25 Kenapa Tak Ada Wain Bila Ada Ikan Perap Bijian Wain Beras?

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Ketiga-tiga orang gasar Ouyang bersedia untuk bertempur; mereka mengumpul daya tulen dalam badan mereka dan berdepan Si Putih, yang berdiri di belakang Bu Fang.

"Abang Long, boneka ini sangat kuat. Kita dicampak sebelum kita sempat bertindak!" Ouyang Di melihat Si Putih dengan mata terbeliak. Dia rasa boneka itu sangat kuat.

"Kenapa boneka ini sangat kuat? Adakah dia dicipta seorang pakar dari Sekta? Tapi bagaimana ia boleh berlaku sedangkan mereka dimusnahkan askar kita dengan mudah?" fikir Ouyang Zhen.

Bu Fang memandang orang-orang gasar itu tanpa emosi. Dia tak berminat pun dengan apa yang mereka fikirkan, jadi dia berkata, "Aku akan lepaskan kau sebab kau abang kepada budak nakal itu. Tapi, kali ini saja."

"Abang Long! Adakah Gigolo ini mengugut kita?!" tanya Ouyang Di tanpa teragak-agak. Dalam bandar Diraja, tiada siapa berani mengugut tiga orang gasar Oyang ini. Mereka mungkin bukan kaki perempuan, tapi mereka jauh lebih menakutkan. Ke mana sahaja mereka pergi, suasana hening akan menurut sama. Tiada siapa mahu menarik perhatian mereka.

Namun, pada masa itu, mereka bertemu gigolo yang berani mengugut mereka. Adakah tiga orang gasar Ouyang itu begitu mudah diugut?

"Maruah kami sebagai orang gasar Ouyang tidak akan dicemar!" Ouyang Zhen berkata dengan garangnya sambil merenung tajam.

Ouyang Di tersenyum kecil. "Inilah Abang Long kami! Dia yang telah memimpin kami untuk menakluk bandar Diraja! Kami tak akan mengalah!"

Namun, ayat Ouyang Zhen seterusnya hampir membuatkan Ouyang Di muntah darah.

Ouyang Zhen memandang Si Putih yang berdiri di belakang Bu Fang dan berkata, "Anak muda, mari kita berbincang. Jika kau pulangkan adik kami, kami akan lupakan hal ini."

Bu Fang membalas tanpa perasaan, "Kamu perlu tanya adik kamu. Dia tak bayar lepas makan jadi dia kena bayar dengan bekerja untuk selesaikan hutang. Dia perlu bekerja selama seminggu dan ini hanyalah hari pertama."

"Apa? Adik kami tak bayar makanan?" Tiga orang gasar Ouyang itu terkejut, mulut mereka terbuka luas kerana terkejut.

Ouyang Wu membalas, "Mesti sebab makanan kau tak sedap. Kalau tak, kenapa dia tak bayar? Walaupun dia agak susah dikawal dan garang, dia masih bertimbang rasa."

Kata-katanya menyebabkan Bu Fang mengerutkan keningnya. Sebagai cef, dia tak suka orang mengkritik makanannya, kerana itu ialah penghinaan kepada dia.

"Misi sampingan bermula: Takhluki selera tiga orang gasar Ouyang. Keangkuhan mereka telah mengguris hati tuan. Sila gunakan kemahiran memasak yang tiada bandingan tuan untuk memberi pengajaran pada mereka. Sistem akan sentiasa menyokong tuan. Ganjaran misi: teknik membuat wain."

Suara serius dan angkuh sistem terngiang dalam kepala Bu Fang mengejutkannya. Dia tak sangka ada misi sampingan yang bermula begitu saja, lagi-lagi bila ada ganjaran yang diberikan.

"Kamu bertiga belum rasa masakan aku. Bagaimana kamu boleh kata yang makanan aku tak sedap?" Demi misi itu, Bu Fang bertanya dengan serius.

Tiga orang gasar Ouyang itu melihat satu sama lain, kemudian Ouyang Zhen mencebik dan berkata, "Kenapa kalau kami cakap makanan kau tak sedap? Apa boleh kau buat?"

Ekspresi Bu Fang bertukar sangat dingin; dia sedang marah.

Anjing hitam besar yang berbaring di pintu masuk mengangkat kepalanya dan memandang Bu Fang. Kemudian dia mengalih pandangan ke tiga orang gasar Ouyang. Setelah selesai, ia kembali tidur.

"Kamu tak nak cari adik kamu? Baiklah, aku beri kamu peluang. Mari kita bertaruh. Masuk ke restoran aku dan rasa makanan aku. Kalau rasa tak sedap, kau boleh ambil adik kau. Kalau rasa sedap, kau pulang ke rumah berbogel," kata Bu Fang dengan dingin.

"Bertaruh? Gigolo ini bodoh ke? Jika dia tak dapat tawan adik kita, apa dia nak buat dengan deria rasa tumpul kita bertiga?"

"Baiklah! Kami terima, tapi kau kena tepati janji! Gigolo suka mungkir janji," kata Ouyang Zhen.

"Masuk dan buat pesanan dulu," kata Bu Fang acuh tak acuh.

Ketiga-tiga orang gasar Ouyang melihat satu sama lain dan memandang Si Putih sebelum masuk ke dalam restoran. Bila mereka masuk, mereka melihat keadaan sekeliling.

"Walaupun suasananya tak teruk, saiznya kecil, bukan??" Ouyang Di mengadu sambil menggoyangkan badannya.

Lebih sukar untuk mereka yang berbadan teramat besar untuk menyelit masuk ke dalam restoran kecil berbanding Si Gemuk Jin dan kawan-kawannya, tapi ia masih boleh diterima.

"Tauke, ada wain tak? Berikan satu kendi dulu," jerit Ouyang Wu sambil mengetuk meja. Lelaki ini sudah menjadi pelanggan.

"Maaf, tapi kita tak sediakan wain," kata Bu Fang tanpa perasaan.

"Macam mana restoran tak ada wain? Biar betul! Lupakan sajalah, mari tengok apa yang ada," Ouyang Wu menjeling ke arah Bu Fang, kemudian melihat ke menu di dinding.

Kemudian… Bagaikan masa terhenti, kedai menjadi senyap.

"Ikan Perap Bijian Wain Beras berharga dua puluh kristal? Sup Tofu Kepala Ikan pun dua puluh kristal? Semangkuk Nasi Goreng Telur boleh dijual dengan harga sepuluh kristal?" Ouyang Zhen kasar orangnya tapi bukanlah bodoh. Harganya agak… menakutkan.

"Sepinggan Sayur Goreng dan semangkuk Mi Campuran Kering berharga seratus syiling emas satu…" Ouyang Wu tergumam.

"Sekarang aku tahu kenapa adik kita tak mampu bayar bil, sebab kedai ini menipu!" Ouyang Di jerit dengan marah sambil mengetuk meja.

Bu Fang mengerutkan kening dan berkata, "Kamu nak buat pesanan? Adik kamu ada dalam restoran ini. Kalau kamu menang, aku biarkan kamu ambil dia balik."

"Hmph! Demi adik kita, aku akan lakukannya walaupun ia menipu! Aku nak pesan Ikan Perap Bijian Wain Beras!" kata Ouyang Zhen.

"Tauke, kenapa tak jual wain sedangkan ada bijian pembru!" Ouyang Wu bertanya, tak puas hati.

Bu Fang menjawab tanpa perasaan, "Bijian pembru itu untuk masak Ikan Perap Bijian Wain Beras, bukan untuk buat wain."

Ouyang Wu agak keliru. "Ini… Apa bezanya? Kau boleh buat wain jika ada bijian pembru, bukan?"

"Beri aku Ikan Perap Bijian Wain Beras juga!" kata Ouyang Wu.

"Restoran ini hanya ada seekor Ikan Perap Bijian Wain Beras yang tinggal. Sila pesan makanan lain," kata Bu Fang.

"Ah! Kalau tak kerana adik aku, aku hancurkan saja restoran ini sekarang!" Ouyang Wu berasa jengkel. Akhirnya dia memesan Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi.

Ouyang Di tak berkata apa dan hanya memesan Sup Tofu Kepala Ikan.

Selepas ketiga-tiga mereka selesai membuat pesanan, Bu Fang mengangguk dan berkata, "Sila tunggu."

Kemudian, Bu Fang masuk ke dapur dan mula memasak.

…..

Zhao Ruge duduk di atas kerusi kayu cendana sambil mendengar laporan anak buahnya. Kemudian, dengan senyuman kecil, dia berkata, "Kau kata tiga orang gasar Ouyang itu masuk ke dalam restoran?

"Nampaknya restoran itu akan musnah. Walaupun ketiga-tiga mereka itu bodoh, pencapaian tahap pertapa mereka agak tinggi. Menghancurkan kedai bukanlah satu masalah. Panggil yang lain, kita pergi tonton siaran hebat." Zhao Ruge membuka kipas kertasnya dan senyum dengan elegan sambil meninggalkan rumah manor dengan orang gajinya.

Sun Qixiang menerima laporan orang gajinya. Mata kecilnya semakin halus bila dia tersenyum dingin. "Berani kau sabotaj makanan aku dengan cili dan buat aku berlari bogel di khalayak ramai. Aku mahu tengok macam mana kau jalankan bisnes selepas buat hal dengan orang gasar Ouyang."

Kecuali Zhao Ruge dan Sun Qixiang, orang lain yang menerima berita itu terus pergi ke restoran kecil itu dengan wajah sugul. Mereka tahu yang ketiga-tiga orang gasar itu sangat ganas. Xiao Yanyu pun agak marah. Dia tak sangka yang Jeneral Lama Ouyang akan menghantar mereka. Kalau ada apa-apa terjadi pada Restoran Fang Fang, itu salah dia.

Pada masa itu, ramai orang menuju ke Restoran Fang Fang.

Mereka semua menjangka yang Restoran Fang Fang akan dimusnahkan tiga orang gasar Ouyang itu...

avataravatar
Next chapter