16 Cabut Lari Berbogel ialah Trend Bandar Diraja Tahun Ini

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Zhao Ruge sebenarnya tidak menonjolkan diri. Dia tidak pernah menunjukkan diri sebagai anak lelaki Menteri Kiri kerana dia tak mahu terbeban dengan identiti bapanya.

Senang cerita, Zhao Ruge bukanlah kaki perempuan seperti Sun Qixiang kerana dia seorang idealis. Dia berharap suatu hari nanti orang akan mengenalinya hanya sebagai Zhao Ruge dan bukannya anak Menteri Kiri.

Itulah sebabnya Zhao Ruge mula belajar seni mempertahankan diri pada umur lima tahun, belajar puisi dan sastera pada umur sembilan tahun dan dia mengenali Seratus Mazhab pada umur lima belas tahun. Dia ingin menjadi mahaguru muslihat, jadi dia memerlukan pengetahuan dan pengalaman yang sepatutnya.

Walaupun dia tidak memperoleh apa-apa pencapaian mengagumkan, usahanya berhasil. Sekurang-kurangnya, nama dia ditakuti ramai dalam bandar Diraja itu.

Si Gemuk Jin adalah salah seorang daripadanya. Sebagai pemilik lombong kristal mewah, dia tiada pilihan melainkan berurusan dengan pegawai mahkamah. Sebab itulah dia tahu lebih daripada orang lain, contohnya strategi yang dibuat Zhao Ruge untuk membunuh Raja Pertempuran Kelas Lima dari satu Sekta.

Dia tahu Zhao Ruge ialah seorang yang berhati keras, teliti, tegas dan bercita-cita tinggi.

"Disebabkan tuan muda Zhao Ruge mahu membuat pesanan dulu, biarkan saja," Si Gemuk Jin berkata sambil mengangkat muka dan meneruskan makan. Dia tidak mahu lihat perselisihan faham antara kawan-kawannya dengan Zhao Ruge yang berbahaya itu kerana mereka mungkin mati satu hari nanti tanpa mengetahui apa sebabnya.

Lelaki gemuk lain mengundur diri dengan kecewa.

Zhao Ruge senang hati dengan reaksi mereka. Dia memandang ke arah mereka dan mengejek dengan bongkak.

Bu Fang memerhatikan mereka dengan acuh tidak acuh. Dia tidak berkata apa-apa dan dia langsung tak ambil peduli.

Akhirnya, Zhao Ruge memandang Bu Fang sekali lagi dan berkata sambil memaksa, "Kenapa kamu belum masak makanan aku? Apa yang kamu tunggu?"

Bu Fang membalas tanpa ekspresi, "Peraturan kedai ini ialah: tidak dibenarkan bungkus bawa balik; setiap pelanggan hanya boleh pesan setiap hidangan sekali dalam sehari; tidak dibenarkan mengganggu ketenteraman; tidak dibenarkan memotong giliran; dan kedai ini dibuka selama tiga jam."

"Kamu cuba tekankan yang memotong giliran tidak dibenarkan?" Zhao Ruge tertawa dan dia langsung tak kisah. Itu hanyalah peraturan kedai kecil di lorong terpencil. Lagipun, peraturan dicipta manusia untuk dilanggar.

Bu Fang mengerut kening dan berkata dengan bersungguh, "Tak, saya menekankan yang mengganggu ketenteraman dan memotong giliran adalah tak dibenarkan. Lagipun… waktu operasi kedai ini tiga jam sahaja dan hanya ada lagi setengah jam."

"Jika aku suruh kamu masak makanan aku, masak sajalah! Kamu hanya tukang masak. Apa yang kamu mengarut ini? Kamu sepatutnya bangga aku datang makan di sini. Jangan melebih-lebih," Zhao Ruge sudah penat bercakap dengan Bu Fang dan ekspresi berubah sambil dia menjerit marah. Kemudian dia menyepak seorang lelaki gemuk yang duduk berhampirannya untuk mendapatkan tempat duduk.

Ini ada seorang lagi si bodoh yang menyakitkan hati bakal Tuhan Masakan.

Bu Fang masih tiada ekspresi. "Orang yang melanggar peraturan akan disenarai hitam dan kedai ini tidak akan lagi melayan mereka, jadi sila tunggu giliran anda."

Selepas Bu Fang selesai bercakap, dia masuk ke dapur tanpa menghiraukan Zhao Ruge yang menepuk meja dengan marah.

Selepas seketika, semangkuk Nasi Goreng Telur siap dimasak. Bu Fang menghidangkannya kepada salah seorang lelaki gemuk, dan tidak menghiraukan Zhao Ruge.

Satu lagi hidangan Nasi Goreng Telur siap dan Zhao Ruge masih belum dapat hidangannya.

Selepas Bu Fang selesai memasak tujuh hidangan Nasi Goreng Telur, haruman yang kaya memenuhi kedai itu dan ia seolah-olah bertukar menjadi lautan bau harum. Zhao Ruge tenggelam di dalam haruman itu dan merasakan masa lambat berlalu. Perutnya sudah pun bergelora.

"Apa yang kamu buat? Kenapa Nasi Goreng Telur aku belum siap?" Zhao Ruge sudah tidak tahan lagi kerana menunggu lama.

Bu Fang hanya memandangnya dan berkata, "Masih ada lagi tiga hidangan Mi Campuran Kering dan tiga hidangan Sayur Goreng sebelum Nasi Goreng Telur kamu."

Zhao Ruge menarik nafas dalam. Kemarahannya semakin meningkat, rambutnya mengerbang dan cahaya terang terpancar di kulitnya.

"Aku tidak faham bagaimana tukang masak seperti kamu berani mencabar aku!" Anak mata Zhao Ruge seperti bersinar sambil aura menakutkan kelihatan di badannya.

Pencapaian tahap pertapa Zhao Ruge ialah Maniak Pertempuran Kelas Ketiga dan dia berada di tingkat atas walaupun di kalangan generasi muda bandar Diraja. Walaupun dia tidak setanding Xiao Xianyu dari kediaman Xiao dan anak lelaki 'Marquis yang Melindungi Negara' Yang Chen, dia jauh lebih hebat daripada kaki perempuan seperti Sun Qixiang.

"Adakah kamu cuba nak mulakan pergaduhan dalam kedai ini?"

Bu Fang langsung tidak takut. Walaupun aura Zhao Ruge sangat kuat, dia langsung tak terkesan.

"Kalau betul, kenapa?" Zhao Ruge menyindir sambil menunjukkan tapak tangannya yang terkumpul daya tulen.

"Sebelum kamu datang, ada lebih seratus lelaki datang mahu runtuhkan kedai ini dan akhirnya pulang tanpa pakaian. Kamu nak cabut lari berbogel jugakah?" Bu Fang bertanya tanpa sebarang ekspresi.

Zhao Ruge berasa teragak-agak kemudian tersenyum menghina dan berkata, "Jangan bandingkan aku dengan sampah itu. Kalau kau minta belas kasihan sekarang dan terus pergi masak Nasi Goreng Telur aku, aku akan maafkan kau. Jika tidak, lupakan hasrat meneruskan bisnes ini."

"Masih ada tiga hidangan Mi Campuran Kering dan tiga hidangan Sayur Goreng."

"Kau memang nak kena!"

Zhao Ruge begitu berang. Dia melangkah ke depan dan daya tulen keluar dari tangannya sambil dia mencapai Bu Fang. Dia yakin yang orang biasa tak dapat mengelak serangannya.

Bu Fang berdiri tenang sambil melihat Zhao Ruge yang datang ke arahnya. Sebelum Zhao Ruge sempat mencapai Bu Fang, angin bersiul datang dari tapak tangannya mengibas rambut panjang Bu Fang.

Si Gemuk Jin mengecilkan mata dan auranya berubah. Hujung jari kakinya menekan tanah dan badannya terapung di udara. Dia cuba menghentikan Zhao Ruge.

"Si Putih," panggil Bu Fang dengan lembut.

Mata Si Gemuk Jin terbeliak sambil satu boneka putih dan metalik tiba di hadapan Bu Fang.

Tapak tangan Zhao Ruge menampar badan boneka metalik itu tanpa belas kasihan tapi tiada apa-apa yang berlaku.

Zhao Ruge terkejut dan Si Gemuk Jin turut rasa bingung.

"Pembuat masalah, kamu akan dibogelkan sebagai pengajaran kepada yang lain!"

Anak mata mekanikal Si Putih berkelip seketika dan kemudian pandangan kedua-dua Zhao Ruge dan Si Gemuk Jin kabur sebelum mereka terbang di udara.

"Bang!"

Zhao Ruge yang pertama dicampak keluar dari kedai itu dan dia jatuh tersembam ke dalam lumpur. Dia rasa dingin seluruh badannya dan mendapati pakaiannya sudah tiada kecuali cawat yang menutupi alat sulitnya.

Dia mengangkat kepalanya dengan marah dan melihat ke arah kedai. Namun, ekspresi mukanya berubah seram kerana nampak seketul… susuk putih terbang keluar dari kedai dan berputar di udara menuju ke arahnya.

"Boom!" Tanah itu bergegar.

Si Gemuk Jin rasa terkilan. Dia bukan cuba timbulkan masalah dan hanya mahu membantu.

Selepas jatuh ke atas tanah, Si Gemuk Jin mengalihkan tubuhnya kerana terasa ada sesuatu di bawahnya. Sejurus itu, kedengaran suara meraung dari bawah tubuhnya menyebabkan dia bingkas bangun.

Hidung Zhao Ruge berdarah dan mukanya yang kacak dan lembut itu menjadi herot.

Bu Fang berjalan ke muka pintu dengan menyilangkan lengannya di dada sambil Si Putih berdiri di belakangnya dengan kilauan metalik.

"Waktu operasi sudah tamat, jadi sila kembali esok. Sila bayar bil anda, jumlahnya tiga puluh empat kristal dan lapan ratus syiling emas."

Bu Fang berkata dengan acuh tidak acuh sambil memandang ke salah seorang lelaki gemuk.

Lelaki itu menggeletar dan cepat-cepat membayar bil. Kemudian, kesemua mereka keluar dari kedai itu.

Zhao Ruge segera beredar dan membuat ancaman dengan wajahnya yang berang. Namun, bila terlihat belakang badannya yang telanjang, ancaman dia tidak boleh diterima pakai.

"Haha! Kedai kamu memang menarik. Kami akan kembali esok!" Sambil Si Gemuk Jin teringat rasa enak Nasi Goreng Telur tadi, dia ketawa dengan kuat. Kemudian dia beredar bersama kumpulannya sambil lemak di badan mereka bergetar dengan setiap langkah.

Anjing hitam besar yang terbaring di pintu masuk kedai menunjukkan rasa jengkel dan menyambung tidur. Bu Fang memandang lelaki-lelaki gemuk tadi dan dengan tiada perasaan, dia menutup restorannya untuk hari itu.

Apabila Bu Fang kembali ke biliknya, dia menganggar pencapaian misinya. Dalam tujuh hari, dia berjaya mengaut keuntungan seratus kristal dan seribu syiling emas. Sudah tercapai misi mata wang emas jadi dia perlukan lebih kurang lima puluh kristal yang sama nilai dengan lima hidangan Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi.

"Tidak sepatutnya ada masalah jika sekumpulan lelaki gemuk itu datang lagi esok," kata Bu Fang.

"Eh? Bukankah itu anak lelaki Menteri Kiri, tuan muda Zhao Ruge? Adakah dia pun turut sama cabut lari sambil berbogel? Punggungnya memang putih!" Penjual sayur itu berkata.

"Dia memang anak lelaki Menteri Kiri. Punggungya yang putih melepak itu lebih cantik daripada punggung perempuan!" Penjual shaobing berkata.

"Adakah cabut lari berbogel ini ialah trend terkini di bandar Diraja? Kenapa tak dibuat pada hari-hari lain juga?" Kata tukang besi itu dengan suara yang kuat.

"Bu Fang, Jika aku tak musnahkan kamu dan kedai kamu, nama aku bukan Zhao Ruge!" Zhao Ruge, yang menutup badannnya dengan bakul, menjerit dengan marah sambil bergenang air matanya.

avataravatar
Next chapter