61 Kalau Kamu Makan Terlalu Banyak Penkek Tiram... Badan Kamu akan Jadi Panas

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Kau tahu tak aku nak bungkus makanan ni untuk siapa?" Lian Fu tak sangka Bu Fang akan menolak permintaannya sekali lagi dan dia menjadi semakin geram.

"Kau tahu tak maharaja nak rasa hidangan kau? Inilah kehormatan yang paling besar!"

Bu Fang mengerut dahinya apabila dia melihat ke arah Lian Fu yang bersifat angkuh itu. Sudah jelas dia beritahu yang restorannya tak menyediakan perkhidmatan bawa pulang makanan. Kenapa sida-sida ni keras kepala?

"Beritahu aku, berapa banyak wang yang perlu aku bayar supaya aku boleh pesan makanan? Berikan aku sebut harganya." Lian Fu mendengus dan berkata sambil memicit ibu jari dan jari tengahnya bersama. Dia juga menyampah dengan sikap Bu Fang yang tak berbelah bahagi itu.

"Kamu masih tak faham apa saya kata ke?" Bu Fang memandangnya tanpa ekspresi. Dia malas melayan sida-sida itu lagi. Dia kembali ke dapur dan tiba semula dengan hidangan terakhir.

Penkek Tiram warna keemasan itu dibalut dengan daun buluh yang besar supaya aromanya tak hilang.

"Ini hidangan terakhir, Penkek Tiram. Hidangan ini boleh dibawa pulang. Kamu boleh bawa balik hidangan ini untuk diberi kepada maharaja." Kata Bu Fang sambil menghulurkan Penkek Tiram itu kepada Lian Fu.

Lian Fu bingung dan dia mengambil Penkek Tiram itu dengan fikiran separa sedar. Dia memandang Penkek Tiram yang dibungkus dengan daun buluh itu. Walaupun baunya menyelerakan... berbanding dengan Sup Ikan Tauhu Kepala yang lazat, Penkek Tiram ini kelihatan agak buruk.

Dia sudah makan begitu banyak hidangan yang lazat tetapi dia hanya membawa hidangan ini balik... Adakah maharaja akan memarahinya apabila dia pulang nanti?

"Wahai tukang masak... kamu tak boleh buat pengecualian untuk aku ke? Walaupun aku berikan kamu seratus biji kristal?" Lian Fu menggigit bibirnya sambil melihat Bu Fang dengan geram.

Seluruh badan Bu Fang menggigil. Pandangan Lian Fu telah menyebabkan bulu romanya meremang di seluruh badannya. Bu Fang menundukkan kepalanya dan berpaling ke belakang. Dia segera kembali ke dapur dan terus mengabaikan Ketua Sida-sida Lian Fu.

Lian Fu memerhatikan Bu Fang pergi ke dapur. Dia mengeluh sambil memerhatikan Penkek Tiram di tangannya dengan sedih. Dia hanya mampu pulang dengan berat hati.

Selepas melihat Lian Fu keluar dari restorannya, Ouyang Xiaoyi dengan gembira berlari ke arah Bu Fang.

"Tauke busuk, berikan saya sepinggan Penkek Tiram!" Jerit Ouyang Xiaoyi dengan girang.

"Hmm? Kamu nak makan sekarang ke?" Tanya Bu Fang dengan bingung. Bukan ke Xiaoyi beritahu yang dia nak bawa Penkek Tiram itu ke rumah supaya ibu bapanya boleh merasainya?

Ouyang Xiaoyi menelan air liurnya dan berkata dengan senyuman, "Saya tak tahan dah. Saya nak rasa bagi pihak mereka dulu."

Walaupun Bu Fang tahu yang Ouyang Xiaoyi seorang pelahap, dia tak bercakap apa-apa dan hanya memberitahunya untuk tunggu sebentar.

Beberapa ketika kemudian, dua hidangan Penkek Tiram telah siap dimasak.

Dia menyerahkan satu hidangan penkek kepada Xiaoyi dan mengambil satu lagi hidangan untuk dirinya sendiri. Mereka berdua menarik kerusi ke depan pintu masuk restoran dan memakan Penkek Tiram itu.

Selepas mengoyakkan daun buluh, Ouyang Xiaoyi dengan tidak sabar menggigit Penkek Tiram itu. Bunyi rangup dapat didengari. Ketika dia menggigit lapisan rangup Penkek Tiram itu, jus lobak putih mengalir ke dalam mulutnya.

Bau yang sungguh lazat keluar daripada Penkek Tiram itu dan menyelubungi persekitarannya.Wajahnya nampak terpesona ketika dia makan Penkek Tiram dengan kepalanya ditundukkan.

Mereka berdua berlingkar di atas kerusi sambil memakan Penkek Tiram. Baunya perlahan-lahan keluar dari restoran dan memenuhi di sekitar lorong itu.

...

"Tuanku, inilah makanan yang Patik bawa dari restoran yang kejam itu, iaitu Penkek Tiram." Lian Fu membawa sebiji pinggan perak yang terukir dengan corak-corak yang cantik di permukaannya.

Dua biji Penkek Tiram bulat yang keemasan warnanya diletakkan di atas pinggan perak itu. Kedua-dua penkek itu masih agak panas dan beraroma.

Maharaja Ji Changfeng mengusap janggutnya sambil memandang ke arah Lian Fu dan bertanya, "Xiao Fu1, bukan ke Beta beritahu kamu untuk bawa pulang semua hidangan? Kenapa kamu hanya bawa pulang hidangan kecil ni saja?"

Rupa Penkek Tiram ini memang buruk. Ia kelihatan seperti sejenis makanan yang dimakan oleh orang biasa.

Apabila Lian Fu mendengar kata-kata maharajanya, hatinya berdegup-degup dan dia segera mengadu dengan wajah yang sedih, "Tuanku, ada sesuatu yang Tuanku tak tahu. Tauke restoran yang berhati kejam tu kata semua hidangan lain tak dibenarkan untuk dibawa pulang. Hanya Penkek Tiram ni saja yang dibenarkan untuk dibawa pulang."

"Oh? Jadi, kamu dah rasa hidangan-hidangan yang lain?" Tanya Ji Changfeng tanpa perasaan dan matanya melirik ke arah Lian Fu.

"Hmm, rasanya sungguh enak, terutamanya Tulang Rusuk Masak Masam Manis..." Lian Fu mahu menerangkan hidangan yang dimasak oleh Bu Fang, tetapi dia dapat merasai yang maharaja sedang memerhatinya dengan ekspresi yang sukar difahami. Hatinya tiba-tiba berdegup kencang dan dia mengundur satu langkah ke belakang dan tunduk hormat di hadapan mahajara, "Uh, Tuanku, ampunkan Patik!"

"Boleh tahan juga kemahiran memasak tauke restoran tu. Kalau tak, kamu tak akan puji dia melambung-lambung. Kalau begitu, Beta akan cuba rasa... Penkek Tiram ni." Kata Ji Changfeng.

Lian Fu terus menjadi gembira kerana maharaja tak menyalahkannya dan meluruskan belakangnya. Dia menghulurkan sebiji pinggan perak kepada Ji Changfeng dan mengeluarkan sebilah pisau perak kecil untuk memotong salah satu daripada Penkek Tiram itu sebaik saja dia menarik lengan bajunya yang labuh.

Bau harum dengan serta-merta dapat dihidu selepas Penkek Tiram itu dipotong dua. Sebelum ini baunya tak begitu kuat. Ia seperti bom yang aromatik yang meletup.

Jus putih mengalir keluar daripada bahagian yang dipotong dan memenuhi separuh daripada pinggan itu.

Mata Ji Changfeng terus bersinar apabila dia menghidu aroma Penkek Tiram itu. Dia berkata dengan terkejut, "Baunya wangi tetapi tak menusuk hidung, baunya tak kuat tapi kekal di udara. Bagus!"

Lian Fu juga sangat terkejut. Dia tak sangka Penkek Tiram yang biasa itu wangi baunya. Dengan bau yang sungguh lazat, rasanya juga mesti enak.

Ji Changfeng menghulurkan tangannya dan mengambil salah satu daripada Penkek Tiram yang dipotong. Dia memandang Penkek Tiram yang gebu itu dan segera menggigitnya. Rasa tiram terus meletup di dalam mulutnya. Ia dengan serta-merta merebak ke dalam rongga hidungnya dan menyebabkan semua liang di badannya mengembang.

Lapisan rangup yang telah digoreng dengan sempurna dan kelembutan lobak yang diracik telah menghasilkan tekstur yang belum pernah wujud sebelum ini. Ji Changfeng hanya boleh beri pujian.

"Sedapnya! Penkek Tiram ni sangat enak!"

Lian Fu menelan air liurnya dan dia juga berasa gembira. Dia berkata dalam hatinya, 'Tuanku, Patik gembira kerana Tuanku gembira. Patik cuma takut yang Patik akan dipersalahkan kalau Tuanku…'

Selepas itu, setengah daripada Penkek Tiram itu dimakan sehingga Ji Changfeng menjilat bibirnya dan mengelap kesan minyak di janggutnya. Dia mengambil separuh lagi Penkek Tiram dan menghabiskannya dengan pantas.

Selepas memakan kedua-dua biji Penkek Tiram, Ji Changfeng menghembuskan nafas kepuasan dengan gembira.

"Sudah sekian lama Beta tak makan hidangan sesedap ni. Nampaknya, restoran yang berhati kejam tu memang kebolehan. Beta rasa ingin tahu tentang hidangan-hidangan lain."

"Tuanku, restoran itu tak benarkan hidangannya dibawa pulang... Tuank perlu pergi ke restoran itu sendiri untuk makan hidangan lain." Lian Fu berasa agak marah.

"Jadi, apa salahnya kalau Beta sendiri pergi ke sana? Memang berbaloi bagi Beta untuk pergi ke sana kerana hidangannya sungguh lazat. Lagipun, bukankah ada wain yang lebih sedap daripada Wain Nektar Berhias Permata di restoran itu? Beta memang teringin nak minum wain yang sedap. Xiao Fu, pergi siap sedia. Beta sendiri akan ke sana esok."

"Eh, Tuanku?! Tuanku tak perlu pergi ke restoran yang tak seberapa itu. Hambamu ni akan pergi ke sana semula pada hari esok dan Patik akan pastikan semua hidangan akan dibawa pulang." Lian Fu berasa sedikit bimbang. Bagaimana dia boleh biarkan maharaja pergi ke sana sendiri dengan keadaannya sebegitu?

Ji Changfeng dengan acuh tak acuh melirik ke arah Lian Fu dan berkata, "Xiao Fu, jika Beta boleh lawat Restoran Phoenix Abadi demi Itik Bunga Panggangnya, kenapa Beta tak boleh memasuki restoran ni untuk memakan hidangannya yang lazat? Jangan lupa, kita akan ke sana dengan menyamar pada hari esok."

Lian Fu berasa tak berupaya. Dia membuat keputusan untuk membuat persiapan secara rahsia dengan doktor-doktor diraja. Dia juga membuat persediaan lain. Dia masih dapat bertindak sekiranya apa-apa berlaku.

Pada masa yang sama, di Restoran Kecil Fang Fang, Ouyang Xiaoyi melihat Bu Fang dengan sedih setelah mereka habis memakan dua biji Penkek Tiram.

"Tauke busuk, berilah Xiaoyi sepinggan lagi. Xiaoyi belum puas hati lagi ni."

Matanya yang besar tu berkedip-kedip dengan cara yang comel dan menyentuh hati yang membuatkan sesiapa saja mempunyai dorongan yang kuat untuk melindunginya.

Bu Fang memandang ke arahnya dan hanya berkata, "Jangan, kalau kamu makan terlalu banyak Penkek Tiram... badan kamu akan jadi panas2."

---

avataravatar
Next chapter