1 Menjadi Seorang Putera

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Cheng Yan terdengar satu suara sayup-sayup memanggil namanya.

"Tuanku, tolong bangun…"

Dia mengalihkan kepalanya, tetapi bunyi yang dia dengar itu masih tidak hilang, malah menjadi semakin kuat pula. Kemudian dia terasa seseorang menarik lembut lengan bajunya.

"Tuanku Putera Raja!"

Cheng Yan membuka matanya serta-merta. Dia tidak melihat apa-apa pun yang dia sudah biasa lihat – monitor komputer sudah hilang, mejanya sudah hilang, dindingnya yang padat ditampal kertas nota juga sudah hilang. Sebaliknya, dia melihat pemandangan yang aneh – barisan rumah batu-bata kecil, sebuah dataran awam membulat yang dikerumuni orang ramai, serta landasan tali gantung berbentuk pintu yang dibina di tengah-tengah dataran itu. Dia pula sedang duduk di atas sebuah pentas kecil yang terletak di seberang dataran itu. Kerusi yang dia duduki bukan kerusi pejabat berpusing yang biasa, tetapi sebuah kerusi logam yang keras dan sejuk. Di sebelahnya kelihatan beberapa orang yang sedang terpaku memandang mukanya. Di antara mereka juga, ada gadis-gadis yang berpakaian seperti Zaman Pertengahan seperti yang dia pernah lihat dalam filem-filem Barat, dan gadis-gadis itu sedang ketawa berdekit-dekit sesama mereka.

"Tempat apa ini? Bukankah tadi saya sedang sibuk menyiapkan cetak biru itu?" Otak Cheng Yan tiba-tiba menjadi kosong, mungkin kerana dia sudah bekerja lebih masa selama tiga hari berturut-turut sehingga menjejaskan keupayaan minda dan tubuhnya. Apa yang dia ingat, akhirnya kepenatan mula menguasai dirinya. Jantungnya mula berdegup secara tidak sekata dan dia hanya mahu berbaring atas meja pejabatnya untuk berehat seketika…

"Tuanku, sila umumkan keputusan Tuanku secepat mungkin."

Suara itu datang dari orang yang menarik lengan bajunya tadi. Raut wajahnya tampak tua, mungkin dalam lingkungan usia 50-an atau 60-an, dan dia sedang memakai jubah putih. Sekali imbas, dia kelihatan seperti Gandalf daripada Lord of the Rings.

"Ini mimpi atau apa?" fikir Cheng Yan sambil membasahi bibirnya yang kering. "Keputusan? Keputusan apa pula ini?"

Tiba-tiba dia sudah faham. Semua orang di dataran awam itu sedang memandang ke arah landasan tali gantung di tengah-tengah mereka sambil menggenggam penumbuk dan menjerit sekuat hati. Malah beberapa orang membaling batu ke arah landasan tali gantung itu.

Cheng Yan hanya pernah melihat alat hukuman mati purba seperti itu dalam filem-filem sahaja. Landasan tali gantung itu terdiri daripada dua tiang setinggi kira-kira empat meter yang dibina di atas sebuah pentas kecil. Kedua-dua tiang itu dihubungkan dengan sebatang alang yang mempunyai gelung besi berkarat bagi menempatkan tali hem yang kuning dan tebal. Salah satu hujung tali itu diikat pada kerangka landasan tali gantung itu manakala hujung yang satu lagi sedang terikat pada leher seorang pesalah.

Dalam mimpi yang pelik ini, dia mendapati penglihatannya menjadi sangat tajam. Kebiasaannya dia memerlukan cermin mata untuk membaca perkataan pada skrin komputernya, tetapi sekarang dia boleh melihat dengan jelas setiap perincian pada tiang tali gantung itu yang terletak sejauh 50 meter tanpa memakai cermin mata.

Pesalah itu sedang memakai karung menyelubungi kepalanya dan tangannya diikat ke belakang. Bajunya yang lusuh dan berwarna kelabu hanya layak dipanggil kain buruk sahaja. Tubuhnya begitu kurus sehingga pergelangan kakinya – satu-satunya bahagian tubuhnya yang boleh dilihat – nampak seperti boleh dipatahkan dengan begitu mudah. Hanya dadanya yang sedikit berbonjol yang memberi petanda dia seorang wanita. Angin sejuk yang sedang bertiup membuatkan dia menggeletar tetapi dia kelihatan seperti sedang sedaya-upaya berdiri dengan tegak.

"Baiklah," fikir Cheng Yan dalam hati, "agaknya apa kesalahan wanita ini sampai begitu ramai orang beria-ia mahu dia dihukum mati?"

Sedang dia sibuk berfikir, tiba-tiba lambakan memori menderu membanjiri kotak fikirannya, dan jawapan kepada soalan tadi terus muncul di hadapannya. Ingatan Cheng Yan tiba-tiba menjadi terang ibarat lampu yang baru dinyalakan dan dia menyedari punca kejadian ini serta jawapan kepada soalan dia tadi pada masa yang hampir sama.

Wanita itu seorang 'ahli sihir'.

Ahli sihir yang dianggap hina selepas tewas pada godaan Syaitan dan kini hidup bergelumang dosa.

"Tuanku?"'Gandalf' cuba mendesaknya lagi.

Cheng Yan beralih dan memandang orang tua itu. Oh, rupanya nama sebenarnya Barov dan bukan Gandalf. Sebenarnya dia Pembantu Menteri Kewangan dan dia dihantar ke sini untuk membantu saya dengan hal ehwal pentadbiran.

Saya pula sebenarnya Putera Keempat bagi Kerajaan Graycastle bernama Roland dan saya dipertanggungjawabkan untuk memerintah tempat ini yang bernama Pekan Sempadan. Para penduduk telah menangkap ahli sihir itu dan terus membawa dia ke balai polis – bukan, ke mahkamah pengadilan. Arahan untuk menghukum bunuh ahli sihir biasanya akan dikeluarkan oleh pemerintah tempat itu atau seorang biskop jadi dalam hal ini, maknanya orang itu ialah saya.

Ingatan dia sendiri yang menjawab balik semua soalannya tanpa sebarang keraguan. Seolah-olah semua memori itu memang berasal dari pengalamannya sendiri dan bukan apa yang dia ingat daripada buku-buku yang dia baca. Ini membuatkan dia keliru. Tidak mungkin ada mimpi yang sebegini terperinci? Jadi adakah ini bukan mimpi? Mungkinkah saya telah mengembara merentasi masa ke Zaman Pertengahan Eropah yang masih jahil dan menjadi Roland? Adakah saya telah berubah daripada seorang pelukis pelan picisan menjadi seorang putera diraja?

Tetapi kawasan ini kelihatan begitu mundur dan gersang, dan saya tidak pernah terbaca nama 'Kerajaan Graycastle' dalam mana-mana buku sejarah.

Jadi apa yang perlu saya buat sekarang?

Tidak mengapa, saya akan abaikan dulu persoalan tentang cara saya merentasi masa walaupun ia sebenarnya mustahil. Sekarang saya mesti tangani dulu kekecohan ini.

Dahulu, sebelum zaman moden, manusia memang biasa menyalahkan ahli sihir untuk sebarang bencana dan tragedi yang berlaku, tetapi kini Cheng Yan enggan membiarkan mereka mati hanya kerana mahu memuaskan hati orang-orang kampung yang dangkal itu.

Dia merampas watikah arahan diraja daripada tangan Barov dan mencampakkannya ke tanah. Selepas itu dia menggeliat dan berkata, "Beta sudah penat. Beta akan memberi keputusan lain kali. Mahkamah bersurai!"

Cheng Yan bukan sengaja mahu berkelakuan acuh tidak acuh seperti ini. Tetapi seingat dia, memang inilah cara kelakuan putera raja itu dan dia hanya melakonkan semula sikap putera itu. Putera Keempat, iaitu Putera Roland ini memang sudah dikenali dengan kelakuan buruk sebegini dan dia akan melakukan apa sahaja yang disukainya. Jadi tentulah si putera muda berusia 20-an ini akan berkelakuan malas dan menjengkelkan.

Bangsawan-bangsawan yang duduk di sebelahnya ternyata tidak terkejut dengan sikapnya itu. Tetapi seorang lelaki tinggi lampai yang memakai baju perisai besi bingkas bangun dan berkata, "Tuanku! Ini bukan perkara main-main! Semua ahli sihir mesti dihukum mati sebaik sahaja mereka dikenal pasti. Jika tidak, bagaimana jika kawan-kawan ahli sihirnya yang lain cuba menyelamatkan dia? Pihak Gereja pun akan terlibat sama jika mereka dapat tahu tentang hal ini."

"Carter Lannis. Lelaki yang kacak ini adalah Ketua Kesateria saya." Cheng Yan mengerutkan dahinya dan menjawab, "Kenapa? Awak takut?" Nada suaranya yang mengejek kedengaran bersahaja. "Bagaimana seorang lelaki dengan lengan berotot besar seperti awak takut yang ahli sihir akan menceroboh masuk penjara kita? Tidak mungkin awak betul-betul percaya ahli sihir ialah orang suruhan syaitan? Bukankah lebih baik jika kita boleh tangkap lebih ramai lagi ahli sihir?"

Setelah melihat Carter membisu tanpa jawapan, Cheng Yan memberi isyarat pada pengawal peribadinya dan terus meninggalkan tempat itu. Carter teragak-agak sebentar sebelum dia pergi menyertai barisan pengawal peribadi itu dan berjalan seiring dengan Putera Roland. Bangsawan-bangsawan yang lain bangun sebagai tanda hormat kepada pemerintah mereka tetapi Cheng Yan dapat melihat mata mereka penuh dengan perasaan benci dan sakit hati.

Setelah sampai ke bangunan menara utama yang dianggap sebagai istananya yang terletak di kawasan selatan Pekan Sempadan itu, dia mengarahkan pengawal peribadinya agar tidak membenarkan Pembantu Menterinya masuk supaya dia boleh bertenang sebentar dan mula berfikir.

Selalunya dia menghabiskan kebanyakan masa dengan duduk di hadapan komputer, jadi apabila dia dapat bercakap lancar di hadapan orang seramai itu, ia sudah dikira pencapaian besar. Menggunakan ingatan yang baru didapatinya, Cheng Yan menemui bilik tidurnya. Dia duduk di atas katilnya untuk berehat sehingga degupan jantungnya kembali normal. Sekarang, langkah yang paling penting ialah mengenalpasti situasi yang sedang dihadapinya. "Kenapa putera raja ini tidak bersemayam di istananya yang selesa, tetapi dihantar ke negeri yang asing ini pula?"

Jawapannya muncul serta-merta dan membuatkan dia rasa sedikit terkejut.

Roland Wimbledon dihantar ke sini untuk bersaing merebut takhta ayahandanya.

Semuanya bermula apabila Raja Graycastle, Wimbledon III mengeluarkan titah yang aneh. "Pewaris takhta ini tidak akan dipilih berdasarkan usia, tetapi berdasarkan keupayaan mereka untuk memerintah." Kemudian baginda menghantar putera-puteri baginda ke negeri-negeri yang berbeza dan selepas lima tahun berlalu, baginda akan memutuskan siapa pewaris takhtanya mengikut pemerintah yang paling berjaya mentadbir kawasannya.

Walaupun penghakiman berdasarkan meritokrasi dan kesamarataan jantina ini kedengaran progresif dan tidak lapuk, pada hakikatnya ia sukar dilaksanakan. Siapa boleh menjamin setiap putera dan puteri akan menghadapi keadaan awal yang sama? Ini bukannya permainan masa sebenar berasaskan strategi. Seingat Cheng Yan, Putera Kedua telah ditugaskan ke negeri yang jauh lebih baik berbanding Pekan Sempadan. Malah, antara kelima-lima adik-beradiknya, dia mendapat negeri yang paling teruk jadi ini sudah dikira tidak adil.

Tambahan lagi, bagaimana raja mahu menilai tahap pemerintahan putera-puterinya? Berdasarkan populasi? Kuasa ketenteraan? Kedudukan ekonomi? Raja Wimbledon III tidak menyebut langsung tentang syarat-syarat ini dan baginda juga tidak mengeluarkan sebarang larangan tentang persaingan mereka ini. Bagaimana jika salah seorang anaknya membunuh anaknya yang lain? Adakah baginda permaisuri sanggup membiarkan anak-anaknya saling berbunuhan?

"Tunggu…" Dia mengingat kembali satu lagi memori. "Oh ya, baginda permaisuri sudah mangkat lima tahun yang lalu."

Cheng Yan mengeluh. Ini sememangnya zaman feudal yang sangat jahil dan tidak berperikemanusiaan. Cara penduduk pekan itu begitu bersungguh-sungguh mahukan ahli sihir itu dibunuh sudah cukup untuk menunjukkannya. Tetapi, walaupun dia tidak berjaya mewarisi takhta itu, dia tetap akan kekal menjadi putera kerajaan Graycastle dan akan menjadi pemerintah negeri itu untuk seumur hidupnya.

Lagipun... apa faedahnya jika saya berjaya menjadi raja? Zaman ini tidak ada Internet atau sebarang keselesaan zaman moden. Satu-satunya aktiviti yang mengujakan pada zaman ini ialah membakar ahli sihir. Kalau saya terus hidup di pekan yang masih membuang najis dan tahi di jalanan tanpa dibersihkan, mungkinkah lambat-laun saya akan mati akibat wabak bubonik?

Cheng Yan cuba mematikan lamunannya yang dahsyat itu dan berjalan ke arah cermin di bilik tidurnya. Lelaki yang berdiri di hadapannya itu mempunyai rambut kelabu cerah, ciri yang paling dikenali bagi keluarga diraja. Walaupun raut wajahnya nampak biasa, mukanya tiada bentuk yang jelas dan tidak kelihatan seperti seseorang yang berdarah raja. Kulitnya yang pucat menunjukkan dia jarang bergerak. Ingatan barunya memberitahu putera raja ini jarang minum arak atau berfoya-foya. Semasa dia bersemayam di istana ayahandanya, dia pernah meniduri beberapa wanita tetapi semuanya dibuat secara suka sama suka. Dia tidak pernah memaksa sesiapa pun mengadakan hubungan sulit dengannya.

Dia juga terfikir salah satu sebab yang mungkin telah menyebabkan dia tercampak ke zaman silam. Syarikatnya sedang terdesak mahu menyiapkan satu projek tertentu jadi majikannya memaksa dia bekerja lebih masa selama beberapa malam berturut-turut sehingga akhirnya dia mati akibat kepenatan. Selalunya orang yang mati dalam keadaan yang menyedihkan seperti ini ialah penulis kod, jurutera mekanikal, dan pengatur cara komputer.

"Sudahlah, walau apa-apapun, saya sudah diberi peluang untuk hidup buat kali kedua, jadi saya tidak patut banyak merungut." Dia tahu dalam masa beberapa hari, dia tentu sudah boleh menyesuaikan diri dalam hidup yang baru ini tetapi buat masa ini, dia mesti memastikan dia berkelakuan sama seperti Putera Roland agar tiada siapa tahu tentang masalahnya ini. Jika tidak, penduduk pekan itu mungkin akan berfikir syaitan telah merasuk Putera Roland yang sebenar dan akan membakar dia dalam unggun api pula. "Sekarang, yang paling penting, saya mesti menjalani hidup dengan baik." Cheng Yan menghela nafas dengan dalam lalu berbisik kepada cermin di hadapannya, "Mulai sekarang, saya adalah Roland."

avataravatar
Next chapter