Selepas kesateria itu pergi untuk melaksanakan arahannya, Roland kembali ke meja. "Jika awak ada keupayaan menyembuhkan haiwan, kenapa awak masih rasa ahli sihir orang jahat?"

"Sebab cikgu kata ahli sihir boleh buat perkara yang tidak boleh dibuat oleh orang biasa. Kadang-kadang ia kelihatan seperti perkara baik tapi sebenarnya itu helah syaitan untuk menggoda lebih ramai orang…" Suara anak gadis itu semakin sayup-sayup. "Tapi Patik… Patik tidak pernah jumpa syaitan, Patik bersumpah."

"Ya, Beta tahu. Itu hanya salah satu penipuan orang agama, dan cikgu awak pun turut tertipu," Roland cuba memujuk Nana.

"Orang agama pun menipu?" Nana terkejut. "Tapi kenapa?"

Roland sekadar menggeleng tanpa menjawab. Jika dia cuba menjelaskannya sekalipun, mereka tidak akan faham. Dalam ketamadunan kuno dan jahil, perkara yang aneh sebegini selalu terjadi. Jika ada sebarang kejadian buruk, bencana alam, atau fenomena pelik, mereka akan sentiasa mencari sesuatu untuk disalahkan – dan mengikut sejarah, yang sering menjadi mangsa ialah kaum wanita.

Dalam dunia ini, ahli sihir yang memiliki kuasa luar biasa yang tidak diketahui sumbernya lebih cenderung menjadi sasaran pihak gereja. Pihak gereja akan memutuskan sama ada mahu membenarkan ahli sihir itu diangkat sebagai utusan yang mendapat mukjizat daripada Tuhan ataupun melabel mereka sebagai ahli sihir yang mesti dibunuh kerana mereka ialah orang suruhan syaitan. Tetapi jika pihak gereja mengangkat ahli sihir sebagai utusan Tuhan, fahaman bahawa Tuhan adalah satu akan mula diragui lantaran kewujudan ahli sihir tiada kaitan dengan gereja. Jika gereja yang mempercayai Tuhan lain turut mengiktiraf ahli sihir sebagai utusan Tuhan, jadi Tuhan mana yang benar?

Jika mereka membiarkan kedudukan ahli sihir diiktiraf oleh semua agama, maknanya mereka mengakui tuhan lain wujud dan agama lain juga benar. Kalau semua tuhan sama taraf, apa salahnya memeluk agama lain? Sebab itulah sesebuah agama tertentu akan mendakwa agama mereka ialah satu-satunya agama yang benar dan penganut agama lain ialah orang kafir yang mesti dihapuskan. Oleh itu, untuk mengelakkan konflik ini, Gereja Inggeris mengambil jalan mudah dengan terus mengharamkan kewujudan ahli sihir dan menggesa orang ramai untuk membunuh mereka.

Ia sebenarnya langsung tiada kaitan dengan dosa atau pahala, tetapi hanya demi keuntungan mereka semata-mata.

Ada seekor ayam hidup yang disimpan di dapur istana. Ia meronta-ronta dan mengibas-ngibaskan sayapnya semasa kesateria itu membawanya kepada Roland.

Apa yang berlaku seterusnya membuat Nana begitu terkejut. Roland mengeluarkan sebilah pisau perak, menikam ayam itu sambil dipegang kesateria itu, dan menyuruh Nana merawat luka tikaman itu sebelum dia mencederakan ayam itu dengan cara yang lain pula. Dia melakukannya berulang-ulang kali.

Setelah ayam itu akhirnya mati, Roland semakin faham akan kelebihan Nana.

Nana boleh menyembuhkan bahagian tubuh yang tercedera seperti tulang patah, retak, atau kulit lebam. Tetapi jika bahagian tubuh itu tiada, contohnya jika kaki ayam itu dipotong, Nana tidak boleh menumbuhkan semula kaki baru. Tetapi kaki yang patah boleh disambungkan semula dengan kebolehan Nana. Akhir sekali, Nana tidak boleh menghidupkan makhluk yang sudah mati. Apabila ayam itu mati, kuasa Nana sudah tidak berkesan lagi.

Sepanjang masa Nana menggunakan kebolehannya itu, Roland tidak nampak sebarang "cecair melekit" yang diceritakannya. Dia hanya meletakkan tangannya pada luka ayam itu dan semua orang dapat melihat ia sembuh di hadapan mata mereka sendiri. Selepas beberapa kali percubaan itu dibuat, tenaga Nana kelihatan tidak berkurang sedikit pun, dan sekurang-kurangnya dia tidak berpeluh lencun seperti Anna apabila menggunakan keupayaannya.

Tetapi Nana kelihatan tidak puas hati kerana dia merasakan perbuatan Roland terhadap ayam itu sangat melampau. Dia hanya menjeling tajam kepada Roland walaupun setelah eksperimen itu selesai.

"Sudah-sudahlah menjeling, mari kita makan dulu." Roland terpaksa mengumpan Nana dengan hidangan minum petang bagi mengalihkan perhatiannya. Langkah ini sudah terbukti berkesan terhadap Anna, jadi Roland mengandaikan kebanyakan anak gadis sebaya mereka memang tidak mampu menolak makanan pemanis mulut yang lazat.

Terbukti, Nana juga teruja dengan makanan itu sama seperti Anna.

Selepas menjamu selera dengan pelbagai jenis pastri, Roland membenarkan Nana pulang. Anna tidak faham dengan tindakannya lalu bertanya, "Kenapa Tuanku tidak menyuruh dia tinggal di sini? Dia pun ahli sihir macam Patik juga."

"Dia masih ada ahli keluarga, dan mereka belum sedar dia ialah ahli sihir."

Anna membalas perlahan, "Hanya tunggu masa sahaja."

"Benar, lambat-laun mereka akan tahu juga." Roland mengeluh. "Tetapi lagi lambat lagi bagus. Anna, awak… rindukan ayah awak?"

Anna menggelengkan kepalanya, dan matanya tidak ubah seperti air tasik yang tenang tidak beralun. Jelas tindakan ayahnya yang mengkhianati dia sudah benar-benar mengecewakannya. Tetapi walaupun dia sudah tiada ahli keluarga, dia masih ada kawan-kawan.

"Nana akan sering berkunjung ke sini, malah Beta ingat mahu benarkan dia datang ke sini dua hari sekali untuk melatih kuasanya."

Mata Anna bersinar mendengar perkara itu dan dia mengangguk ringkas.

"Awak mahu kembali ke sekolah Karl bersama Nana dan belajar bersama-sama anak murid lain?"

Anna tidak menjawab, tetapi Roland seolah-olah dapat membaca fikirannya.

"Keadaan ini tidak akan berlarutan… Selagi Beta masih ada, Beta akan pastikan awak dapat hidup macam orang biasa nanti, tanpa diburu atau diancam dengan tali gantung. Hari itu akan tiba nanti. Beta janji," Roland berkata tegas.

*******************

Sejak Karl van Bate mengambil alih projek pembinaan itu, Putera Roland terus merasakan dia mempunyai banyak masa bersantai.

Dia menghabiskan masanya di taman istana pada setiap tengah hari dan berlatih sama ada dengan Anna atau Nana. Sekarang Anna sudah tidak perlukan pakaian ganti lagi. Walaupun jari-jemarinya diselubungi api, Anna mampu mengawalnya tanpa membakar baju atau topi ahli sihirnya.

Nana juga mendapat set pakaian ahli sihir dia sendiri. Walaupun dia sering rasa berat hati untuk berlatih, tetapi dia enggan melepaskan peluang menikmati jamuan minum petang. Setiap kali Roland melihat dua orang ahli sihir itu berlatih dan makan bersama di taman istana, hatinya terasa berbunga-bunga ceria.

Kadang kala Roland akan pergi ke kaki Gunung Cerun Utara untuk melawat kawasan dan melihat perkembangan projek. Selepas dua minggu pembinaan itu berjalan, kira-kira 100 meter tembok kota itu sudah siap dibina. Mereka tidak mempunyai alat teodolit untuk mengukur jarak, jadi Karl mengajar para pekerja untuk merujuk sebatang kayu yang sama pada masa yang sama setiap hari, mengikut bayang-bayang matahari, untuk menentukan jarak serta kerataan tanah. Pada kedudukan setiap sepuluh batang penanda kayu, satu menara pemerhati dibina dan memainkan peranan untuk memastikan tembok kota itu stabil.

Projek pembinaan sebesar itu sudah pasti menarik perhatian golongan atasan di pekan itu. Namun selepas mendapat sedikit maklumat daripada Barov, mereka tidak mengambil peduli lagi tentangnya kerana merasakan ia tiada kaitan dengan mereka. Roland tidak kisah tentangnya. Perniagaan keluarga golongan atasan berpusat di Kubu Longsong, jadi sudah tentu mereka tidak akan tinggal di sini untuk membantu dia melindungi Pekan Sempadan. Malah Roland dapat membayangkan mereka secara diam-diam berkumpul dan mentertawakan usahanya ini.

Golongan peniaga juga sama seperti golongan atasan. Pada tahun-tahun sebelum ini di Pekan Sempadan, apabila pedagang bulu haiwan menyedari tiada apa yang boleh dibeli, mereka juga kembali ke Kubu Longsong. Mereka menyalahkan Putera Roland atas situasi mereka yang kembali dengan tangan kosong. Berita tentang projek pembinaan Putera Roland Wimbledon dari Kerajaan Graycastle yang dibuat sebelum Bulan Kunjungan Iblis ini dikatakan sebagai projek yang bodoh dan tidak masuk akal. Perkara ini tersebar di sepanjang Sungai Air Merah.

Jadi setakat ini, tiada sesiapa yang yakin Roland mampu melindungi pekan itu, malah kebanyakan orang merasakan peluangnya untuk berjaya sangat tipis. Lagipun selama ini Putera Roland bukan dikenali sebagai seseorang yang rajin dan ringan tulang. Walau apapun yang dia cuba lakukan, lama-kelamaan dia tentu akan terpaksa berundur ke Kubu Longsong juga.

Di dalam keriuhan orang ramai mengutuk putera mereka dan heboh membincangkan tindakannya, musim sejuk yang pertama bagi Roland yang baru ini akhirnya tiba.

avataravatar
Next chapter