33 Baiklah, Kamu Telah Disenarai Hitam

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Selamat datang ke Restoran Bu Fang. Menu ada di dinding. Beritahu saya bila kamu sudah bersedia untuk buat pesanan."

Sambil Xushi masuk ke dalam restoran, suara yang merdu kedengaran. Seorang loli comel memandangnya sambil mengelipkan mata.

"Gadis muda dari keluarga Ouyang?" Xushi mengangkat kening, agak terperanjat. Walaupun pakar perisiknya sudah memberitahu kehadiran Ouyang Xiaoyi, dia kagum bila melihatnya sendiri.

"Kenapa puteri keluarga Ouyang merendahkan martabat dan bekerja sebagai pelayan di restoran ini? Adakah dia sudah menjadi bodoh?"

Di pintu masuk, seorang lelaki yang tinggi dan langsing, memakai pakaian seragam cef bangun perlahan-lahan. Dia meregangkan lehernya sambil berjalan malas menuju ke dapur.

"Itu tauke kedai ini? Pencapaian tahap pertapa dia sangat rendah… Biar betul dia hanya Mahaguru Pertempuran kelas kedua? Untuk membunuh empat pembunuh tahap Raja Pertempuran, dia sekurang-kurangnya perlu mencapai Maharaja Pertempuran kelas keenam."

Xushi terfikir sambil dia mengusap janggutnya yang panjang dan cantik sambil memandang Bu Fang dengan kehairanan.

"Hey, kamu nak pesan apa?!" tanya Ouyang Xiaoyi dengan marah. Dia bengang yang lelaki tua ini tak memberi perhatian kepada loli comel sepertinya dan memandang tauke busuk pula. Adakah kecomelan dia tak setanding tauke busuk itu?

Xushi tersenyum janggal sambil mengalihkan semula perhatian kepada si loli kecil dan memandang menu di dinding. Dengan pandangan itu, anak matanya mengecil.

"Betul khabar angin itu. Restoran nombor satu penuh misteri di bandar Diraja ini memang tepat dengan namanya…" Xushi menarik nafas dan berkata pada dirinya sendiri. Walaupun dia menurut arahan putera mahkota untuk menyiasat kedai ini, dia bingung melihat harga yang melampau pada menu itu.

"Saya nak pesan… Sup Tauhu Kepala Ikan." Xushi bukanlah seorang yang tidak berduit. Dia melihat menu dan memilih kegemarannya, Sup Tauhu Kepala Ikan.

"Tunggu sebentar." Loli kecil itu mendengus dan menuju ke dapur. Dia tak suka orang tua itu yang memberi lebih perhatian kepada tauke busuk daripada dirinya.

Xushi mengambil tempat duduknya. Restoran itu tak begitu besar dan hanya ada empat meja. Tempat itu selesa dan padat, manakala suasananya senyap dan bersih. Secara keseluruhan, ia membuatkan pelanggan rasa seronok.

Da da da.

Kedengaran bunyi tapak kaki dari luar. Beberapa orang tiba dari jauh dan masuk ke dalam restoran.

"Hmm? Xushi?" Satu suara kedengaran. Xushi terkejut sambil dia memandang ke pintu masuk dan nampak seorang lelaki pertengahan umur.

"Sekretariat Besar Su, tak sangka jumpa kamu di sini," Xushi bangun terkejut dan membuat tabik genggam1 sambil tunduk sedikit. Lelaki pertengahan umur di hadapannya ialah seorang sekretariat besar daripada kerajaan Diraja. Xushi tak sangka dia boleh datang sendiri ke restoran kecil sebegini.

Walaupun Empayar Bayu ialah negara perang, penjawat awam tetap ada. Lagipun, kedua-dua aspek ketenteraan dan sivil adalah cara yang betul untuk mentadbir sesebuah negara.

Su Yuanqing mengenali lelaki dengan janggut panjang dan cantik di hadapannya itu. Xushi, orang paling disukai putera mahkota, memang terkenal dalam kerajaan Diraja.

Disebabkan Su Yuanqing dan Xushi tidak kenal rapat, mereka duduk di tempat berbeza selepas bertegur sapa. Su Yuanqing memesan Nasi Goreng Telur.

Bu Fang sudah pun sibuk memasak di dapur. "Nampaknya ramai pelanggan baru hari ini. Apa yang terjadi? Adakah seseorang dalam bandar Diraja tolong promosikan restoran ini?"

Walaupun Bu Fang kehairanan, tangannya tidak berhenti bergerak. Dia mengambil Ikan Kap Perak Guruh kelas ketiga dan mula membuang sisiknya. Selepas isi perutnya dibuang, dia membilas ikan itu dengan air dan memotong kepalanya.

Kepala itu disimpan dan lebihan ikan itu dicampak ke dalam perut Si Putih untuk dikitar semula. Kemudian Bu Fang mengambil Tauhu Jadeite Kristal Ais dari peti beku dan mula memasak Sup Tauhu Kepala Ikan.

Sambil Sup Tauhu Kepala Ikan direneh, Bu Fang mengambil telur putih sebesar penumbuknya dari peti beku.

Itu telur pertama yang dihasilkan oleh Helang Laut Dalam dan ia kaya dengan tenaga semangat. Bu Fang mengetuknya dengan kuat pada mangkuk porselin berwarna biru putih dan berjaya memecahkan telur itu ke dalam mangkuk dengan sebelah tangan.

Sambil dia menyediakan makanan, Restoran Fang Fang sudah pun dipenuhi pelanggan.

"Saya nak pesan Nasi Goreng Telur."

"Berikan saya Mi Campuran Kering! Tolong cepat sikit!"

"Saya nak Ikan Perap Bijian Wain Beras."

Melihat pelanggan menyempit masuk ke dalam restoran, Ouyang Xiaoyi agak kebingungan "Bila restoran ini… jadi begitu terkenal?"

Dia mengira lebih kurang 12 pelanggan. "Oh Tuhan! Ini ke kedai yang sunyi sepi beberapa hari lepas?!"

"Semua orang bersabar. Terlalu ramai orang jadi tolong beratur," Ouyang Xiaoyi berkata dengan kuat. Tak ada apa lagi yang mampu dia buat. Disebabkan ramai bersesak-sesak masuk ke dalam restoran, dia terpaksa menyuruh mereka beratur. Ruang dalam restoran itu terlampau kecil.

"Beratur? Budak perempuan, kamu tahu aku siapa? Aku ini pembantu rumah Tuan Zhang! Berani kamu suruh aku beratur! Cepat suruh tauke kamu sediakan makanan." Lelaki pertengahan umur yang memakai jubah sutera itu memarahi Ouyang Xiaoyi.

"Kau itu setakat pembantu rumah Tuan Zhang! Budak perempuan, kamu tahu aku siapa? Aku ini pembantu rumah utama Pengarah Lembaga Majlis dan Upacara!"

"Hebat sangat ke pembantu rumah Pengarah Lembaga Majlis dan Upacara? Aku ini pengawal peribadi Raja Mu!"

…..

Ouyang Xiaoyi memandang tanpa perasaan sambil sekumpulan pelanggan itu bertengkar tanpa henti. Setiap daripada mereka menganggap diri mereka penting.

Walaupun loli itu kagum orang bawahan nama-nama besar ini sanggup datang makan di restoran di lorong ini, dia menyampah kerana mereka sangat berlagak.

Xushi menggelengkan kepalanya sambil mendengar pertengkaran yang dia rasa tak masuk akal. Dia faham mereka datang ke situ kerana mempunyai matlamat yang sama dengannya.

Agak melucukan tidak mengenali identiti budak perempuan itu dan mahu memotong barisan dengan menyatakan latar belakang mereka.

Antara ramai-ramai orang di situ, pelayan itu mempunyai latar belakang paling menakutkan. Namun, dia malas menyatakannya.

Tak lama kemudian, haruman yang kaya keluar dari dapur. Haruman itu seperti sekeping sutera yang mengusap pipi dengan lembut. Semua orang dalam ruang kecil itu terkesima dan mereka menghidu haruman tanpa disedari. 

Mata Su Yuanqing dan Xushi bersinar. Bau itu… sangat harum! Ada sebab kenapa harganya mahal.

Bu Fang sedang membawa keluar Nasi Goreng Telur dari dapur bila dia nampak betapa sesaknya tempat makan itu. Dia terkejut seketika dan hampir tidak dapat menerima kenyataan yang restorannya menjadi terkenal.

Namun, dia tetap tenang dan rasa hairannya tidak kekal lama. Dia kembali tidak berperasaan.

"Semua orang perlu beratur mengikut turutan. Setiap pelanggan hanya boleh pesan satu hidangan. Hidangan untuk dibawa pulang tidak dibenarkan. Sesiapa yang melanggar peraturan akan disenarai hitam dan mereka tak akan dilayan," kata Bu Fang. Suaranya tak begitu kuat tapi boleh mengatasi bunyi bising.

Tak lama kemudian, seluruh kedai gegak gempita.

Orang-orang ini dihantar tuan mereka untuk menyiasat. Mereka sudah biasa mengarah orang di luar, jadi bagaimana mereka nak patuh pelbagai peraturan di restoran kecil ini? Mereka mula buat bising.

Bu Fang tanpa perasaan meletakkan Nasi Goreng Telur di hadapan Su Yuanqing.

"Ini dia Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi. Selamat menjamu selera," kata Bu Fang.

Pandangan Su Yuanqing sudah tertarik pada Nasi Goreng Telur itu. Dia mengangguk dan tak memberi perhatian pada Bu Fang.

"Senyap! Jangan buat bising!" Bu Fang menjerit dengan dingin sambil bermuka masam.

"Celaka! Kau jangan berani mencuba! Kau patut bangga aku datang makan di sini! Aku ini orang bawahan Tuan Zhang! Aku bukannya orang yang kau boleh perlekehkan!" Pembantu rumah itu marah sambil menuding jari ke arah Bu Fang.

Yang lain-lain pun menunjuk ke arahnya dan mula mencarut.

Restoran yang senyap tadi kini bingit semula.

Ouyang Xiaoyi membuat muka dan nampak wajah Bu Fang yang sedang marah. Dia membuat keputusan untuk melihat dari jauh. Banyak tempat mereka mahu berlagak, nampaknya mereka buat hal di Restoran Fang Fang…

Kedengaran bunyi mekanikal dan tubuh gergasi Si Putih muncul di belakang Bu Fang dengan matanya yang bercahaya.

"Oh tidak! Kau fikir kau kebal disebabkan boneka besi ini? Ini ke sumber keyakinan kau?!" Bila pembantu rumah itu nampak Si Putih, dia agak terhibur. Dia sudah jumpa banyak boneka sebelum ini dan dia tahu semuanya tak berguna.

Bu Fang mengecilkan matanya dan menuding jari ke arah pembantu rumah Tuan Zhang.

"Baiklah, kamu telah disenarai hitam."

avataravatar
Next chapter