29 Bebe, Si Tikus Bebayang (Bahagian 2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Si Tikus Bebayang kecil pernah melihat Linley pergi memburu arnab di gunung tetapi kali ini, Linley tidak menuju ke sana. Linley menuju ke arah yang berbeza, menggunakan jalan. Si Tikus Bebayang kecil itu mulai panik.

"Decit, decit!"

Si kecil itu bergegas mendekati Linley.

Ketika Linley sedang berjalan, tiba-tiba dia menyedari kakinya dipeluk dari belakang. Sebaik saja dia tunduk, dia nampak si Tikus Bebayang kecil yang memeluknya. Si Tikus Bebayang kecil itu berdiri dengan kaki belakang dan kaki hadapannya berpaut kuat pada kaki Linley. Dia memandang Linley dengan dua mata bergetar seakan-akan ingin menangis, meminta simpati.

'Eh, apa Tikus Bebayang kecil ini buat di sini?!' Linley terkejut.

Di sebelah mereka, Hillman menoleh arah mereka. Sebaik saja dia melihat Tikus Bebayang kecil itu, dia berasa terkejut. "Makhluk ajaib! Adakah itu Tikus Pemakan Batu?" Hillman tidak berapa tahu tentang jenis-jenis makhluk ajaib, tetapi ada suatu peristiwa di mana sekumpulan besar angkatan tentera telah dilahap oleh Tikus Pemakan Batu. Oleh hal demikian, kebanyakan askar tahu dan takut akan makhluk ajaib jenis tikus.

"Linley, hati-hati!" Hillman bergegas ke arah mereka. Linley hanya nampak satu kelibat. Tahu-tahu sahaja Hillman sudah berasa di situ, bersebelahan si Tikus Bebayang kecil.

Tetapi Tikus Bebayang kecil itu lebih pantas dan dalam sekelip mata, ia berada di atas bahu Linley.

"Pak Cik Hillman, berhenti!" Linley akhirnya bertindak balas.

Himan terkejut.

"Pak Cik Hillman, inilah haiwan belaan yang saya beri makan dan besarkan di halaman belakang," kata Linley tergesa-gesa. "Bukankah begitu, si Tikus Bebayang kecil?"

Tikus Bebayang itu seakan-akan memahami lalu mengangguk-anggukkan kepala kecilnya.

Hillman melihat Linley dengan riak yang terkejut. "Linley, maksud kamu telah menjaga, menjaga seekor makhluk ajaib?"

"Pak Cik Hillman, tunggu sebentar. Saya ingin menyuruhnya pulang." Linley memegang si kecil itu dalam tapak tangannya seraya berkata, "Si Tikus Bebayang kecil, saya akan pergi bersama Pak Cik Hillman ke ibu kota. Kamu tidak boleh ke sana. Faham?"

Tikus Bebayang kecil itu memandang Linley dengan pandangan simpati dan mata yang sedih seperti ingin menangis.

Linley meletakkan Tikus Bebayang kecil itu di atas jalan, kemudian melambaikan tangannya. "Pergi balik." Dan dia menuding jarinya ke arah jalan. "Saya akan ke sana. Ke ibu kota."

Selepas melambaikan tangannya, Linley menyambung langkahnya semula.

"Decit. Decittt!" si Tikus Bebayang kecil tetap berdiri di situ, memerhatikan Linley.

"Pak Cik Hillman, mari kita pergi. Hehe, si Tikus Bebayang kecil itu bijak. Ia faham kata-kata saya," Linley berkata kepada Hillman. Hillman yang melihat kejadian itu berasa sangat takjub, ketawa kecil dan kemudian menyambung langkahnya bersama Linley.

Ketika melihat Linley dan Hillman semakin jauh daripada pandangannya, Tikus Bebayang kecil itu masih terkaku di situ, tidak bergerak.

"Decit, decit…"

Tikus Bebayang kecil itu tiba-tiba memekik, berubah menjadi kelibat hitam dan bergerak dua puluh ke tiga puluh meter dalam sekelip mata. Kepantasannya sangat mengejutkan, begitu juga kelincahannya. Linley dan Hillman berjalan sambil berbual tiba Hillman tiba-tiba merasakan sesuatu berlari ke arah mereka dari belakang lalu berpaling.

* Whooosh! *

Hillman tidak sempat untuk bertindak balas. Kelibat itu tiba-tiba berhenti di sebelah kaki Linley dan segera mengunyah kaki kanan Linley.

"Aduh!" Linley melompat kerana tiba-tiba berasa kesakitan yang amat sangat.

Apabila dia tunduk untuk melihat, dia sedar Tikus Bebayang kecil dalangnya. Pada ketika itu, tikus itu sedang memandang Linley dengan mata yang meminta simpati. Linley menggosok kakinya, dan menyedari kakinya berdarah. Dia mula berasa tidak senang. Tetapi melihat wajah sedih Tikus Bebayang kecil itu, dia tidak jadi untuk marah.

"Linley, kamu tak apa-apa?" Hillman bertanya.

"Saya okey." Linley ketawa kecil.

Tiba-tiba…

Cahaya hitam yang kelam dan suram keluar dari badan si Tikus Bebayang kecil. Setitis darah segar tiba-tiba keluar dari sudut mulutnya. Titisan darah segar itu mempunyai kedua-dua darah Linley dan si Tikus Bebayang kecil. Darah itu tiba-tiba berubah menjadi dua segi tiga bertentangan yang bercantum antara satu sama lain lalu bergabung dengan cahaya hitam kelam membentuk formasi ajaib yang aneh serta menghasilkan aura gelap.

Linley dan Hillman memandang, tergamam.

'Adakah ini… Betulkah ini?' Hati Linley membuat tekaan melulu.

Daripada cincin Naga Pusar, Doehring Cowart terbang keluar. Janggut putihnya berkibar-kibar tanda gembira. Dia berkata, 'Linley, si kecil itu sedang melakukan formasi 'ikatan setaraf' dengan kamu.'

'Adakah itu 'ikatan setaraf'?' Jantung Linley terasa bagai direnggut. Walaupun tekaan dia benar, dia masih tergamam dan teruja.

Formasi ajaib hitam aneh itu terpisah kepada dua; satu segi tiga hitam terbang masuk ke dalam badan Linley, dan satu lagi masuk ke dalam badan si Tikus Bebayang kecil. Melihatkan kejadian itu, Hillman yang berada berhampiran berasa terkejut dan takut.

"Linley, kamu tak apa-apa?" Hillman mula berasa takut untuk Linley.

"Saya okey. Saya rasa menakjubkan!" Linley dapat merasakan rohnya dan roh Tikus Bebayang kecil itu berhubung.

Berdiri di jalan sunyi menuju keluar dari pekan Wushan, Linley dan si Tikus Bebayang kecil saling berpandangan dan mula berhubung buat pertama kalinya.

'Si Tikus Bebayang kecil, apakah nama kamu?' Linley bertanya secara mental.

Tikus Bebayang kecil itu berkata dengan penuh teruja, 'Bei…bei…'

Linley merenung si Tikus Bebayang kecil itu.

'Apa yang Tikus Bebayang kecil ini katakan?' Linley tidak begitu memahaminya.

Dengan janggutnya yang beralun-alun, Doehring Cowart yang berada di sebelah Linley berkata, 'Linley, si Tikus Bebayang kecil ini masih bayi. Ia masih tak boleh mengeluarkan bunyi yang jelas. Walaupun ia berhubung secara mental dengan kamu, buat masa ini, ia hanya boleh menyatakan niat ringkas.'

Disebabkan hubungan spiritual antara mereka, Linley dapat merasakan keterujaan si Tikus Bebayang kecil tanpa ia berkata walaupun sepatah.

"Baiklah. Kamu menyebut 'Bei'.. 'Bei'… Kalau begitu, saya akan panggil kamu 'Bebe'. Apa pendapat kamu?" Linley tersengih sambil melihat si Tikus Bebayang kecil itu.

Si Tikus Bebayang kecil itu kelihatan seperti berfikir sebentar, dan dengan gembira ia mengangguk.

"Bebe." Linley tersengih lebar, wajahnya seperti akan terpisah dua.

"Decit decit." si Tikus Bebayang kecil itu mula melompat ke atas ke bawah.

"Bebe!"

"Decit decit."

"Bebe!"

"Decit decit."

Kanak-kanak lapan tahun dan Tikus Bebayang kecil itu kedua-duanya menjerit kegembiraan.

"Linley, ini... Apa... Apakah ini?" Hillman baru dia sedar daripada keadaan tadi. Matanya bulat kerana terkejut. "Linley, apakah formasi ajaib berwarna hitam tadi? Apa yang telah berlaku? Kamu tak apa-apa?"

Hillman pernah dengar tentang sihir gaya kegelapan, di mana banyak sumpahan dan jampi serapah digunakan.

Adakah Linley baru saja terkena sumpahan?

Hillman yang kurang pengetahuan tentang sihir, tidak dapat lari daripada rasa terkejut dan takut.

"Haha, saya tak apa-apa. Cuma kini Bebe sudah menjadi makhluk ajaib saya." Linley berasa sangat gembira. "Mari, Bebe, lompat ke atas bahu saya." Si Tikus Bebayang kecil itu segera melompat ke atas bahu Linley.

"Kamu.. menjinakkannya?" Hillman tergamam.

Hillman seorang yang berpengalaman luas, sudah tentu dia tahu menjinakkan makhluk ajaib ialah tugas yang sukar dan sulit. Tetapi tadi Linley berjaya menundukkan makhluk ajaib.

Hillman keliru. "Kamu... kamu tiada skrol pengikat jiwa. Jadi bagaimana… bagimana kamu?"

"Sudahlah itu, Pak Cik Hillman," Linley ketawa kecil. "Baik kita cepat, jauh lagi perjalanan kita. Ibu kota jauh lagi dari sini." Sambil berkata Linley menarik Hillman dengan tangannya, mematikan bicaranya dan mereka meneruskan perjalanan ke ibu kota.

Dan si Tikus Bebayang kecil berdiri dengan gembiranya di atas bahu Linley dan mendecit.

Dengan diiringi bunyi mendecit, Linley, Hillman dan si Tikus Bebayang kecil semakin hilang dimakan kejauhan.

avataravatar
Next chapter