15 Cendekiawan Nombor Satu Keluarga Yun, Yun Qingyan (3)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Anak saudaraku, Pak Cik sudah lama tidak melihat kamu, dan kamu sudah semakin petah. Pak Cik sekarang cuma seorang lelaki cacat, tidak layak dibandingkan dengan orang lain." kata Yun Qingya sambil tertawa kecil.

"Pak Cik Kedua, jangan terlalu merendah diri. Dalam keadaan sekarang sekalipun, Gao Ling tidak dapat dibandingkan dengan Pak Cik. Lagipun, tak lama lagi, Pak Cik tak akan perlukan kerusi roda itu lagi."

Sejak memasuki bilik batu itu sehingga sekarang, Yun Luofeng sudah hampir selesai memeriksa keadaan Yun Qingya.

Walau tanpa ada Kod Dewa Perubatan, dengan latihannya dalam bidang perubatan di kehidupannya yang lalu, merawat kaki pak ciknya bukan masalah besar. Cuma ada sedikit kesukaran untuk memulihkan pusat tenaga pak ciknya.

Yun Qingya tersenyum sinis. "Anak saudaraku, urat pada kaki Pak Cik sudah tersumbat, malah kebolehan untuk berdiri juga sudah tiada. Semua kekuatan Pak Cik sudah sia-sia, sekarang Pak Cik cuma bergelut untuk terus hidup dan bersembunyi seperti orang tak berguna."

Satu masa dulu, dia adalah cendekiawan nombor satu yang telah mengkucar-kacirkan Kerajaan Longyuan. Bukankah dia dulu bersemangat tinggi? Ke mana pun dia pergi, dia sentiasa menjadi perhatian.

Hari ini, setelah sepuluh tahun berlalu, semangatnya telah musnah dan dia memandang rendah pada dirinya sendiri.

Hati Yun Luofeng sedikit terkilan. Yun Qingya dahulunya seorang pemuda yang paling berbakat!

"Saya tidak percaya sesiapapun di dunia ini orang yang sia-sia." Bibir Yun Luofeng mengukir satu senyuman. "Walaupun Pak Cik tiada kekuatan, tapi Pak Cik masih boleh menunjukkan kebolehan Pak Cik dalam bidang yang lain. Dan syarat pertama ialah Pak Cik kena berdiri dari kerusi roda ini! Datuk, Pak Cik, saya sebenarnya ada seorang guru rahsia sejak berapa tahun lalu. Saya belajar perubatan dengannya. Saya percaya, suatu hari nanti, saya akan ada kebolehan untuk membuat Pak Cik berdiri semula."

Kod Dewa Perubatan itu sangat penting, jadi dia tidak boleh memberitahu sesiapa, walaupun keluarganya sendiri dan terpaksa berbohong tentangnya. Lagipun, selama ini, Yun Qingya berada dalam bilik batu itu, dan Yun Luo pula tiada di Kerajaan Longyuan. Jadi tiada siapa tahu situasi sebenar Yun Luofeng.

"Feng'er, kamu kata kamu belajar ilmu perubatan?" Hati Yun Luo melonjak gembira, kemudian dia tertawa. "Bagus, itu sangat bagus! Kalau kamu boleh jadi tabib, walaupun datuk sudah tiada nanti, kalau kamu ada kebolehan perubatan, kamu tidak akan ditindas oleh orang lain."

Di Tanah Besar Longxiao, bukan cuma pertapa roh yang dihormati dan disegani orang. Walau tiada kemampuan untuk bertapa, seseorang masih mampu hidup selesa jika ada ilmu yang tinggi - apatah lagi jika seseorang itu tabib yang dihormati!

Sudah tentu, orang yang tidak mempunyai apa-apa bakat dalam bidang seni mempertahankan diri atau kesenian, sememangnya akan dianggap tidak berguna.

Sama seperti Yun Luofeng yang dulu!

"Anak saudaraku, apa yang datuk kamu katakan itu tidak salah. Jika kamu ada kebolehan perubatan, jadi kamu boleh menjalin hubungan baik dengan ramai pakar di masa hadapan dan kamu tak perlu risau untuk terus hidup di benua ini," kata Yun Qingya sambil tersenyum.

Setelah mengetahui Yun Luofeng telah belajar ilmu perubatan secara rahsia, mereka tidak lagi memikirkan tentang keadaan tubuh Yun Qingya tetapi tentang bagaimana Yun Luofeng tidak akan ditindas di masa akan datang.

Hati Yun Luofeng tersentuh. Dia memandang Yun Qingya dan bertanya, " Pak Cik Kedua, meskipun saya tidak boleh beri jaminan dapat memulihkan seluruh kekuatan Pak Cik semula, tapi untuk membolehkan Pak Cik meninggalkan kerusi roda itu adalah perkara yang mudah."

"Pak Cik faham sangat badan Pak Cik sendiri. Sepuluh tahun lalu, Pak Cik mungkin masih ada peluang untuk berdiri, tapi Pak Cik sudah terlalu lama lumpuh, jadi sudah tiada cara lain lagi." Yun Qingya menggelengkan kepalanya, dan mungkin kerana dia takut Yun Luofeng kecewa, dia menambah, "Tapi kalau kamu belajar perubatan dan perlu menggunakan seseorang untuk berlatih, Pak Cik benarkan kamu guna tubuh badan Pak Cik memandangkan badan ini tiada kegunaan lain."

"Pak Cik tidak perlu bimbang, saya akan lakukan apa yang mampu untuk membolehkan Pak Cik berdiri semula." Wajah Yun Luofeng mekar dengan senyuman, "Sekarang apa yang Pak Cik perlu buat ialah keluar dari bilik batu ini. Suasana dalam bilik batu ini tidak sesuai untuk pemulihan Pak Cik!"

avataravatar
Next chapter