104 Jom Kita Bersaing dengan Menghiris Seratus Biji Lobak Putih

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Ouyang Xiaoyi dan Yang Chen mengikut Bu Fang secara buta tuli sambil memandang ke arah jalan masuk lorong yang meriah dengan pelbagai jenis aktiviti. Orang ramai yang berkerumun di pintu masuk itu membuat Ouyang Xiaoyi rasa sangat teruja.

Tauke Restoran Phoenix Abadi ini memang lain daripada yang lain. Dia mampu menarik ramai orang untuk menonton perlawanan yang akan diadakan sebentar lagi. Adakah dia merancang untuk memberitahu seluruh bandar diraja?

Qian Bao tersenyum lebar ketika dia berdiri di jalan masuk lorong dan melihat penonton berdiri di sekitar lorong itu untuk menyaksikan perlawanan mereka nanti. Sebaik sahaja berita cef dari Restoran Phoenix Abadi berjaya menewaskan pemilik restoran yang tak berhati perut itu, Restoran Phoenix Abadi akan menjadi lebih terkenal di bandar diraja. Kalau berita itu menjadi kenyataan, lebih ramai pelanggan akan datang ke Restoran Phoenix Abadi.

"Ya Tuhan. Tauke Bu, kamu sampai juga akhirnya. Tengok, ramai orang datang untuk menonton perlawanan kita. Jangan sangka yang kami ni lemah." Senyuman terukir di wajah Qian Bao ketika dia bercakap dengan Bu Fang.

Bu Fang memberi pandangan yang penuh makna kepadanya. Dia faham dengan niat Qian Bao itu. Qian Bao mahu menggunakannya sebagai batu loncatan untuk menjadikan Restoran Phoenix Abadinya lebih terkenal.

Tak salah pun idea Qian Bao itu kerana restoran Bu Fang baru-baru ini menjadi sangat terkenal di bandar diraja. Kalau Restoran Phoenix Abadi meraih kemenangan dalam perlawanan itu nanti, reputasi restorannya akan menjadi lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, semua ini hanyalah andaian Qian Bao. Dia memang percaya yang teknik pemotongan Tuan Zhao boleh menewaskan Bu Fang.

Bu Fang mengangguk dan berjalan ke salah satu meja di situ. Di atas meja tersebut, terdapat pelbagai bahan yang segar. Emping-emping salji yang besar dari langit jatuh ke atas bahan-bahan itu.

Apabila Tuan Zhao melihat Bu Fang, dia mengeluarkan pisau dapur bilah lebarnya untuk cuba menakut-nakutkannya. Pisau dapur yang berkilauan itu mula berputar-putar di tangannya.

Bunyi siulan yang agak kuat boleh didengari semasa pisau dapur itu berputar. Suasana riuh-rendah di sekitar restoran itu pun terus menjadi senyap. Orang yang berkurumun di situ menahan nafas mereka kerana mereka berdebar-debar menunggu perlawanan antara mereka berdua.

"Tauke Bu, saya sudah berlatih teknik pemotongan saya lebih daripada dua belas tahun. Hari ni, saya tak akan beri peluang untuk kamu menang. Saya akan gunakan segala-galanya untuk menewaskan kamu." Tuan Zhao berkata. Kemudian, dia tiba-tiba menghentak mejanya dengan kuat sehingga sebiji ubi kentang yang berada di atas meja itu tercampak ke udara.

Pandangan Tuan Zhao menjadi tajam dan dia terus mencampakkan pisau dapur yang dipegangnya itu ke udara. Tiba-tiba, terdengar bunyi pisau dapur itu menghiris sesuatu apabila ia sedang berpusing-pusing di udara.

Pisau dapur Tuan Zhao telah membuat satu potongan melintang dan kemudian, ia berhenti betul-betul di hadapannya. Kepingan ubi kentang yang nipis tersusun rapi di atas bilah pisau dapur itu.

Persembahannya sungguh menakjubkan. Penonton di sekelilingnya menepuk tangan mereka dengan penuh rasa kagum.

Tuan Zhao meletakkan kepingan ubi kentang itu di atas sebiji piring. Senyuman yakin terpancar di wajahnya apabila dia melihat Bu Fang dengan geram.

Bu Fang tak menunjukkan sebarang perasaan. Persembahan pemotongan ubi kentang Tuan Zhao itu tadi tak mengejutkannya pun.

Ouyang Xiaoyi yang sedang berdiri di sebelah Bu Fang pun mendengus apabila dia melihat ekspresi yang terpampang di muka Tuan Zhao itu.

"Beritahu saya, bagaimana kita akan bertanding sebentar lagi? Saya nak balik dan sambung tidur selepas perlawanan kita nanti." Bu Fang berkata dengan acuh tak acuh. Suaranya seperti air laut yang tenang.

Walau bagaimanapun, bagi orang lain, sikap tidak peduli Bu Fang itu berbunyi seperti dia kurang keyakinan diri. Tiba-tiba, penonton yang berada di kawasan itu melihat Bu Fang dengan penuh hina dan geli hati. Sorakan 'bu' juga boleh didengar dari arah mereka.

Qian Bao berasa sangat gembira apabila dia melihat apa yang sedang berlaku di hadapannya. Lagi kuat dia pijak kepala Tauke Bu, lagi terkenal Restoran Phoenix Abadinya nanti.

"Dalam perlawanan ini, kita akan bertanding dalam tiga kategori: kelajuan, ketepatan, dan betapa kerasnya hati kamu. Kamu akan diadili berdasarkan kelajuan pemotongan bahan-bahan. Tauke Bu pasti dah tahu tentang perkara ni. Ketepatan merujuk kepada kejituan semasa memotong bahan-bahan. Kekerasan hati pula bermaksud cara kamu membelah daging. Hari ni, kita akan bertanding dalam tiga kategori ini." Tuan Zhao berkata dengan serius sambil mencucuk pisau dapurnya ke atas sebuah papan pemotong.

Bu Fang menganggukkan kepalanya. Dia tak terkejut langsung. Itu merupakan peraturan yang standard apabila bertanding dalam perlawanan teknik pemotongan.

"Jom kita mulakan." Bu Fang berkata.

"Baiklah! Kita akan mulakan dengan kategori pertama dulu. Kita ada dua ratus biji lobak putih di sini. Apa kata kita tentukan pemenang dengan membandingkan masa yang kita ambil untuk menghiris seratus biji lobak putih?" Tuan Zhao berkata.

'Lobak putih... lagi?' Bu Fang berkata dalam hatinya. Dia tersenyum lebar apabila dia melihat ratusan biji lobak putih yang tersusun di atas meja itu. Dia menjawab dengan perlahan, "Baiklah."

"Tauke Bu, tengok betul-betul! Saya akan mula dulu!" Apabila Tuan Zhao mendengar jawapan Bu Fang itu, semangat melawannya terus melonjak keluar dari tubuhnya sehingga pakaian seragam cefnya dikibas laju.

Tuan Zhao pun menarik keluar sebilah lagi pisau dapur. Dia akan menggunakan dua bilah pisau dapur pada masa yang sama untuk menghiris seratus biji lobak putih.

Mula-mula, dia menggunakan kedua-dua pisau dapurnya untuk mengangkat sebiji lobak putih dan meletakkannya ke atas ke papan pemotongnya. Kemudian, dia terus menghiris lobak putih itu dengan laju dan rentak pemotongannya sekata. Don, don, don… Dalam satu nafas, sebiji lobak putih telah dihiris dengan saiz yang sama. Selepas lobak putih pertama siap dihiris, Tuan Zhao terus mengambil lobak putih yang kedua.

Seperti yang diharapkan daripada cef yang telah berlatih teknik pemotongannya lebih kurang dua belas tahun, pemahaman dan penguasaan Tuan Zhao dalam teknik pemotongannya telah mencapai tahap yang tak boleh dicapai oleh cef-cef lain. Tekniknya yang menggunakan dua bilah pisau untuk menghiris lobak putih sambil mengekalkan kepersisan pemotongannya memang sukar untuk dilakukan oleh orang lain. Tambahan pula, teknik pemotongannya sangat laju sehingga penonton tak berupaya melihat dia menghiris lobak putih itu satu per satu.

Seratus biji lobak putih pun telah dihiris dengan penuh ketepatan oleh Tuan Zhao dalam masa sepuluh minit.

Sebaik sahaja Tuan Zhao selesai menghiris lobak putih yang terakhir, dia menghempaskan kedua-dua bilah pisau dapurnya ke atas papan pemotong sebelum mengambil satu langkah ke belakang dan menghembus nafas lega. Dahinya dibasahi peluh.

Suasana meriah dengan sorakan daripada para penonton dan ini telah meningkatkan harga diri Tuan Zhao. Dia yakin Bu Fang tak mampu untuk menewaskannya.

"Tauke Bu, giliran kamu pula!" Tuan Zhao berkata dengan sombong.

Bu Fang memandangnya sekali lalu. Dia pun menggelengkan kepalanya dengan tak berperasaan sambil mengeluh.

"Memandangkan kamu berhasrat untuk mati, saya akan tunaikannya kepada kamu. Sistem mahu saya ajar kamu untuk menjadi seorang yang lebih baik. Kalau saya tak tunjukkan cara pemotongan saya kepada kamu... saya memang tak akan maafkan diri saya." Bu Fang menggumam pada dirinya sendiri. Dia tak menggunakan Pisau Dapur Tulang Naga Emasnya, sebaliknya dia mengeluarkan sebilah pisau dapur biasa.

Selepas melakukan pergerakan luar biasa dengan pisau dapurnya, Bu Fang menjentik bilah pisau dapur itu dan mengangguk kepalanya.

"Kira masa sekarang!" Qian Bao berkata sambil tertawa. Wajahnya penuh dengan keyakinan. Pada hari itu, persembahan Tuan Zhao jauh lebih baik daripada biasa. Persembahannya tadi memang boleh menjamin kemenangan untuknya.

"Baiklah, mari kita mula." Bu Fang berkata tanpa ekspresi. Dia menghulurkan tangannya sambil mengumpul daya tulen di telapak tangannya. Tiba-tiba, dia menghempas mejanya dengan kuat. Dia mengawal daya tulennya supaya meja itu tak dimusnahkan, tapi seratus biji lobak putih di atas meja itu tercampak ke udara.

Baz...

Mata Bu Fang dengan serta-merta menjadi tajam seperti mata burung helang. Pada masa itu, aura yang terpancar keluar dari tubuhnya mengalami satu perubahan yang dramatik.

Seratus biji lobak putih itu masih terapung di udara dan pisau dapur yang berada di tangan Bu Fang itu mula berputar dengan sendirinya. Kelajuan putaran itu sangat pantas sehingga menyebabkan para penonton rasa takut. Pisau dapur itu tiba-tiba menjadi satu sinaran cahaya yang terang dan ia terus melakukan satu potongan panjang.

Kelepuk! Kelepuk!

Semua orang yang berada di situ tergamam. Wajah mereka semua penuh dengan rasa tak percaya apabila mereka melihat apa yang telah berlaku di hadapan mereka. Pandangan mereka tiba-tiba menjadi gelap dan semua benda di sekeliling mereka lenyap kecuali seratus biji lobak putih dan sinaran cahaya itu. Sinaran cahaya itu bagaikan hujan meteor yang melintas di langit malam dan ia melewati seratus biji lobak putih yang berada di udara itu.

Apabila pandangan para penonton menjadi terang semula, mereka mendapati yang seratus biji lobak putih di udara itu telah meletup menjadi ketulan yang lebih kecil. Setiap ketulan itu telah didadu menjadi kiub-kiub yang lebih cantik dan kecil daripada hirisan lobak putih Tuan Zhao tadi.

Kelepuk, kelepuk, kelepuk!

Langit seolah-olah menurunkan hujan kiub lobak putih. Bu Fang mengangkat sebiji bakul dengan sebelah tangannya dan kiub-kiub lobak putih itu pun jatuh ke dalam bakul tersebut. Apabila kiub yang terakhir mendarat di atas timbunan kiub lobak putih di dalam bakul itu, ia berguling-guling untuk beberapa seketika sebelum ia berhenti. Giliran Bu Fang dalam kategori pertama pun tamat.

Masa yang dia ambil untuk memotong dadu seratus biji lobak putih itu bersamaan dengan empat kali nafas sahaja. Ini termasuk masa yang diambil untuk kesemua kiub itu jatuh ke dalam bakul.

Suasana di sepanjang lorong itu menjadi sunyi sepi dalam sekelip mata sehingga boleh mendengar bunyi jarum jatuh. Semua orang melihat ke arah Bu Fang dengan rasa tak percaya. Senyuman yakin di wajah Tuan Zhao membeku. Dia kelihatan seperti seorang badut yang gila.

Semasa dia melihat wajah Bu Fang yang tak berpersaan itu, Tuan Zhao berasa seolah-olah sepuluh ribu ekor anak babi telah memijak-mijak hatinya... "Celaka! Ini yang kamu katakan teknik pemotongan? Bukankah itu satu tipu daya?!"

avataravatar
Next chapter