Setengah jam kemudian, Zhang Yang menerima timbunan [Plat Besi]nya dan dia menyimpan semua dalam inventori selepas membuat bayaran kepada Pakar Perlombongan. Sebelum dia mula menghasilkan [Batu Asah Pemula] di Kedai Tukang Besi…

'Beep!'

Dia menerima pesanan peribadi. "Abang Zhan Yu, kami tengah bertarung dengan bos ni. Boleh tolong tak? Ni bos Perak Kelabu Tahap 25 dan kami dah berkali-kali gagal tewaskannya!"

Itulah pesanan daripada Sami Ingkar. Mereka tidak lagi mengembara bersama sejak pencapaian dungeon Penyelesaian Pertama Mod Paling Sukar. Namun, mereka masih tetap berhubung setiap hari dan menyapa satu sama lain setiap kali mereka log masuk atau keluar, lantas mengekalkan hubungan yang rapat. Walaupun Zhang Yang ingin mengajak Ratusan Tembakan untuk menyertainya secepat mungkin, dia bimbang yang itu akan mempengaruhi keadaannya nanti apabila dia menjadi Pemburu Naga. Kalau dia terlepas peluang untuk mendapatkan Anak Naga Merah, itu padanya ialah satu tragedi! 

Zhang Yang menyoalnya kembali, "Bos Perak Kelabu Tahap 25 tu…apa namanya?"

"Undiun, Si Penderita!"

"Bedebah!" ujar Zhang Yang. Bos ini memang dahsyat! Undiun adalah Bos Dunia Tahap 30 dan bagi sesiapa yang ingin cuba menewaskannya, mereka perlu membawa bersama ramai pemain Tahap 20!

"Berapa ramai pemain yang kau ada sekarang?"

"Kami ada lebih daripada 30 pemain!" Sami Ingkar menjawab dengan bangga.

Zhang Yang mengeluh panjang dan berkata, "Dengar nasihat aku: Menyerah kalah dan baliklah."

Namun, Sami Ingkar enggan putus asa dan terus memujuk Zhang Yang. "Zhan Yu! Ini bos Perak Kelabu Tahap 25! Kalau kita berjaya tewaskannya, kita pasti akan dapat pencapaian dalam pengumuman pelayan!"

Itu memang satu ganjaran menarik. Namun, mereka masih memerlukan keupayaan yang cukup untuk menewaskannya! Belum sempat dia menolak pelawaan itu, dia teringatkan sesuatu dari masa lampaunya. Dalam kehidupannya yang lepas, ada seorang pemain yang mengaku di dalam forum yang dia telah menewaskan Undiun secara bersendirian. Sebaik sahaja dia membuat pengumuman itu, pemain lain mengejeknya kerana dia masih lagi pada Tahap 28. Mereka terus mengejeknya hingga dia akhirnya menghantar rakaman di mana dia telah menewaskan bos itu secara bersendirian dan semua di forum itu terpaksa menerimanya dan berdiam diri. 

Undiun, Si Penderita ialah raksasa kelas Ahli Sihir dan satu-satu kemahirannya adalah <Bola Api>! Sebaik sahaja pertarungan bermula, dia akan mula menjampinya dan memandangkan dia Bos Dunia, <Bola Api>nya bukan satu bola api sahaja, tetapi sepuluh biji bola api! Setiap biji bola api boleh menyebabkan lebih kurang 1,000 kerosakan dan dijampi setiap 3 saat. Ia memang raksasa yang mampu menewaskan pihak lawan begitu sahaja. Namun, ia perlu menyalurkan <Bola Api> setiap kali ia ingin menggunakannya dan Pemburu boleh menggunakan susun atur topografi kawasan itu untuk mendapat kelebihan. Sebaik sahaja Unduin mula menyalurkan <Bola Api>, Pemburu boleh bersembunyi di belakang batu besar yang di luar sudut pandangan bos itu. Dalam 'Keajaiban Tuhan', kalau sasaran hilang dari pandangan, mana-mana serangan akan dianggap tidak efektif dan bos akan terpaksa membatalkan penyaluran jampi. 

Pemburu kemudian boleh muncul semula dan meneruskan serangan apabila itu terjadi. Bos itu kemudian akan menyalurkan jampi semula apabila Pemburu berada dalam sudut pandangannya, tetapi sebelum ia habis membaca penuh jampi selama 3 saat itu, Pemburu boleh bersembunyi semula di belakang batu. Strategi ini memang sangat mudah difahami dan perlaksanaannya agak mudah dijalankan; namun apa yang menyukarkan keadaan adalah Nilai Nyawa (HP) bos itu yang sangat tinggi. Memandangkan pertarungan tidak dapat dilakukan secara berterusan, Pemburu akan mengambil masa sehari untuk menewaskan bos! 

Setelah strateginya menjadi pengetahuan umum, orang ramai mula sedar menewaskan bos itu tidak begitu sukar. Pemaju permainan video ini telah pantas bertindak dan terus membuang batu besar tersebut. Semasa Zhang Yang mula-mula menyertai permainan video ini, batu itu telah lama dibuang. Dia terjumpa taktik ini secara tidak sengaja semasa dia sedang meneliti bahagian forum. Kalau betul ada batu seperti yang dia bayangkan, watak penyerang jarak dekat juga boleh menggunakan kelebihan itu! 

Setelah dia berfikir masak-masak, Zhang Yang memberi jawapan balas kepada Sami Ingkar, "Baik, hantar lokasinya. Aku gerak sekarang!"

"87145, 24103. Kami tunggu kau! Nanti ada seseorang yang akan masukkan kau ke dalam pasukan ni! Jangan tolak pula!" Sebaik sahaja dia berkata itu, satu pelawaan untuk menyertai pasukan telah diterima.

'Ding! Pemain Drizzler telah menghantar pelawaan untuk menyertai pasukannya. Adakah anda menerima pelawaan ini?'

Zhang Yang memilih 'Terima' dan terus dimasukkan ke dalam pasukan.

'Ding! Anda telah menyertai satu pasukan. Ketua Pasukan: Drizzler. Pengagihan peralatan: Pengagihan oleh Ketua Pasukan'

Ada 34 orang pemain dalam pasukan itu termasuk Zhang Yang. Permainan video ini hanya membenarkan bilangan maksimum 50 orang sepasukan. Zhang Yang memeriksa nama pemain dan mengenali satu nama, Si Salji.

"Si kurus nakal!" Si Salji menghantar emotikon gigi taring dan kuku yang sedia ada dalam permainan video ini. Zhang Yang tidak mempedulikannya dan terus menuju ke arah lokasi di mana pasukan itu berada. Sami Ingkar memperkenalkan dan memuji-muji Zhang Yang kepada ahli pasukan lain. "Semua, inilah Zhan Yu; Pelindung yang membawa kami melalui penyelesaian dalam serangan Mod Paling Sukar. Dia ni memang sangat pro!" Zhang Yang asalnya ingin kekal sebagai seseorang yang tidak dikenali, tetapi dengan pengenalan seperti itu, dia hanya boleh membalas, "Hai, semua!"

"Selamat berkenalan, Zhan Yu!"

"Wah, Tahap 18! Hebatnya!"

"Kenapa namanya tiada dalam Papan Kedudukan Penarafan?"

"Mesti ada pepijat dalam sistem ni!"

Semua mula berborak dan saluran pasukan menjadi riuh-rendah.

Zhang Yang membuka peta untuk mengesan lokasi yang diberikan Sami Ingkar dan menurutnya, dia akan menuju ke arah kawasan pedalaman di Pergunungan Dataran Awan! Kalau betul ingatannya, semua raksasa di kawasan itu pada tahap lebih tinggi daripada Tahap 20! 

Dia yang masih keliru terus bertanya kepada Sami Ingkar, "Macam mana kau boleh jumpa bos di kawasan pedalaman ni?"

Sami Ingkar cepat-cepat memberi jawapan, "Di sini ada orang bodoh dalam mencari arah. Dia tersesat dan berjalan hingga ke Pergunungan Dataran Awan dan terjumpa ni!" Ini tidak lain tidak bukan Si Salji! Zhang Yang serta-merta ingat dengan jelas keupayaan gadis itu dalam mencari arah. 

Drizzler, ketua pasukan itu telah menghantar satu pesanan dalam saluran pasukan, "Semua, cepat pulihkan HP, kita akan bertarung dengan bos sekali lagi!"

"Itulah ketua persatuan kami!" Sami Ingkar memperkenalkannya. Pertarungan pun bermula tidak lama selepas itu dan Drizzler sekali lagi memberi arahan. 

"Lin Besar, mulakan pertarungan! Penyembuh, awasi diri sendiri! Penyerang, gerak ke depan dengan aku!"

Zhang Yang tidak perlu berfikir lanjut kerana dia telah dapat menjangka pasukan itu akan tewas. Setengah minit kemudian, semua nama, selain Zhang Yang, dalam senarai itu telah menjadi gelap yang menandakan mereka telah mati, dan aduan mula memenuhi tetingkap perbualan. 

"Ketua, raksasa ini terlalu kuat! Kita takkan mampu tewaskannya!"

"Ya! Dengan semua <Bola Api> yang terbang ke sana sini, seluruh kawasan ni zon bahaya! Penyembuh sendiri tak sempat memulihkan kita semua!"

"Bos Tahap 25 ni memang di luar kemampuan kita!"

Namun, Drizzler masih tidak berpuas hati, "Jadi, patut ke kita menyerah kalah?"

Mereka yang lain mula menyedari yang kemampuan dan kuasa mereka tidak mencukupi. "Kita tak ada pilihan. Kita perlu capai tahap lebih tinggi daripada Tahap 20, cari peralatan dari dungeon seterusnya, dan naikkan HP kita ke sekurang-kurangnya 1,500 supaya kita ada harapan selesaikan ni!"

Sami Ingkar sebaliknya telah meletakkan keyakinannya ke atas seseorang. "Sabar sekejap! Zhan Yu belum sampai lagi, dan bila dia dah sampai, mesti akan ada caranya!"

"Ish! Masalahnya sekarang bukan pada tanker, masalahnya kemahiran bos itu yang boleh mensasarkan banyak sasaran pada satu masa! Kita tak perlukan tanker untuk kemahiran macam tu!"

"Ketua, kita tunggu Zhan Yu dan cuba lagi selepas tu!"

Kebolehan yang ditonjolkan Zhang Yang semasa di Makam Bangar telah membuatkan Sami Ingkar betul-betul percaya yang dia boleh menyelesaikan apa-apa masalah yang dihadapi tanpa mengira tahap kesukarannya. Memandangkan Gerimis masih belum membuat apa-apa keputusan, dia bersetuju dengan cadangan Sami Ingkar, "Baiklah, kita tunggu dia sampai dan kita akan cuba lagi selepas tu!"

Tiba-tiba, salah seorang ahli pasukan itu menjerit, "Alamak! Isteri aku dah nak bersalin! Aku kena hantar dia ke hospital sekarang! Maaf, semua, aku kena pergi!"

Beberapa orang lain turut bersuara selepas itu.

"Alamak, dah nak waktu untuk pergi kerja. Aku kena sediakan makan malam untuk isteri aku sebelum pergi kerja! Selamat tinggal, semua, aku kena log keluar. Hati-hati!"

"Jahanam, jiran-jiran aku tengah bertengkar macam anjing. Baik aku pergi dan tenangkan mereka atau mereka tak akan berhenti bertengkar!"

"Maaf, aku akan sibuk lepas ni. Aku kena bagi susu pada anak lelakiku!"

"…"

Dalam masa beberapa saat, lebih daripada 10 orang pemain telah memberi alasan yang tidak munasabah untuk keluar daripada pasukan dan log keluar. Mereka hanya tinggal 15 orang daripada 34 ahli sebelum ini. 

"Jadi, macam nilah. Bersurai!" Drizzler terpaksa memberi arahan untuk bersurai kerana ramai ahli pasukan yang memberi alasan untuk keluar. Selepas arahan diberikan, ahli pasukan itu hanya tinggal Drizzler, Si Salji, dan Zhang Yang. Sami Ingkar turut keluar daripada pasukan dan terus menghantar pesanan kepada Zhang Yang yang mengatakan, "Zhan Yu, maaflah kawan! Perjalanan kau hanya sia-sia!"

"Tak ada masalah!" jawab Zhang Yang sambil dia meneruskan perjalanan ke arah Pergunungan Dataran Awan. Si Salji ternampak namanya yang masih dalam senarai ahli pasukan dan bertanya, "Eh? Si kurus nakal! Kenapa kau masih dalam pasukan ni?"

"Aku nak cuba!"

"Cuba apa? Cuba mengurat aku?"

"Han Yin Xue! Boleh tak kau berhenti mainkan orang?!" Drizzler tidak lagi tahan dengan perangai Si Salji dan menegurnya dengan garang. 

"Hehe… jangan-jangan kau cemburu? Kau tu masih bawah umur, jadi kau tak boleh menjalinkan hubungan dengan sesiapa." Berang dengan komen itu, Drizzler mengugut Si Salji, "Han Yin Xue! Sumpah aku akan naik tangga dan tumbuk buah dada kau! Aku akan pecahkan gelembung besar tu!"

"Haha! Cik yang Ceria! Kau betul-betul cemburu dengan aku!" Si Salji tidak dapat menahan diri daripada tertawa dengan kuat.

Zhang Yang hanya mampu mendiamkan diri. Kedua-dua gadis ini liar!

Dalam pada kedua-dua mereka bertengkar mulut, Zhang Yang akhirnya tiba di Pergunungan Dataran Awan dan terus menuju ke lokasi bos itu. Memandangkan dia berada pada Tahap 18, dia telah menyebabkan raksasa pada Tahap 20 dan lebih dari itu menjadi ganas, jadi dia perlu membunuh mereka untuk meneruskan perjalanan.

Drizzler terus mengugut Si Salji sementara dia terus mengejeknya.

"… Han Yin Xue! Aku akan putuskan pertalian dengan kau! Kalau kau sesat lagi, jangan sekali-kali hubungi aku untuk dapatkan bantuan!"

"Mari kita lihat…Kau dah cuba putuskan pertalian dengan aku sejak kau masih kecil. Hmm…ini kali ke 1,892 kau cuba buat benda yang sama. Ke ini kali ke 1,893?"

Selepas melalui satu kawasan bersemak, Zhang Yang akhirnya tiba di satu lokasi dan dari jauh, dia ternampak dua orang gadis. Salah seorang mereka sedang memeriksa kukunya dengan santai sementara seorang lagi sedang bercekak pinggang dan nampak agak garang. Mereka tidak lain tidak bukan Si Salji dan Drizzler. Sebaik sahaja mereka ternampak Zhang Yang mendekati mereka, mereka berhenti bertengkar dan Si Salji terus bertanya kepadanya, "Kau betul-betul pasti ke nak cuba ni?"

Drizzler ialah seorang gadis Pahlawan Manusia, Tahap 13. Daripada apa yang dapat dilihat, dia mungkin dalam lingkungan 17 atau 18 tahun. Tubuhnya masih belum membesar sepenuhnya; dadanya mendatar dan punggungnya juga tidak besar. Namun, dia mempunyai warna kulit yang cantik dan dengan peredaran masa, tubuhnya akan berubah menjadi lebih mengiurkan…sekiranya wajahnya turut berubah. 

"Hmm…Aku memang pasti nak mencuba!" Zhang Yang menjawab dengan bersahaja sambil memerhatikan objek bulat yang besar itu. Ia mempunyai kelebaran 5 meter dan ketinggian 3 meter, dan lebih menyerupai batang pokok yang ditebang. 

Ada peluang! Zhang Yang tidak dapat menahan senyuman terujanya.

avataravatar
Next chapter