkejut. Ekspresinya pun tak berubah dan matanya tenang seperti air. Lelaki berbaju hijau itu hanya nampak dia memegang pisau dapur biasa di tangannya.

"Biar betul… Kenapa kau bawa keluar pisau dapur sedangkan kau berdepan Babi Semangat Api Kilat?" Itu perkara pertama yang terdetik dalam hatinya bila dia nampak pisau dapur yang dipegang lelaki itu.

Namun, sesuatu di luar jangkaannya telah berlaku. Babi Semangat Api Kilat itu tetap berlari laju dan pisau dapur yang dipegang lelaki itu mula memancarkan cahaya keemasan yang terang. Lelaki berbaju hijau itu tak mampu membuka matanya kerana menahan silau.

Selepas cahaya itu hilang, keadaan menjadi senyap sunyi.

Bila lelaki berbaju hijau itu nampak apa yang berlaku, mulutnya ternganga dan wajahnya penuh ketakutan dan rasa suram. Budak perempuan di sebelahnya menjerit dengan terpegun dan mata besarnya itu terbuka lebih luas.

Babi Semangat Api Kilat itu terbelah dua hidup-hidup. Badan gergasinya jatuh ke tanah dan darahnya tumpah di sekelilingnya. Masih ada daya elektrik yang melonjak pada darah itu.

Pemuda itu menyimpan pisaunya dan berjalan ke arah Babi Semangat Api Kilat sambil membawa satu bungkusan. Dia bertinggung di sebelah babi itu dan mengamati bangkainya.

Lelaki berbaju hijau dan budak perempuan itu segera beredar tanpa membuat sebarang bunyi. Disebabkan lelaki itu boleh membunuh Babi Semangat Api Kilat itu dengan sekali hentam, dia sudah pasti seorang pakar yang hebat.

Entah-entah, dia seorang Santo Pertempuran kelas ketujuh!

"Mengagumk... Senior, hebat sungguh pergerakan tu! Kamu dapat membunuh Babi Semangat Api Kilat dengan satu hentaman! Memang menakjubkan." Lelaki berbaju hijau itu tersenyum bila dia bercakap dengan pemuda yang sedang meneliti bangkai Babi Semangat Api Kilat itu.

Pemuda itu mengangkat kepalanya tanpa perasaan dan memandang sekilas ke arah lelaki berbaju hijau dan perempuan berlesung pipit di belakangnya. Dia mengangguk acuh tak acuh dan bangun.

"Daging babi ni mempunyai unsur-unsur kilat dan api. Ia bahan memasak yang agak bagus. Sayangnya, ia tak sebagus apa yang aku harapkan." Pemuda itu menggumam kepada dirinya. Namun, kata-kata itu kedengaran seperti guruh di telinga lelaki berbaju hijau itu.

"Wah… Dia mesti seorang pengamal! Kalau Babi Semangat Api Kilat kelas keenam pun tak cukup bagus untuk dia, adakah dia nak mencari binatang semangat kelas ketujuh?" Lelaki berbaju hijau itu berkata dalam hatinya.

"Hmm… Siapa nama kamu berdua? Apa yang kamu buat di sini?" Pemuda itu bertanya kepada lelaki berbaju hijau itu dengan ekspresi yang sama.

"Senior, saya Tang Yin, murid Sekta Cakerawala Rahsia. Ini junior perempuan saya, Lu Xiaoxiao. Boleh saya bertanya nama Tuan?" Tang Yin berkata dengan hormat. Selepas meneliti secara dekat, dia menyedari yang pergerakan daya tulen dalam badan pemuda itu tak begitu kuat. Paling tinggi pun, dia berada di tahap Semangat Pertempuran kelas keempat. Walaupun begitu, dia masih bercakap dengan penuh hormat.

Semangat Pertempuran kelas keempat… Bagaimana seseorang dengan tahap pertapa sebegitu berani masuk ke Tanah Belantara? Jelas sekali… tak mungkin seorang Semangat Pertempuran kelas keempat boleh membunuh binatang semangat kelas keenam dengan satu hentaman pisau dapur.

"Oh, nama saya Bu Fang. Saya seorang cef. Saya dari… err, Empayar Bayu." Bu Fang juga memperkenalkan dirinya bersungguh-sungguh.

"Eh… Ah? Seorang cef? Betul ke Tuan perkenalkan diri sebagai seorang cef?" Tang Yin berkata dalam hatinya.

Air muka kedua-dua Tang Yin dan Lu Xiaoxiao nampak pelik. Mereka mengaku yang kadangkala sukar untuk memahami hobi orang-orang berkuasa ni. Mahaguru mereka sendiri, ketua ketiga Sekta Cakerawala Rahsia, banyak menghabiskan masa membuat penyelidikan kulinari di dapurnya juga.

"Senior, boleh tak jualkan Babi Semangat Api Kilat kepada kami? Saya dan junior perempuan saya datang ke Tanah Belantara hanya untuk menangkap babi ini..." Tang Yin berkata sambil membuat tabik genggam.

Bu Fang berfikir seketika sebelum memandang sekilas ke arah bangkai babi itu. Mulutnya tersenyum sambil dia berkata, "Ambillah sebab saya tak perlukan bahan ni. Selain untuk memasak, saya memang tak gunakan daging babi ni untuk benda lain. Kamu berdua cef juga ke?"

Anak mata Tang Yin mengecil sambil rasa kagumnya terhadap Bu Fang semakin membuak-buak. Seperti yang dijangka daripada seorang senior! Dia dapat meneka niat mereka menangkap Babi Semangat Api Kilat dengan sekilas pandang! Betullah tekaannya! Mereka memang datang mengumpul bahan-bahan untuk mahaguru mereka!

"Tak apalah. Tak penting sama ada kamu cef atau tak. Saya ingin bertanya sesuatu kepada kamu berdua." Bu Fang berkata sebelum Tang Yin sempat membalas, "Kamu tahu tak kalau ada bahan yang lebih hebat daripada Babi Semangat Api Kilat di kawasan ni?"

avataravatar
Next chapter