75 Ketam Bunga Zalim Goreng

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Ketua… Perlukah kita keluar dari sini?" Dua orang ahli Sekta Jiwa yang berdiri di belakang Hun Qianyun bertanya.

Nampaknya ada api semangat yang menyala dalam anak mata Hun Qianyun. Ia membuatkan mereka yang lain berasa takut seolah-olah mereka sedang berdepan hantu yang terlepas dari neraka.

"Kamu tak sedar ke yang Raja Yu sedang menguji kita? Walaupun Raja Yu sudah bergabung dengan kita, dia masih lagi bersama kerajaan diraja dan kita pula daripada sekta. Hubungan kita ni ibarat api dan air. Kalau Raja Yu tak mengimpikan takhta, dia tak akan berani melanggar pantang larang dan bekerjasama dengan kita." Hun Qianyun berkata dengan mudah. Setiap kali dia bercakap, api semangat dalam anak matanya akan berdenyut sekali.

"Manusia, demi mendapatkan manfaat, akan sentiasa mengambil risiko. Tak kiralah apa identiti mereka, memang itulah yang akan berlaku."

"Jadi… apa yang Ketua hendak buat?" Dua orang ahli Sekta Jiwa itu bertanya kehairanan.

"Beberapa hari lepas, Hun Qianduan dan Raja Pedang berjaya melarikan diri dari kedai itu. Mereka mengharapkan perlindungan kedai itu untuk menghalang daripada ditangkap Xiao Meng dan Lian Fu. Kekuatan misteri kedai itu sangat tak terjangka. Mengikut khabar angin, ada binatang agung kelas kesembilan yang menjaga kedai itu. Objektif Raja Yu, untuk kita mengesan situasi sebenar. Kalau kita berjaya membunuhnya… itulah yang terbaik." Hun Qianyun berkata perlahan.

"Tapi, dua orang Santo Pertempuran kelas ketujuh seperti Xiao Meng dan Lian Fu pun dihalang. Kalau Maharaja Pertempuran seperti kamu berdua yang pergi, itu sama seperti membunuh diri..."

Anak mata kedua-dua ahli Sekta Jiwa itu terus mengecil dan mereka rasa seram sejuk dari tapak kaki.

"Biar Ah Long dan Ah Hu pergi. Mereka berdua adalah Raja Pertempuran kelas kelima. Kalau mereka bergantung kepada teknik kita, mereka mungkin berjaya melakukan pembunuhan itu. Kalau mereka gagal sekalipun… kita hanya akan kehilangan dua Raja Pertempuran." Hun Qianyun berkata sambil menoleh.

...

Angin pada waktu malam di awal musim sejuk itu menyebabkan rasa sejuk yang menggigit. Awan kelabu bergerak perlahan ditiup angin, menutupi dua bulan sabit yang menghadap satu sama lain.

Dalam Restoran Kecil Fang Fang, Bu Fang sudah pun berpakaian selesa. Rambut panjangnya diikat dengan tali bulu dan tiada jambul di dahinya.

"Ketam Bunga Zalim Goreng hidangan yang menguji kualiti ramuan dan kawalan haba semasa proses menggoreng." Bu Fang bergumam sambil dia masuk ke dapur. Pada masa itu, dia bercadang berlatih hidangan yang dipilih secara rawak iaitu Ketam Bunga Zalim Goreng.

Ketam bunga, juga dikenali sebagai portunus pelagicus, sejenis ketam laut. Ia dipanggil ketam bunga disebabkan tompok-tompok putih di cangkerangnya. Isi ketam bunga lembut dan kaya dengan nutrien.

Sudah tentu… itu hanyalah merujuk kepada ketam bunga biasa.

Berdasarkan apa yang Bu Fang faham tentang sistem, Ketam Bunga Zalim bukanlah ketam bunga biasa. Ia sudah pasti seekor binatang semangat.

Bila dia masuk ke dapur, ada tangki air besar di atas lantai. Tak ada air dalam tangki itu tetapi ada seekor ketam bunga gergasi dengan penyepit dan kakinya yang diikat.

Ketam bunga ini sangat cantik. Cangkerangnya berwarna merah menyala dan dipenuhi corak merah lembayung yang nampak menawan.

"Ketam Bunga Zalim ialah binatang semangat kelas kelima yang berasal dari lautan Tanah Liar. Kuasa serangannya teramat kuat dan kemahiran berlawannya menakutkan. Ia biasanya tinggal dalam kumpulan dan mereka antara kumpulan paling menakutkan di lautan Tanah Liar. Namun, isinya enak dan ia merupakan satu ramuan yang sangat hebat." Sistem memperkenalkan Ketam Bunga Zalim itu kepada Bu Fang dengan bersungguh-sungguh.

Bu Fang mengecilkan matanya. Dia sudah tahu yang Ketam Bunga Zalim itu bukanlah ketam laut biasa. Objektif sistem ini ialah untuk memasak makanan berkualiti. Jadi, ramuan yang disediakan pun mestilah di kelas pertama.

Bu Fang mengambil pisau yang tajam di hujung tanpa perasaan. Pisau itu berkilauan kerana sangat tajam. Sambil Bu Fang menggerakkan pergelangan tangannya, pisau itu pun mula berpusing.

Ketam Bunga Zalim, yang diikat dengan tali bulu, berbaring senyap dalam tangki air itu. Sukar dibayangkan yang ia seekor binatang semangat kelas kelima.

Bila Bu Fang menterbalikkan Ketam Bunga Zalim itu, ia masih tak tahu apa-apa dengan mulutnya yang berbuih.

Bila perut Ketam Bunga Zalim itu terdedah, Bu Fang menikam bahagian perutnya yang paling atas dengan hujung pisau itu. Dengan serta merta, Ketam Bunga Zalim itu mula meronta-ronta. Matanya berpusing-pusing tanpa henti dan buih di mulutnya semakin banyak.

Selepas setengah jam, Ketam Bunga Zalim itu akhirnya berhenti meronta-ronta dan tali bulu yang mengikatnya pun sudah longgar. Selepas mengoyakkan dan membuang cangkerang perutnya, Bu Fang mula membersihkan dan memproses ketam itu.

Bila semua sudah tersedia, Bu Fang mengambil kuali. Dia menuang sedikit minyak dan membiarkan kuali panas.

Dia mengambil pisau berat yang digunakan untuk berlatih Teknik Pemotongan Meteor dan memotong tali bulu yang mengikat ketam itu.

Bila minyak sudah cukup panas, mata Bu Fang menjadi tajam. Pisau berat itu dihayun dengan kuat dan membelah ketam itu kepada dua bahagian. Potongan yang dibuat itu begitu licin.

Pergerakan tangan Bu Fang sangat pantas. Dalam sekelip mata, bila ketam itu dipotong dua, isi perutnya keluar. Dia pun terus memasukkan keseluruhan ketam itu ke dalam kuali.

Tsss...

Satu bau harum yang kaya terhasil dari kuali itu. Itulah yang berlaku bila isi ketam, isi perutnya dan minyak panas bertemu.

Seterusnya ialah kawalan haba. Bu Fang agak berpengalaman dalam bab ini. Walaupun ketam itu besar, ia tak menjadi masalah buat Bu Fang.

Tak lama kemudian, Ketam Bunga Zalim Goreng sedia untuk dihidang.

Ketam itu yang terbelah dua, diletakkan di atas pinggan. Warna merah cangkerang luarnya sudah bertukar menjadi lebih terang. Disebabkan permukaan yang dilitupi minyak, ia bersinar di bawah cahaya lampu.

Bau isi perut ketam itu sangat harum selepas digoreng. Selain kemahiran Bu Fang mengawal haba, isi ketam itu juga putih, wangi dan lembut. Wapnya pula meningkatkan lagi selera.

Bu Fang menjilat bibirnya. Selepas mengelap titisan air di tangannya, dia duduk dan mula menikmati Ketam Bunga Zalim Goreng itu.

'Seperti yang dijangka, ketam ini lebih sedap daripada apa yang dihidangkan di Restoran Phoenix Abadi. Tak sangka kemahiran masakan aku begitu mengagumkan.' Bu Fang berkata dalam hati tanpa rasa malu sambil dia makan.

Separuh daripada ketam itu sudah cukup untuk Bu Fang, jadi separuh bahagian lagi dimasukkan ke dalam perut Si Putih.

Selepas berkemas, Bu Fang meregangkan badan dan menguap. Dia rasa begitu penat selepas makan sepanjang hari. Jadi dia hendak berehat lebih awal. Penting untuk dia mendapatkan tidur yang cukup bagi mencapai matlamat menjadi Tuhan Masakan.

Bila lampu ditutup, semuanya menjadi gelap dan senyap.

Pada waktu tengah malam, bunyi pergerakan di udara dapat didengari di jalan masuk lorong itu. Terdapat kelibat-kelibat hitam yang amat sukar dilihat dengan mata kasar dalam kegelapan itu.

Pergerakan dua orang itu begitu tangkas sambil mereka perlahan-lahan bergerak sambil melekat di dinding kuarzit di lorong itu. Mereka langsung tak menghasilkan apa-apa bunyi.

Kedai Bu Fang terbahagi kepada dua tingkat. Tingkat pertama ialah ruang perniagaan, manakala tingkat dua terdapat banyak bilik dengan tingkap yang banyak. Salah satunya bilik Bu Fang. Bilik Bu Fang sangat selesa dengan tingkap besar terbuka. Setiap pagi, cahaya matahari menyinari melalui tingkap itu dan biliknya akan rasa hangat.

Namun, disebabkan musim sejuk, Bu Fang mengunci tingkap itu untuk mengelakkan angin sejuk bertiup masuk.

Kedua-dua kelibat itu berdiri secara senyap di setiap belah tingkap. Aura mereka telah disembunyikan.

Di pintu masuk kedai, Si Hitam yang sedang tidur nyenyak, tiba-tiba bergerak. Ia membuka matanya dengan rasa mengantuk dan memandang ke atas.

"Eh? Apa yang dua ekor tikus kelas kelima ni buat tengah-tengah malam macam ni? Teknik mereka agak pelik. Sayangnya, mereka berjumpa dengan tuan segala anjing ni… Tapi, mereka hanyalah tikus kelas kelima. Tuan segala anjing ni malas nak menghiraukan mereka. Wuf. Mengantuknya."

Si Hitam mendengus sambil dia meletakkan kepala dan menyambung tidurnya.

Mata kedua-dua Raja Pertempuran daripada Sekta Jiwa itu bersinar sambil mereka meletakkan tangan di tingkap. Tingkap itu terbuka serta merta.

Mereka memandang diri masing-masing dengan rasa terkejut. Mereka tak sangka ia semudah ini. Namun, mereka tak ada masa untuk teragak-agak. Mereka berdua dengan tangkas masuk melalui tingkap.

avataravatar
Next chapter