"Aku tertanya-tanya apa barangan pelik yang bos ini akan gugurkan…" Han Gemuk berasa teruja untuk mendapatkan hasil rampasan daripada bangkai tersebut. 

"Budak kecil! Sentuh bangkai itu!" Zhang Yang memberi laluan kepadanya untuk mendapatkan hasil rampasan.

Drizzler dengan rela mendekati bangkai tersebut dan mendapatkan hasil rampasan.

[Minyak Dewa untuk Pemula: Sepantas Kilat] (Boleh digunakan)

Kegunaan: Menguatkan but anda. Meningkatkan kelajuan pergerakan 5% untuk selama-lamanya.

Zhang Yang tidak dapat menahan gelaknya. "Hah! Muncul pula peralatan ini di sini!"

"Baguskah peralatan ini?" Drizzler bertanya. Dia tidak yakin yang peningkatan kelajuan pergerakan sebanyak 5% itu sesuatu yang mengagumkan.

"Dalam pertarungan nanti…" Zhang Yang terhenti selepas 3 perkataan tersebut. Kelajuan pergerakan satu faktor yang dapat membantu dalam memenangi pertarungan. Dengan pergerakan laju walau sedikit mana pun, pemain boleh mengelak serangan atau mengejar pihak musuh untuk mengenakan serangan membunuh terakhir! Namun, Liga Profesional hanya akan diwujudkan dalam masa lebih kurang 5 bulan akan datang. Pemain beta tidak sepatutnya tahu tentang Liga tersebut!

"Seorang Pahlawan terkenal dengan pergerakannya yang perlahan. Jika seseorang menggunakan bonus kelajuan pergerakan 5% ini, dia boleh mengelak dengan lebih mudah! Ini satu kelebihan semasa PK!" Zhang Yang cepat-cepat mengubah ayatnya.

"Minyak Dewa ya… Kenapa pula aku tiba-tiba terfikirkan Assam India?" Han Gemuk ketawa. "Tapi… Minyak Dewa India yang terkenal itu bukan untuk kelajuan, tapi untuk ketahanan dan kekuatan! Kalau kau buat benda itu terlalu laju, bukankah kau akan cepat selesai nanti?"

"Pergi matilah…"

Memandangkan tiada sesiapa yang berminat dengan barangan tersebut, Zhang Yang secara automatik memperolehinya. Dia merasakan but Tahap 20 miliknya sekarang tidak memerlukan minyak tersebut. Dia memilih untuk menunggu hingga dia memperolehi but Perak Kelabu dan kemudian baru menggunakan minyak tersebut!

Namun, minyk itu hanya bergred pemula. Ada lagi gred yang lebih tinggi dan lebih hebat. Gred tertinggi boleh meningkatkan kelajuan pergerakan sebanyak 15% dan itu boleh memberi kelebihan kelajuan yang ketara.

[Pisau Belahan Gunung] (Tembaga Hijau, Pedang Dua Belah Tangan)

Serangan senjata: 180-216

Selang masa serangan: 3.8 saat

DPS: 52

Keperluan tahap: 20

"Wah! Aku mahukannya! Beri padaku! Beri padaku!" Drizzler menjerit.

"Eh? Kenapa kau mahukannya? Bukankah kau memang mempunyai senjata Tembaga Hijau Tahap 20 sekarang?" soal Zhang Yang walaupun dia tahu sebabnya. Dia mahu menilai pemahaman Drizzler.

Drizzler menunjukkan gaya menyampah dan berkata, "Senjata aku sekarang mempunyai sela masa serangan 3.5 saat, manakala senjata baru itu pula 3.8 saat! Kalau sela masa serangan lebih panjang, kerosakan kemahirannya akan lebih tinggi! Sebagai seorang Pelindung, apa yang kau faham tentang seorang Berserker, huh!?" Drizzler meninggikan hidungnya.

Zhang Yang menggeleng kepala dan tertawa. Dia tidak menyangka yang dia akan menerima ceramah tentang mekanisma permainan video ini.

Drizzler bukanlah setamak seperti yang dia sangkakan. Selepas Drizzler memperolehi peralatan baru itu, dia menyatakan yang dia akan memasukkan [Lembing Panjang Labah-labah] yang sebelum ini dia gunakan ke dalam tempat simpanan persatuan.

[Skrol Sakti: Meningkatkan Semangat (Tahap 1)] (Boleh digunakan)

Kegunaan: Menaikkan semangat ahli pasukan serta meningkatkan kadar kerosakan dan penyembuhan sebanyak 5%, bertahan selama 5 minit. Kesannya tidak boleh ditindihkan.

Baki penggunaan: 3/3

Keperluan tahap: 20

Nota: Skrol sakti ini dibuat sendiri oleh Necromancer Almark yang hebat. Anda masih boleh menghidu bau pereputan yang masih ada!

"Barangan ini sangat berguna! Terutamanya semasa pertarungan dengan bos! Barangan yang kecil ini boleh membawa kesan yang besar!" kata Zhang Yang dengan riangnya. Dia berasa yang peningkatan 5% kerosakan tidak patut dipandang ringan kerana jika mereka menggunakannya dalam dungeon dengan 50 orang sepasukan, serangan mereka boleh ditingkatkan sebanyak 5% untuk 50 orang. Mereka boleh mendominasi pertarungan dengan bos yang sukar ditewaskan!

Bukan sesuatu yang pelik apabila tempat ini selalu dipenuhi banyak persatuan besar! Mereka juga mencari barangan ini! Kebanyakan persatuan tersebut memang selalu berbalah dalam perebutan hak untuk mengumpul barangan di sini! Kepingan skrol inilah punca perbalahan mereka. Peralatan merubah rupa juga merupakan salah satu faktor dalam perbalahan mereka! 

Tempat permainan ini milik mereka!

Zhang Yang terfikirkan yang dia perlu menetapkan kuasa tertentu untuk memenuhi lapangan ini bagi memastikan ia milik mereka! Kawasan ini memang merupakan dan akan sentiasa menjadi lombong harta karun!

Memandangkan mereka semua dalam pasukan yang sama, tiada perbalahan antara mereka dalam pembahagian hasil rampasan. Mereka juga mahu menunjukkan rasa hormat kepada ketua pasukan mereka, jadi mereka menawarkan skrol tersebut kepada Zhang Yang. Zhang Yang sebaliknya tahu yang inventori mereka telah penuh, jadi mereka menawarkan barangan itu kepadanya kerana mereka tidak boleh mendapatkan barangan lain lagi!

"Kau semua ini tak guna!" Zhang Yang mengetap giginya.

"Okey! Kita teruskan! Ke tingkat lima sekarang!"

Keempat-empat ahli pasukannya tertawa kecil dan menuruni tangga batu yang menghala ke tingkat lima. Mereka telah memperolehi banyak pengalaman berbanding sebelum ini dan berjalan dengan berhati-hati semasa mendekati pintu masuk. Namun, apabila mereka menjenguk ke bahagian dalam, mereka hanya dapat melihat padang kosong. Lapangan tersebut tidak besar dan hanya sebesar padang bola. Kadar penglihatan mereka juga tidak begitu meyakinkan walaupun terdapat banyak obor api yang tergantung menerangi kawasan tersebut. Mereka ternampak sesuatu di tengah-tengan padang yang dipenuhi kepulan gas tebal berwarna hijau.

"Tiada raksasa ya." Han Gemuk menggumam dan menolak Zhang Yang memasuki kawasan tersebut.

"Jahanam!" Zhang Yang tidak bersedia untuk itu. Sebaik sahaja dia memasuki padang tersebut dan tubuhnya terkena gas hijau itu, kesan melemahkan muncul di atas kepalanya.

[Racun Merbahaya]: Menyebabkan sasaran mengalami 500 mata kerosakan Semula Jadi setiap 3 saat sehingga sasaran meninggalkan kawasan tersebut.

Zhang Yang melompak masuk ke tangga tadi dengan paniknya. Kesan melemahkan itu serta-merta hilang, tetapi hanya selepas mengenakan 400 mata kerosakan ke atas Zhang Yang.

"Seluruh kawasan ini beracun! Kita kena ambil antidot yang NPC itu beri pada kita!"

Drizzler dengan segera mengeluarkan antidot miliknya dan hampir menelannya apabila Zhang Yang tiba-tiba menghalangnya.

"Nanti dulu. Kita masih tak tahu di mana bos tersebut! Antidot ini pula hanya boleh digunakan sebanyak 3 kali dan mempunyai had masa yang terhad, jadi jika kita terus menggunakan semua sekali, kita mungkin kena berjumpa semula NPC itu untuk mendapatkan lagi antidot."

"Adakah itu bosnya? Kelibat gelap di tengah-tengah padang itu?"

Zhang Yang memikirkannya seketika lalu berkata, "Si Salji, bacakan jampi <Perisai Suci> dan <Pertumbuhan Semula> ke atas aku. Aku nak masuk dan periksa."

Si Salji mengangguk dan menggerakkan tangannya sambil membaca jampi perisai dan jampi penyembuhan ke atasnya.

"Jangan mati pula, tank noob!"

"Janganlah cakap begitu!" Zhang Yang mengetap giginya. Zhang Yang berlari pantas ke tengah-tengah padang tersebut.

Kerosakan diserap!

3 saat kemudian, teks kerosakan muncul di atas kepalanya.

'-187!'

Selepas 3 saat berikutnya, perisai itu lenyap. Zhang Yang mula mengalami kerosakan. Namun, <Pertumbuhan Semula> mula berfungsi dan memulihkan Zhang Yang.

'-400!'

'+129!'

Zhang Yang akhirnya mendekati kelibat hitam itu dan dapat melihatnya dengan jelas. Memang benar itu bosnya!

Kelibat hitam itu ialah penunggang kuda rangka. Rangka tersebut berdiri tegak dengan soket matanya yang berapi dengan api hijau membara. Api merah pula keluar daripada lubang hidungnya. Pemaju permainan video ini memang bersungguh-sungguh dalam mereka cipta raksasa ini!

Penunggang kuda itu memakai baju perisai berwarna merah darah. Terdapat sebilah pedang panjang di sebelah kanan pelananya manakala di sebelah kiri pelananya, ada perisai dengan simbol makhluk griffin yang diukir di atasnya. Matanya yang tidak berkelip itu menggerunkan Zhang Yang.

[Shurian, Kesatria Suci yang Tewas] (Perak Kelabu)

Tahap: 30

HP: 400k

Setelah selesai Zhang Yang membaca maklumat bos tersebut, dia cepat-cepat memusingkan badannya dan menuju semula ke tangga tadi. Dia mengalami banyak kerosakan sepanjang perjalanannya itu.

"Peliknya. Bos ini memang peringkat Perak Kelabu, tapi tiada langsung maklumat dalam penerangan cabaran tentang mana-mana kesatria. Ia hanya menerangkan tentang Necromancer Zac…" Zhang Yang berbisik.

Han Gemuk sebaliknya girang mendengar perkhabaran itu. "Haha! Baguslah begitu! Kita boleh tewaskan dua bos Perak Kelabu!"

Zhang Yang dalam diam menggeleng kepalanya. Dia tetap merasakan yang ada sesuatu yang tidak kena di sini, tetapi dia tidak dapat mengenal pastinya.

"Jadi… Macam mana kita nak bertarung dengannya? Apa rancangannya?"

Mereka semua memandang Zhang Yang.

Zhang Yang tersentak. Walaupun dia telah dilahirkan semula untuk mengulangi kehidupannya, itu tidak bermaksud yang dia dengan ajaibnya mengetahui segala-galanya tentang setiap bos! Dia terdiam untuk berfikir seketika.

"Aku tak tahu apa kemahiran yang bos ini ada. Kita hanya boleh tahu semasa kita bertarung dengannya! Baik, ini rancangannya. Kita akan ambil posyen ini dan cepat-cepat masuk dan bertarung dengan bos itu! Kita tak boleh bazirkan langsung waktu! Selagi tempoh antidot itu belum tamat, jangan gunakan pengambilan seterusnya sebelum aku beri arahan! Ada kemungkinan yang kita tak akan berjaya membunuhnya! Kalau itu terjadi, kita tak boleh terus membazir waktu!"

"Okey!" Mereka semua mengangguk.

"Dalam kiraan 3, kita akan ambil antidot ini serentak dan bergegas masuk!"

"1!"

"2!"

"3!"

Zhang Yang dengan segera menggunakan [Antidot Sempurna] serta bergegas masuk ke tingkat lima dan mendekati kawasan tengah dan bos tersebut. Han Gemuk dan yang lain-lain mengambil antidot itu dan mengikutnya dengan rapat. 

"Wah! Kuda yang menarik! Aku mahukannya!" Drizzler menjerit. "Tank noob! Aku mahukannya! Aku nak kuda itu! Aku nak! Aku nak!"

Han Gemuk tertawa sinis. "Aku pun! Polis! Beri padaku!"

"Lelaki gemuk bedebah!"

Zhang Yang pada asalnya tidak mempedulikan kuda rangka tersebut, tetapi apabila Drizzler meraung-raung seperti seorang bayi, dia perlu menerangkan perkara itu kepadanya. "Biasanya, seorang pemain hanya boleh membeli seekor kuda daripada NPC selepas mencapai Tahap 40. Pemain juga boleh mendapatkannya walaupun dia masih berada di 5 tahap kurang daripada itu, tetapi hanya jika persatuannya telah mencapai Tahap 2 dengan mata pengalaman penuh! Ada juga satu lagi cara iaitu dengan mendapatkan tunggangan terus daripada mana-mana bos! Ada kemungkinan yang bos Tahap 30 akan menggugurkan haiwan tunggangan. Tetapi, bos yang mempunyai haiwan tunggangan tidak semestinya akan menggugurkan tunggangannya itu!"

"Haha! Ini satu lagi sebab kukuh untuk membunuhnya!" Han Gemuk berasa teruja. Perkembangan permainan video setakat ini hanya membenarkan pemain berjalan kaki untuk bergerak ke satu-satu tempat. Jika mereka boleh mendapatkan seekor kuda… bayangkan betapa mengagumkan apabila mereka dapat menunggang itu… dan meletakkan kuda tersebut di depan sebuah bank atau rumah lelong yang paling sibuk itu! Kalaulah dia boleh mendapatkan kuda yang betul-betul berada di depan matanya ini! Berapa ramai pemain akan mendekatinya nanti? Hanya untuk melihat haiwan tunggangan yang mengagumkan ini dengan lebih dekat! 

Zhang Yang terus meluru menyerang bos itu untuk memulakan pertarungan.

"Walaupun ada kemungkinan bos ini akan gugurkan haiwan tunggangannya, ia terlalu tipis! Kalau kemungkinan untuk dapatkan Raksasa Peliharaan itu 1 dalam 10,000, kadar dapatan haiwan tunggangan pula 100 kali lebih jarang daripada itu!"

Bos Perak Kelabu biasa selalunya mempunyai jarak cetusan aggro yang besar dan bos ini pula berada pada tahap yang lebih tinggi berbanding Zhang Yang, jadi ia serta-merta bersedia apabila pasukan Zhang Yang mendekatinya. Kuda itu meringkik kuat dengan nada yang tinggi dan berdiri di atas kaki belakangnya! Api besar membara keluar daripada keempat-empat kaki kuda tersebut. Ia kemudian menyerang ke hadapan dengan kelajuan yang mengejutkan! 

Bunyi ringkikannya sekuat guruh di langit dan bergema di seluruh lapangan tersebut seperti ribut teruk yang membawa kemusnahan ke tanah gersang! 

Bermulalah pertarungan mereka!

avataravatar
Next chapter