37 Cecair Berubat Pengumpul-Roh (1)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Kejahatan terpancar dari mata Yun Luofeng. "Saya pernah menyelamatkan dia sekali, jadi dia datang untuk membalas budi."

Memang betul Yun Luofeng pernah menyelamatkan dia, tapi dia tidak bersusah payah merawat lelaki itu dan cuma melakukannya secara sembarangan. Siapa suruh lelaki itu jatuh ke atasnya ketika itu? Jika bukan kerana resam tubuh entiti rohaninya, Yun Luofeng tidak akan terfikir untuk menyelamatkannya dan membiarkan lelaki itu menjaga dirinya sendiri!

Yun Luo ketawa terbahak-bahak, "Cucu saya memang sangat berkebolehan, kamu bukan sahaja telah menyingkirkan keadaan tubuh kamu yang tak berguna, tapi kamu juga mempunyai kemahiran perubatan yang tinggi! Beberapa hari lalu, Perdana Menteri Mu sendiri kata tiada siapa akan mengahwini kamu kelak dan kamu ini hanya layak menjadi gundik! Datuk rasa, tidak lama lagi orang yang mahu meminang kamu akan berkerumun di pintu depan kediaman kita!"

Perdana Menteri Mu?

Dalam diam Yun Xiao mengingat nama itu, penampilannya masih tidak berperasaan dan ekspresi wajahnya dingin seperti selalu.

"Oh ya, Datuk," Yun Luofeng menghulurkan tangannya kepada Yun Luo sambil tersenyum ceria. "Datuk ada duit lagi? Buat masa sekarang, berikan saya 1,000 tahil."

Walaupun Mu Shen ialah anak lelaki dalam Kediaman Perdana Menteri, ia bukan sesuatu yang mudah untuk mengumpulkan 50 juta tahil! Sedangkan deposit yang dia berikan kepada Yun Luofeng itu juga tidak diketahui asal usulnya.

Jadi kalau Yun Luofeng menunggu baki 45 juta tahil, mungkin ia akan mengambil masa beberapa hari.

"Ahak, ahak!" Orang tua itu hampir tercekik air liurnya sendiri. Tangannya bergerak sendiri melindungi dadanya untuk mengelakkan orang tertentu dari menyambar duit di dalam bajunya. "Apa yang kamu cuba lakukan? Cuma 1,000 tahil ini yang tinggal! Jangan kacau duit persaraan Datuk yang terakhir ini."

"Keluarkannya." Yun Luofeng memberi isyarat meminta menggunakan jarinya. "Datuk tidak memerlukan 1,000 tahil itu. Pinjamkan pada saya dahulu, dan beberapa hari kemudian, saya akan membantu Datuk mengisi bilik simpanan dengan harta sehingga penuh."

"Kamu berkata benar?"

Meskipun orang tua itu ragu-ragu, dia tetap mengeluarkan baki duit yang berada dalam bajunya dengan jari yang menggigil. "Datuk ingatkan kamu, cuma ini saja baki duit yang ada dari Kediaman Jeneral kita ini. Kalau selepas beberapa hari, kamu tidak membantu Datuk mengisi bilik simpanan harta ini, Datuk...akan menangis kerana kamu!"

Melihat wajah sedih orang tua itu, dahi Yun Luofeng bergerak-gerak sedikit. Dia dengan lemah mengangkat tangannya untuk menerima duit yang dihulurkan dan pergi meninggalkan bilik simpanan itu bersama ekspresi hiba datuknya.

- -

Cecair Berubat Pengumpul-Roh mampu membantu pertapa rohani untuk bertapa dengan lebih baik.

Pertapa rohani hanya perlu berendam di dalam campuran Cecair Berubat Pengumpul-Roh, dan ia akan membolehkan mereka berevolusi dengan lebih cepat! Beribu tahun dulu, inilah khazanah paling bernilai, dan ramai pertapa rohani mengidamkannya dan bermimpi ingin memilikinya. Namun, Cecair Berubat Pengumpul-Roh ini sudah tidak wujud lagi, dan tidak ramai orang di dalam benua ini yang masih tahu preskripsinya.

Mujurlah Yun Luofeng memiliki ensiklopedia seperti Xiao Mo, jadi Cecair Berubat Pengumpul-Roh bukanlah sesuatu yang sukar baginya.

Malangnya, buat masa ini, Yun Luofeng belum lagi menanam herba rohani. Cecair Berubat Pengumpul-Roh yang dibuat menggunakan herba biasa, kesan perubatannya lemah berlipat kali ganda.

- -

Pavilion Perubatan.

Ramai orang keluar masuk di tempat ini, keadaannya sangat sibuk.

Yun Luofeng baru sahaja memasuki pintu Pavilion Perubatan itu ketika seorang lelaki berjubah hijau yang menyambutnya sebelum ini datang kepadanya bersama senyuman sopan pada wajahnya. "Cik Sulung Yun, ubat herba apa yang Cik mahu beli kali ini?"

"Pavilion Perubatan ada ubat herba ini?"

Yun Luofeng menyerahkan preskripsi yang ada di tangannya.

Lelaki berjubah hijau itu menerimanya, membaca sekali imbas, lalu berkata sambil tersenyum, "Cik Sulung Yun, ubat herba yang Cik hendak beli kali ini tidak terlalu mahal, jumlah harganya cuma 800 tahil. Jadi saya membuat keputusan untuk menjadikan herba ini sebagai hadiah untuk Cik Yun kali ini, dan kami tidak akan menerima duit Cik."

Harus dikatakan Pavilion Perubatan memang tahu cara menjalankan perniagaan. Yun Luofeng telah membelanjakan 25 juta tahil di Pavilion Perubatan sebelum ini, jadi walaupun herba kali ini tidak dikenakan bayaran, Pavilion Perubatan masih lagi mengaut untung dan pada masa yang sama dapat memenangi hati pelanggan.

avataravatar
Next chapter