webnovel

BAB 1

Perlahan-lahan Syed Fauzan melabuhkan punggungnya diatas birai  katil. Kesuraman dapat dirasai di dalam keadaan bilik yang tidak menerima sebarang sumber cahaya. Namun, kesakitan dan kepedihan yang teramat sangat lebih jelas terpancar di wajah kuyu lelaki malang tersebut walaupun sekeliling pandangan dilitupi oleh kegelapan.

Tangan Syed Fauzan menyeluk saku seluarnya. Sebuah telefon pintar dikeluarkan lalu dihidupkan. Alur air mata yang kering di pipi jelas kelihatan di wajah jejaka tersebut. Matanya hanya terpacak pada skrin telefon. Jari-jemari perlahan-lahan menyentuh skrin tersebut mengikut alur wajah seorang gadis yang dijadikan sebagai foto kekunci. Rasa rindu dan marah mulai menjadi suatu perasaan yang tak dapat dipastikan namanya. Apakah ianya… Rasa sayang yang tidak dihargai?

"Hanani…" Suara Syed Fauzan tersekat-sekat menahan sendu. Perasaan sebak mulai menghurungi dirinya. Tanpa sebarang amaran, air mata jantannya kembali bercucuran dan pada kali ini ia tidak mampu tertahan rasanya. Mahu sahaja dia meraung dan menumbuk agar kesakitan yang dirasainya itu hilang namun ia hanyalah sia-sia. Kesakitan dalam hati lebih perih daripada tusukan seribu pisau di tubuh badan.

Dengan langkah yang longlai, Syed Fauzan melangkah keluar daripada bilik dan menuju ke dapur. Matanya tertumpu pada beberapa bilah pisau tersusun rapi di tempat letak alatan tajam. Tangan yang penuh menggeletar mencapai sebilah pisau lalu membelek dan menyentuh alat tajam tersebut. Apa yang hanya difikirkan adalah untuk menghilangkan rasa sakit yang membelenggu sanubari.

"Inilah pengakhiranya." Dengan penuh menggeletar, Syed Fauzan mendekatkan mata pisau untuk menghiris pergelangan tangannya sekaligus menghabiskan riwayatnya. Dirinya merasakan tiada lagi kebahagiaan di dalam hidupnya. Tawa dan senyuman orang hanyalah palsu semata.

Maafkan Fauzan, Ummi… Fauzan tak kuat…

"Fauzan!" Wajah Hanani tiba-tiba muncul di dalam kotak fikiran Syed Fauzan. Pisau yang berada pada genggaman tangan dilemparkan ke sisi. Kepala ditundukkan manakala kedua-dua belah tangan menarik rambutnya dengan kasar sekali.

"Argh, Kenapa!" teriak Syed Fauzan. Kedua-dua siku menghentak dinding dapur dengan kuat. Syed Fauzan bangkit daripada duduk lalu menghumban barang-barang yang berada di hadapan matanya. Perkakas dapur dan bahan-bahan masakan berselerakan dilantai. Teriakan demi teriakan kedengaran kuat memecahkan kesunyian malam.

"Celaka!" Satu tumbukan dilepaskan pada dinding. Carutan demi carutan yang terpacul dari bibir diluahkan seirama dengan tumbukan di dinding. Darah yang mulai melekat pada dinding langsung tidak diendahkan. Biarlah, Darah merah pekat yang mengalir di tangan tidak dapat menandingi luka berdarah di hati. Tidak cukup dengan itu, segala perkakas dapur dan bahan masakan yang berselerakkan ditendang dengan kuat.

Syed Fauzan terduduk lalu bersandar pada dinding setelah penat melepaskan amarah yang lama terbuku. Cinta itu membahagiakan?   Puih, pergi mampus! Tiba-tiba kedengaran perlahan hilai tawa si jejaka tersebut. Ketawanya semakin kuat seperti ada yang sedang merasuk tubuhnya.

"Cinta, bukan hanya harapan. Cinta, tapi kepastian. Cinta, bukan menyakiti hati..." Bait-bait lirik lagu Lagu Cinta oleh Asmara Band meniti di bibirnya. Ketawanya semakin menggila disertai dengan air mata yang mengalir deras di pipi.

"Mana janji kau? Kau kata kau akan setia dengan aku..."Syed Fauzan mengangkat kepalanya.

"Kau pernah berjanji, kau akan sehidup semati dengan aku, tapi kenapa... Kenapa kau seakan mengharapkan aku untuk mati dulu? Apa guna hidup ini tanpa kau..." Perlahan-lahan Syed Fauzan menundukkan kepalanya...

******

"Fauzan!" Syed Fauzan langsung tidak mengendahkan teriakan Hanani malah terus melangkah.

"Fauzan, Tunggulah!" teriak Hanani lagi.

"Syed Fauzan Bin Syed Shanizam!" Syed Fauzan berhenti melangkah. Badannya dipusingkan kebelakang. Tanpa disedari satu tumbukan yang kuat mengenai hidungnya. Si jejaka memegang hidungnya sambil mengaduh kesakitan. Amira Hanani mencengkak pinggangnya.

"Dari tadi saya teriak suruh awak tunggu, tak dengar. Sedap tak kena penumbuk daripada gadis Melayu?" perli Amira Hanani.

"Sakitlah!"

"Sakit, sakit. Awak yang keras kepala tak nak tunggu, Hmph!" Amira Hanani berpaling dari memandang wajah Syed Fauzan. Merajuk!

"Yelah, maafkan saya ehh..."

"Maaf, maaf. Asyik-asyik minta maaf. Awak ulang juga. Hmph!" Syed Fauzan menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Haih... Perempuan kalau merajuk payahlah nak pujuk!

"Err, awak..." Hanani menjeling tajam Syed Fauzan. Amboi, rasa nak cucuk-cucuk mata kau jeling aku macam tu! Sabar Fauzan, sabar...

"Awak comel hari ni." puji Syed Fauzan sambil tersenyum.

"Oh, hari ni je saya comel. Hari lain tak?" Amira Hanani terus melangkah pergi daripada Syed Fauzan. Aduh!

"Awak nak kemana, Aduh..." Syed Fauzan berlari mengejar Amira Hanani dari belakang.

Hembusan bayu laut Tanjung Aru membelai-belai perpohonan sehingga daun-daun jatuh berguguran ke bumi. Namun, ia tidak mampu melembutkan hati geram milik si gadis. Pokok-pokok melambai-lambat apabila ditiup angin seperti memberi sokongan kepada Syed Fauzan agar tidak lelah dalam memujuk sang permaisuri hati.

"Hanani, Tunggulah." Amira Hanani berlari tanpa mengendahkan panggilan daripada Syed Fauzan. Tujuan? Balas dendam!

"Amira Hanani Binti Jaafar!" Si gadis berhenti berlari sambil menoleh kebelakang. Syed Fauzan tercungap-cungap kepenatan kerana dari tadi mengejar Amira Hanani. Puas hati!

"Apa dia?" tanya Amira Hanani acuh tak acuh.

"Saya... Saya..."

"Saya apa?" tanya Amira Hanani lagi geram. Dengan langkah yang perlahan Syed Fauzan melangkah mendekati si gadis. Amira Hanani hanya memeluk tubuh sambil memandang jejaka yang berasa di hadapannya itu.

"Saya akan tetap mengejar awak walaupun awak berada di hujung ufuk dunia." Wajah Syed Fauzan sengaja mendekati wajah Amira Hanani. Wajah si gadis dicebikkan.

"Oh ye ke? Macam mana pula kalau saya ke bulan?" Syed Fauzan terdiam manakala Amira Hanani menjongketkan keningnya.

"Saya tetap aku ikut awak ke bulan."

"Kalau saya..."

"Ke hujung alam semesta sekalipun, saya tetap akan kejar awak dan terus bersabar dengan awak walaupun beribu tahun saya perlu tunggu." Wajah Amira Hanani mulai kemerahan lalu menjauhkan diri daripada Syed Fazuan.

"Sampai ke hujung hayat... Aku akan tetap tunggu kau, bidadari aku, Amira Hanani Binti Jaafar..."