55 Ada Orang Buat Hal… Tauke Bu, Adakah Kamu akan Masuk Campur?

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Apa yang berlaku?! Kenapa ada orang tak ikut apa yang kita rancang?! Hun Qianduan, macam mana kau ajar orang bawahan kau?!"

Dalam khalayak ramai itu, seorang pedagang yang pada mulanya tersenyum kini muram. Dia yang memakai jubah bersulam bertanya dengan suara garau kepada lelaki tua bongkok di sebelahnya.

Muka lelaki tua bongkok itu menjadi herot berot sambil dia menegakkan badannya. Dia berkata dingin, "Xiao Yue, jangan cakap dengan nada begitu. Aku ni bukan orang bawahan kau…"

Muka lelaki tua itu masih lagi herot berot dan tiba-tiba, ia terkupas dan jatuh mengalir seperti air sehingga ia berubah menjadi wajah pucat. Soket matanya sangat dalam dan ada api berpuaka yang berkelip di dalamnya.

"Baiklah! Sekta Jiwa memang menggerunkan… Jika rancangan ini gagal, kamu yang bertanggung jawab." Tubuh gempal pedagang itu tiba-tiba mengecut dan bajunya hancur berkecai lalu mendedahkan satu susuk tubuh tinggi lampai.

Wajah tampannya bak ais yang tak cair selama sepuluh seribu tahun memandang Hun Qianduan. Dengan bunyi bergema daripada pedangnya, badan Xiao Yue terpelanting sambil daya tulen menyusup keluar dari badannya. Susuk tubuhnya terus menyerang ke arah platform dan pergerakannya meninggalkan jejak.

Ekpresi Hun Qianduan menjadi suram sambil dia mendengus dingin. Hujung jari kakinya menyentuh tanah sambil dia terbang ke udara. Jubah hitamnya berkibaran dan daya tulen penghalusan jiwanya menyusup keluar.

Di tengah-tengah platform hukuman mati, mata Xiao Meng mengecil sambil dia mengangkat muka dan melihat dua susuk tubuh yang menghampirinya. Dia mengetuk meja dan menjerit marah dengan suara bak guruh bergema.

"Hei iblis! Aku tak dapat bunuh kau semalam, tapi kau tak akan terlepas hari ni!"

Boom!

Aura menakutkan Santo Pertempuran kelas ketujuh meningkat mendadak sambil Xiao Meng bertukar menjadi satu aliran cahaya dan menyerang Xiao Yue dan Hun Qianduan.

Ouyang Zongheng tersenyum lebar sambil dia menghentakkan kaki dan menyerang. Dia mendarat di atas platform hukuman mati itu dan menggunakan serangan tapak tangan untuk menghentam dua orang pakar sekta yang meluru ke arah platform. 

"Siapa yang berani kurang ajar walaupun aku, Ouyang Zongheng ada di sini?!"

Di kalangan orang ramai itu, aura berkuasa muncul tanpa henti. Pengawal Harimau keluarga Xiao sudah mula bertarung dengan pakar sekta. Bunyi pertempuran itu kedengaran di segenap pelusuk Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan yang kini bermandi darah.

Dalam istana diraja yang gilang gemilang itu, seorang lelaki tua sedang bersemayam di atas takhta naga. Di sebelahnya ada sida-sida berambut putih dan berjubah yang berdiri sambil menundukkan kepala. 

Lelaki tua itu memakai mahkota ungu bertatahkan permata dengan rambut yang diikat. Dia juga memakai cekak kepala emas dengan sulaman dua ekor naga yang berebut mutiara1. Walaupun dia nampak tua, aura berkuasa seorang maharaja masih terasa. 

"Upacara di Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan berjalan lancarkah?" Suara maharaja yang agak dalam itu kedengaran.

"Tuanku, Jeneral Besar Xiao dan Jeneral Ouyang telah memulakan perlaksanaan hukuman mati. Pakar daripada sekta yang bersembunyi dalam bandar diraja akhirnya hilang sabar dan memulakan langkah." Sida-sida berambut putih itu tersenyum sedikit sambil dia tunduk hormat dan berkata dengan suara nyaring.

"Mereka tak ada pilihan selain menyerbu tapak hukuman mati itu. Lagipun, mereka tak mampu kehilangan enam Maharaja Pertempuran… Sebab itulah walaupun mereka tahu Beta sudah menyediakan perangkap, mereka masih teruskan… Kof." Maharaja itu tersenyum sedikit sambil terbatuk kecil. 

"Tuanku seorang yang bijak. Sekta-sekta itu pasti akan dimusnahkan dan Empayar Bayu akan kembali aman." Sida-sida itu mengusap belakang Maharaja sambil berkata lembut.

Maharaja itu mengeluh sambil mengangkat sedikit tangannya. "Beta sedar keadaan sendiri. Beta tahu yang Beta tak mampu bertahan sehingga semua sekta dimusnahkan. Kalau tidak, Beta tak sediakan perangkap sedemikian… Lian Fu, pergi bantu mereka. Menurut kata perisik, daripada sepuluh sekta, hanya orang-orang tua daripada Sekta Cakerawala Rahsia saja yang tak turut serta. Sekta lain sepatutnya menghantar lebih ramai pakar. Beta risau yang Jeneral Xiao tak mampu menghadapinya."

Sida-sida berambut putih itu mengambil satu langkah, menunduk hormat dan berkata, "Patik menurut perintah."

Maharaja melihat sida-sidanya beredar dan meninggalkannya keseorangan dalam istana yang besar itu.

"Dengan pertolongan Lian Fu, kali ini… kejayaan pasti milik kita. Kalau pun mereka tak dapat dimusnahkan sepenuhnya, cukup sekadar mencederakan mereka… Kof, kof, kof." 

Pertempuran di Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan itu penuh keganasan. Jumlah pakar daripada sekta yang menyusup masuk lebih ramai daripada jangkaan Xiao Meng dan lain-lain. Askar-askar yang mengawal di pintu masuk juga telah dibunuh oleh pakar-pakar yang menyerang masuk.

Semangat waja Xiao Meng tak dapat ditandingi sambil dia berdepan Maharaja Pertempuran Xiao Yue dan Hun Qianduan yang berada pada tahap puncak Maharaja Pertempuran. Jeneral Xiao berjaya menawan kedua-dua mereka sehingga mereka hanya mampu mempertahankan diri.

Ouyang Zongheng berdepan pelbagai musuh sambil dia melindungi platform hukuman mati itu daripada dicerobohi sesiapa. Pakar daripada sekta dan pengawal diraja semuanya turut serta dalam pertempuran itu.

Kedua-dua belah pihak berlawan mempunyai pakar masing-masing. Pertempuran itu bertambah ganas dan darah hangat terus bersemburan di atas jubin Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan itu.

"Iblis daripada sekta, matilah kamu!"

Ketika semua orang sedang bertarung, satu tempikan marah kedengaran dari dalam istana diraja. Satu susuk tubuh berambut putih terbang keluar dan turut serta dalam pertempuran itu sambil menghayunkan cemeti ekor kudanya.2 

Ekspresi Xiao Yue berubah dan dia terkejut. "Ketua Sida-sida, Lian Fu! Bukankah dia selalu melindungi maharaja? Dia pun turut serta!"

Ekpresi Hun Qianduan tidak menyenangkan sambil dia menyumpah secara senyap. Pencapaian tahap pertapa Ketua Sida-sida itu setanding Xiao Meng. Dengan kerjasama mereka berdua, walaupun ada ramai Maharaja Pertempuran, tak mungkin pihak sekta akan menang.

"Seperti dijangka, inilah perangkap Ji Changfeng! Kita sudah ditipu! Mari berundur!"

"Tauke busuk, disebabkan tak ada pelanggan hari ini, boleh tak saya balik awal?" Ouyang Xiaoyi bertanya kepada Bu Fang yang duduk berlingkar di atas kerusi berhampiran pintu masuk. Wajahnya muncung penuh mengharap.

Memang betul tak ramai pelanggan hari ini. Selepas Si Gemuk Jin dan rakan-rakannya beredar, hanya beberapa orang yang datang secara rawak. Pelanggan setianya seperti Ji Chengxue dan lain-lain tak muncul langsung.

"Baiklah, kamu boleh pulang." Bu Fang membalas tanpa perasaan. Rasa hangat di bawah matahari musim luruh itu membuatkannya rasa selesa dan mengantuk.

Bila Ouyang Xiaoyi mendengar kata-kata Bu Fang, matanya tersenyum. Dia mengangguk dan berlari keluar dari kedai menuju ke arah Pintu Gerbang Misteri Menakjubkan. 

Selepas mendengar perbincangan antara Si Gemuk Jin dan rakan-rakannya, dia mula rasa resah. Apatah lagi, ayahnya sendiri yang bertugas melaksanakan hukuman mati itu. Kalau betul kata mereka, ayahnya dalam bahaya.

Dia mengeluh sedikit sambil berjalan keluar dari lorong. Namun, belum jauh dia berjalan, dia merasakan satu aura menakutkan menuju ke arahnya.

Ekspresi Ouyang Xiaoyi berubah. Tanpa memikirkan apa-apa, badannya berpusing dan kembali ke restoran Fang Fang.

Namun, belum sempat dia melangkah jauh, satu susuk tubuh muncul di sebelahnya. Dia merasakan lengan yang kuat memegang dan mengangkatnya.

"Xiao Meng! Berhenti! Kalau tak, aku bunuh anak perempuan keluarga Ouyang ni!"

Xiao Yue menjerit dengan suara garau. Seluruh badannya bermandi darah dan mulutnya juga berbau darah. Matanya bercahaya seperti serigala bengis sambil dia memandang pemburunya, Xiao Meng dan sida-sida berambut putih, Lian Fu.

Dada Hun Qianduan sudah lemah dan wajahnya pucat lesi.

"Berundur ke lorong itu. Kamu nampak kedai itu kan. Masuk ke dalam." Xiao Yue berkata acuh tak acuh kepada Hun Qianduan sambil memegang Ouyang Xiaoyi.

Wajah comel Ouyang Xiaoyi menjadi merah sambil dia cuba bergelut. Sambil termengah-mengah kerana rasa marah, dia menjerit, "Xiao Yue! Lepaskan aku sekarang!"

Xiao Yue langsung tak pedulikan Ouyang Xiaoyi. Pandangannya tertumpu kepada pergerakan Xiao Meng dan Lian Fu sambil dia berundur masuk ke dalam restoran bersama Hun Qianduan.

Bu Fang baru saja nak melelapkan mata bila terdengar Ouyang Xiaoyi menyumpah seranah. Dia terus membuka matanya dengan rasa hairan dan nampak Xiao Yue yang cedera teruk dan membawa Ouyang Xiaoyi. Ada seorang lagi lelaki yang nampak seperti hantu masuk ke dalam kedainya.

Bu Fang agak terkejut. Apa yang berlaku?

Xiao Yue melepaskan Ouyang Xiaoyi sambil dia jatuh ke lantai dan muntah darah tak henti-henti. Dia terus keluarkan eliksir dari dadanya dan meminumnya untuk menstabilkan kecederaan.

Hanya selepas berbuat demikian barulah Xiao Yue tersenyum ke arah Bu Fang dengan wajah pucat lesi.

"Tauke Bu, ada orang buat hal dalam restoran ni… Adakah kamu akan masuk campur?"

avataravatar
Next chapter