91 Bila Pisau Dapur itu Dikeluarkan, Semua Binatang akan Menyerah Diri!

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Dalam lembah yang diselubungi tenaga semangat itu, air berombak putih menghasilkan bunyi bergemuruh bila air itu jatuh dari tebing dan wap air berhamburan di serata arah.

Tak jauh dari air terjun itu, Bu Fang dan dua orang lagi sedang meneliti kawasan sekililing mereka.

Bunyi raungan binatang datang dari sekeliling lembah itu bersambung-sambung sambil mereka melepaskan lonjakan tenaga semangat. Atmosfera menggerunkan menyelubungi seluruh lembah itu. Dalam kawanan binatang-binatang itu, terdapat sekurang-kurangnya beberapa ratus ekor binatang semangat.

Wajah Tang Yin menjadi pucat. Bila dia memandang ke arah kelibat binatang itu, dia sudah putus harapan.

Dia tak fikir… Dia tak memikirkan yang tarikan Herba Darah Phoenix itu sebegini kuat. Tenaga semangat yang dilepaskannya semasa ia hampir matang itu menarik perhatian begitu banyak binatang semangat.

Ada perbezaan ketara dari segi kekuatan binatang semangat itu. Kebanyakan daripada binatang-binatang ini berada pada tahap kelas kelima, tapi ada juga beberapa binatang semangat kelas keenam. Tang Yin tak mungkin akan selamat berdepan kawanan ini walaupun ada sepuluh orang yang sama sepertinya.

"Ab… Abang Ngah… Apa yang terjadi? Kenapa ada banyak sangat binatang semangat di sini? Saya… Saya tak nak mati di sini!" Mata Lu Xiaoxiao terbeliak memandang binatang-binatang semangat itu dan kakinya mula menggeletar.

Kalaulah dia tahu betapa banyaknya binatang semangat yang bersembunyi dalam Lembah Phoenix Rebah ni… dia pasti tak akan datang ke sini!

Namun begitu, ekspresi Bu Fang sedikit pun tak berubah. Mukanya hanya berkerut sedikit sambil dia memerhatikan dengan kagum ke arah binatang semangat yang mengelilingi mereka.

"Herba Darah Phoenix ni penuh dengan tenaga semangat yang padat dan boleh meningkatkan evolusi binatang semangat. Jadi, ia sangat berharga bagi binatang-binatang ini." Tang Yin berkata bersungguh-sungguh sambil memandang Bu Fang.

"Senior, kalau kamu berjaya melarikan diri, saya harap kamu dapat maklumkan kematian kami kepada sekta." Tang Yin yang sudah berputus asa berkata dengan suara yang tak bermaya.

Lu Xiaoxiao sudah berbaring lemah di atas tanah sambil menangis seperti bunga pear yang lembap kerana titisan hujan1. Dia betul-betul menyesali keputusan melulunya untuk masuk ke lembah itu. Tiba-tiba, Lu Xiaoxiao teringat sesuatu. Dia memandang ke arah Bu Fang dengan penuh berharap sambil menangis teresak-esak.

"Senior… Dengan kebolehan kamu, pasti ada cara untuk selamatkan kami, betul tak?"

"Kamu berdua tak nak Herba Darah Phoenix tu ke?" Bu Fang bertanya dengan bersahaja sambil dia memandang Lu Xiaoxiao acuh tak acuh.

Wajah Lu Xiaoxiao kaku sambil dia merenung kosong ke arah Bu Fang. Dia melihat sambil asap hijau muncul di tangan Bu Fang diikuti oleh pisau dapur yang nampak biasa itu.

"Jangan ingat saya bodoh. Kamu memang mempergunakan saya dari awal lagi. Memang betul ada binatang semangat di sini tapi kamu hanya nak gunakan saya untuk bunuh mereka. Nanti, lebih senang kamu nak dapatkan Herba Darah Phoenix tu, bukan?"

Hujung mulut Bu Fang melebar sambil dia tersenyum sinis dan memandang Lu Xiaoxiao yang tidak keruan.

Bila Tang Yin terdengar kata-kata Bu Fang, dia mengeluh. Dia baru sedar yang Bu Fang sebenarnya sudah tahu niat mereka dari awal lagi. Namun, Bu Fang mungkin tak kisah kerana objektifnya ialah menangkap binatang semangat sebagai bahan masakan. Tapi, buat masa sekarang, mereka sedang mengalami kesulitan. Dalam situasi ini, Bu Fang tak ada sebab untuk bersopan santun lagi.

Tang Yin juga rasa tak bermaya. Junior perempuannya, Lu Xiaoxiao, bukanlah jahat sangat. Cumanya, dia seorang yang licik. Biasanya, perkara itu tak menjadi masalah kerana dia hanya melakukannya dalam sekta. Tapi, bila dia di luar, dia boleh menyakitkan hati orang dengan mudah…

"Kamu masih tak nak ambil Herba Darah Phoenix tu ke?" Bu Fang bertanya tanpa perasaan.

Pada masa itu, jantung Lu Xiaoxiao hampir gugur. Bila dia mendengar soalan Bu Fang, dia segera membalas sambil menggelengkan kepalanya, "Saya dah tak nak lagi! Saya dah tak nak lagi!"

Antara nyawanya dan Herba Darah Phoenix, Lu Xiaoxiao tidak teragak-agak memilih untuk terus hidup.

Tang Yin termangu seketika. Dia kemudiannya berasa seronok sambil bertanya dengan teruja, "Senior ada cara ke untuk menyelesaikan situasi berbahaya ni?"

Seperti dijangka daripada seniornya… Situasi sebegini mungkin membuatkan mereka rasa terdesak. Tetapi, ia berbeza bagi senior yang tak dapat difahami itu.

Bu Fang memandang Tang Yin sekilas dan ketika dia baru saja hendak mengangguk, dia ternampak binatang-binatang itu mula menggelisah.

Deram-derum!

Satu gegaran hebat dapat dirasai dari arah kiri dan kanan diikuti dengan bunyi pokok tumbang. Dua kelibat gergasi berjalan keluar dengan aura yang memberi tekanan kepada seluruh lembah.

Wajah Tang Yin pucat lesi… Matanya terpaku pada dua kelibat yang baru muncul itu. Harapannya yang baru dirasai tadi musnah sekali lagi.

"Dua binatang semangat kelas ketujuh… Habislah riwayat kita."

Lu Xiaoxiao menangis sekali lagi. Musnah harapan yang mereka ada. Perbezaan antara jangkaan dan hasil sebenar itu telah menyebabkan fikirannya terganggu.

Bila Bu Fang memandang ke arah kelibat lembu gergasi di kanannya, dia nampak yang badan lembu itu terbakar dengan api merah. Matanya pula tiba-tiba bersinar dengan cahaya terang.

"Hebat binatang ni… Bahan ni jauh lebih baik daripada Babi Semangat Api Kilat!"

Terdapat ekor dua binatang semangat kelas ketujuh. Di sebelah kanannya ialah Lembu Naga Kelana kelas ketujuh dengan badan yang diselubungi api abadi. Binatang ini berkepala lembu dan berekor naga. Pernafasannya kedengaran seperti bunyi guruh.

Binatang semangat di sebelah kiri juga dari kelas tujuh iaitu Beruk Semangat gergasi yang berbulu keemasan.

Tang Yin tahu tentang kewujudan Lembu Naga Kelana di lembah itu. Tapi, dia tak tahu Beruk Semangat pun ada di situ. Dengan adanya dua ekor binatang semangat kelas ketujuh yang menjaga lembah itu, Tang Yin tak akan masuk walaupun mendapat keberanian seratus kali ganda.

Tak kiralah betapa kuatnya senior ini, tak mungkin dia dapat kawal dua ekor binatang semangat kelas ketujuh sekaligus. Santo Pertempuran kelas ketujuh pun akan panik kalau dia terjumpa dua ekor binatang ni.

Deram-derum!

Dengan bunyi ngauman Lembu Naga Kelana, seluruh lembah seakan-akan bergegar dan bergoyang. Beruk Semangat itu pula menyeringai dan mula memekik. Aura kedua-dua ekor binatang ini berlawanan dengan ganas.

Herba Darah Phoenix di atas bukit itu bergoyang dengan lebih laju. Tenaga semangatnya juga meresap keluar dengan lebih banyak. Dalam samar-samar, nampak seperti seekor burung phoenix baru bangkit dari abu dan cuba terbang ke langit.

Herba Darah Phoenix itu hampir matang.

Tang Yin dan Lu Xiaoxiao juga sudah hampir putus harapan.

Mereka tahu yang seluruh lembah itu akan menjadi medan pertempuran dua ekor binatang semangat kelas ketujuh itu sejurus selepas Herba Darah Phoenix itu matang. Bila masanya tiba, mereka akan dirobek-robek oleh binatang-binatang semangat yang berang itu.

Bu Fang tidak menghiraukan yang lain-lain. Seperti dua ekor binatang semangat kelas ketujuh itu, pandangannya terpaku pada Herba Darah Phoenix, herba semangat yang sangat berharga sehingga menyebabkan dua binatang itu bertarung mendapatkannya.

Air dari bahagian atas air terjun itu menjunam masuk ke dalam kolam di bawahnya dengan bunyi yang sangat kuat. Tiba-tiba, dalam sekelip mata, seluruh lembah itu diam membisu. Kesunyian itu menakutkan.

Bunyi gemuruh air terjun itu hilang. Bunyi pernafasan Lembu Naga Kelana juga hilang. Bunyi pekikan Beruk Semangat juga tak dapat didengari. Seluruh lembah iu seperti bertukar menjadi zon tanpa bunyi.

Di atas bukit itu, Herba Darah Phoenix bergoyang sambil cahaya merah memercik keluar darinya. Titik merah mula muncul di atas daun-daunnya dan warna merah terang itu bagaikan warna darah yang terbakar. Bunyi tangisan burung phoenix kedengaran di seluruh lembah itu. Selepas tangisan itu berhenti, semua bunyi tadi kembali.

Herba Darah Phoenix… sudah matang!

"Moo!!" Lembu Naga Kelana itu mengaum dan matanya bertukar merah darah. Lembu itu melangkah ke depan dan mula berlari ke arah Herba Darah Phoenix. Seluruh lembah bergegar.

Binatang-binatang semangat lain yang berada di belakang Lembu Naga Kelana melaung dengan marah sambil berlari satu persatu mengikutinya.

Beruk Semangat itu pula menumbuk-numbuk dadanya. Dengan bunyi pekikan yang kuat, beruk itu juga berlari ke arah Herba Darah Phoenix diikuti binatang-binatang semangat lain di belakangnya.

Bu Fang dan dua orang lagi berada di tengah-tengah rempuhan itu. Mereka bagaikan bot rapuh yang diperbuat daripada daun dan berlayar di lautan luas. Di hadapan binatang-binatang gergasi ini, nampaknya mereka akan dilenyek sampai jadi daging cincang tak lama lagi.

Tang Yin dan Lu Xiaoxiao sudah memejamkan mata kerana putus harapan.

Bu Fang memandang binatang semangat yang berlari menuju mereka dari dua arah berbeza dan mengangkat Pisau Dapur Tulang Naga itu dengan bersahaja. Sambil dia mengangkat pisau di atas kepalanya, daya tulen dalam badannya meletus serta merta dan mengalir masuk ke pisau itu.

Cahaya keemasan berkembang dengan sengit seperti cahaya matahari yang menyilaukan. Pisau dapur keemasan gergasi tergantung di bahu Bu Fang. Aura naga tanpa sempadan, dengan Bu Fang di tengah-tengah, tiba-tiba tersebar ke semua arah dan bertukar menjadi kesan riak.

Tiba-tiba, binatang-binatang semangat itu berhenti merempuh serta merta dan berbaring di tanah dengan panik.

Bila pisau ini dikeluarkan, semua binatang akan menyerah diri!

Pisau Dapur Tulang Naga daripada Set Tuhan Masakan ni… begitu berkuasa!

---

avataravatar
Next chapter