34 Kalau Kamu Naikkan Harga Lagi, Kamu Pasti akan Dipukul

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Kau akan senarai hitamkan aku? Tukang masak pangkat rendah macam kau?"

Pembantu rumah Tuan Zhang terkejut dengan aksi Bu Fang dan mula ketawa kuat. Dia tertawa begitu kuat sehingga hampir mengeluarkan air mata.

Orang-orang di sekelilingnya tak mampu menahan ketawa sambil memandang Bu Fang dengan penuh hina. Tukang masak muda ini bodoh ke? Dia tak tahu ke dia bercakap dengan siapa? Itu kan pembantu rumah Tuan Zhang!

Tuan Zhang ialah orang besar dalam bandar Diraja yang mulia dan dikenali ramai, dan pembantu rumahnya juga turut dikenali. Untuk seorang tukang masak di restoran kecil di lorong itu berlagak tanpa rasa malu dan dia mahu senarai hitamkan pembantu rumah Tuan Zhang. Itu jenaka paling lawak dalam sejarah.

"Kau tahu tak betapa senangnya aku boleh runtuhkan restoran ini? Kau patut bangga aku datang makan di sini. Kau sepatutnya menghidangkan makanan dengan gembira. Siapa yang beri kau keberanian untuk berlagak depan aku?"

Pembantu rumah itu mendengus sambil menyilang lengannya.

Bu Fang memandang pembantu rumah itu tanpa perasaan seperti dia melihat orang bodoh.

"Pembantu rumah? Hebat sangat ke? Sedangkan seorang putera pun aku tolak, kau ingat aku ambil peduli tentang seorang pembantu rumah?"

Bu Fang tak peduli pun untuk membalas dan hanya mengusap perut Si Putih yang lebar itu. Mata Ouyang Xiaoyi bersinar dan dia teruja melihat Si Putih beraksi kembali.

Mata mekanikal Si Putih tiba-tiba menyala dengan sinaran merah sambil dia berkata secara mekanikal, "Si Pembuat Masalah, kamu akan dibogelkan sebagai pengajaran kepada yang lain."

Pembantu rumah Tuan Zhang terperanjat. Sambil meletakkan tangannya ke telinga, dia memanjangkan tengkuk dan mengejek, "Apa? Siapa yang kau nak bogelkan?"

"Cakap lagi sekali, siapa yang kau nak bogelkan?"

Kepala mekanikal Si Putih menoleh sedikit dan memandang ke arah pembantu rumah itu. Tangan mekanikalnya terus memanjang dan mencapainya.

"Hmph! Kurang ajar betul!" Pembantu rumah Tuan Zhang mendengus dingin dengan muka muram. Sebagai Maniak Pertempuran kelas ketiga, tak mungkin dia takut dengan barang yang tak ada tenaga semangat langsung.

"Aku akan tukarkan kau menjadi besi buruk! Rasakan, Tamparan Pematah Tulang!"

Dengan jeritan kuat, pembantu rumah itu mengumpul daya tulen dalam badannya dan menghentam lengan mekanikal Si Putih dengan tapak tangannya.

Bang!

Hasilnya tak seperti yang dijangka.

Hentaman tapak tangan oleh pembantu rumah Tuan Zhang bagaikan setitik air di lautan saat dia menyentuh lengan Si Putih. Si Putih langsung tak terkesan daripada seranagan itu.

"Oh, tidak!"

Badan pembantu rumah itu kaku sambil dia mengangkat kepalanya dan memandang tepat ke arah mata Si Putih. Kemudian, Si Putih terus menampar pembantu rumah itu ke atas tanah seperti menampar lalat.

Daya tulen dalam badannya terus hilang serta merta…

Bunyi kain terkoyak kedengaran sambil pakaian pembantu rumah itu ditanggalkan. Yang tinggal hanyalah kain cawat untuk menutup bahagian sulitnya, dan dia kemudiannya dicampak keluar dari kedai dengan gaya lengkung parabola.1

Semua orang dalam kedai itu terkesima sambil mata mereka memandang badan pembantu rumah itu. Sambil mereka melihatnya terbang, badan mereka menggeletar.

Zhao Ruge baru saja sampai bila ada satu kelibat manusia terbang keluar dari kedai dan jatuh di kakinya… Dia merasakan seperti satu deja vu melihat situasi itu.

Nampaknya setiap kali dia ke restoran itu, akan ada orang yang terbang keluar berbogel.

"Saya katakan sekali lagi, beratur ikut giliran dan jangan buat bising. Siapa yang tak mengikut arahan akan disenarai hitam," Bu Fang berkata sambil melihat orang ramai yang kini senyap. Dia kemudian masuk ke dapur.

Ouyang Xiaoyi berdiri di belakangnya sambil menggenggam penumbuk. "Tauke busuk memang hebat!"

Zhao Ruge menggeletar bila teringat pengalamannya lari berbogel. Niat asalnya untuk memotong barisan pun hilang sambil dia turut beratur.

Bila Menteri Kiri, Zhao Musheng dapat tahu ada percubaan membunuh putera ketiga, dia menghantar anaknya, Zhao Ruge, untuk menyiasat restoran itu. Pada awalnya, Zhao Ruge menolak mentah-mentah. Namun, bila ayahnya menawarkan Pil Menghimpunkan Semangat kelas kelima sebagai ganjaran, dia terus bersetuju.

Xushi memandang Si Putih dengan serius. Sedangkan Raja Pertempuran kelas kelima sepertinya pun rasa tertekan. "Boneka ini tak semudah itu."

Sekretariat Besar Su Yuanqing turut menganggukkan kepalanya. "Sudah pasti ini ialah pakar tersembunyi restoran ini."

Mereka berdua memandang satu sama lain dan tersenyum. Kemudian, mereka menundukkan kepala dan terus menikmati makanan. Ia terlalu sedap!

Takut dengan Si Putih, pengikut orang-orang besar itu pun menurut kata. Pencapaian tahap pertapa pembantu rumah Tuan Zhang lebih kuat berbanding mereka. Namun, dia masih berjaya dibogelkan Si Putih.

Mereka pasti akan menerima nasib yang sama jika mereka mencuba apa-apa. Mereka perlu patuh jika tidak mahu dibogelkan.

Ouyang Xiaoyi memandang mereka dengan angkuh sambil mengambil pesanan dan menyampaikannya kepada Bu Fang.

Xishu dan Sekretariat Besar Su dengan tak rela menghabiskan makanan dan wajah mereka penuh perasaan. Ada sebab kenapa harganya mahal. Rasanya lebih sedap daripada makanan dapur Diraja. Lagi pun, kedua-dua mereka dapat merasakan yang daya tulen dalam badan mereka meningkat. Memang jelas yang hidangan itu satu perkara yang luar biasa.

Sambil mereka meninggalkan restoran dengan segera, mereka yang berada di barisan hadapan mula mengambil tempat duduk. Bu Fang memasak dengan cepat jadi mereka tak perlu tunggu lama.

Tak syak lagi, semua orang yang merasa hidangan Bu Fang akan tertawan.

Selera Zhao Ruge sudah terbuka bila dia menghidu haruman dari restoran itu dan melihat pelanggan yang sudah habis makan tapi tak rela beredar.

Ini kali ketiga dia ke restoran itu tapi dia tak berjaya merasai hidangan di kedai ini sebelum ini. Nampak gayanya macam sedap. Dia tak sabar untuk mencubanya.

Bila seseorang meninggalkan restoran dengan rasa puas, muka Zhao Ruge nampak gembira. Dia berjalan masuk ke dalam restoran dengan elegan dan berhenti di hadapan Ouyang Xiaoyi.

"Oh, kau rupanya, Zhao pondan," Ouyang Xiaoyi memandang ke atas sambil memuncungkan mulutnya. Dia mengenali Zhao Ruge.

"Sayang betul. Puteri keluarga Ouyang ini bekerja sebagai pelayan. Tsk, tsk, tsk. Aku nak pesan Ikan Perap Bijian Wain Beras," Zhao Ruge membuat pesanan selepas melihat menu. Kalau dia perlu makan, dia akan ambil hidangan yang paling mahal.

"Itu bukan hal kau!" Ouyang Xiaoyi mendengus sambil mengerutkan hidungnya.

Dia memusingkan badan dan berjalan menuju ke dapur untuk menyampaikan pesanan. Namun, belum sempat dia berbuat demikian, Bu Fang keluar dari dapur tanpa perasaan.

"Waktu operasi hari ini sudah tamat. Pelanggan yang belum makan, sila datang esok," kata Bu Fang.

Mendengar kata-kata itu, lapan orang yang sedang beratur barisan mula bising.

"Apa? Kami sudah tunggu hampir sejam dan kamu kata kamu sudah habis masak?"

"Tauke Bu, ini tak adil! Hari masih awal lagi, kamu patut teruskan memasak. Kami nak rasa masakan kamu."

…..

Bu Fang tak terganggu pun menerima pelbagai aduan daripada orang ramai.

"Saya katakan lagi sekali. Waktu operasi hari ini sudah tamat. Jika kamu nak makan, datang awal esok. Oh, dan tolong jangan buat bising," kata Bu Fang tanpa perasaan.

Di belakangnya, mata mekanikal Si Putih bersinar merah sambil dia memandang orang ramai yang berbuat bising. Tak lama kemudian, semuanya dia seperti mereka dicekik.

Sambil Si Putih berjaga di situ, mereka hanya mampu menelan rasa marah dan beredar dengan berang memikirkan apa yang patut dilaporkan kepada tuan mereka.

Zhao Ruge merasakan seperti beratus anak panah menusuk dadanya. "Celaka, waktu operasi sudah tamat lagi?! Kenapa kau sangat menepati masa?"

"Tauke Bu, saya akan bayar lima kali ganda daripada harga sebenar… Saya nak buat pesanan!" Zhao Ruge tak mahu mengalah dan cuba memujuk Bu Fang.

"Tak boleh. Sebelum ini pun kamu cuba buat benda yang sama," kata Bu Fang.

"Peraturan ditentukan manusia, Tauke Bu! Sepuluh kali ganda! Apa kata sepuluh kali ganda daripada harga asal? Hari ini, saya mesti rasa hidangan kamu," Zhao Ruge mengetap giginya dan berkata sambil merenung tajam Bu Fang.

"Tidak." Hati Bu Fang terluka kerana menolak tawaran Zhao Ruge. "Kalau kamu naikkan lagi tawaran, kamu pasti akan dipukul!"

Zhao Ruge rasa sangat kecewa sehingga dia rasa ingin muntah darah. Dia memberi pandangan dingin pada Bu Fang, kemudian dia mendengus dan beredar keluar dari restoran.

Wajah Ouyang Xiaoyi penuh rasa kagum melihat Bu Fang. Dia selalu menanggap Bu Fang seorang yang tamak. Tak sangka dia sebenarnya berprinsip.

"Tauke busuk, sungguh kacak cara kamu menolak pondan itu!" Ouyang Xiaoyi mengangkat ibu jari tanda bagus.

"Haha," Bu Fang tersenyum tanpa perasaan.

Dua hari berturut-turut, Restoran Fang Fang penuh dengan pelanggan. Ada saja pelanggan baru yang datang. Xushi dan Sekretariat Besar Su juga datang setiap hari dan tertawan dengan masakan Bu Fang.

Namun begitu, adik beradik Xiao dan putera ketiga, Ji Chengxue, tak muncul pada hari itu. Bu Fang agak terperanjat tapi dia tak kisah.

Dengan itu, hari ketiga pun tiba.

Itu ialah hari penting di bandar Diraja.

Pakar nombor satu dalam bandar Diraja, Jeneral Besar Xiao Meng, pulang dengan jayanya selepas bertarung dengan suku di luar sempadan empayar. Dia mengiringi enam ketua Sekta Heterodoks, Istana Jiwa Maut, yang ditawan sebagai banduan balik ke bandar Diraja.

Hari itu, bandar Diraja dipenuhi pelbagai peluang sambil pintu gerbang bandar dibuka luas.

avataravatar
Next chapter