51 Beta Suruh Kamu Masak, Jadi Masak Sajalah

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Angin musim luruh bertiup dan hujan pun tempias.

Di permulaan lorong itu, ada satu susuk tubuh lampai yang berjalan menghampirinya. Dia memakai topi buluh dan baju hujan jerami dengan pedang yang tergantung di belakangnya. Dia berjalan perlahan ke arah restoran di lorong itu.

Tiba-tiba, dia menggeletar dan berhenti berjalan. Dia berdiri di tengah-tengah lorong dan tak boleh bergerak.

Hujan turun dari langit dan terpercik di atas topi buluhnya. Air hujan mengalir turun pada baju hujannya dan menitis di hujung.

Wajah Xiao Yue tersembunyi di sebalik vel hitam pada topi buluh itu. Ekspresinya tak dapat dilihat dengan jelas dan emosinya tak dapat ditafsir. Dia berhenti tak jauh dari restoran dan perlahan-lahan mengambil pedangnya yang berbalut kain.

"Buzz-"

Di sekeliling lorong itu, tiba-tiba kedengaran bunyi nyaring seperti bunyi tali busur yang melepaskan anah panah.

Schhwaff schhwaff schhwaff!

Anak panah dilepaskan bertalu-talu dari pelbagai arah dan terbang melengkung di udara.

Sasarannya adalah Xiao Yue yang sedang berdiri di tengah-tengah lorong.

Rip!

Satu bunyi nyaring kedengaran dan kain pembalut pedang itu terkoyak menjadi cebisan kecil bila satu tenaga pedang yang terang terpancar. Ia meninggalkan kesan seperti meteor yang terbang di langit malam.

Satu lonjakan daya tulen terpancar dari badannya dan tersebar bersama-sama tenaga pedang. Anak panah yang tak terkira banyaknya itu hancur berkecai dan jatuh ke tanah bersama-sama air hujan.

Selepas tenaga pedang itu hilang, beberapa dozen susuk tubuh dengan aura berkuasa muncul dari belakang tembok di lorong itu. Setiap daripada mereka memegang tombak dan meluru ke arah Xiao Yue.

"Pengawal Harimau keluarga Xiao… Menggamit masa lalu betul."

Bisikan garau Xiao Yue bergetar dan dia tergelak kecil. Tiba-tiba, ada satu kuasa di sekeliling badan Xiao Yue yang melindungi tubuhnya daripada hujan.

…..

Xiao Meng menahan rasa gelisahnya dan dia hanya mampu bernafas lega selepas dia menyuap sendiri sup ayam itu kepada Xiao Yanyu. Kerisauan dia selama ini akhirnya hilang.

"Terima kasih, Tauke Bu." Xiao Meng berkata dengan bersungguh kepada Bu Fang sambil dia membuat tabik genggam.

Bu Fang mengangguk tanpa perasaan sambil berfikir dalam hati, 'Kamu memang patut berterima kasih.'

Tiba-tiba, wajah Bu Fang berubah. Dia seperti terdengar bunyi logam berlanggaran di luar kedai. Dia melihat ke luar tapi bunyi itu terus berhenti dan hilang.

Ekspresi wajah Xiao Meng kekal acuh tak acuh. Dia juga mendengar bunyi pertempuran di luar tapi dia langsung tak bertindak. Dia terus menyuap sup ayam kepada Xiao Yanyu.

"Tauke Bu, sup ayam ni… Boleh tak kalau Beta pesan sehidang?" Ji Chengxue melangkah ke depan dan bertanya kepada Bu Fang dengan senyuman lembut.

Ji Chengan memandang Ji Chengxue dengan penuh makna sambil melangkah ke depan. Dia berkata dengan resah, "Tauke Bu, hidangkan Beta… Sup Ayam Phoenix Herba Sej ini!"

'Kesan Sup Ayam Phoenix Herba Sej sudah pun terbukti. Kalau Xiao Yanyu yang sudah kehilangan banyak tenaga hayat pun boleh diselamatkan, kesan pemulihannya sudah tentu berkuasa. Kalau ayahanda boleh minum sup ini, badannya pasti lebih kuat. Sup ini akan memuaskan hatinya.' Fikir Ji Chengan.

Walaupun dia telah mendapat gelaran putera mahkota, dia tak berani berdiam diri saja. Adindanya, Raja Yu sudah lama menginginkan kedudukan itu dan dia pandai mengambil hati ayahanda mereka. Disebabkan itu, Ji Chengan berasa terancam.

Kalau dia dapat mempersembahkan sup ayam itu kepada ayahandanya, dia pasti akan lebih dikagumi.

Berbanding adinda kedua, dia tak perlu risau dengan adinda ketiganya.

"Maaf, Sup Ayam Phoenix Herba Sej ini hidangan istimewa. Ia tak dijual." Bu Fang membalas acuh tak acuh.

Sup Ayam Phoenix Herba Sej diberi sistem untuk menyelamatkan Xiao Yanyu dan ia tak termasuk dalam senarai hidangan restoran itu.

"Tauke Bu, jangan risaukan tentang kristal… Beta hanya mahu kamu masak satu lagi hidangan sup itu." Ji Chengan berkata dengan geram. Bila dia dengar kata-kata Bu Fang, mukanya berkerut.

Ji Chengxue pula terus berhenti bertanya selepas mendengar apa yang dibalas Bu Fang. Dia sudah mengenali perangai Bu Fang dan dia tahu yang jawapannya tetap sama walaupun ditanya berkali-kali.

Bu Fang menuding ke arah menu di belakang putera mahkota dan berkata, "Lihat menu di belakang itu. Hidangan ini tak tersenarai, jadi… saya tak menjualnya."

"Hmph! Kamu memang degil. Beta suruh kamu masak, jadi masak sajalah. Kenapa kamu bercakap bukan-bukan?" Ji Chengan berasa bengang sambil dia menyingsing lengan jubahnya dengan marah. 

Mendengar kata-kata itu, semua orang di situ tahu yang putera mahkota sedang marah. Perangai panas barannya memang diketahui ramai di bandar diraja itu.

Pemilik restoran kecil ini yang membuat putera mahkota murka pastinya akan merana.

Orang-orang keluarga Xiao memandang Bu Fang dengan rasa simpati sambil mereka menggeleng kepala secara sembunyi.

Namun, Xiao Meng dan Xiao Xiaolong tak mengendahkannya. Mereka tahu yang kedai Bu Fang itu sangat menakutkan. Putera mahkota itu tak boleh main-main dengan boneka mekanikal dan anjing hitam yang berbaring di pintu masuk itu.

Dadada.

Suasana dalam kedai itu menjadi dingin disebabkan kata-kata putera mahkota. Namun, bunyi tapak kaki dari arah pintu masuk mengalih perhatian mereka.

Satu susuk tubuh berpakaian baju hujan jerami dan bertopi buluh masuk ke dalam kedai.

"Tauke Bu, saya datang untuk mengambil Wain Jed Penyejuk Hati yang saya tempah." Satu suara garau kedengaran sambil dia memegang pedang dengan darah yang menitis.

"Oh, tunggu sebentar." Bu Fang mengangguk tanpa perasaan sebelum masuk ke dapur.

"Berhenti!" Mata Ji Chengan penuh hasad dengki. Berani dia tak menghiraukan seorang putera mahkota. Dia tak boleh biarkan dirinya dimalukan orang lain. 

Dengan satu tempikan, Ji Chengan membuat gaya cakaran dan mencapai bahagian belakang Bu Fang.

Bang!

Namun, belum sempat serangan Ji Chengan sampai ke badan Bu Fang, ia dihalang Xiao Meng. Xiao Meng memandang putera mahkota acuh tak acuh dan berkata, "Tuanku, lebih baik Tuanku batalkan serangan. Ini hanyalah nasihat daripada hamba Tuanku yang kerdil."

Selepas Xiao Meng selesai bercakap, renungannya tertumpu ke arah lelaki yang memakai topi buluh dan wajahnya bertukar dingin.

"Berani kamu muncul." Xiao Meng berkata dengan pandangan membunuh.

"Ayah, pengawal harimau ayah di luar tu masih tak berguna seperti dulu." Xiao Yue tidak terkesan dengan pandangan maut Xiao Meng. Dia tergelak kecil sambil membuka topi buluhnya dan mendedahkan wajah tampannya.

Xiao Yue?! Raja Pedang Xiao Yue Pematah Hati!

Semua orang dalam restoran itu terkesima. Putera mahkota yang sedang marah itu turut mengecilkan matanya.

Lelaki kejam yang mencederakan ibunya dan mengkhianati bapanya hanya kerana ingin mahir menggunakan pedang!

"Yanyu tercedera kerana kamu. Kamu patut sedar yang kamu akan mati kali ini… Ayah ingatkan kamu dah melarikan diri." Xiao Meng berjalan perlahan ke arah Xiao Yue. Dia bergerak perlahan tapi auranya semakin menakutkan dengan setiap langkah yang diambil.

Semakin lama, aura menakutkan seorang Santo Pertempuran kelas ketujuh memenuhi segenap kawasan dengan bunyi berderam-derum.

"Mati? Ayah masih penuh keyakinan seperti selalu." Xiao Yue berkata sambil tersenyum lemah. Matanya mengecil seperti bulan sabit tapi kata-katanya begitu tajam. "Sayangnya, ayah tak akan dapat hentikan saya."

'Ayah tak boleh hentikan kamu?' Xiao Meng berfikir sambil dia berhenti berjalan. Mereka hanya seinci jauh dan mata mereka merenung tajam ke arah masing-masing.

Aura Xiao Meng begitu berat seperti banjaran gunung yang meninggi. Aura Xiao Yue pula tajam bagaikan lembing dewa yang mampu membelah langit.

Sejurus sebelum mereka mula bertarung, pada saat itu…

"Hei, ini Wain Jed Penyejuk Hati kamu."

Satu suara acuh tak acuh mencelah.

Semua orang memandang Bu Fang dengan terkejut sambil dia keluar dari dapur membawa sebalang wain.

"Lelaki ini… Ada tak kena ke dengan kepala dia? Dia tak faham ke situasi sekarang ni? Kenapa kamu sebut tentang wain pada saat begini?"

Kedua-dua Xiao Meng dan Xiao Yue memandang Bu Fang.

Bu Fang membalas pandangan mereka dengan tenang tanpa sebarang ekspresi. Mulutnya tersentap sambil berkata, "Suka saya ingatkan… Tolong keluar kalau nak bergaduh atau membuat kecoh. Kalau tak… kamu akan dibogelkan sebagai pengajaran kepada yang lain."

avataravatar
Next chapter