14 Beta Seorang Putera, Apa Kata Kamu Jadi Cef Beta!

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Apabila tuan muda ketiga menyuap Nasi Goreng Telur itu ke mulutnya, rasanya yang kaya itu menyelubungi deria rasanya. Butiran nasi bak mutiara itu seolah-olah melompat di dalam mulutnya. Aroma nasi bercampur dengan telur itu seperti awan yang menyelubungi tubuhnya, memberikan dia satu perasaan seperti tenggelam dalam lautan haruman.

Tuan muda ketiga itu telah tertawan kerana dia tidak pernah merasai Nasi Goreng Telur yang sebegitu sedap. Benarlah kata-kata Xiao Xiaolong, cef keluarganya tidak boleh masak Nasi Goreng Telur seenak ini.

Selepas menelan suapan pertama Nasi Goreng Telur itu, terus dia menyuap kali kedua. Apabila berhadapan dengan makanan sesedap itu, fikirannya hanyalah untuk menikmatinya. Satu-satunya penghormatan yang boleh diberikan kepada seorang cef ialah untuk betul-betul menikmati makanan itu.

Sambil Xiao Xiaolong melihat dengan penuh rasa cemburu, seleranya sudah mula tercetus. Bau enak Nasi Goreng Telur itu sememangnya sukar dipercayai. Bau itu seperti terkumpul bersama dan kemudian dilepaskan sekali.

Bu Fang melihat tuan muda ketiga menikmati makanan itu dengan acuh tidak acuh sambil hujung mulutnya melebar menjadi senyuman. Apabila menghadap makanan yang sedap, identiti seseorang itu tidak penting. Sedangkan seorang maharaja pun akan tertawan dengan makanan yang sedap. Dia tidak mengetahui identiti tuan muda ketiga itu bahkan dia tidak berminat untuk ambil tahu. Pada saat itu, dia hanya tahu yang tuan muda ketiga itu ialah pelanggannya dan itu sudah cukup buatnya.

Bu Fang kembali ke dapur. Dengan penuh pakar, dia mengeluarkan doh dan mengulinya, kemudian dia menariknya menjadi mi dan direndam dalam air panas. Mi yang sudah masak itu diletakkan di dalam mangkuk yang sudah terisi perasa yang sudah disediakan. Menggunakan penyepit untuk menggaul mi dengan perasa, Mi Campuran Kering itu pun tersedia. 

Selepas siap Mi Campuran Kering, Bu Fang tidak terus menghidangkannya. Sebaliknya, dia mengeluarkan seikat sayur dari peti beku.

Sayuran itu berwarna hijau kebiruan dan daunnya subur dan bersinar. Terdapat titisan air yang belum kering di atas daun itu. Titisan air itu memantulkan cahaya dan memancarkan sinaran cerah.

"Sayuran ini adalah Sayuran Ling Ungu yang dipetik dari kawasan tengah gunung di Gunung Tiandang1. Ia perlu mendapat cahaya matahari selama tiga jam dan sejam lembapan dari air hujan gunung setiap hari. Tanahnya perlu disiram dengan air dari tasik di Gunung Tiandang. Bagi memastikan ia tahan lama dan kekal bernutrisi, ia perlu dipetik di awal pagi sebelum embunnya kering."

Penjelasan oleh sistem mengenai sayuran itu terus muncul di fikiran Bu Fang. Dia terkejut betapa mewahnya kisah sayuran itu. Tidak hairan mengapa satu pinggan Sayur Goreng berharga seratus syiling emas. 

Gunung Tiandang ialah gunung yang terkenal di Benua Naga Tersembunyi. Di puncak gunung itu, terdapat satu tasik kawah. Air di dalam tasik kawah itu sebenarnya dipenuhi tenaga semangat yang dikumpul dari dunia. Sekiranya ada manusia yang meminum airnya itu, ia akan menambah meridian di dalam badannya dan pencapaian tahap pertapanya akan meningkat.

Ini bukanlah kali pertama Bu Fang menyediakan hidangan ini dan dia sudah pun mencapai tahap ajaib apabila memasaknya kerana sudah banyak kali dia berlatih.

Apabila Bu Fang mengalihkan sayuran itu dari kuali ke dalam pinggan, rupanya sama seperti sebelum ia dimasak, seolah-olah ia tidak digoreng kilas langsung.

Hakikatnya, sayuran itu kekal lembap kerana Bu Fang berjaya mengawal haba dengan teliti semasa ia dimasak. 

Dia membawa kedua-dua Mi Campuran Kering dan Sayur Goreng keluar dari dapur dan dihidang di hadapan Xiao Xiaolong.

"Mi Campuran Kering dan Sayur Goreng anda. Selamat menikmati hidangan," Bu Fang berkata tanpa sebarang ekspresi.

Mata Xiao Xiaolong terus segar sambil mencapai mangkuk berisi Mi Campuran Kering itu lalu dia makan dengan gelojoh. Dia sudah menahan lapar sejak dia melihat tuan muda ketiga makan.

Apabila Xiao Xiaolong mula makan, tuan muda ketiga sudah pun menghabiskan hidangannya. Kuantiti Nasi Goreng Telur itu sangat sedikit, jadi ia cepat habis. Tetapi, walaupun kuantititinya kecil, kualitinya terbaik!

"Ia sangat sedap!" Tuan muda ketiga menahan diri daripada menjilat licin mangkuk itu dan mengangkat ibu jari tanda sedap kepada Bu Fang.

"Tuan kedai, Nasi Goreng Telur kamu memang hebat. Saya pasti bahan-bahannya bukan bahan biasa kerana saya boleh rasa tenaga semangat di dalam Nasi Goreng Telur itu. Semasa saya makan, saya dapat rasa daya tulen saya bertambah. Walaupun tidak banyak, menambah tenaga bukanlah perkara mudah bagi saya."

Tuan muda ketiga terus menerus memberikan pujian. Hakikat bahawa Raja Pertempuran Kelas Kelima sepertinya dapat merasai sedikit pertambahan tenaga, sudah cukup membuktikan bahawa Nasi Goreng Telur itu luar biasa.

"Sekiranya betul tekaan saya, telur yang digunakan ialah binatang ganas kelas kelima, Helang Laut Dalam!"

Bu Fang memandang tuan muda ketiga itu dengan terkejut kerana dia tidak menyangka pemuda itu boleh meneka asal usul telur itu.

"Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi: Telur yang digunakan ialah telur pertama yang dihasilkan binatang ganas kelas kelima, Helang Laut Dalam. Disebabkan makanan dan impak hasil tenaga laut dari laut dalam, telur itu sangat kaya dengan tenaga semangat. Beras yang digunakan ialah Beras Monarki Wuchang dari Tanah Tandus Selatan. Bijiannya penuh berisi dan kaya dengan nutrisi. Ia telah dipilih sebagai satu penghormatan diraja kepada maharaja."

"Saya sudah agak." Terdetik di fikiran tuan muda ketiga itu sambil tersenyum lembut. Betul tekaannya yang telur itu datang daripada binatang ganas kelas kelima, Helang Laut Dalam. Dia pernah mencuba telur itu sebelum ini, tetapi ia tidak digoreng dalam nasi. Telur itu digoreng tetapi rasanya yang kaya itu tidak dapat dipercayai.

Namun begitu, tuan muda ketiga tidak kisah dengan nasi itu kerana dia sudah biasa makan. Dia ternampak pinggan Sayur Goreng yang dipesan Xiao Xiaolong tadi dan dia teringat bahawa harganya ialah seratus syiling emas.

Ia bukannya murah jadi dia ingin tahu apa yang menyebabkan ia sangat istimewa.

"Ada apa-apa yang istimewa tentang sayuran itu?" Tuan muda ketiga bertanya dengan rasa ingin tahu.

"Sayuran ini ialah Sayuran Ling Ungu yang dipetik di pertengahan kawasan gunung di Gunung Tiandang. Ia dipetik di awal pagi untuk memelihara tenaga semangatnya." balas Bu Fang.

Apabila tuan muda ketiga dapat tahu itu ialah Sayuran Ling Ungu, sedarlah dia kenapa harganya sebegitu mahal.

Sayuran Ling Ungu ialah sejenis sayuran yang mahal yang tumbuh dalam keadaan yang sangat ketat. Walau bagaimanapun, ia adalah bahan yang sangat hebat kerana ia bernutrisi dan boleh menambah meridian dalam badan.

Sebenarnya, harga seratus syiling emas boleh dikira murah untuk sayuran seperti Sayuran Ling Ungu.

"Adakah ia begitu mengagumkan?" Mulut Xiao Xiaolong penuh dengan minyak dari hidangan mi. Apabila dia terdengar perbualan di antara Bu Fang dan tuan muda ketiga, matanya bersinar sambil menggumam pada dirinya sendiri.

Sambil menelan mi di dalam mulutnya, Xiao Xiaolong mengambil daun Sayuran Ling Ungu yang nampak subur dan mentah itu dengan penyepitnya.

"Adakah ia telah dimasak?" Xiao Xiaolong bertanya dengan penuh ragu-ragu.

Dia hanya yakin yang daun itu telah dimasak apabila dia mencium sedikit haruman daripadanya.

Dia masukkan daun itu ke dalam mulutnya dan bunyi rangup kedengaran apabila dia mengunyah. Mata Xiao Xiaolong terbeliak dengan penuh rasa terkejut. Dia merasakan seperti satu aliran air sejuk terhasil di dalam mulutnya. Aliran air itu rasa sedikit manis dan ia menyelubungi deria rasanya, dan ia memberikan kesegaran. Ia mengalir turun ke esofagusnya dan kemudian memasuki perutnya, dan ia merebak ke kaki dan tangannya. Perasaannya tidak dapat digambarkan. Ia rasa seperti wanita-wanita cantik sedang mengurut badannya dengan tangan mereka yang lembut.

"Adakah ini sayuran?!" Xiao Xiaolong merasa terkejut. Ini kali pertama dia makan Sayur Goreng sebegini dan dia tidak dapat menjelaskan perasaannya pada ketika itu.

"Hidangan Sayur Goreng ini ialah bukti kemahiran seorang cef. Kelembapan dan nutrisi sayur itu perlu dikekalkan dan ini memerlukan cef itu berkemahiran tinggi dalam mengawal haba dan menentukan masa," tuan muda ketiga mengulas dan kemudiannya menelan air liur.

Bu Fang menangguk tanda setuju. Betul kata tuan muda ketiga. Sayur Goreng ialah hidangan yang paling mencabar kemahiran berbanding hidangan Bu Fang yang lain.

"Boleh saya tahu nama kamu?" Tuan muda ketiga bangun dengan tiba-tiba dan tersenyum lembut kepada Bu Fang.

"Nama keluarga saya ialah Bu, nama saya ialah Fang," Bu Fang agak terkejut dengan soalan itu dan terus menjawab.

"Oh, begitu. Jadi kamu ialah Pemilik Bu. Saya terpegun dengan kemahiran kulinari kamu. Biar saya perkenalkan diri. Beta ialah Ji Chengxue, putera ketiga Empayar Bayu," tuan muda ketiga itu tersenyum sambil aura keyakinan seorang ahli Diraja itu jelas kelihatan dari susuk tubuhnya. 

Xiao Xiaolong terkejut. "Kenapa tuan muda tiba-tiba mendedahkan identitinya?"

"Oh." Bu Fang memandang Ji Chengxue tanpa sebarang ekspresi sambil berfikir, 'Jadi dia ialah seorang putera. Seorang putera… Adakah itu sesuatu yang hebat?'

Apabila Ji Chengxue nampak yang Bu Fang tidak terkejut dengan identitinya, dia berasa agak bingung.

"Adakah Pemilik Bu berminat menjadi cef peribadi beta? Jangan risau. Kamu pasti puas hati dengan gaji yang ditawarkan. Bagaimana dengan seratus kristal sebulan?" Ji Chengxue berkata sambil tersenyum. Dia yakin yang Bu Fang tidak akan menolak tawaran itu.

Ramai cef di dalam empayar itu bercita-cita untuk menjadi cef peribadinya kerana inginkan peluang untuk mencapai kemasyhuran dan pengiktirafan.

Selain itu, bayaran seratus kristal itu jauh lebih tinggi daripada apa yang diterima cef diraja.

Xiao Xiaolong terkejut sekali lagi dengan tindakan tidak beretika putera ketiga itu. Adakah baginda cuba memburu Pemilik Bu? Bagaimanakah dia hendak mencari Nasi Goreng Telur sedap yang meningkatkan pencapaian tahap pertapanya pada masa akan datang?

"Pemilik Bu, kamu perlu bertahan! Jangan tunduk pada godaan!" Xiao Xiaolong menjerit di dalam fikirannya.

Bu Fang memandang tanpa sebarang ekspresi ke arah putera ketiga yang penuh keyakinan itu, Ji Chengxue, manakala putera itu memandangnya dengan penuh mengharap.

"Oh… Tuanku inginkan patik menjadi cef peribadi?"

"Betul tu!"

"Maaf, tuanku tidak layak."

Bu Fang membalas dengan mudah terhadap Ji Chengxue yang memandang dengan penuh berharap.

avataravatar
Next chapter