11 Kunjungan Putera Mahkota (4)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Bila ayat 'memutuskan pertunangan' disebut, air muka Yun Luo berubah.

Namun, kata-kata yang menyusul selepas itu menyentuh perasaannya. Ketidakupayaan Yun Luofeng untuk bertapa telah mendukakan hatinya. Jika ini dapat membuatkan Yun Luofeng mampu bertapa seperti mana orang normal dengan bakat yang biasa, Yun Luo tidak akan ada penyesalan.

"Jeneral Yun Luo," Jing Lin berdeham kuat. "Kami tabib diraja untuk Keluarga Diraja dari dulu cuma merawat Keluarga Diraja, jika bukan kerana Putera Mahkota sendiri yang datang mencari saya, saya tidak akan sudi membantu! Saya harap kamu akan hargai peluang ini, jika kamu lepaskan, Yun Luofeng tidak akan dapat berlatih pertapaan seumur hidupnya."

Yun Luo sangat muram, seakan sedang memikirkan sesuatu. Sebelum dia sempat membuat keputusan, tiba-tiba kedengaran suara merdu seorang wanita muda, menghentikan renungannya.

"Datuk, saya tidak perlukan orang lain untuk merawat tubuh saya."

Sebelum Yun Luo memberi kata putus, Yun Luofeng telah membuat keputusannya sendiri.

"Yun Luofeng!"

Pemuda itu tidak lagi tahan untuk terus duduk dan terus berdiri. Wajah tampannya menyeringai dan tidak lagi tenang seperti sebelum ini.

"Kamu begitu suka menjengkelkan beta? Kamu lebih rela menjadi orang tak guna?"

Wajah Gao Ling kelihatan geram sambil dia menggenggam penumbuknya. Jika orang tua Yun Luo itu tidak berada di situ, penumbuk itu sudah pasti mengenai Yun Luofeng.

Yun Luofeng merenung Gao Ling dari atas ke bawah, bibirnya mengukir senyuman nakal. "Tuanku Diraja Putera Mahkota, tidakkah Tuanku terlalu memandang tinggi akan diri sendiri? Jika Tuanku, lelaki tanpa wajah dan bentuk badan yang menawan, berada di katil patik, patik tidak teringin pun nak memandang Tuanku."

"Kamu…"

Wajah Gao Ling semakin marah, seluruh badannya tidak lagi dapat menahan aura dinginnya. Seperti sebilah pedang, matanya tajam menjeling Yun Luofeng. Dengan suara dingin dia berkata, "Kamu sungguh tidak tahu malu! Jeneral Yun Luo, hebat betul cucu yang kamu telah besarkan ini!"

Dia adalah lelaki paling tampan di seluruh Longyuan, tapi akhirnya, wanita ini mengatakan dia tidak bertubuh sasa dan tampan? Semua orang di Longyuan tahu, wanita yang ingin berkahwin dengannya boleh membuat barisan panjang dari sini sehingga ke tempat jauh seperti Hutan Haiwan Rohani.

"Memang benar, patik tidak mengajar cucu patik dengan baik. Patik telah tinggalkan cucu patik yang berumur empat tahun untuk ke sempadan. Setelah pergi, patik tidak pulang selama sepuluh tahun, bagaimana Tuanku mahu patik menjaga dia?"

Yun Luo mulanya takut mendengarkan kata-kata Yun Luofeng tadi, tetapi dia cuba menenangkan diri sebelum kemudiannya mendengar tuduhan Gao Ling. Wajah tuanya itu semakin gelap.

Demi Longyuan, dia meninggalkan rumahnya selama sedekad. Kini Tuanku Diraja Putera Mahkota mengkritiknya kerana tidak mengajar cucunya dengan baik.

Bagaimana dia tidak merasa kecewa?

Wajah Gao Ling berubah sedikit, dia juga sedar dia tersalah cakap. Jadi dia sekali lagi berpaling ke arah Yun Luofeng.

"Yun Luofeng, beta tidak peduli jika kamu ini orang yang tak berguna, beta tetap akan menunaikan janji untuk mengahwini kamu. Tapi kamu telah melakukan perkara yang tidak senonoh, jika beta menceraikan kamu, ia tetap menjadi salah kamu. Walau begitu, memikirkan usaha dan jasa Jeneral terhadap Longyuan, beta mahu membantu kamu bertapa! Tapi kamu pula menjengkelkan beta! Kamu perlu sedar diri. Sesuatu yang bukan milik kamu tidak akan menjadi milik kamu!"

Gao Ling menyeringai, setiap patah perkataan ibarat duri dan sangat tajam.

Putera Mahkota telah dikenali sebagai orang yang baik, cuma dengan Yun Luofeng anginnya menjadi liar.

Siapa yang menjadikan perempuan tak guna ini tunangnya? Bagaimana dia tidak meluat dengan Yun Luofeng?

Selama ini, setiap kali dia melihat Yun Luofeng, dia akan mudah berang, dia tidak mampu menahan dirinya! Yun Luofeng ini seperti kutu anjing yang tidak mudah tanggal walau digaru macam mana sekali pun.

avataravatar
Next chapter