119 Abalone dengan Susunan Magiknya Tersendiri

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Selepas Bu Fang meletakkan palang di pintu, dia masuk ke dapur. Pada asalnya, dia hendak berlatih cara masakannya, tapi dia tak sangka Xiao Yue datang membawa masalah yang begitu rumit bila dia hendak menutup kedai tadi.

Walaupun Bu Fang hanya pernah memasak sejenis masakan eliksir—Sup Ayam Phoenix Herba Sej—sebelum ini, dia sudah biasa dengan prinsip di sebalik proses memasaknya. Yang paling penting, seorang cef diuji sama ada dia sudah biasa dengan kaedah masakan daya tulen atau tak. Ini kerana, lebih banyak perhatian perlu diberikan bagi mengawal daya tulen semasa menyediakan masakan eliksir berbanding masakan biasa.

"Sistem, boleh tak terangkan asal dan kesan kedua-dua bahan ni?" Bu Fang bertanya kepada sistem tanpa segan silu. Bagi dia, sistem ibarat satu ensiklopedia yang mengandungi semua maklumat mengenai bahan-bahan masakan.

Sistem diam seketika sebelum membalas.

"Orkid Jantung Ametis: herba semangat kelas keenam yang tumbuh pada telerang bijih ametis. Tempoh matangnya ialah seratus tahun dan hanya tiga Orkid Jantung Ametis akan tumbuh pada satu telerang bijih ametis. Setiap satu herba berwarna ungu kemerah-merahan dan permukaannya dilitupi corak telerang yang menyerupai kesan terbakar. Herba itu juga kaya dengan tenaga semangat dan tenaga semangat api ametis. Ramuan ini sangat berkesan untuk mengubati pesakit yang mengalami trauma mental."

"Abalone Semangat Langit Laut Dalam: binatang semangat laut kelas kelima yang dijumpai di bahagian bawah laut dalam. Binatang ini telah melalui penulenan dengan tenaga semangat di bahagian bawah laut. Cangkerangnya mempunyai susunan semangat yang terhasil secara semulajadi. Semasa proses memasak, susunan semangat ini akan menyediakan tenaga semangat air tanpa henti. Khasiatnya termasuk kesan berubat untuk menambah semula tenaga hayat dan meredakan trauma mental."

Sistem bersungguh-sungguh memberikan maklumat terperinci tentang dua ramuan itu kepada Bu Fang. Bu Fang menarik nafas dalam selepas membaca maklumat itu. Daripada pengenalan yang diberikan, dia dapat mengetahui betapa berharganya ramuan-ramuan ini. Nilainya pasti sekurang-kurangnya satu gred lebih tinggi daripada Herba Sej Syurgawi dan Ayam Phoenix Merah Darah.

Bu Fang tiba-tiba rasa tertekan kerana lebih bernilai sesuatu ramuan itu, lebih sukar untuk menyediakan masakan eliksir.

Tambahan pula, Bu Fang sedar yang ramuan-ramuan ini mempunyai ciri-ciri yang sama, iaitu mengubati trauma mental. Tidak syak lagi, Xiao Yue memang bercadang menggunakan masakan eliksir ini untuk mengubati seseorang yang mengalami trauma mental.

Trauma mental bukanlah mudah untuk ditangani. Tapi, Xiao Yue percaya pada Bu Fang untuk menyediakan masakan eliksir ini. Ia bermaksud yang Bu Fang sahaja dalam bandar diraja ini yang mampu menyediakan masakan eliksir bergred tinggi.

Xiao Yue juga percaya yang Bu Fang seorang yang mematuhi prinsip-prinsipnya. Dia dapat meneka berdasarkan pelbagai peraturan yang ada dalam restoran itu. Selain itu, dia juga yakin dengan ciri-ciri keselamatannya.

"Sistem, bolehkah kamu sediakan dua bahan ini untuk saya berlatih?" Bu Fang bertanya secara diam.

"Sudah pasti. Kalau Tuan hendak gunakan sesuatu bahan, Tuan boleh beli dari sistem." Sistem membalas dengan serius, "Orkid Jantung Ametis: seribu kristal. Abalone Semangat Langit: seribu kristal."

Air muka Bu Fang terus berubah. Buat pertama kalinya, dia sedar yang sistem ini sangat keji… Demi menyokong usaha gigihnya untuk menjadi Tuhan Masakan, bukankah sistem patut menyediakan bahan-bahan ini secara percuma?

Bu Fang menarik nafas terperanjat dan bertanya, "Sistem… Boleh tak kurangkan harga?"

"Tidak. Tapi, untuk meningkatkan peluang memasak masakan eliksir dengan jayanya, sistem cadangkan Tuan beli ramuan-ramuan lain yang hampir sama, sebagai ganti untuk dibuat latihan. Ramuan-ramuan pengganti: herba semangat kelas ketiga, Orkid Semangat Api yang berharga lima puluh kristal, binatang semangat laut kelas ketiga, Abalone Semangat Hitam yang berharga seratus kristal."

Bu Fang terperanjat seketika. Dia terkesima dengan logik akal sistem yang sempurna itu.

"Kalau begitu, berikan saya tiga bahagian ramuan pengganti." Bagi memastikan masakan eliksir itu berjaya disediakan, Bu Fang akhirnya memilih untuk membeli bahan-bahan daripada sistem. Wang yang digunakan untuk membuat bayaran ditolak terus daripada hasil jualannya.

Perkara ini membuatkan Bu Fang rasa pedih hati. Setiap kristal yang digunakan ialah daripada tahap pertapanya...

Dalam almari, tiga bahagian ramuan-ramuan itu telah muncul. Bu Fang mengambil satu bahagian.

Abalone Semangat Hitam sememangnya tak sehebat Abalone Semangat Langit. Tenaga semangatnya juga tak sebegitu banyak. Namun, dia terpaksa menerimanya kerana itu hanyalah bahan pengganti untuk dia berlatih.

Selepas membasuh Abalone Semangat Hitam, Bu Fang meneliti cangkerangnya dan mendapati ada garis-garis halus di permukaaannya yang membina susunan magik yang pelik. Susunan itu beredar perlahan-lahan dan mengumpulkan banyak tenaga semangat.

Senang cerita, Abalone Semangat Hitam nampak seperti abalone biasa. Saiznya tak sebesar Abalone Semangat Langit dan lebih kurang sama dengan saiz abalone besar di dunianya sebelum ini.

Cara terbaik untuk menyediakan masakan eliksir ialah dengan merenehnya. Apabila seketul abalone digunakan untuk memasak sup, masakan itu sendiri mengandungi banyak khasiat berubat. Apabila ditambah dengan herba-herba semangat, nilai sup itu akan meningkat lebih lagi dan menjadi esen masakan eliksir.

Bu Fang membawa keluar periuk tanah dan meletakkan Abalone Semangat Hitam itu di dalamnya. Kemudian, dia menuang mata air yang disediakan sistem ke dalam periuk itu. Mata air yang manis dan menyegarkan itu penuh dengan tenaga semangat.

Selepas Bu Fang mengambil herba-herba semangat lain daripada sistem, dia memotongnya dan memasukkannya dengan berhati-hati ke dalam periuk tanah itu. Susunan herba-herba semangat telah dibuat dengan berhati-hati. Kalau kedudukannya berbeza, rasa dan kesan berubat masakan eliksir ini akan terjejas.

Selepas membuat beberapa perubahan tentang susunan bahan-bahan, Bu Fang menutup periuk itu dan mula membiarkannya mereneh. Proses ini tak boleh dibuat terburu-buru.

Selepas wap mula keluar dari periuk, Bu Fang membuka penutupnya dan kepulan wap melimpah keluar. Menggunakan Pisau Dapur Tulang Naga, dia membuat hirisan kecil pada Orkid Semangat Api dan menitikkan jus semangat yang pekat ke dalam periuk tanah itu. Bau wangi terus meresap keluar dari dalamnya.

Pada fasa ini, Bu Fang perlu mencampurkan daya tulennya untuk mengawal jus semangat itu supaya ia meresap secara berterusan ke dalam Abalone Semangat Hitam...

Kali kedua penutup periuk itu dibuka, Bu Fang meletakkan Orkid Semangat Api ke dalam periuk sebelum ditutup semula untuk terus direneh… Selepas setengah jam berikutnya, masakan eliksir itu siap.

Dalam satu penginapan mewah di bandar diraja.

Satu susuk tubuh yang menarik dan menggiurkan sedang duduk dengan kaki bersilang di atas katil besar. Rambut Ni Yan yang hitam berkilat dilepaskan dan nampak seperti air terjun di belakang badannya. Matanya tertutup rapat sambil tangannya membuat lambang tangan1. Daya tulen beredar di luar badannya secara berterusan.

Selepas menikmati sajian yang lazat di restoran Bu Fang, daya tulen yang begitu banyak dalam badannya membolehkan Ni Yan untuk cuba maju ke tahap seterusnya. Walaupun tahap pertapanya buat masa ini ialah pada fasa awal Santo Pertempuran kelas ketujuh, dia mungkin boleh mencapai fasa seterusnya dengan penemuan baru ini. Walaupun dia tak akan capai kelas kelapan, ini pun sudah dikira cukup bagus.

Lagipun, selepas mencapai tahap Santo Pertempuran, setiap peningkatan merupakan perubahan kuasa yang dramatik.

Bzzz.

Apabila satu gelombang bunyi tersebar, simbol-simbol misteri mula beredar dalam mata Ni Yan dan kulitnya yang jernih itu memancarkan cahaya terang. Pada masa itu, dia nampak terlalu cantik sehingga boleh menyesakkan nafas. Dia kelihatan bagaikan bidadari syurga dengan kecantikan yang tiada tolok bandingan.

Tiba-tiba, Ni Yan memekik panjang. Dia merasakan yang dia baru sahaja membuka pintu yang tertutup rapat. Walaupun hanya sedikit sahaja yang terbuka, gelombang daya tulen terus mengalir dalam badannya dan dia tak mampu menahan diri daripada menjerit.

Dalam kawasan bandar diraja yang nampak aman dan berkembang pesat itu, satu perkara yang menggegarkan dunia telah berlaku.

Jeritan panjang itu ditemani dengan satu tiang cahaya yang memancar naik ke langit dan jelas kelihatan dalam kegelapan malam.

Dalam kediaman Xiao, Xiao Meng tiba-tiba membuka matanya dan memandang ke arah tiang cahaya yang memancar naik ke langit. Ekspresinya terus berubah dan dia bergerak keluar dari biliknya. Sambil terbang di udara, dia menuju ke arah lokasi pancaran cahaya itu.

"Seorang Santo Pertempuran kelas ketujuh telah muncul di bandar diraja pada masa begini? Adakah dia seorang musuh atau sekutu?"

...

Kediaman Menteri Kiri.

Zhao Musheng, yang memakai kot luar, memandang acuh tak acuh ke arah tiang cahaya itu. Bila dia mengecilkan matanya, satu cahaya keemasan kelihatan beredar dalam matanya.

"Ini seseorang daripada Sekta Cakerawala Rahsia… Mungkinkah Sekta Cakerawala Rahsia juga berniat untuk turut serta kali ini?" dia menggumam sendiri sebelum tersenyum. Dengan langkah perlahan, seluruh badannya terapung di udara sambil dia menuju ke arah lokasi yang jelas kelihatan itu.

Pada masa itu, bukan sahaja Menteri Kiri dan, tapi semua puak dalam bandar diraja terkejut dengannya. Hanya seseorang dengan tahap pertapa yang sekurang-kurangnya Santo Pertempuran kelas ketujuh mampu menyebabkan satu fenomena di mana daya tulennya memancar sehingga ke langit… Ada seorang Santo Pertempuran yang baru muncul dalam bandar diraja pada waktu yang sangat sensitif ini. Jadi, sudah semestinya sesiapa pun akan berjaga-jaga.

Kalau salah seorang daripada Putera Mahkota atau Raja Yu berjaya mendapatkan sokongan Santo Pertempuran ini, salah satu pihak akan hancur.

avataravatar
Next chapter