21 Bab 21

ABAH rancak berbual dengan Uncle Umar di beranda rumah. Anak-anak lelakinya turut sama berada di situ. Orang lelaki baik duduk luar. Tak elok duduk sekali dengan anak dara. Tak manis!

Aina, si kecik cenonet sibuk berbual di dapur melayan kepala otak achik dan Yana sedari tadi menyoal berbagai-bagai soalan mencabar. Penat adik kecik tu nak memerah otak. Jahat betul dua ekoq makhluk tu! Aunty Hanani sibuk berbual dengan mama serta opah di ruang tamu . Kami anak-anak perempuan layan diri aje la.

"Kakak rindu Aina tak?" Aina menyoal dengan pelat. Mata bundar yang hitam pekat aku tenung.

Aku tersenyum lalu mengangguk. "Mestilah rindu. Aina kan adikk akak yang comel." Aku mencubit pipinya.

Aina tergelak manja. Dia duduk diribaku sambil bermain jemariku. Suka sangat main jari! Aku naik hairan. Yana dan achik menyenggol lengan dan sesekali mereka ketawa. Aku menjulingkan mata.

"Mai, tolong bawakan air teh dalam teko kat dapur untuk abah dengan uncle kat luar. Tadi mama dah bancuh cuma belum pekat warnanya. Sekarang mesti dah pekat. Tolong ya, sayang." Suruh mama sebaik Aunty Hanani berlalu ke bilik air.

Aku mengeluh. Tak ada orang lain ke? Apesal aku juga yang kena? Yana dengan achik ada kan? Tak buat apa-apa pun budak dua ekor tu. Aku yang tengah layan Aina ni pun dipanggilnya. Bebelku dalam hati.

"Orang lain la, mama." Keluhku. Jari kelengkeng Aina aku pegang.

"Mai, please sayang..." rayu mama dengan muka mengharap.

Aku mengangguk malas lalu bangkit dari permaidani menuju ke dapur. Ni la padahnya bila dah dengar rayuan mama. Aina aku dudukkan di sebelah Yana. Terkebil-kebil matanya memandangku sambil menggigit jari telunjuk. Comel sangat dia ni buat macam tu! Mesti dia tertanya-tanya mana aku nak pergi. Aku bergerak dengan lemah ke dapur. Tampak dulang telah tersedia dengan teko beserta cawan di atas meja.

'Aik? Dah siap semua tapi kenapa tak hantar depan? Patut bagi Yana hantar tadi memandangkan dia bawa makanan untuk tetamu tadi. Ahh! Ni mesti mama dengan opah saja nak kenakan aku. Suruh aku hantar ke depan tengok muka mamat tu. Urghhh!' gumamku. Tanpa berlengah aku mengangkatnya untuk di bawa ke beranda. Sempat aku berbalas senyum dengan Aunty Hanani yang baru saja keluar dari bilik air di dapur. Kami sama-sama menaiki tangga batu yang tersedia di dapur ini.

"Nak aunty tolong?" Aunty Hanani sedia menghulur bantuan. Tangannya juga sudah dihulur kepadaku.

"Tak apa, aunty." Balasku mesra. Aunty Hanani tersenyum manis.

Aunty Hanani sememangnya murah dengan senyuman. Agaknya Uncle Umar tertawan kut dengan senyuman dia. Tu yang pikat cepat tu! Dapat anak pula handsome dan cantik. Sape tak nak buat menantu ya dak? Aik Mai, kau dah mengaku Farhan tu handsome pula ya? Gatai no!

Aku membawa dulang dengan berhati-hati. Kang tersadung kaki susah pula. Ada yang malu sampai tahun 2020 nanti kang.

Air teh dalam teko dituang perlahan-lahan ke dalam cawan kaca yang bercorak bunga sebaik saja aku berada di beranda rumah. Sedikit pun aku tidak memandang mereka. Menggigil juga tangan ni bila buat kerja macam ni. Maklumlah, yang biasa buat tu Yana. Aku tukang minum air aje. Dan tukang komen!

"Wah! Rajinnya anak kau, Kir. Nampaknya cepatlah aku dapat menantu. Senang sikit. Lega hati ni." Usik Uncle Umar.

Wajahku bertukar kemerahan. Abah yang mendengar ketawa sakan. Budak dua ekoq tu aku tak tahu. Kalau Fareez dia senyum rasanya. Yang lagi seorang tu pun mesti senyum. Senyum sinis!

"Aku on je, Mar. Tapi kena tanya empunya badan dululah." Abah membalas usikan rakannya. Meledak lagi tawa mereka. Aku sudah tak tertanggung malu. Ewah ewah abah! Suka suki je berpakat dengan Uncle Umar nak usik Mai. Ni yang geram ni! Mai mogok kang baru tau!

"Tadi Maira beli apa kat kedai tu?" tanya Uncle Umar ubah topik. Abah turut sama memandang. Aku juga perasan yang anak lelakinya turut sama memandang ke arahku.

Aku menggaru kepala beralas tudung. "Err.. beli barang sikit tadi, uncle." Haish, itu pun nak disoal ke? Ramah pula uncle hari ini.

"Jalan kaki?"

"Hmm," anggukku. Uncle ada nampak Mai tunggang kuda ke? Nak je aku tanya macam tu tapi nanti kata tak hormatkan orang tua pulak.

"Jauh tu. Tak penat ke? Kebetulan uncle berhenti depan kedai tu nak beli barang sikit untuk opah sekeluarga. Ingat siapa yang melintas kereta tadi. Rasa macam nak kenal. Rupanya Maira." Ujar Uncle Umar mesra.

Aku tersengih. "Dah biasa jalan kaki, uncle." entah kenapa aku menjadi peramah, aku sendiri tak tahu.

"Kau jangan tak tahu, Kir. Anak aku ni suka merayap. Tak reti duduk rumah. Kat kampung ni mana tempat yang dia tak pernah pergi, dia akan pergi. Tapi dia suka jalan kaki. Kadang-kadang tu sampai lewat petang tak balik lagi. Tu yang aku risau dengan dia ni. Mana tahu sekarang ni kan banyak kes penculikan." Abah sangat risau. Makin menjadi-jadi kes penculikan zaman sekarang. Nenek yang sudah uzur tu pun nak diculik buat tebusan? Isk! Isk!

"Sabar, Kir. InsyaAllah tak akan jadi macam tu. Kita berdoa sama-sama ya? Mudah-mudahan minta dijauhkan." Uncle Umar memberi semangat kepada abah.

Nampak rapat sekali uncle dan abah. Melalui cerita mama tempoh hari, baru aku tersedar. Memang Uncle Umar lelaki yang baik. Dia cukup rapat dengan abah. Apa saja cerita, dia akan kongsikan bersama abah. Kadang-kadang bisnes, ekonomi, politik, dan kekeluargaan. Baginya tiada yang penting melainkan ukhwah persaudaraan.

"Err... jemputlah minum air ni ya," pelawaku teragak-agak. Mak oii... kau ke yang cakap Mai? Malu! Perkataan yang sangat sesuai untuk kes ini. Mana pernah aku ngomong kaya gitu sih. Selalu lepas tuang air untuk tetamu, aku blah aje masuk dalam bilik. Ni terlebih mesra pulak? Ada apa-apa ke ni, Mai? hati kecilku bertanya.

Abah tersenyum dalam diam. Satu perubahan dalam diri anaknya sudah ditonjolkan. Maira mungkin sudah boleh menerima keluarga Umar. Uncle Umar tersenyum seraya mengangguk kepala.

"Terima kasih. Maira ke yang buat air ni?" tanya Uncle Umar seperti tidak mahu aku bangkit aje. Senyuman tak lekang dari bibirnya.

Aku tersengih. "Err... ya." Bohongku. Takkan nak cakap tak pulak. Malu weh! Nanti dia kata anak dara tak tahu buat air. Masak aku kena tindas dengan mamat berlagak tu nanti. Dari hujung mata, aku lihat Farhan tersenyum. Aku kenal senyuman tu. Senyuman sinis!

"Amirul, Fareez, jemput minum. Jangan segan. Maira tak bubuh apa-apa pun dalam minuman tu." Ujar abah selamba.

Aku mengetap bibir. Suka suki abah je cakap macam tu! Asalehe betullah. Ingat Mai nak bubuh racun ke? Mai masih waras lagi tau. Tak main la racun. Mai bubuh julap lagi bagus. Baik untuk orang sembelit macam Farhan tu. Dengusku. Argghh! Tension. Tak puas hati bila dendam tidak berbalas. Macam mana aku nak balas dendam kalau aku dan dia selamat ditunangkan? Huwaargghhhhh! Aku tak boleh terima! jeritku dalam hati.

"Kakak!"

Aina muncul dari dalam lalu memelukku dari belakang membuatkan aku terkejut. Tangan kecilnya dilingkar pada leherku.

Farhan dan Fareez memandang ke arah kami sekilas sebelum menjamah air.

'Rapatnya adik aku dengan minah ni. Tak berenggang langsung.' Desis hati Farhan.

'Aik? Aina ni dah over ni. Pelik! Selalunya jumpa orang senyap je. Dah tu asyik melekat dengan angah. Dengan dia tak nak pulak melekat! Ni bila jumpa bakal tunang abangnya jadi lain pulak. Apesal ek?' Fareez tertanya-tanya.

Aku tersenyum kelat memandang Aina yang sudah duduk di riba. Alamak! Macam mana nak bangun ni? Aduh... budak ni memang tau! Pantang betul nampak muka aku.

"Aina tak nak minum?" soal abah mesra.

Aina mengangguk. Fareez yang paling dekat dengannya menyerahkan secawan teh namun ditolak Aina. Farhan memerhati dari jauh. Uncle Umar memandang anak terunanya sekilas sebelum Aina. Ada sesuatu menjentik tangkai hatinya. Senyuman kian lebar.

"Tak nak abang punya. Nak kakak punya." Jawabnya petah. Kepala disandar pada dadaku. Aku terpempan. Aduhai! Banyak pula songeh budak ni.

Meledak tawa semua orang.

Farhan memandang tanpa berkelip. Mak aih! Eksen tu. Abang Fareez bagi tak nak. Kakak Maira dia pulak yang disuruh. Masak macam ni! Agaknya memang dah tersurat jodoh aku dengan dia, telah Farhan sendiri. Dia meneguk air teh sedikit. Manis air ini semanis pembuatnya. Farhan sudah gila!

"Boleh aje, Aina. Mai tolong ya?" pinta abah bersama kenyitan mata. Ingin mengusik anak perempuannya.

Aku mencemik. Sengaja tau abah ni! Nantilah. Bila dia orang dah balik, aku minta maacam-macam dari abah. Tuntut! Aku dengan perlahan bangun dari duduk ingin masuk ke dalam rumah. Tak mau duduk sini lama-lama. Nanti muka tukar jadi buah tomato!

"Rapat sungguh Aina dengan Maira ni. Maklumlah, dia tak ada kakak. Atasnya semua abang. Tak pernah merasa kasih sayang dari seorang kakak. Memang dah tersurat jodoh kamu, Farhan." Usik Uncle Umar seraya ketawa kecil.

Aku tersentak. Abah ketawa sambil berdeham beberapa kali. Fareez mengusap dagunya beberapa kali sebelum menyiku lengan abang ngahnya bersama sengihan nakal. Farhan menjeling tajam.

Aku terus melangkah laju masuk ke dalam. Tak sanggup nak dengar apa-apa lagi. Aduhai, kenapa hati aku tak keruan sangat ni? Kenapa berdebar semacam ni? Sampai nak tengok wajah 'budak' tu pun aku tak berani. Macam mana bila dah sah jadi tunang? Jumpa kat sekolah? Kat padang? Haiyoo.... hati mula gelisah. Jiwa kacau!

"Akak, kenapa muka merah ni?" soal Yana pelik sewaktu aku dan Aina duduk di permaidani.

Aku meraup muka beberapa kali sebelum menarik nafas. Achik dan Aina memandang ke arahku. Aina yang duduk disebelahku merenung tak berkelip. Budak ni mana je aku pergi mesti ikut!

"Akak kena usik eh tadi?" teka Yana. Bingo! Betul pulak apa yang dia teka. Achik tergelak. Aina ketawa meskipun dia tidak tahu apa-apa pun.

Aku mencebik. Cover, Mai!

"Mana ada. Panas la. Bahang. Tu yang muka jadi merah." Dalihku.

Yana dan achik mencebik. Ingat percaya sangatlah dengan apa yang kakaknya ucapkan. Tak apa. Nanti dia akan siasat. Tekad Yana. Macam detective pula nak siasat segala ni!

"KAU tidur sini aje la," ajak abah.

Uncle Umar ketawa. "Tak apalah. Aku tak nak susahkan Mak Mah dan keluarga kau. Lagipun hotel dengan sini tak jauh. Cuma 5 kilometer aje dari sini." Balasnya.

Abah membeliakkan mata. "5 kilometer? Jauh tu, Mar. Setahu aku hotel paling dekat kat sini Hotel Seri Astana. Tu pun kira jauh tau. Homestay sini pun ada juga. Alah, tak payah susah-susah. Tinggal aje kat sini. Lagipun nak buat majlis tu senang. Dekat sikit. Tak usah la jauh-jauh." Abah menegah bersungguh-sungguh.

Uncle Umar tergelak. Bahu Encik Syakir ditepuk beberapa kali. Farhan dan Fareez membisu. Handphone menjadi peneman.

"Nantilah aku bincang dengan Nani." Putus Uncle Umar. Abah menganggukkan kepala.

"Apa yang diborakkan ni sampai tak nak masuk dalam rumah? Tak sudi ke nak masuk rumah opah?" muncul opah dari dalam rumah bersama Puan Husna dan Aunty Hanani. Pertanyaan opah membuah tawa Uncle Umar dan abah. Fareez dan Farhan tersengih.

"Tak ada apa, Mak Mah. Saja duduk luar. Dapat segarkan mata tengok kawasan kampung ni hah. Lama tak tengok. Banyak berubah berbanding dulu." Balas Uncle Umar mesra.

Fareez merapatkan diri ke kanan agar mamanya dapat duduk dengan selesa. Farhan juga menganjak ke tepi sehingga badan berlanggar dengan kayu menandakan dia berjumpa dengan penghujungnya. Senang sekali, jalan mati la!

"Ni, mak. Umar kata dia nak duduk hotel. Jauh tu, mak. Tu yang Kir ajak dia duduk sini." cerita abah kepada opah yang sudah duduk.

"Lahh, buat apa nak membazir. Duduk aje kat rumah ni. Bilik pun ada dua lagi kosong. Duduk aje la kat sini." Opah memberi saranan. Meskipun dia tahu tak luak duit Umar jikalau mahu tidur di hotel. Tapi untuk beberapa hari ni adalah lebih elok kalau mereka tinggal bersama. Serumah. Lagi senang. Pencemaran udara juga berkurang. Boleh save minyak. Lagipun daripada membiarkan bilik tetamu kosong berhabuk, baik diguna pakai. Bilik dalam rumah ini ditambah supaya anak-anak menantu pulang akan ada tempat tidur. Ruang tamu juga besar tapi semuanya papan. Arwah tokwan tak mahu rumah ini diruntuhkan. Nak tambah atau besarkan boleh tapi nak roboh semestinya ditentang keras.

"Lagipun nak buat majlis tu senang sikit. Dekat. Kamu boleh tumpang rumah Imam Khalid seberang sana tu. Mak Mah dah jemput dia untuk bacaan doa selamat dan kesyukuran untuk majlis tu nanti. Dia dah tahu semuanya." jelas opah lagi.

Uncle Umar memandang Aunty Hanani meminta keputusan. Farhan dan Fareez dipandang sekilas.

"Macam mana Nani?"

"Nani ikut abang aje la. Tak kisah tidur mana-mana pun. Dalam kereta pun boleh." seloroh Aunty Hanani mengundang tawa semua.

"Takkan sampai nak tidur dalam kereta? Tidur sini aje la," mama memujuk. Aunty Hanani tersenyum sambil mulut memuncung pada Uncle Umar.

"Nani ikut Abang Umar, Na." Jawabnya lembut. Mama mengangguk faham.

"Fareez, Farhan, macam mana? Nak tidur sini?" pandang dilontar pada sang anak yang sedari tadi mendiamkan diri. Sepanjang mereka sampai di rumah opah sehingga sekarang, tidak ada satu patah pun perkataan terpacul keluar dari mulut anak lelakinya itu. Macam ada emas dalam mulut. Bila ditanya, angguk dan geleng aje jawapannya. Kalah anak dara.

"Han dengan Reez ikut mama dengan papa la." Farhan akhirnya bersuara, menjawab bagi pihak adiknya. Dia tidak kisah. Yang penting, apa yang dirasakan baik oleh ibu bapanya, baiklah juga untuk mereka anak-anak. Tapi hatinya jadi tak tenteram.

'Tidur serumah dengan minah tu? Oh man...!' telah Farhan.

"Kalau begitu, kami sepakat tidur sini aje Mak Mah memandangkan Mak Mah, Husna dan Syakir dah paksa." usik Uncle Umar mengundang senyuman semua orang kecuali seorang.

Aku sudah ternganga di celahan pintu yang terbuka. Sedari tadi mendengar kata-kata abah membuatkan jiwa gelisah. Macam lagu Ahmad Jais pulak! Mula-mula, hati menjadi tenang bila Uncle Umar mengatakan mahu duduk di hotel tapi bila diasak abah, mama dan opah untuk tidur di sini membuatkan aku rasa tercekik. Mendengar saja jawapan Uncle Umar seminit tadi hampir buat aku pengsan. Nak tidur sini? Biar benar?!!! Oh tidakkkkkkk!!

MALAM menjelma lagi. Kami anak-anak perempuan sudah berada di dapur untuk menyediakan makan malam. Rasa hati ingin melepak aje kat dalam bilik. Tak nak keluar! Tapi bila sudah dipaksa oleh Yana ditambah lagi dengan bebelan mama membuatkan aku runsing. Ditambah dengan perut yang berkeroncong buat aku terpaksa gagahkan diri. Berdengung telinga bila teringat leteran mama.

"Mama masa baya kamu ni dah tolong nenek buat asam pedas, buat kari tau. Tolong buat bekal untuk tok ayah awal pagi sebelum tok ayah pergi menoreh. Kalau tak nampak mama kat dapur satu hari alamat berbirat badan kena rotan. Orang perempuan kena duduk dapur. Belajar masak. Peluang yang ada jangan dilepaskan. Nanti dah kahwin, baru terhegeh-hegeh nak belajar. Dari sekarang la patut belajar, tahu semua bahan rempah ratus. Kalau Mai kena further study jauh-jauh kat overseas nanti macam mana? Nak masak tak tahu. Asyik beli je makanan kat luar. Duit selalu habis. Badan tak sihat. Sebab apa? Sebab makan benda yang tak berkhasiat."

"Oit kak!" petikan jari Yana menyedarkan aku yang sudah jauh berkhayal.

"Berangan je tau." Perli achik sebelum berlalu pergi.

Aku menjelirkan lidah. Biarlah! Sibuk je. Gelas yang sudah dicuci oleh Yana aku ambil lalu disusun dalam dulang. Kemudian aku bawa ke ruang tamu. Pinggan yang sudah dilap oleh achik disusun atas kain sapra putih yang sudah dibentang oleh mama. Memandangkan orang ramai, maka terpaksalah kami makan di bawah. Adil dan saksama! Aku dan achik meletakkan pinggan mengikut jumlah orang yang nak makan.

Mama dan Yana meletakkan lauk-pauk di tengah. Air sirap dituang dalam gelas sebelum diagih.

"Mai, panggil abah dengan semua ajak makan." Suruh mama. Tangan ligat menyusun lauk pauk.

Aku mengisyaratkan Yana. Yana mengisyaratkan achik. Achik mengisyaratkan aku. Wah! Isyarat segi tiga! Bagus punya adik!

"Humairah..." meleret suara mama.

"Suruh Yana la, mama. Tak pun achik. Mai tengah susun pinggan ni." Aku pura-pura menyusun pinggan yang tersedia susun itu. Malasnya!

"Kan pinggan tu dah okey dah. Tak payah disusun lagi pun," Achik mengenakan aku. Aku menjegilkan mata. Achik ketawa mengejek.

"Akak malas, ma." Sindirnya lagi.

Aku menggenggam penumbuk. Sekali lagi cakap memang melayang kena muka kau! Suka sibuk hal orang.

"Nur Saffiya Humairah, cuba dengar cakap mama." Tone mama sudah menginjak nombor 2. Aku mencebik. Suka sangat suruh Mai! Yana dengan achik tak nak suruh pulak! Tak aci sungguh. Bagitahu aci dekat Kluang baru tau! Omelku.

Dengan lambat aku bangun kemudian berjalan selangkah demi selangkah ke bilik abah.

"Humairah!" marah mama.

Aku menghentakkan kaki. Geram. Marah. Semua ada. Jangan tanya, nanti kena lesing! Puan Husna menggelengkan kepala. Apa nak jadi dengan anaknya ini. Ada pasang surut anginnya. Yana dan achik mengangkat bahu. Tak masuk campur!

"Abah, mama panggil makan." Kataku sebaik abah membuka pintu bilik.

"Okey, sayang." Abah mengusap kepalaku sebelum berlalu ke bilik yang dihuni Uncle Umar. Bilik mereka berdepan.

Aku terus ke dapur mengajak opah. Kebetulan Aunty Hanani ada di situ bersama Aina.

"Kakak!" Aina terus memeluk kakiku sebaik terpandang. Aku mengusap kepalanya. Dia tersenyum manja. Aunty Hanani dan opah tersenyum lalu menggeleng.

"Manjanya dengan Kak Saffiya ni ya?" usik opah seraya mencubit pipinya.

Aina mengekek-kekek ketawa. Dia geli.

"Opah, aunty, mama ajak makan kat depan. Semua dah terhidang. Tinggal nak makan je." ujarku terus. Tanpa kona-kona ha!

"Iya? Dah jom, Nani. Kita ke depan. Nanti lambat pula nak makan. Fiya tolong bawa buah tembikai ni ya?" pinta opah.

Aku mengangguk. Hari ni pecah rekod aku angguk kepala.

"Aina tolong mama bawa ni pergi depan ya, sayang?" air mineral dalam botol diserah pada si kecik itu. Aina rela hati membantu dan membawanya ke depan.

"Okey, mama!" ucap Aina riang.

Aunty Hanani mahu menolongku bawa buah ke depan tapi aku menolak keras. Tak elok tetamu yang bawa. Tak manis. Mak oii... kau ke yang bercakap Mai? Tak percaya lagi ni!

Aunty Hanani sudah berlalu ke depan. Baru saja aku menaiki satu anak tangga, serta merta telefon bimbit di poket berbunyi.

"Aduh! Time ni la nak bunyi. Dalam bilik tak nak bunyi pulak!" bentakku.

Pinggan berisi buah tembikai diletak atas meja kembali. Aku menyeluk handset dalam poket sebelum menjawab panggilan.

"Bila kau nak datang?" soalku pada Wana selepas berbalas salam.

"Aku datang esok la. Hari ni family aku ajak pergi mandi-manda. Huhu..." selamba Wana berkata.

"Uih, nak jugak."

"Tak boleh la. Kau orang asing." Wana mengusik. Aku menceber.

"Kurang asam kau! Berani kau kata aku orang asing?" aku pura-pura marah.

Terdengar Wana gelak di talian. "Sorry, beb. Saja je gurau. Eh, kau punya majlis bila?" Wana takut dia silap pandang tarikh.

"Lusa. Datang tau. Kalau korang tak datang, aku sumbat cili padi dalam mulut." Ugutku.

Wana sekali lagi ketawa. Tapi lebih kuat dari tadi. Teruk anak dara seorang ni. "Yelah. Kan dah janji. Okeylah aku nak makan dulu. Nanti aku call kau okey? Bye, assalamualaikum." Wana mematikan talian.

"Waalaikumussalam," jawabku. Handset dimasuk dalam poket seluar trek sebelum menyinsing lengan baju sehingga ke siku untuk mengangkat pinggan tembikai. Bahang pula malam ni. Nak hujan ke? Fikirku. Sewaktu hendak mengangkat, terdengar bunyi pintu bilik air dibuka. Mataku terus tertacap pada pintu tersebut. Ingin melihat siapa yang ada dalam tu.

'Setahu aku tadi semua orang dah pergi depan. Siapa dalam bilik air?' soalku dalam hati. Dalam menunggu hati berdebar. Mana tahu kalau hant.....

Wajah yang ditunggu keluar jua. Mataku bagai terjojol keluar. Dada dihambat debar.

Alamak! Farhan ke?

Farhan melangkah keluar dari bilik air dengan wajah tenang. Gayanya cukup santai dengan t-shirt Manchester United bersama seluar panjang warna hitam. Matanya sempat menjelingku tajam sebelum menaiki tangga membuatkan aku mencebik.

Eleh! Ingat handsome sangat ke buat jelingan macam tu. Cer lawan dengan Ziana Zain, confirm kalah punya. Ziana Zain punya jelingan masyuk tau! Bebelku sendiri. Meluat pun ada. Orang baru nak puji tadi tapi terpaksa tarik balik. Tak jadi! Cancel tau tak?

"Fiya, mana buahnya tak sampai-sampai lagi ni?" jeritan opah membuat aku menepuk dahi.

Alamak! Lupa pulak! Tu la. Terpandang je muka mamat berlagak tu terus lupa pasal buah tembikai. Terus saja aku mengangkat pinggan itu dan membawanya ke depan.

***

"BARANG-barang semua dah sedia. Cuma tinggal harinya aje." Sedari tadi Uncle Umar, abah, mama, Aunty Hanani dan opah berbual tentang persiapan majlis pertunangan. Aku, Yana, achik dan Aina mendengar aje bualan mereka. Kami buat hal sendiri. Nak masuk dalam bilik, mama kata ada benda nak bincang tapi sampai ke sudah aku tunggu. Tak ada pun. Tipu je! Berborak adalah! Fareez dan Farhan sibuk main catur di atas meja kecil. Mereka menjauhkan diri dari kami semua. Nak concentrate la tu!

Kesempatan ini aku ambil. Melihatkan semua orang sibuk dengan hal sendiri, aku ingin menilik wajah bakal tunangku. Wajah yang tenang dan dingin itu diperhatikan. Rambut yang kemas dan pendek. Tidak pernah aku lihat Farhan berambut panjang dan selekeh. Dia sentiasa menjaga imej sebagai ketua pengawas dan pelajar sekolah. Satu markah untuknya!

Mataku tertacap pada keningnya. Kening yang cantik. Tidak tebal dan tidak nipis. Bulu mata Farhan lentik macam orang perempuan. Mungkin ini yang digilai setiap pelajar di sekolah. Dua markah untuknya!

Dari bulu mata turun ke matanya yang berwarna coklat gelap semula jadi. Bukan contact lens ataupun contact number! Mata itulah yang selalu membuatkan dadaku berdebar kencang. Sekali renungannya buat aku rasa nak pengsan. Okey, Mai dah mula gedik like Ammy! Tiga markah untuknya. Haish, apa kena aku ni ek?

Dari mata beralih pada hidung yang mancung. Kemudian beralih pada pipi tanpa sebarang jerawat. Kemudian bibir. Ahh! Bibir yang seksi. Selama aku berjumpa dengannya, tidak pernah bibirnya mengukir senyuman. Memang la dia ada senyum tapi tu senyum sinis yang dia selalu bagi kat aku. Seriously, aku teringin nak tengok dia senyum seikhlas hati. Tanpa aku sedari, aku telah jatuh cinta. Bingo! Sepuluh per sepuluh markah!

"Checkmate!" kata Farhan sebaik saja dia mengepung King Fareez. Senyuman terukir di bibir melihat wajah cemberut adiknya. Dia menang lagi.

"Mana aci!" rungut Fareez.

Aku terpaku. Eh, eh! Dia senyum la. Senyuman dia..... buatkan dia..... nampak lebih kacak! Aku menggosok mata sebelum melihat kembali. Serius, dia memang nampak lebih tampan bersama senyuman manis menghiasi bibir itu. Hilang sudah garangnya, tegasnya dan keseriusannya di sekolah. Hari ini aku dapat saksikan Farhan yang lain. Farhan yang berbeza di sekolah. Farhan yang tenang tanpa buku nota dan pen di tangan.

Yana sedari tadi melihat kelakuan dan gerak geri kakaknya. Hairan bin pelik! Itulah perumpaan yang teramat kena. Dia ada menegur Humairah tadi tapi tak diendahkan. Malah kakaknya asyik merenung. Yana ingin melihat apakah yang direnung Kak Mai sehingga khusyuk sekali tu. Mata beralih dari Humairah kepada 'benda itu'. Alangkah terkejutnya dia bila melihat gerangan yang ditenung kakak.

Abang Farhan? Akak? Renung? Abang Farhan? Tak berkelip?

Yana menggosok mata berkali-kali. Memang sah! Kak Mai renung Abang Farhan. Segera Yana berdeham.

Aku mengalihkan pandang ke arah Yana. Senyum-senyum pulak adik aku ni. Apehal? Gila ke?

"Kak Mai renung siapa tadi?" Yana mula mengusik.

Aku tersentak. Alamak eh! Dia nampak ke? Aduhai... masak aku ni! Malunya!

"Ma...mana ada." Gagap aku menjawab. Air liur ditelan kesat. Ahh! Kantoi Mai! Kantoi! Habislah kau! Aku gelisah semacam.

Yana tersenyum nakal. "Iya ke? Habis tadi Yana tengok akak khusyuk sangat tenung. Cerita la," rengeknya manja.

Aku membuang pandang ke arah opah dan mama yang rancak berbual dengan Aunty Hanani. Abah dan Uncle Umar tak habis-habis dengan bisnes. Tak sanggup nak pandang kiri. Makkkk! Malunya aku!

"Tak ada la." Balasku sedikit kasar. Nak tutup malu sebenarnya.

Yana ketawa kecil. Mulutnya di dekat dengan telingaku. "Yana tahu akak renung siapa tadi. But dont worry. Rahsia akak selamat." Bisiknya perlahan membuatkankan aku tercengang.

Sah! Sah dia menghendap aku! Pantas cubitan singgah pada pahanya. Yana mengaduh sambil ketawa. Tak cukup dengan itu, bahunya kuhempuk dengan bantal empat segi kecil khas untuk sofa. Terkekeh-kekeh Yana ketawa. Achik dan Aina memandang penuh hairan. Apa kes anak dara dua orang ni? Gelak-gelak pulak!

"Yana, Maira, apa yang geli hati sangat tu?" tegur mama.

Aku dan Yana tergamam. Semua mata memandang ke arah kami berdua. Oh malunya jadi perhatian ramai! Segera bantal kecil itu kupeluk erat. Yana menunduk tersenyum malu. Farhan dan Fareez juga melihat mereka berdua.

"Tak ada apa-apa, ma. Saja exercise tangan," kataku selamba. Yana mencebik. Achik menjuihkan bibir. Alasan lapuk!

Pecah tawa semua orang. Mama menggelengkan kepala. Abah hanya memerhati. Adalah tu yang anaknya buat. Tak boleh nak tegur lagi. Biaq pilah depa. Asalkan mereka tak merendahkan maruah kira baguih. Bak kata orang utara.

"Ni kami nak tanya. Mai ada jemput kawan datang untuk majlis tu nanti ke?" soal mama.

Aku mengangguk dengan teragak-agak. "Err.. kenapa mama? Tak boleh ke?"

Ahh sudah! Kalau tak boleh, aku nak cakap apa dengan geng? Susah ni! Keluhku sendirian.

Mama tersenyum, "Apa pulak tak bolehnya? Lagi ramai lagi bagus. Sekurang-kurangnya kawan-kawan tahu pasal benda ni. Jadi tak adalah dia orang syak bukan-bukan bila nampak Mai dengan Amirul nanti." Terang mama.

Yang lain mengangguk mengiakan. Aku terdiam. Betul juga kata mama.

"Amirul ada jemput kawan?" soal abah pada Farhan pula.

"Err.. ada tapi seorang aje. Izuan." Jawabnya.

"Lahh, kenapa seorang aje?" tanya abah lagi.

Farhan kelu lidah. Baginya tiada siapa perlu tahu memandangkan dia jenis tak suka diperkatakan.

"Tak apa. Uncle faham." abah tersenyum. Dia amat memahami anak muda itu.

Izuan?!!? Rasa macam pernah dengar. Izuan tu bukan ke budak sekolah aku? Kawan baik si mamat berlagak ni? Jejaka idaman gadis malaya? Ya ke? Entah-entah orang lain. Alah Mai, kan banyak nama Izuan dalam dunia ni. Bukan Izuan yang hensem dan digilai itu saja yang ada. Ramai lagi la. Tapi hati aku tetap yakin yang Izuan tu budak sekolah aku.

"Izuan? Rasa macam kenal nama tu, Nani. Macam pernah dengar waktu dulu-dulu." Mama berkata menarik perhatianku.

"Izuan tu Iju, Husna. Yang dulu suka usik Maira ni sampai menangis. Main pondok-pondok, galah panjang, lumba lari. Izuan tu sekepala dengan Amirul." Aunty Hanani mengingat kembali.

Lama mama berfikir sebelum teringat semula.

"Lahh, Iju tu ke? Yang dulu suka main dengan budak-budak ni? Na lupalah, Nani. Dah makin lanjut usia ni makin lupa. Allahuakbar! Lama Na tak jumpa dia."

Aku tercengang memandang mama dan Aunty Hanani yang sedang berbual. Yana disebelah kiri ku pandang. Dia juga sama sepertiku. Masing-masing ligat memikir. Siapakah Izuan? Kenapa mama kata dia pernah jumpa dulu? Aunty Hanani kata dia dulu suka main dengan aku dan Farhan. Siapakah dia? Kenapa misteri sangat ni? Dan kenapa firasatku mengatakan Izuan itu kawan baik Tengku Amirul Farhan? Percaya atau tidak aku sedang berada dalam dilema. Macam drama! Melalui perjanjian ini, aku ketemu kembali dengan kawan baik semasa di kampung dulu. Dan kawan yang ku sangka 'baik' itu sebenarnya ketua pengawas sekolah yang pernah aku lemparkan wang pada wajahnya. Abah pula dapat bertemu kembali dengan kawan karibnya, Uncle Umar setelah sekian lama berpisah. Oh Tuhan! Entah apa lagi yang akan terbongkar di sebalik majlis pertunangan ini nanti. Aku kebingungan.

avataravatar
Next chapter