129 Bakal Maharaja Hampir Maut

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Sambil aura Raja Yu terus meningkat, rambutnya yang hitam berkilat itu menggerbang. Gelombang daya tulen yang bergelora yang mengelilingi badannya menyebabkan salji yang sedang turun itu tersebar.

Berdiri bulu roma Ji Chengxue sambil dia menghadapi aura menakutkan Raja Yu. Sebagai seorang Raja Pertempuran kelas kelima, dia tidak berupaya menghadapi Raja Yu yang sudah menjadi seorang Maharaja Pertempuran kelas keenam.

"Kekanda nak bunuh Adinda?" Ji Chengxue bertanya dengan tenang.

Pandangan Raja Yu dingin dan tak berperasaan. Tak ada langsung perubahan emosinya sambil dia memandang Ji Chengxue dengan bersahaja dan berkata, "Kekanda sudah ingatkan Adinda untuk tidak masuk campur. Kalau tak, Adinda akan menerima balasan yang tak dapat ditanggung…"

"Salah Adinda kerana tak mahu dengar kata-kata Kekanda."

Ji Chengxue tersengih dan membuka mantelnya yang berat. Nampak niat jahat di wajahnya yang selama ini nampak baik. Niat jahatnya itu membuatkan dia nampak mencurigakan.

"Sejak kita kecil lagi, Kekanda selalu berlagak hebat. Kekanda selalu merasakan yang Kekanda lebih berkuasa dari orang lain, bukan? Kalau Kekanda nak menyerang, Adinda akan membalas. Lagipun, lambat laun kita pasti akan berlawan juga." Ji Chengxue berkata dengan sinis.

Daya tulen mula timbul di sekeliling badannya sambil dia menghentakkan kaki dan menerbangkan salji yang berkumpul di bawah.

"Antara kita bertiga, tahap pertapa Kekandalah yang paling tinggi. Bagaimana Adinda nak bertarung dengan Kekanda?" Raja Yu tersenyum dan badannya terus bergerak ke hadapan.

Bang bang bang!

Bila kedua-dua kelibat itu berbalas serangan dalam pertarungan yang kacau bilau, serangan mereka menyebabkan gelombang daya tulen memenuhi dan memberi kesan kepada kawasan sekeliling itu. Dalam cuaca yang sejuk sebegini, mereka sedang beraksi dalam pertarungan hangat.

Namun, Ji Chengxue hanyalah seorang Raja Pertempuran kelas kelima dan masih ada perbezaan antara kebolehan bertarungnya jika dibandingkan dengan Raja Yu. Darah merah terang yang hangat bersembur di udara sambil Ji Chengxue berundur. Badannya menghentam dinding lalu meruntuhkannya.

Raja Yu tersenyum dingin sambil dia mengumpul daya tulen di tapak tangannya dan berkata, "Selamat tinggal, Adindaku."

Pandangan Raja Yu tak beremosi sambil dia menghalakan tapak tangannya ke arah Ji Chengxue yang terbaring dalam puing-puing runtuhan. Kalau serangan ini berjaya, Raja Yu yakin yang Ji Chengxue akan mati.

Ji Chengxue sedang merenung ke arah Raja Yu sambil tersenyum pahit. Walaupun memang tepat kata-kata yang tiada hubungan persaudaraan antara ahli keluarga diraja, dia tak sangka Raja Yu akan jadi sekejam ini.

Namun, baru saja Raja Yu hendak membunuh Ji Chengxue dengan serangan tapak tangan, satu aura menakutkan tiba-tiba muncul dan menyebabkan badan Raja Yu kaku. Disebabkan aura itu, daya tulen yang dikumpul di tapak tangannya turut hilang.

Satu kelibat menghampiri mereka sambil berjalan di udara dan berhenti di antara Raja Yu dan Ji Chengxue.

"Xiao Meng?! Adakah kamu nak masuk campur?" Anak mata Raja Yu mengecil dan matanya dipenuhi rasa tidak percaya sambil dia merenung Xiao Meng.

'Bukankah Xiao Meng berkata yang dia tak akan menyokong mana-mana putera? Kenapa dia muncul saat ini untuk selamatkan Ji Chengxue?' Raja Yu berkata dalam hati. Dia berasa marah kerana dia tahu yang dia tak dapat membunuh Ji Chengxue dengan adanya Xiao Meng.

"Patik hanya masuk campur atas sebab-sebab peribadi hari ini." Xiao Meng memandang Raja Yu dengan acuh tak acuh dan berkata, "Lagipun… Patik abang iparnya."

"Kamu..." Raja Yu berasa berang. Dia berkata dalam hati, 'Alasan bodoh! Kalau nak selamatkan Ji Chengxue, katakan sajalah! Apa gunanya bagi alasan keluarga!'

"Chengxue, tolong beredar. Saya mahu berbicara dengan Raja Yu," Xiao Meng berkata.

Ji Chengxue bangun dan memandang lama ke arah Xiao Meng sambil dia mengesat darah di hujung mulutnya. Dia tak faham kenapa Xiao Meng muncul pada saat ini.

"Jangan risau, kakak kamu semakin pulih." Xiao Meng berkata dengan lembut sambil membelakangi Ji Chengxue.

Ji Chengxue agak terperanjat dan wajahnya menjadi sedikit girang. Kecederaan di badannya pun tak sesakit sebelum ini.

Kata-kata Xiao Meng bermaksud yang kakaknya sudah bangun dari koma. Mungkin itulah sebabnya Xiao Meng memilih untuk masuk campur.

Ji Chengxue berasa begitu gembira sehinggakan dia tertawa. Dia berpusing sebelum bergegas meninggalkan tempat itu.

Raja Yu melangkah ke hadapan dan melangkah ke hadapan. Dia tak dapat menerima kekalahannya sambil melihat Ji Chengxue beredar. Namun, sambil dia bergerak, Xiao Meng memandangnya dan satu aura berat menekannya dan menyebabkan jantungnya berdebar-debar.

...

'Baguslah… kakak sudah bangun! Nampaknya ramuan yang diberikan Xiao Yue kepada Tauke Bu telah berjaya menjadi masakan eliksir. Seperti yang dijangka, Tauke Bu memang hebat!' Ji Chengxue berkata dalam hati. Dia memegang dadanya yang kesakitan tapi dia berasa sangat gembira.

Orang yang paling dia risaukan ialah kakaknya yang koma. Selepas dia mengetahui apa yang dirancang Ji Ru'Er, dia lagi tak sabar-sabar untuk melihatnya sedar.

Disebabkan kakaknya itu akhirnya sudah bangun dari koma, Ji Chengxue begitu gembira sehinggakan dia tak tahu nak kata apa.

Tiba-tiba, Ji Chengxue terkejut. Dia memandang ke atas dan melihat keseluruhan langit dipenuhi salji yang berputar-putar tapi tak ada satu emping salji pun yang turun. Nampak seolah-olah ada cloche1 kaca yang menghalang dirinya daripada salji itu.

'Apa yang berlaku?' Ji Chengxue berkata dalam hati bila dia merasakan ada sesuatu yang tak kena. Sambil dia menundukkan pandangan, dia mendapati yang satu kelibat yang sedang berjalan menghampirinya.

Zhao Musheng melangkah dengan pancaran cahaya keemasan yang harmoni dan menghangatkan. Setiap pancaran cahaya itu mempesonakan seperti bunga teratai emas yang mekar.

Anak mata Ji Chengxue tiba-tiba mengecil. Dia rasa seolah-olah jantungnya digenggam tangan ghaib dan dia langsung tak mampu bernafas.

Kedengaran bacaan sutra diulang-ulang di telinganya dan pandangannya dipenuhi pancaran cahaya yang terang. Kelihatan seolah-olah aura Buddha sedang menyelubungi Ji Chengxue.

"Zhao Musheng!" Ji Chengxue tiba-tiba tergigit hujung lidahnya dan rasa metalik darah tersebar dalam mulutnya. Rasa sakit itu menyedarkannya kembali dan barulah dia terlihat rupa sebenar orang yang sedang menghampirinya.

Wajah mesra Zhao Musheng begitu harmoni seperti seorang Buddha. Dia tersenyum sambil memandang Ji Chengxue dengan tenang.

"Adakah Putera Mahkota menghantar kamu untuk membunuh Beta?" Ji Chengxue bertanya dengan takut.

Zhao Musheng berpihak kepada Putera Mahkota dan dia tiba-tiba muncul pada saat itu. Jadi, itu bermaksud yang Putera Mahkota pun ada matlamat yang sama dengan Raja Yu.

Satu titah-perintah diraja telah mencetuskan niat membunuh kedua-dua abang kandungnya. Ji Chengxue merasakan kemarahan meluap-luap dari lubuk hatinya dan hampir meletus keluar dari kepalanya.

Zhao Musheng menggelengkan kepalanya dan pandangannya masih tenang sambil berkata, "Baginda Maharaja seorang yang bijak dan sentiasa memerhatikan Patik. Patik fikir baginda akan memilih Raja Yu tapi Tuan Putera yang menjadi pilihan akhirnya. Apa-apa pun, tak penting siapa yang dipilih… Orang yang akan menaiki takhta akhir nanti adalah Putera Mahkota."

"Kamu memang setia! Kamu bertapa dengan kaedah Pulau Mahayana tapi kamu risaukan tentang empayar ini. Kamu tak penat ke?" Ji Chengxue bertanya sambil menyindir.

Zhao Musheng memandang Ji Chengxue dengan acuh tak acuh. Dia mengangkat tangannya perlahan-lahan dan daya tulen meletus keluar dengan serta-merta, lalu membentuk arca Buddha emas yang memancarkan aura lembut di hadapannya.

Zhao Musheng membentuk satu mudra2 dengan tangannya dan menolak tangannya ke depan. Arca Buddha emas itu tiba-tiba terbang ke langit sebelum turun perlahan-lahan dan menyelubungi Ji Chengxue.

"Setia? Kalaulah Putera Mahkota mempunyai azam yang kuat seperti Raja Yu, Patik tak akan menolongnya. Patik hanya menyokongnya kerana Putera Mahkota tu lemah. Tuan Putera… faham tak?" Zhao Musheng berkata sambil tersenyum.

"Patik hanya perlukan boneka yang patuh..."

Plup!

Selepas Ji Chengxue mendengar kata-kata itu, badannya yang diselubungi arca Buddha itu menggeletar. Dia jatuh ke tanah sambil darah meleleh keluar dari hidung dan mulutnya. Dia nampak semakin nazak.

Zhao Musheng berjalan perlahan menuju Ji Chengxue sambil mengeluh kasihan.

Tiba-tiba, satu jeritan suara perempuan kedengaran dari langit. Satu tangkal jed yang memancarkan cahaya terang menghentam Zhao Musheng.

Bzzz!

Anak mata Zhao Musheng mengecil sambil dia membentuk satu mudran dan mendepakan tangannya untuk menghalang tangkal jed itu. Tangkal itu bergetar seketika dan memancarkan cahaya lalu membentuk susunan magik yang mudah. Daya tulen yang begitu banyak meletus keluar dari susunan magik itu dan menyebabkan Zhao Musheng melangkah ke belakang.

"Susunan Semangat Penilikan… Sekta Cakerawala Rahsia!" Zhao Musheng menggumam sambil matanya mengecil.

Satu susuk tubuh berpakaian jubah longgar mendarat di sebelah Ji Chengxue. Dengan satu lambaian tangannya yang langsing dan cerah itu, arca Buddha itu retak sebelum hancur berkecai. Selepas itu, dia mengangkat Ji Chengxue dengan sebelah tangan.

"Orang tua, tak elok kalau berperangai kejam sangat..." Selepas dia menghabiskan kata-katanya, Ni Yan senyum kepada Zhao Musheng sebelum dia terbang dan beredar.

...

Restoran Kecil Fang Fang.

Bu Fang sedang berlingkar di atas kerusinya sambil mengirup secawan air panas. Tiba-tiba, satu kelibat bergegas tiba di restorannya. Ni Yan muncul di hadapannya dan pada masa yang sama, dia mencampakkan satu susuk tubuh yang berlumuran darah di atas lantai.

"Tauke Bu, lelaki ini ialah bakal maharaja Empayar Bayu. Tapi, Tuan Putera ini hampir mati. Tolong selamatkannya cepat."

avataravatar
Next chapter