120 Berambus Kamu Semua, Jangan Datang Kacau Aku

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Di luar bilik di sebuah tempat penginapan mewah dalam bandar diraja.

Tang Yin berdiri dengan serius di luar pintu sambil menyilangkan tangannya dan memeluk pedang. Ekspresinya suram sambil dia memandang di kejauhan. Gelombang daya tulen beredar di luar badannya dan kelihatan seperti cahaya berkilau di dalam kegelapan.

Di belakangnya, tiang cahaya tinggi melangit itu memancarkan gelombang tenaga yang sengit. Dia tahu mahaguru pelahapnya sedang maju ke tahap seterusnya. Namun, hal ini menyebabkan Tang Yin sakit kepala kerana dia sedia maklum tentang keadaan di bandar diraja sekarang ini. Dalam situasi sebegini, hanya mahagurunya saja yang berani meningkatkan tahap pertapa dengan gaya yang menarik perhatian.

Ada beza ke buat begitu dengan memberitahu orang semua orang yang kamu datang untuk mencari pasal?

Dengan keadaan di bandar diraja sekarang ini, apa maksudnya kalau seorang Santo Pertempuran kelas ketujuh tiba-tiba muncul? Putera Mahkota dan Raja Yu pasti akan rasa cemburu. Lagipun, pakar-pakar ini merupakan sumber penting yang mampu memastikan mereka naik takhta.

Seperti dijangka, Tang Yin ternampak satu susuk tubuh yang tinggi dan tegap sedang menuju ke arah mereka sambil berjalan di udara. Dia menghembus nafas perlahan-lahan sambil menumpukan perhatian kepada orang itu.

"Pengawal Empayar Bayu, Santo Pertempuran kelas ketujuh… Xiao Meng?" Tang Yin menggumam sambil dia memandang Xiao Meng yang semakin menghampiri. Ini kali pertama dia bertemu dengan jeneral legenda ini.

Junior perempuannya, Lu Xiaoxiao, tiba-tiba muncul di sebelahnya dan berdiri di belakang Tang Yin dengan rasa takut. Perlakuannya yang tak disangka itu membuatkan dia rasa terharu.

"Boleh saya tanya kamu siapa, dan apa tujuan kamu datang ke bandar diraja?"

Walaupun dia belum tiba di hadapan mereka, suara Xiao Meng yang mengagumkan itu dapat didengari mereka. Tang Yin merasakan seolah-olah aura menggerunkan itu sudah sampai kepadanya dan membuatkan badannya menggeletar..

"Kami ahli Sekta Cakerawala Rahsia. Jangan risau, kami berdua dan mahaguru kami datang bukan dengan niat jahat." Tang Yin sambil membuat tabik genggam kepada Xiao Meng dengan begitu profesional.

Sambil menyilangkan tangan di belakang, Xiao Meng perlahan-lahan melangkah ke arah mereka sambil lengan bajunya berkibas-kibas. Dengan wajah serius, dia mendarat di hadapan Tang Yin.

"Sekta Cakerawala Rahsia? Selepas baginda mangkat, Sekta Cakerawala Rahsia menghantar seorang Santo Pertempuran kelas ketujuh ke Empayar Bayu. Dan kamu beritahu saya yang kamu tak ada niat jahat. Kamu fikir saya percaya kata-kata kamu?" Xiao Meng berkata sambil tersenyum seolah-olah mengejek Tang Yin.

Tang Yin menjadi serba salah. Mereka memang tak ada niat jahat. Mereka datang ke bandar diraja hanya untuk mendapatkan Herba Darah Phoenix dari Bu Fang… Disebabkan keadaan sudah menjadi sebegini, Tang Yin tak tahu nak buat apa.

Ini semua salah si pelahap tu. Tang Yin tak tahu sama ada dia mahu menangis atau ketawa. Kalau mahaguru pelahapnya tu tak makan setiap hidangan di restoran Bu Fang, semua ni tak akan terjadi.

Sambil menahan aura Xiao Meng yang sengaja dipancarkan, Tang Yin hanya mampu menyatakan sekali lagi yang mereka tak berniat jahat.

Tiang cahaya dalam bilik itu semakin mengecil. Itu bermaksud orang di dalamnya sudah berjaya melengkapkan penemuan baru dan mula menyembunyikan auranya. Tak lama kemudian, tiang cahaya itu hilang sepenuhnya...

Dadada.

Bunyi tapak kaki kedengaran. Zhao Musheng perlahan-lahan tiba dengan matanya yang sepet dan wajah yang tersenyum.

"Jeneral Xiao, jangan berkeras sangat. Apa-apapun, mereka tetamu kita. Bukan senang pakar-pakar dari Sekta Cakerawala Rahsia nak muncul di bandar diraja. Sebagai tuan rumah, kita kenalah tunjuk adab sopan."

Suara Zhao Musheng begitu lembut dan menunjukkan kelicikannya dalam menguruskan hal sedemikian. Sikapnya yang periang itu membuatkan orang lain tak mampu rasa marah padanya.

Namun, Xiao Meng rasa bengang saat dia melihat wajah Zhao Musheng. Dia berkata dalam hati, 'Orang tua licik ni rupanya seorang Santo Pertempuran kelas ketujuh. Semua orang sudah lama tertipu dengan gayanya… Padan pun baginda maharaja selalu berhati-hati dengan Zhao Musheng dulu. Sebenarnya dia sudah tahu yang orang tua licik ni tak semudah itu.'

Dia seorang Santo Pertempuran kelas ketujuh dan dia berjaya menyembunyikan tahap pertapanya selama bertahun-tahun. Siapa dia sebenarnya? Apa matlamat dia? Xiao Meng langsung tak dapat meneka.

Disebabkan itu, Xiao Meng langsung tak senang hati Zhao Musheng.

Tekanan yang dirasai Tang Yin semakin meningkat. Jeneral empayar dan Menteri Kiri ialah orang kenamaan. Aura yang mereka lepaskan separa sedar itu membuatkan hatinya berdebar-debar.

Sedang Tang Yin merasa lebih tertekan, pintu bilik di belakangnya itu tiba-tiba terbuka. Satu gelombang daya tulen yang terasa seperti angin, bertiup dan menolak tekanan pada Tang Yin seperti salji yang cair.

Satu kelibat dengan jubah panjang keluar dari bilik itu.

"Mahaguru," Tang Yin dan Lu Xiaoxiao terus menjerit.

Xiao Meng dan Zhao Musheng memandang ke arah pintu itu juga dan melihat seorang wanita yang memakai vel.

Mata Zhao Musheng mengecil. Dia kenal siapa perempuan itu dan dia agak terperanjat... Ketua ketiga Sekta Cakerawala Rahsia ialah seorang yang begitu terkenal. Apa objektifnya datang ke bandar diraja?

Xiao Meng mengecilkan matanya sambil memandang wanita di hadapannya itu. Gelombang daya tulen yang dilepaskan itu belum hilang dan dia dapat merasakan situasi yang berbahaya itu. Wanita ini… bukannya biasa-biasa.

"Zhao Musheng, lama tak jumpa… Lelaki pertengahan umur yang dulu sekarang dah jadi orang tua." Ni Yan berkata sambil tersenyum kecil.

Zhao Musheng tersenyum sambil mengeluh penuh perasaan."Budak nakal dulu tu dah membesar menjadi seorang tokoh yang dihormati. Sekta Cakerawala Rahsia memang hebat."

"Apa tujuan Puan Yang Terutama datang ke bandar diraja kami?" Xiao Meng berkata sambil bermasam muka. Nampak gayanya, orang ni kenal dengan Zhao Musheng. Mungkinkah Zhao Musheng seorang ahli Sekta Cakerawala Rahsia juga?

Wajah Ni Yan yang terlampau cantik itu menoleh ke arah Xiao Meng dan senyuman di wajahnya hilang. Dia mengangkat tangannya dan menunjuk ke arah Zhao Musheng. Dia berkata, "Apa sahaja yang dia buat dalam bandar diraja ini, kami di sini… pun nak buat perkara yang sama."

Saat Zhao Musheng terdengar kata-kata itu, dia hampir muntah darah. Selepas bertahun-tahun lamanya, budak tak guna ni masih berperangai nakal. Dengan satu ayat, dia berjaya menarik Zhao Musheng bersama-samanya ke dalam masalah itu.

Tang Yin dan Lu Xiaoxiao yang berada berhampiran terus tergamam. Apa yang mahaguru katakan ni? Bukankah objektif mereka masuk ke bandar diraja hanyalah untuk mendapatkan Herba Darah Phoenix? Bila masa pula mereka ada matlamat lain?

"Apa yang kamu mengarut ni? Orang tua ni dah lama tinggal di bandar diraja bertahun-tahun lamanya. Orang tua ni meningkat naik sehingga menjadi Menteri Kiri hanyalah untuk berkhidmat kepada empayar." Zhao Musheng berkata sambil tertawa untuk menyatakan yang niat sucinya tinggal di bandar diraja itu.

Xiao Meng tergelak. Siapalah yang akan percaya kata-kata Zhao Musheng yang mengarut tu.

"Apa? Orang tua? Saya tersalah ke? Apa kata kita berdua bertarung dan siapa saja yang menang akan cakap yang benar. Macam mana?" Ni Yan berkata sambil tertawa dan merenung ke arah Zhao Musheng dengan mata galaknya.

Zhao Musheng mengetap bibirnya dan menggelengkan kepala. Dia terus berpusing dan mula beredar walaupun baru sekejap berada di situ.

"Tulang-tulang saya yang dah tua ni tak boleh diseksa."

Xiao Meng memberi pandangan yang penuh makna kepada Ni Yan, tapi Ni Yan langsung tak takut. Walaupun Xiao Meng ialah pengawal Empayar Bayu, dia tak rasa gentar. Lagipun, Ni Yan baru saja mencapai penemuan baru dan keyakinannya masih agak tinggi.

Xiao Meng pun turut beredar. Dia malas nak melayan Ni Yan.

Selepas Xiao Meng beredar, rasa megah mula kelihatan di mata galak Ni Yan. Dia meneliti kawasan sekeliling dan suaranya yang lunak itu tiba-tiba kedengaran, dan tersebar di seluruh pelusuk kawasan penginapan itu.

"Semua orang di sekeliling tempat ini, pergi berambus! Jangan kacau aku. Aku tak nak jumpa sesiapa!"

Wajah Raja Yu dan Putera Mahkota yang sedang menuju ke situ terus menjadi takut… Kemarahan Santo Pertempuran perempuan ini nampaknya agak ganas.

...

Bu Fang, yang baru berbaring di katil dan hampir melelapkan mata, tiba-tiba terjaga mendengar satu jeritan suara perempuan. Dia menggosok matanya dengan mamai. Entah kenapa dia macam kenal suara itu. Namun, selepas berfikir seketika, dia langsung tak dapat teka kenapa suara itu macam pernah didengari dan dia kembali tidur. Dia begitu penat selepas menyediakan masakan eliksir.

Sememangnya, percubaan pertama masakan eliksir itu gagal. Kegagalan itu bukanlah disebabkan rasanya tapi sajian itu tak menepati jangkaan Bu Fang. Masakan eliksir itu langsung tak ada kesan berubat dan dia juga membuat kesilapan semasa mencampurkan daya tulennya.

Xiao Yue hanya memberinya satu bahagian ramuan jadi dia tak boleh tersilap. Disebabkan itu, Bu Fang perlu mengkaji semula kesilapannya hari ini untuk memastikan dia berjaya esok.

Bila matahari terbit keesokan harinya, bandar diraja memulakan harinya yang sibuk.

Dalam istana diraja, ramai sida-sida dan pelayan istana sibuk membuat persiapan dalam Dewan Utama yang megah itu. Hanya tinggal dua hari sahaja lagi sebelum pemakaman maharaja dan masih banyak yang perlu disediakan. Suasana dalam istana itu agak suram.

Di luar Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan, Ji Chengxue, yang berjubah putih, perlahan-lahan berjalan ke Dewan Utama. Matanya penuh dengan emosi yang bercampur baur.

avataravatar
Next chapter