59 Baginda Memesan Makanan Bawa Pulang

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Cuaca sejuk dapat dirasai selepas hujan musim luruh, dan musim sejuk bermula selepas sepuluh kali hujan musim luruh.

Selepas hujan musim luruh untuk beberapa ketika, suhu dalam bandar diraja semakin menurun. Angin musim luruh bertukar menjadi angin yang sejuk sampai ke tulang. Bu Fang bangun awal pada pagi itu. Tapi, disebabkan terlalu sejuk, dia tak sanggup meninggalkan katilnya.

Selepas membersihkan diri, Bu Fang memakai kot tebal dan membuka restorannya. Sambil angin sejuk bertiup masuk, rasa dingin mencengkam belakangnya.

Bu Fang mengosok-gosokkan tangannya dan menyedut sedikit udara sejuk itu.

Dia memandang Si Hitam yang terbaring di atas tanah dan memuncungkan mulutnya sambil berfikir, 'Anjing malas ni… dia hanya tahu tidur sepanjang hari. Kenapa dia tak ada kesedaran yang sepatutnya ada pada seekor binatang tertinggi? Bukankah dia patut berdiri megah di pintu masuk untuk menjadikan kedai ini lebih eksklusif?'

"Budak tak guna, tuan segala anjing ni nak makan Tulang Rusuk Masam Manis." Si Hitam membuka matanya dan berkata kepada Bu Fang dengan malas. Suaranya bukanlah tua tetapi boleh dikira maskulin dan mempunyai daya penarik.

Bu Fang mengangkat keningnya. "Hei anjing malas, kamu tu selama ni duduk saja tak buat apa-apa. Sekarang dah pandai pesan makanan ya?"

Si Hitam tak mengendahkan kata-kata Bu Fang. Ia menyorokkan muka dengan kaki depannya dan sambung tidur. Dia tak peduli pun sama ada Bu Fang nak masakkan hidangan itu atau tak.

Bu Fang rasa bengang… Berani anjing malas tu buat tak endah! Si Hitam tak takut ke kalau dia tambah sesudu besar Sos Cili Neraka ke dalam Tulang Rusuk Masam Manis tu? Matilah anjing tu kalau dia buat betul-betul.

Bu Fang berpusing dan masuk ke dapur walaupun dia beritahu yang dia tak nak masak Tulang Rusuk Masam Manis itu. Tapi, disebabkan semalam Si Hitam dah menolong dia, Bu Fang terpaksalah memenuhi permintaannya. 

Dia mengeluarkan ramuan utama untuk memasak Tulang Rusuk Masam Manis dari peti sejuk beku: tulang rusuk utama daripada Khinzir Awan Terbang, sedikit kanji dan sos perasa.

Bu Fang meletakkan tulang rusuk utama di atas papan pemotong. Sambil dia mengangkat tangannya, dia memusingkan pisau yang tajam berkilau itu. Selepas memusingkan pisau beberapa kali, Bu Fang menghentak tulang rusuk itu dengan bahagian belakang pisau.

Dengan berbuat begitu, daging lebih senang dipotong. Selepas berhari-hari berlatih Teknik Pemotongan Meteor, kemahiran Bu Fang sudah meningkat dengan ketara. Sambil pisau itu memotong tulang rusuk dengan kukuh dan tepat, hanya imej tinggal1 yang kelihatan.

Semasa pertama kali dia cuba memasak Tulang Rusuk Masam Manis, Bu Fang rasa begitu letih memotong daging. Namun, disebabkan teknik memotongnya sudah meningkat, ia kini lebih mudah.

Selepas dia memotong kecil tulang rusuk utama yang kaya dengan tenaga semangat, dia mencampurkannya ke dalam pes kanji yang sudah tersedia. Dia memastikan yang setiap ketulan bersalut sempurna.

Dia menuang minyak hampir separuh kuali dan menunggu sehingga minyak itu panas dan berasap sebelum dia meletakkan ketulan-ketulan daging ke dalam kuali.

Pssst!

Bila ketulan-ketulan daging itu sedang digoreng, bau harumnya meresap keluar.

Bila kesemuanya habis digoreng, Bu Fang meletakkannya ke dalam mangkuk besar. Sos masam manis berwarna oren itu dicampurkan bersama. Ia kemudiannya dihidang dalam pinggan.

"Si Hitam, masa untuk makan." Bu Fang memanggil sambil keluar dari dapur sambil dengan sepinggan Tulang Rusuk Masam Manis.

Mata Si Hitam yang separuh terbuka itu terus bersinar bila ia terhidu bau hidangan itu. Lidahnya terjelir keluar dan dia memandang pinggan itu dengan tak sabar.

Bila dia meletakkan hidangan itu di depan Si Hitam, ia terus makan dengan lahap sambil menggoyangkan ekornya.

Bu Fang tersenyum lebar sambil dia mengusap bulu Si Hitam yang bersih dan licin. Dia bangun dan menarik kerusi ke arah pintu masuk. Dia kemudiannya duduk dan berjemur di bawah matahari.

Walaupun pertempuran hebat di antara pakar-pakar tertinggi dalam bandar diraja berlaku di restorannya semalam, kehidupan seharian Bu Fang tak banyak berubah.

Cahaya matahari hujung musim luruh itu lebih hangat dan menyenangkan daripada biasa. Bajunya pula mengeluarkan bau harum di bawah sinaran matahari itu.

Hari yang sungguh indah.

Dari jauh, Si Gemuk Jin dan rakan-rakannya hampir tiba dengan megah. Si Gemuk Jin yang mengetuai kumpulan itu berjalan terincut-incut dan muka tembamnya pula bengkak sedikit.

"Selamat pagi, Tauke Bu. Kamu berjemur? Seronok nampaknya." Si Gemuk Jin menyapa Bu Fang.

Bu Fang mengangguk dan memandang Si Gemuk Jin dengan rasa hairan sambil berkata, "Kenapa muka kamu bengkak? Kamu dah cukup gemuk. Tak perlu buat ia lagi bengkak2."

"Tauke Bu… Tak boleh ke berbincang elok-elok? Bukankah ini disebabkan kamu?" Saat kecederaannya disebut, mata Si Gemuk Jin penuh rasa kesal.

"Penkek Tiram kamu terlalu harum…" Dia menceritakan semua yang berlaku di tempat perlaksaan hukuman maut kepada Bu Fang dan menyebabkan lelaki itu terkejut…

Jadi, pengenalan Penkek Tiram itu mengakibatkan kacau bilau.

"Kamu tu yang tak berhati perut. Patutnya dia pukul saja kamu sampai mati…" Bu Fang berkata sambil dia berdiri dan meregangkan badan. Dia kemudian berjalan masuk ke dapur.

Si Gemuk Jin tak pasti sama ada dia patut ketawa atau menangis. Dia tak sangka Tauke Bu akan mengejeknya. "Tauke Bu, saya nak hidangan biasa saya."

Bu Fang melambaikan tangannya sebagai tanda dia menerima pesanan. Selepas seketika, bau harum yang kaya meresap keluar dari dapur.

Ouyang Xiaoyi berjalan sambil melompat seperti biasa. Bila dia tiba, dia nampak ceria.

"Eh, Si Gemuk Jin. Kamu nak menyamar jadi apa sampai jadikan muka bengkak macam tu?" Perkara pertama yang Ouyang Xiaoyi perasan bila dia masuk kedai itu rupa paras Si Gemuk Jin yang pelik dan menyebabkan dia terus ketawa.

Si Gemuk Jin hanya mampu tersenyum pahit. Kerana asyik dipaksa Ouyang Xiaoyi, dia pun menceritakan kisah Penkek Tiram itu sekali lagi.

'Sedap sangat ke Penkek Tiram tu? Kalau macam tu, saya nak minta tauke busuk masak untuk saya. Boleh saya bawa balik untuk Ibu, Ayah dan Atuk rasa.' Fikir Ouyang Xiaoyi.

"Xiaoyi, hidangkan makanan tu." Bu Fang menjerit sedikit. Dia tahu yang Xiaoyi sudah sampai sebab dia terdengar bunyi gelak tawa dari tempat makan.

"Oh!" Ouyang Xiaoyi berlari ke tingkap dapur dan menghidangkan makanan kepada Si Gemuk Jin dan rakan-rakannya.

Si Gemuk Jin dan rakan-rakannya menghabiskan makanan dengan rasa puas dan beredar selepas membayar bil. Seperti dijangka, setiap seorang daripada mereka membawa pulang Penkek Tiram.

Ji Chengxue yang memakai jubah putih tiba dengan elegan. Dia salah seorang pelanggan tetap restoran itu dan dia sentiasa tersenyum lembut.

"Kekanda Tuanku, apa yang Tuanku mahu makan?" Ouyang Xiaoyi bertanya.

"Beta hendak pesan satu hidangan Ikan Perap Bijian Wain Beras dan satu balang Wain Jed Penyejuk Hati." Ji Chengxue tergelak kecil.

Selepas seketika, makanannya dihidangkan. Ji Chengxue menuang dan meminum Wain Jed Penyejuk Hati dengan rasa puas sambil dia makan Ikan Perap Bijian Wain Beras.

Di permulaan lorong, satu susuk tubuh lampai dengan rambut putih hampir tiba sambil berjalan melenggangkan pinggulnya.

"Oh Tuhan! Hampir sakit jantung aku. Kenapa anjing ni masih di sini? Kau ni binatang tertinggi. Tak boleh ke tunjuk sedikit aura dominan binatang tertinggi?"

Kulit Lian Fu cerah dan licin. Dia memakai pakaian biasa dan rambut putihnya disanggul dengan hiasan kepala gangsa. Bila dia nampak Si Hitam, jantungnya berdegup kencang sambil dia memicit ibu jari dan jari tengah sambil berkata-kata.

Si Hitam tak mengendahkan langsung sida-sida tak guna tu. Ia mengunyah perlahan Tulang Rusuk Masam Manis dengan rasa puas hati sambil aromanya tersebar.

"Hmm, baunya… sedap." Lian Fu bergumam sambil menunjuk dengan ibu jari dan jari tengah yang dipicit bersama.

Badan Si Hitam kaku sambil dia memandang sida-sida itu sepintas lalu. Dia kemudian mengalihkan badannya supaya punggungnya menghadap Lian Fu sebelum ia sambung mengunyah tulang rusuk itu.

Tak ada siapa yang nak lah! Lian Fu berasa bengang. Macamlah dia, seorang Ketua Sida-sida, nak berebut makanan dengan anjing.

Hmph! Lian Fu mendengus bangga sambil dia masuk ke dalam restoran Bu Fang sambil melenggangkan pinggul. Dia bukannya datang untuk cari pasal atau menangkap sesiapa. Dia hanya nak membeli makanan.

Baginda sudah pun memberi titah pada hari sebelumnya supaya Lian Fu membawa pulang semua makanan di kedai itu untuk dia rasa. Jika sedap, dia nak jemput Bu Fang menyertai istana diraja.

"Dia tu tukang masak biasa saja dalam kedai di sebuah lorong. Hebat sangat ke kemahiran dia berbanding cef diraja?" Lian Fu tak begitu teruja dengan misinya hari itu.

"Oh, Tuanku! Apa Tuanku buat di sini? Oh, bukankah ini anak perempuan Jeneral Ouyang?" Saat dia masuk ke dalam kedai, mata Lian Fu bersinar melihat Ji Chengxue yang sedang makan dan minum dan juga si comel Ouyang Xiaoyi yang berdiri berhampiran.

"Hmm? Lian gong gong, kenapa… kamu datang ke sini?" Ji Chengxue agak terperanjat. Lian Fu ialah sida-sida persendirian bapanya. Agak pelik bila dia muncul di restoran ini…

"Ada sesuatu yang Tuanku tak tahu. Maharaja memerintahkan patik bawa pulang semua hidangan di sini ke istana. Sebab itulah patik datang ke sini. Patik tak boleh melanggar perintah."

"Hmm… Eh? Bawa pulang?" Ji Chengxue menganggukkan kepalanya tapi ekspresinya berubah sambil dia memandang Lian Fu.

avataravatar
Next chapter