113 Kamu Semua Pelanggan, Tapi Bukan Yang Itu

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Bau daging ni... sangat sedap! Kenapa baunya sangat sedap?!"

Mata Ni Yan yang cantik itu terbeliak dengan rasa tidak percaya. Bau daging yang aromatik itu menusuk hidungnya. Tiba-tiba, pori-pori di seluruh tubuhnya mengembang sehingga ia kelihatan seperti hendak meletup.

Sebagai seorang cef dan seorang yang kuat makan, hobi Ni Yan ialah mencuba dan menyelidik semua jenis makanan. Dia pernah cuba untuk memasak sajian dengan menggunakan daging binatang semangat kelas keenam, malangnya dia gagal. Daging binatang semangat kelas keenam itu penuh dengan daya tulen. Apabila binatang semangat itu mati, tenaga semangat di dalam badan binatang itu terperangkap. Sekiranya seseorang memotong sebahagian daripada daging binatang semangat itu, tenaga semangat yang terkandung di dalam daging itu akan hilang dengan pantas.

Berdasarkan pengalamannya, Ni Yan dapat menganalisis komposisi aroma lazat di udara itu dengan mudah sekali. Dia bukan sahaja dapat mengesan aroma daging, malah aroma ubat-ubatan dan tenaga semangat pun dapat dikesan olehnya.

Kepekatan tenaga semangat di udara membuatkannya rasa seolah-olah tidak percaya.

Qian Bao tidak berhenti-henti menelan air liurnya. Dia berkata dalam hatinya, 'Bau yang harum ni... Sajian restoran kami yang paling lazat, iaitu Itik Bunga Panggang pun tak setanding dengan aroma yang sedap ni. Seperti yang dijangkakan, kemahiran masak-memasak Tauke Bu memang luar biasa. Aku perlu makan sajiannya hari ini.'

Tang Yin dan Lu Xiaoxiao yang sedang berdiri di belakang Ni Yan mempunyai ekspresi yang penuh dengan rasa sangat gembira di wajah-wajah mereka. Ini bukan pertama kali mereka menghidu aroma daging yang lazat seperti ini. Sebelum ini, ketika mereka berada di Tanah Belantara, Bu Fang juga telah memasak daging panggang yang mempunyai aroma yang lazat. Sejak hari itu, mereka masih tidak dapat melupakan rasa daging panggang itu.

Bu Fang membawa seketul sosej yang telah dihiris menjadi tiga keping di atas sebiji pinggan porselin. Sosej itu masih agak panas. Terdapat juga aroma harum bersama-sama dengan tenaga semangat yang tersebar dari sosej itu.

Bu Fang tidak sabar untuk merasai sosej yang harum ini. Apabila dia keluar sahaja dari dapur, dia ternampak empat orang sedang berdiri di pintu masuk dengan ekspresi yang sangat gembira. Perasaan ragu timbul di raut wajahnya apabila dia berkata, "Eh? Awalnya kamu semua datang?"

Biasanya, tak ramai pelanggan yang datang awal ke restorannya. Malah Si Gemuk Jin yang selalu datang tepat pada waktunya pun mengambil sedikit masa untuk tiba ke restorannya.

"Senior! Kami dah sampai!"

Apabila Tang Yin melihat Bu Fang dan menghidu aroma yang lazat di dalam restoran itu, matanya terus bersinar dengan kegembiraan dan dia melambaikan tangannya ke arah Bu Fang.

"Hmm?" Bu Fang memandang Tang Yin. Selepas berfikir seketika, dia akhirnya mengecam lelaki yang melambai-lambaikan tangannya pada awal pagi itu. Pertemuan mereka berdua di Tanah Belantara pada hari itu telah meninggalkan kesan yang mendalam padanya.

"Oh, kamu rupanya. Lama juga kita tak berjumpa. Adakah kamu datang ke sini untuk makan? Jemput masuk." Bu Fang berkata dengan bersahaja sebelum meletakkan pinggan yang dia sedang pegang itu di atas meja.

Mata keempat-empat orang manusia dan seekor anjing memerhati semua pergerakan Bu Fang. Akhirnya, mata mereka tertumpu pada sajian di atas meja itu. Bunyi mereka menelan air liur kedengaran dengan kuat sekali di seluruh restoran itu.

Semua orang melangkah masuk ke dalam kedai dengan fikiran separa sedar. Mata mereka semua tertumpu pada Bu Fang yang sudah duduk di meja. Dia memegang sepasang penyepit dan bersedia untuk makan.

Bu Fang tidak peduli dengan orang lain di sekelilingnya. Penyepit kayu di tangannya dibuka dan Bu Fang dengan perlahan-lahan menyepit salah satu keping sosej di atas pinggan itu. Sebaik sahaja dia menyepit sosej itu, minyak aromatik terus mengalir keluar daripada sosej itu.

Baunya tiba-tiba menjadi lebih kuat.

Bu Fang meneliti kepingan sosej itu. Bahagian sosej yang telah dipotong itu sungguh licin dan daging di dalamnya sangat lembut dan harum. Selera Bu Fang terus naik apabila dia melihat sosej itu.

Ketika Bu Fang menggigit kulit sosej itu, bunyinya sangat kuat sehingga semua orang di dalam restoran itu boleh mendengarnya.

Pada masa yang sama, mulut Qian Bao dan orang lain ternganga sedikit dan mereka menjilat bibir mereka dengan fikiran separa sedar...

Tekstur sosej itu sangat kenyal. Bu Fang serta-merta dapat rasa kerangupan kulit sosej itu dan isi daging lembunya yang lembut. Aromanya masih terasa di dalam mulutnya seperti kabus yang tebal dan ia sangat sukar untuk dihilangkan.

Memandangkan sosej itu masih panas, Bu Fang cuba menyejukkannya dengan membuka mulutnya. Dia menghembuskan udara yang panas bersama-sama dengan aroma sosej itu.

Deguk...

"Kung-kung!"

Kedengaran bunyi perut keempat-empat orang itu berkeroncong dan Si Hitam menyalak sekali sambil menjilat bibirnya.

Walau bagaimanapun, pada masa itu, Bu Fang terlalu asyik dengan rasa sosej yang lazat itu. Apabila dia mula mengunyah, barulah dia betul-betul dapat rasa sosej itu dengan sempurna. Memandangkan sedikit gula batu telah dicampurkan ke dalam sosej itu, kulitnya bukan sahaja rangup, malah ada juga sedikit rasa manis. Rasa manis itu membuatkannya menjadi lebih sedap dan aroma daging yang terkandung di dalam sosej itu meletup seperti bom dan terus keluar dari lubang hidung Bu Fang.

"Sedapnya!" Bu Fang menjerit kegirangan. Rasa sosej itu menimbulkan nostalgia kepadanya. Sosej yang dibuat daripada daging Lembu Naga Kelana dan pelbagai jenis herba semangat itu rasa lebih sedap daripada sosej yang dia selalu makan sebelum ini.

Ini kerana dia telah menggunakan daging binatang semangat kelas ketujuh. Seperti yang dijangka, dagingnya memang tidak setanding dengan daging biasa.

Bu Fang menjilat bibirnya selepas dia menelan sosej itu, tapi dia masih rasa tidak puas. Matanya kelihatan agak kabur...

"Hmm? Mengapa kamu semua tengok saya macam tu?" Apabila Bu Fang sedar semula, dia memandang mereka berempat. Bu Fang rasa sungguh geli hati apabila dia melihat air liur mereka berempat dan anjing itu masih meleleh.

"Kamu ke yang masak sosej ini?" Ni Yan bertanya sambil melihat Bu Fang dengan matanya yang cantik itu.

Bu Fang mengangguk sambil menyuapkan sosej yang masih disepit pada penyepitnya ke dalam mulutnya.

"Boleh... Boleh tak saya cuba rasa sedikit?" Ni Yan teragak-agak seketika sebelum dia bertanya.

Orang lain juga melihat Bu Fang dengan penuh harapan. Bau sosej itu terlalu wangi sehingga mereka hilang kawalan diri mereka.

Bu Fang memandangnya dengan tidak berperasaan dan menjawab, "Tak boleh."

Ni Yan terkejut. Tang Yin pun turut terkejut. Semua orang di dalam restoran itu terkejut... Oh, tapi Si Hitam tidak terkejut. Ia masih menjilat bibirnya dan melihat Bu Fang dengan penuh harapan.

Ada orang yang berani menolak permintaannya? Ni Yan terasa agak bingung. Sudah berapa tahun dia tak berhadapan dengan situasi sebegitu?

Ni Yan menanggalkan velnya untuk mendedahkan wajah cantiknya yang tiada tandingan itu. Bibir merahnya tersenyum kecil dan matanya yang cantik itu merenung tajam ke arah Bu Fang. Dia pun bertanya, "Sekarang... Boleh tak saya rasa sosej itu?"

Ni Yan lebih yakin dengan penampilannya berbanding dengan kekuatannya. Dia yakin yang tiada sesiapa pun yang akan jadi tenang selepas mereka melihat penampilannya.

Tapi kali ini, dia salah. Apabila Bu Fang melihatnya sekali lalu, rasa hairan terpancar di matanya. Kemudian, dia menjawab dengan acuh tak acuh, "Tak boleh."

"Kamu..." Ni Yan naik berang. Sampai hati dia bercakap sebegitu dengan seseorang yang cantik seperti dia?!

"Kalau begitu, cuba kamu beritahu saya apa yang perlu saya lakukan untuk rasa sosej itu..." Ni Yan rasa hendak tampar sahaja orang yang berada di hadapannya ini sampai mati. Tapi, apabila dia berfikir macam mana sosej yang sedap ini boleh dibuat oleh orang yang bersifat keji ini, dia tidak sanggup melakukannya.

"Kamu ni bodoh ke? Lihatlah menu tu." Bu Fang mencebik bibirnya dan mengangkat sekeping lagi sosej. Dia menyuapkan sosej itu ke dalam mulutnya dan mengunyahnya dengan gembira sekali.

Apabila Ni Yan melihat raut wajah Bu Fang itu, dia betul-betul rasa hendak menendang mukanya. Semasa dia cuba untuk menahan godaan sosej itu, dia mengangkat kepalanya dan memandang ke arah menu yang tergantung di dinding restoran. Ketika dia melihat menu itu, mata cantiknya terbeliak sekali lagi.

"Kung-kung!!"

Si Hitam naik berang! Ia berkata dalam hatinya, 'Sampai hati lelaki kejam ni buat tak tahu dengan tuan segala anjing ni! Berani kau tak mahu suapkan sedikit sosej sedap tu kepada tuan segala anjing kau ni?'

Bu Fang menjadi bingung seketika. Dia mengusap kepala tuan segala anjing itu dan berkata dengan nada yang lembut, "Dah, jangan buat kacau lagi."

'Siapa yang sebenarnya buat kacau sekarang!' Si Hitam berkata dalam hatinya dan dia menyalak sekali lagi. Salakannya itu penuh dengan rasa geram yang luar biasa kerana dia betul-betul hendak merasai sosej itu. "Kung-kung!"

Bu Fang mengeluh dalam hatinya. Dia tahu dia tidak akan dapat makan kepingan sosej terakhir ini. Dia mengusap kepala Si Hitam dengan geram dan menyerahkan kepingan sosej terakhir itu kepadanya.

Mata Si Hitam bersinar dan lidahnya terjelir apabila ia membaham sosej itu. Selepas itu, matanya mengecil dan ia rasa sungguh puas hati.

Ni Yan baru sahaja memusingkan kepalanya semula ke arah Bu Fang. Dia ingin bertanya kepada Bu Fang tentang harga sajiannya yang tidak masuk akal itu. Walau bagaimanapun, sebelum dia boleh berkata apa-apa, dia melihat adegan di hadapannya yang mana Bu Fang telah menyuapkan sosej itu kepada anjingnya...

Bu Fang memberikan sosej yang mampu membuatkan semua orang hilang kawalan diri itu kepada seekor anjing hitam... Seekor anjing hitam... Seekor anjing!

"Apa maksud kamu... Apakah logik kamu memberikan sosej itu kepada seekor anjing dan bukan saya?" Ni Yan bertanya dengan ekspresi yang dingin.

Pada masa itu, Bu Fang sudah pun berdiri sambil mengangkat pinggan dan penyepitnya apabila dia mendengar pertanyaan Ni Yan itu. Dia memberikan pandangan yang bingung kepada Ni Yan dan berkata, "Tak ada sebab tertentu. Kamu semua pelanggan, tapi bukan yang itu."

Selepas dia selesai bercakap, dia berjalan ke arah dapurnya. Apabila dia sampai di pintu dapur, tiba-tiba dia teringat sesuatu dan terus berpaling ke arah mereka berempat.

"Ini satu peringatan, hanya tiga pinggan Sosej Lembu Naga Kelana sahaja disediakan setiap hari. Jika kamu mahu, kamu perlu cepat-cepat memesannya.

avataravatar
Next chapter