52 Harga (Bahagian 1)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Dalam Galeri Proulx. Musik yang elegan menemani setiap pengunjung yang hadir, sambil mereka meneliti satu demi satu arca yang berada di sana.

Galeri di situ dibahagi kepada dewan utama, dewan pengukir mahir dan dewan pakar ukir.

Dewan utama mengambil ruang yang sangat luas dalam galeri itu. Ia juga menempatkan kebanyakan karya seni di galeri itu. Di satu sudut timur laut dewan itu, berdirinya tiga karya seni yang memancarkan aura yang unik. Sesiapa saja yang pernah menghabiskan masa mempelajari seni mengukir pasti akan dapat mengesan aura itu.

Namun begitu, lebih dari sepuluh ribu karya seni yang sama berdiri di dalam dewan itu. Tiga arca berkenaan seperti jarum yang tersembunyi dalam lautan yang luas. Agak sukar untuk sesiapa sedar akan kehadiran mereka.

"Kebanyakan arca di sini terasa lompong. Mereka ada bentuk tapi tiada jiwa."

Count Juneau [Zhunuo] yang berusia 180 tahun itu perlahan-lahan berjalan menerusi dewan utama. Pandangannya singgah dari satu ke satu karya seni di situ. Count Juneau tiada hobi lain. Satu-satunya perkara yang disukainya ialah arca. Setiap hari, dia akan menghabiskan masa paginya berjalan di dalam Galeri Proulx.

Sungguhpun begitu, tidak banyak arca di dewan utama yang mampu menarik minat Count Juneau.

"Tuan Count, ada mana-mana arca yang menarik pada mata Tuan?" kata seorang pengiring yang cantik di sisinya. Oleh sebab Count Juneau datang ke sini setiap pagi, semua pengiring yang bekerja di Galeri Proulx sudah pun biasa dengan kehadirannya.

Count Juneau menggeleng kepalanya dan ketawa. "Belum jumpa lagi."

"Tuan Count, kualiti ukiran di sini jauh lebih rendah berbanding arca-arca di dewan pengukir mahir dan dewan pakar ukir. Kenapa Tuan habiskan masa Tuan di sini setiap pagi?" tanya pengiring wanita itu, ingin tahu.

Count Juneau sengaja melepaskan tawa penuh misteri. "Kamu tak faham. Ada banyak arca dalam dewan utama ini. Mungkin tersembunyi di dalamnya beberapa karya yang bagus. Perasaan itu sama seperti mencari emas dalam lumpur. Sangat mengasyikkan."

"Oh?" Pengiring itu melihat Count Juneau dengan penuh tanda tanya.

Count Juneau tidak menjelaskan dengan lebih lanjut. Dia terus menilai satu demi satu arca tanpa berhenti. Namun, apabila dia sampai kepada tiga karya seni Linley, mata lelaki itu terus bertenaga. Setelah menilai arca selama berabad-abad lamanya, dia dapat merasakan bahawa tiga arca ini mempamerkan sesuatu yang istimewa.

"Tenang, semulajadi, bangga dan bersahaja…"

Count Juneau tidak boleh menahan diri daripada memuji.

Istilahnya ialah 'intipati'. Untuk satu karya seni digelar sebagai karya seni yang 'bagus', ia perlu mempunyai suatu intipati yang istimewa. Dengan sekali imbas, Count Juneau boleh merasa aura tenang, bangga dan bersahaja yang dipancarkan tiga karya seni ini. Aura unik ini yang berjaya menghentikan langkah Count Juneau.

"Mari sini dan tolong saya letakkan bidaan. Untuk tiga arca ini, saya mahu bida seratus syiling emas untuk setiap satu." kata Count Juneau kepada pengiring wanita itu.

Pengiring wanita itu tersenyum gembira dan segera mengeluarkan buku rekod. Selepas mencatat nombor pendaftaran untuk setiap arca, dia mengeluarkan tiga keping kertas dan meletakkannya di sebelah arca-arca itu. Setiap keping kertas tertulis 'seratus syiling emas' di atasnya.

Sementara pengiring wanita itu melakukan kerja-kerja pentadbiran, Count Juneau terus meneliti ketiga-tiga arca itu.

"Tunggu sekejap!" Mata Count Juneau tiba-tiba bercahaya sekali lagi selepas merenung tajam arca yang bernama 'Naga Veloci'. 'Mana mungkin perisai bersisik milik Naga Veloci ini berkongsi garisan yang sama dengan garis luaran dan garisan kakinya, seperti ia dilakukan dalam satu siri ukiran? Secara logik, karapas bersisik ini perlu diukir menggunakan pahat rama-rama, sementara kakinya perlu diukir dengan pahat lurus. Tidak kira betapa telitinya seseorang itu, seorang pengukir tak akan mampu membuat satu garisan mengalir bersama dengan 100% sempurna!'

Count Juneau telah mempelajari arca selama lebih dari satu abad.

Pada mulanya, dia bukan seorang bangsawan yang kaya raya. Tetapi berdasarkan pandangan matanya yang tajam, dia dapat mengumpul banyak arca dengan harga yang murah dan kemudian menjualnya dengan harga yang lebih mahal. Ini cara bagaimana Count Juneau menjadi salah seorang bangsawan yang paling kaya dalam Kota Fenlai.

'Adakah dia menggunakan satu alat sahaja? Mustahil! Selain daripada pahat rama-rama, alat mana yang lain boleh diguna untuk membentuk ukiran yang begitu sempurna dan indah untuk setiap sisik timbul itu?' Count Juneau berkerut, menumpukan sepenuh perhatiannya. Dia tidak pernah melihat sesuatu seaneh itu.

"Tuan Count?" Melihat lelaki itu masih termangu-mangu, pengiring wanita itu cuba memanggil dengan lembut.

Mata Count Juneau bercahaya. Dia berkata kepada dirinya sendiri, 'Aku tak sangka aku akan jumpa karya yang begitu unik di dewan utama Galeri Proulx. Aku tak boleh biarkan orang lain sedar akan kewujudannya. Itu akan menyebabkan harganya akan bertambah naik dengan begitu tinggi.'

Count Juneau terus membuat keputusan.

Dia tidak akan membida arca ini untuk beberapa hari ini, dan kemudian datang untuk membida pada dua hari yang terakhir.

"Bantu saya batalkan bidaan saya." kata Count Juneau pada wanita di sisinya.

"Batalkan?" Pengiring wanita itu terkejut. Berdasarkan peraturan mereka, setelah bidaan dibuat ia tidak boleh ditarik semula. Tapi Count Juneau seorang yang sangat tua dan telah lama menjadi pelanggan kepada Galeri Proulx, jadi pengiring wanita itu serta-merta membuang tiga pelekat bidaan pada arca-arca itu.

"Boleh saya tanya kenapa Tuan mahu menarik semula bidaan Tuan?" tanya pengiring wanita itu.

Count Juneau tersenyum penuh misteri. "Tak perlu kamu tanya. Oh ya, saya mahu tanya. Berapa lama arca-cara ini telah dipamerkan?"

Pengiring wanita itu menyelak halaman rekodnya, kemudian tersenyum. "Tiga arca ini akan dipamerkan sehingga 30 Jun. Ia dibawa ke dewan utama semalam."

Count Juneau mengangguk sedikit.

"Baiklah, saya akan pusing-pusing di sekitar sini. Pergilah dan uruskan apa yang kamu perlu selesaikan." Count Juneau tersenyum.

Dalam hatinya, Count Juneau berasa girang. Berdasarkan pengamatannya, nilai tiga arca itu sepatutnya sekitar tiga ribu syiling emas. Arca biasa dari seorang pakar ukir akan bernilai seribu syiling emas setiap satu, dan tiga arca ini telah diukir dengan begitu unik sekali. Hanya berdasarkan itu sahaja, nilai sebenarnya sepatutnya menjadi dua kali ganda.

Count Juneau meneruskan lawatannya ke galeri itu setiap hari. Sudah tentu, seperti apa yang dia jangka, tiada siapa perasan kehadiran tiga arca itu kerana terlalu banyak arca lain yang terdapat dalam Galeri Proulx. Walaupun jika ada yang perasan, mereka hanya akan berasa arca itu kelihatan cantik dan tidak boleh melihat nilai sebenar arca-arca itu.

10 Jun.

Count Juneau sekali lagi tiba di Galeri Proulx. Berjalan dengan bersahaja di galeri utama, dia mengimbas pilihan arca yang ada. Akan tetapi, sebaik sahaja dia sampai ke tiga arca itu, wajahnya bertukar tegang. Di sisi setiap arca terdapat slip bidaan.

Setiap arca itu dibida dengan nilai tiga ratus syiling emas.

Apabila melihat bidaan itu, Count Juneau mencemuh dalam hatinya. 'Bodoh! Walaupun kamu nampak nilai sebenar arca-arca ini, kenapa kamu terus letak harga yang tinggi? Ini akan menarik perhatian orang lain.' Hati Count Juneau sebal, tapi tiada apa yang boleh dilakukan. Dia tiada kuasa untuk menarik bidaan orang lain.

Semua berlaku seperti apa yang dia jangka.

12 Jun. Count Juneau sekali lagi tiba ke tiga arca tersebut. Sekarang, harganya telah berubah sekali lagi.

'Lima ratus syiling emas?' Mata Count Juneau mengecil penuh geram. 'Nampaknya ada lagi orang lain yang nampak nilai sebenar sesuatu benda.'

avataravatar
Next chapter