130 Aku ni Selalu Sangat Berlembut Hati

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

'Apa hal ni?' Bu Fang berkata dalam hati sambil dia memandang sekilas ke arah Ni Yan. Dia kemudiannya memandang ke arah susuk tubuh yang terbaring separuh mati di atas lantai. Dia tergamam. 'Bukankah ini Ji Chengxue? Kenapa keadaaan dia teruk sampai macam ni?'

Selepas meletakkan cawan di atas meja, Bu Fang menolong Ji Chengxue untuk bangun dan Ouyang Xiaoyi segera berlari untuk membantu. Mereka mengalihkan Ji Chengxue ke atas kerusi supaya dia boleh berbaring dengan selesa.

"Apa yang telah berlaku?" Selepas selesai menolong Ji Chengxue, barulah Bu Fang memandang Ni Yan dengan acuh tak acuh. Dia sedang berdiri di pintu masuk dengan wajah muram.

"Apa lagi yang mungkin berlaku? Lelaki ini diserang hendap. Mujurlah saya ada di situ. Kalau tak, dah lama dia mati." Ni Yan berkata sambil mengerling ke arah Ji Chengxue dan menggelengkan kepalanya.

"Raja Yu membawa bersama konco-konconya dari sekta untuk mengepung Ji Chengxue, tapi orang bawahan Ji Chengxue melindunginya dan membolehkan dia melarikan diri. Disebabkan itu, dia bertembung dengan Raja Yu dan diserang sampai hampir mati. Mujurlah Xiao Meng muncul dan menyelamatkannya. Tapi, malang nasib dia sebab dia bertembung pula dengan Zhao Musheng..." Ni Yan menceritakan apa yang berlaku pada Ji Chengxue.

Hujung bibir Bu Fang tersentap-sentap sambil berkata dalam hati, 'Ji Chengxue ni memang bernasib malang. Apalah yang dia dah buat sampai ramai sangat orang berdendam dan nak membunuhnya?'

"Dia dah buat sesuatu yang keterlaluan ke?" Bu Fang bertanya sekali lagi sambil memandang sekilas ke arah Ji Chengxue. Dia perasan yang darah mengalir dari setiap rongga mukanya.

Pada masa itu, ekspresi Ni Yan turut berubah menjadi pelik, seolah-olah dia menahan ketawa. Dia berkata, "Dia tak buat apa-apa yang keterlaluan pun. Dia hanya merampas takhta daripada dua orang abangnya saja. Mengikut titah-perintah selepas kemangkatan Maharaja, dia telah dipilih menjadi pewaris takhta. Jadi, dia akan menjadi maharaja Empayar Bayu seterusnya… Tapi, sudah tentulah, dia perlu terus hidup untuk mewarisi takhta."

Bu Fang terus memahami situasi itu. Ji Chengxue, yang pada asalnya orang yang paling tak dihiraukan dalam kalangan adik beradik itu, telah menjadi pewaris takhta tanpa dijangka. Sudah tentulah abang-abangnya berasa marah kerana malu. Dia telah mendapat sesuatu yang dia tidak layak. Inilah yang dikatakan, "Kekayaan membawa bencana".

"Habis tu, kenapa bawa dia ke sini? Ini restoran, bukannya hospital." Bu Fang bertanya dengan serius sambil memandang Ni Yan tanpa ekspresi.

Mata Ni Yan mengecil dan nampak seperti bulan sabit comel. Dia tersenyum sambil berkata, "Kalau saya bawa dia ke hospital dengan kecederaannya itu, dia pasti akan mati. Selepas diserang dengan teknik rahsia Pulau Mahayama, tabib tahap dewa pun susah nak selamatkannya."

"Jangan harapkan masakan eliksir. Kedua-dua jenis masakan eliksir yang saya boleh masak tu tak akan dapat mengubati kecederaannya." Bu Fang membalas.

Ni Yan merenung Bu Fang sambil lidah merahnya menjilat bibir. Dia berkata, "Disebabkan masakan eliksir tak sesuai… bukankah kamu ada herba semangat? Herba semangat kelas ketujuh seperti Herba Darah Phoenix untuk merawat kecederaan macam ni rasanya lebih dari cukup.

"Sebenarnya, satu keratan pun sudah cukup." Ni Yan berkata.

Bu Fang tersengih. Seperti dijangka, wanita ini memang menginginkan Herba Darah Phoenix itu. Selepas tersentuh darah Phoenix Purba, herba semangat kelas ketujuh, Herba Darah Phoenix mengandungi khasiat pemulihan yang luar biasa dan sememangnya pilihan terbaik untuk menyelamatkan Ji Chengxue pada saat itu.

Namun, Bu Fang berasa agak keberatan. Niat asalnya untuk menggunakan Herba Darah Phoenix semasa membru wain yang boleh mengatasi "Nafas Naga". Lagipun, herba semangat kelas ketujuh bukan senang untuk dicari.

"Bukankah kamu datang ke sini untuk mendapatkan Herba Darah Phoenix? Kalau saya gunakan herba tu untuk selamatkan dia, kamu dah tak perlukannya lagi ke?" Bu Fang bertanya kehairanan.

Ni Yan tersenyum sambil menunjuk ke arah Ji Chengxue dan berkata, "Jarang saya dapat berjalan jauh dari sekta. Takkanlah saya nak datang semata-mata untuk dapatkan Herba Darah Phoenix? Gunakan saja untuk selamatkan dia. Saya tak akan rasa sedih. Lagipun, masih ada banyak herba semangat kelas ketujuh di sekta kami."

Bu Fang berkata dalam hati tanpa ekspresi, 'Kamu memang tak kisah… tapi saya yang akan rasa sedih."

Bu Fang malas nak berkata apa-apa kepada wanita ini. Dia memandang Ji Chengxue yang sudah semakin nazak. Dia mengeluh sambil memandang lelaki kacak yang selalunya nampak lemah lembut dan berbudi pekerti itu.

'Aku ni selalu sangat berlembut hati.' Bu Fang berkata dalam hati sambil mengeluh.

Sejurus kemudian, dia meminta Ouyang Xiaoyi menjaga Ji Chengxue sambil dia beredar ke dapur. Apa-apa pun, dia tak boleh sekadar melihat seseorang mati di depan matanya. Walaupun dia tak hiraukan kehidupan manusia, dia masih perlu menolong Ji Chengxue yang merupakan pelanggan lamanya.

Dia membawa keluar Herba Darah Phoenix dari almari. Herba Darah Phoenix yang cantik dan menawan itu berwarna merah keperangan seperti diukir dari batu akik merah. Disebabkan fungsi pemeliharaan almari sistem, herba itu masih segar dan dipenuhi tenaga semangat.

Bila Bu Fang berjalan keluar dari dapur, bau harum Herba Darah Phoenix terus tersebar dan suhu dalam restoran itu meningkat naik dengan mendadak.

Bila Ni Yan ternampak Herba Darah Phoenix di tangan Bu Fang, matanya yang cantik itu terus bersinar. Lagipun itu herba semangat kelas ketujuh. Walaupun apa yang dikatakan tadi, Sekta Cakerawala Rahsia tak ada banyak pun herba dalam inventori mereka.

Di atas Herba Darah Phoenix yang kecil itu, api yang marak di permukaanya itu nampak seperti burung phoenix yang mahu terbang ke langit. Herba itu kaya dengan daya tenaga dan daya pemusnah yang mengerikan.

"Beri dia makan separuh Herba Darah Phoenix pun sudah cukup. Sama ada dia hidup atau tak, itu bergantung kepada nasibnya." Ni Yan mengingatkan Bu Fang. Herba Darah Phoenix herba semangat kelas ketujuh sememangnya mempunyai kesan pemulihan yang hebat. Kalau Ji Chengxue makan keseluruhan herba itu dengan keadaannya sekarang ini, dia bukan sahaja tak boleh pulih. Malah, dia mungkin meletup serta-merta disebabkan daya pemusnah dalam herba itu.

Bu Fang memandangnya sekilas dan menganggukkan kepalanya. Asap hijau berlingkar di tangannya dan Pisau Dapur Tulang Naga Emas pun muncul. Tanpa teragak-agak, dia menggunakan pisau itu untuk menghiris Herba Darah Phoenix.

Hirisan itu begitu licin dan tak ada langsung kesan berubat yang hilang daripada Herba Darah Phoenix itu...

Mata Ni Yan bersinar terang. Sambil dia merenung Pisau Dapur Tulang Naga di tangan Bu Fang itu, hatinya berdebar-debar.

Bu Fang mengibaskan tangannya dan Pisau Dapur Tulang Naga kembali menjadi asap hijau sebelum hilang. Bu Fang menuju ke arah Ji Chengxue dan membuka mulutnya. Sambil dia mengalirkan daya tulen ke tapak tangannya, beberapa titis jus yang mempunyai bau darah pekat terus menitis keluar dari Herba Darah Phoenix itu.

Jus itu terus menitis sehingga keseluruhan potongan Herba Darah Phoenix di tangan Bu Fang larut menjadi darah dan masuk ke dalam mulut Ji Chengxue.

"Bolehkan buat macam ni? Hmm… Nampaknya ada separuh lagi herba yang tinggal. Tapi, aku tak boleh gunakannya sebagai ramuan utama lagi. Nampaknya aku kena cari satu lagi herba semangat untuk membru wain." Bu Fang menggumam sendiri sebelum menyimpan baki Herba Darah Phoenix ke dalam ruang simpanan sistem.

Bila Bu Fang menoleh ke arah Ni Yan, dia mendapati yang mata wanita itu penuh dengan rasa cemburu. Ni Yan sedang merenung pergelangan tangan Bu Fang.

"Kamu ada alat separa-dewa..."

"Alat separa-dewa?" Bu Fang berasa hairan.

Ni Yan berpaling dengan perasaan pelik dalam fikirannya dan dia mengetap bibirnya. Peralatan separa-dewa sangatlah jarang ditemui dalam Benua Naga Tersembunyi… Walaupun Sekta Cakerawala Rahsia mengumpulkan maklumat tentang semua benda dalam dunia itu, mereka tak tahu menahu tentang alat separa-dewa Bu Fang.

Kalau pisau dapur itu tak bertukar menjadi asap hijau dan kemudiannya satu imej di pergelangan tangan Bu Fang, Ni Yan mungkin tak berapa pasti sama ada pisau itu alat separa-dewa ataupun tidak.

'Tapi… Alat separa-dewa tu berbentuk pisau dapur?' Ekspresi Ni Yan semakin pelik sambil dia berkata dalam hati, 'Pakar pembuat alat keji mana ni yang ada banyak sangat masa menggunakan bahan bernilai untuk membuat benda macam ni?'

"Ah!"

Sedang Ni Yan dan Bu Fang mengelamun panjang, Ji Chengxue, yang telah makan separuh Herba Darah Phoenix, tiba-tiba menjerit dan matanya menjadi merah seperti ada api burung phoenix yang marak di bawah korneanya.

Proses kebangkitan daripada kehancuran sudah bermula. Sama ada Ji Chengxue akan selamat atau tak, bergantung kepada daya usahanya.

Bu Fang menguap. Selepas memandang langit, dia berpusing dan menyuruh Ni Yan keluar. Ouyang Xiaoyi turut mengucapkan selamat tinggal kepada Bu Fang. Sejurus selepas itu, Bu Fang memasang palang pada pintu dan menamatkan waktu perniagaan.

Ji Chengxue terus menerus meraung kesakitan di dalam restoran itu. Kesakitan yang meruntun jiwa itu… tak dapat difahami Bu Fang.

Disebabkan itu, Bu Fang masuk ke dapur dan berlatih memasak. Selepas berlatih teknik pemotongan dan ukiran, dia membru Wain Jed Penyejuk Hati. Dia kemudiannya naik ke atas dan mandi sebelum tidur.

Bu Fang perlu menjaga waktu tidurnya. Bilik yang kalis bunyi itu bagus kerana dia tak perlu mendengar jeritan Ji Chengxue. Sekurang-kurangnya, Bu Fang dapat tidur nyenyak selepas seketika.

avataravatar
Next chapter