15 Kumpulan Orang Kaya Baru dengan Gaya Tersendiri

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Renungan Ji Chengxue yang penuh harapan kini sudah berubah.

"Dia… dia menolak permintaan beta!"

Ji Chengxue tidak percaya. Sebagai putera ketiga empayar itu, ramai orang yang ingin bekerjasama dengannya. Namun begitu, jemputan peribadinya ditolak mentah-mentah.

Apatah lagi, sebab permintaannya ditolak ialah…

"Tuanku tidak layak."

Bila Ji Chengxue teringat kata-kata Bu Fang dengan mukanya yang tiada ekspresi, dia merasakan seperti anak panah menusuk ke dalam hatinya.

Namun Ji Chengxue ialah seorang yang bijak. Walaupun ditolak permintaannya, dia tidak menunjukkan tanda-tanda marah dan hanya tersenyum.

"Betul, beta… tidak layak," Ji Chengxue berkata dengan kecewa, seperti ada sesuatu yang dia rasakan.

Maharaja Changfeng dari Empayar Bayu mempunyai tiga anak lelaki. Putera yang pertama, Ji Chengan ditabalkan sebagai tengku mahkota sepuluh tahun lalu. Putera kedua, Ji Chengyu ditabalkan sebagai raja. Hanya putera ketiga, Ji Chengxue yang tidak digemari Majaraha Changfeng dan dia hanya menjadi jeneral dalam tentera.

Walaupun pangkat jeneral sangat dihormati, kedudukannya itu tidak setanding putera pertama dan kedua.

"Putera ketiga…" Apabila Xiao Xiaolong terlihat wajah sugul Ji Chengxue, dia cuba mengatakan sesuatu tetapi Ji Chengxue terus mencelah.

"Pemilik Bu, walaupun kamu tidak berminat menjadi cef beta, pernahkah kamu teringin masuk ke dapur Diraja dan menjadi cef peribadi Maharaja?"

"Beta mungkin tak layak tapi Maharaja sudah pastinya layak," Ji Chengxue berkata sambil tertawa.

Bu Fang memandang Ji Chengxue dan mengerutkan keningnya. "Adakah lelaki ini bodoh? Bukankah saya sudah jelaskan?"

"Patik tidak berminat menjadi cef peribadi sesiapa pun, termasuklah Maharaja. Jika tuanku ingin makan makanan patik, datanglah ke sini. Tunggu giliran jika ada orang di hadapan tuanku dan bayar selepas habis makan."

Bu Fang bercita-cita menjadi Tuhan Masakan. Tidak mungkin Tuhan Masakan menghadkan dirinya dengan menjadi cef peribadi orang lain.

Ji Chengxue diam. Dia faham kenapa Bu Fang tidak mahu menjadi cefnya. Tetapi, dia tidak sangka yang Bu Fang turut menolak untuk menjadi cef Maharaja.

Bukankah itu cita-cita semua cef untuk berada di dapur Diraja dan masak untuk Maharaja?

Jadi apakah cita-cita Bu Fang?

"Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi berharga sepuluh kristal. Sila buat bayaran, terima kasih," Bu Fang berkata tanpa sebarang ekspresi. Dia sudah penat bercakap dengan putera itu.

"Makanan kamu berharga dua ratus syiling emas," dia kemudiannya berkata kepada Xiao Xiaolong.

Ji Chengxue memberi pandangan bermakna kepada Bu Fang dan memberi sepuluh kristal. Xiao Xiaolong turut membuat bayaran dan kedua-dua mereka meninggalkan kedai itu.

Kedai kecil yang berkeluasan hanya sepuluh meter tanpa sebarang papan tanda dengan seekor anjing hitam di pintu masuknya. Cef yang berbadan langsing dan tinggi dengan prinsip kukuh bersama bonekanya sebagai pembantu, dan mempunyai kemahiran kulinari bersama bahan-bahan masakan berkualiti tinggi daripada sumber yang tidak diketahui… Kedai Kecil Fang Fang sememangnya penuh misteri.

Selepas Ji Chengxue keluar dari kedai itu, dia menoleh ke belakang dan tersenyum kecil. "Sungguh menarik."

Selepas mengemas pinggan mangkuk dan membasuhnya, kedai itu kembali sunyi. Bu Fang sekali lagi duduk di sebelah Blacky dan menikmati cahaya matahari.

Namun, kewujudan kedai itu sudah diketahui rramai disebabkan insiden bersama Sun Qixiang. Berita mengenai harga makannya yang mahal itu pun sudah tersebar ke seluruh pelosok bandar Diraja yang menyebabkan reaksi berlebihan jiran-jirannya. 

"Kamu semua ada dengar tak tentang kedai pelik di lorong itu!"

"Awak bercakap tentang restoran berhati gelap yang jual Nasi Goreng Telur dengan harga sepuluh kristal tu ke?"

"Pemilik kedai itu bodohkah? Ada orang akan makan di situ dengan harga yang mahal? Kalau betul Nasi Goreng Telur itu terjual, saya akan makan semua biskut di gerai biskut saya!"

Pastinya akan ada orang kaya di dunia yang mempunyai keinginan berbeza daripada orang biasa. Cara mereka melihat sesuatu pun berbeza.

Rasa aman Bu Fang tidak kekal lama kerana beberapa orang masuk ke dalam kedainya. Dia sedang duduk di kerusinya sambil melihat sekumpulan lelaki gemuk yang baru tiba.

Lelaki-lelaki gemuk itu memakai pakaian sutera mewah dan jari-jemari kasar mereka dihiasi cincin emas. Mereka memakai azimat jed di leher mereka dan tali pinggang mereka dihiasi jed zamrud.

"Kumpulan orang kaya baru ini ada gaya tersendiri!" fikir Bu Fang.

"Tuan kedai! Saya dengar hidangan kamu sangat mahal dan ia lebih mahal dari Restoran Phoenix Abadi! Kami percaya kalau benda itu mahal bermaksud kualitinya lebih tinggi. Kalau hidangan kamu dapat memuaskan selera kami, harga bukanlah satu masalah," kata ketua kumpulan itu, yang berpakaian dan memakai aksesori mewah, dengan suara yang kuat.

Apabila mereka masuk ke dalam kedai, hampir keseluruhan ruang itu nampak penuh. Bu Fang bangun dan berkata tanpa ekspresi, "Apa yang kamu ingin makan?"

Ketua itu melihat menu dan matanya mengecil. Kumpulan lelaki mewah ini juga terkejut melihat harga Nasi Goreng Telur.

"Bagus, kedai kamu hebat seperti yang dijangkakan! Berikan saya semangkuk Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi!" kata lelaki gemuk tadi.

"Suka saya ingatkan yang kamu sekurang-kurangnya perlu mencapai tahap Maniak Pertempuran Kelas Ketiga untuk makan Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi ini. Jangan pesan makanan itu jika pencapaian tahap pertapa kamu lebih rendah," kata Bu Fang.

"Abang kami dikenali di bandar Diraja sebagai 'Qinggong Iljimae[1]' jadi tak mungkin pencapaian tahap pertapa dia lebih rendah dari Maniak Pertempuran! Masak sajalah makanan itu!" Lelaki gemuk lain mula berteriak.

Ekspresi Bu Fang tidak berubah tapi dia memandang seketika lelaki gemuk itu dan berfikir, 'Dengan badan seperti itu, bagaimana dia boleh ada kaitan dengan Iljimae?'

Akhirnya, kumpulan itu memesan tiga hidangan Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi, empat hidangan Nasi Goreng Telur biasa, tujuh hidangan Mi Campuran Kering dan tujuh hidangan Sayur Goreng.

Orang yang setenang Bu Fang sekalipun agak terkesan sambil terdetik dalam fikirannya, 'Seperti yang dijangkakan, orang yang sebesar ini memang betul-betul makan!'

Makan ialah satu nikmat. Bu Fang suka orang yang makan banyak.

Dia masuk ke dalam dapur dan menumpukan semua tenaganya untuk memasak. Selepas seketika, bau harum keluar dari dapur dan memenuhi kedai itu.

"Sedap sungguh bau ini! Saya tak pernah cium bau sehebat ini!" Lelaki-lelaki gemuk itu mengecilkan mata dengan mabuk dan menarik nafas dalam.

Mereka menjadi lebih teruja untuk merasai hidangan itu.

Sambil menunggu pesanan, satu susuk tubuh yang tinggi dan elegan menghampiri pintu masuk kedai itu.

Apabila Zhao Ruge ternampak betapa penuhnya orang dalam kedai itu, ekspresi mukanya berubah.

"Kenapa ramai sangat orang?" Zhao Ruge agak terkejut.

"Si Gemuk Jin? Sungguh tak percaya." Zhao Ruge mengenali salah seorang lelaki gemuk itu.

Jin Rugui yang dikenali sebagai Si Gemuk Jin adalah orang kaya baru terkenal di bandar Diraja. Keluarganya memonopoli perlombongan kristal, jadi dia sangat kaya.

Lelaki-lelaki gemuk lain itu juga kaya-raya dan terkenal dalam bandar Diraja itu.

"Kenapa mereka makan di kedai seperti ini? Tidakkah mereka rasa kedai ini tak sesuai?"

"Beri aku laluan. Aku mahu masuk." Kipas tangan kertas Zhao Ruge tersentuh badan salah seorang lelaki gemuk itu lalu badan lelaki itu bergetar sedikit dan terus memberi laluan.

Zhao Ruge berjaya mencelah masuk dan dia terjumpa Bu Fang yang baru saja keluar dari dapur membawa semangkuk Nasi Goreng Telur.

Haruman yang kaya itu bagaikan sutera menyelubungi Zhao Ruge, memerangkapnya dalam letusan aroma.

"Pemilik kedai, cepat hidangkan makanan! Kami sudah tak sabar!" Si Gemuk Jin menjerit dengan tidak sabarnya sambil mukanya menggeletar.

"Ini ialah Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi. Selamat menjamu selera," kata Bu Fang sambil meletakkan mangkuk dan kembali ke dapur.

Zhao Ruge terjaga dari lamunan dan terkejut melihat kemahiran kulinari Bu Fang. "Inilah sebabnya Yanyu terjebak masuk ke tempat ini; kemahiran masakannya luar biasa."

"Tunggu, sediakan Nasi Goreng Tahap Tinggi untuk aku dulu." Zhao Ruge memaksa Bu Fang.

"Hey! Si panjang! Siapa datang dulu dia yang dapat!" Apabila salah seorang lelaki gemuk itu nampak Zhao Ruge cuba memotong barisan, dia rasa menyampah dan menjerit kepadanya.

Zhao Ruge melihat lelaki itu dengan jijik kemudian dia ketawa dan berkata, "Kenapa pula saya patut dapat makanan selepas kamu? Kamu siapa nak cabar saya?"

"Tak guna! Aku sungguh marah!" Lelaki gemuk tadi terus berang. "Aku adalah pemilik Dataran Fairview! Kau itu siapa, budak tak guna?!"

"Aku ialah Zhao Ruge." Jawabnya dengan mudah.

Zhao Ruge, anak Menteri Kiri, adalah seorang bangsawan yang teramat mulia. Apabila dia memperkenalkan dirinya, lelaki gemuk tadi terus diam dan memandangnya dengan mata terbeliak.

Kemudian, lelaki gemuk itu mencuri pandangan terhadap Zhao Ruge dengan hati yang berat.

"Baiklah… ayah kau lebih hebat dari aku. Aku tak akan bersaing dengan kau."

- - -

[1] Iljimae ialah karakter fiksyen, juga dikenali sebagai Robin Hood Korea. Dia terkenal dengan ketangkasan dan kemahirannya yang hampir sama dengan ninja.

avataravatar
Next chapter