71 Benar-Benar Menerima Tamparan (3)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Gao Ling ketawa dingin, matanya berisi cemuhan. Dia baru sahaja mahu mengejek Yun Luofeng lagi tetapi ekspresi pada wajahnya kaku ketika itu...

Di lantai kabin itu, kelopak mata lelaki tua itu, yang tadinya kelihatan seperti pasti akan mati. Bergetar perlahan-lahan. Setelah itu, dia membuka matanya sambil semua orang merenungnya...

Semua orang terpegun. Tiada siapa yang ingin percaya kejadian di hadapan mereka.

Yun Luofeng si sampah ini, betul-betul ada ilmu perubatan? Ini lebih mengejutkan daripada kejadian semut mencabul gajah!

"Datuk."

Ketika semua orang ternganga, kedengaran suara gadis muda itu terkejut kegembiraan memecah keheningan dalam kabin itu...

"Datuk dah sedar akhirnya! Saya sangat takut tadi." Gadis muda itu memegang lengan lelaki tua itu dan menariknya bangun dari lantai kabin yang sejuk. Dia menoleh ke arah Yun Luofeng dengan penuh perasaan. "Terima kasih, saya sangat bersyukur kepada kamu! Kamu telah selamatkan datuk saya, ia sama seperti telah menyelamatkan seluruh Keluarga Ning. Saya tidak tahu bagaimana hendak membalas jasa kamu..."

Ketika itu barulah lelaki tua itu memberi reaksi, matanya dipenuhi rasa berterima kasih. "Cik, adakah kamu yang telah selamatkan orang tua ini? Saya tidak sangka dalam usia yang muda, kebolehan perubatan kamu sangat luar biasa. Bukan sahaja seluruh badan saya merasa begitu bertenaga, kecergasan saya juga lebih baik. Cik, bolehkah kamu menyembuhkan penyakit orang tua ini sepenuhnya?"

"Boleh," Jawapan yang diberikan Yun Luofeng sangat meyakinkan. "Dalam masa setengah bulan, saya boleh sembuhkan kamu sepenuhnya."

Ketika bertanyakan soalan itu, lelaki tua itu tidak menaruh harapan! Yun Luofeng dapat menyedarkannya itu sudah cukup hebat, jadi dia langsung tidak berharap untuk sembuh sepenuhnya.

Siapa sangka Yun Luofeng akan memberikan jawapan yang pasti...

Ketika itu, hati lelaki tua itu seperti abu yang terbakar sekali lagi1. Cahaya keterujaan terserlah pada wajahnya yang dimamah usia.

"Cik, nama keluarga saya adalah Ning. Kamu boleh panggil saya Tuan Tua Ning. Ini cucu saya, Ning Xin. Umur kamu sebaya dia, jadi kamu boleh berkawan rapat. Sepanjang saya tinggal di sini, saya akan benarkan cucu saya untuk mengikut Cik. Jika ada apa-apa yang diperlukan, Cik boleh suruh dia."

Tuan Tua Ning membenarkan Ning Xin untuk mengikuti Yun Luofeng kerana dia mempunyai niat tersendiri. Walaupun bakat dalaman cucunya sangat hebat, sikapnya tidak cukup bersungguh-sungguh. Jadi buat masa ini, dia hanya mampu membenarkan Ning Xin mengikuti Yun Luofeng untuk belajar.

Tambahan pula, jika benar Yun Luofeng mampu menyembuhkan penyakitnya, itu akan membuktikan yang kebolehan perubatannya lebih hebat dari Pavilion Perubatan. Maka Ning Xin berkawan dengan Yun Luofeng hanya akan mendatangkan faedah.

"Saya tidak ada bantahan!" Yun Luofeng mengangkat bahunya. Berpaling untuk melihat Gao Ling dengan bayang senyumannya, "Putera Mahkota, bukankah kamu perlu tunaikan janji kamu?"

Ekspresi wajah Putera Mahkota itu sangat hodoh, hitam seperti kuali. Penumbuknya yang digenggam kuat kelihatan menggigil sedikit sambil matanya merenung tajam ke arah Yun Luofeng.

"Yun Luofeng, kamu sengaja buat begini!"

Walau bagaimana dia cuba memikirkannya, dia tidak menyangka Yun Luofeng sebenarnya ada ilmu perubatan. Sejak bila dia belajar? Kenapa tiada siapa yang tahu?

Guan Lin dan orang lain tidak berkata apa-apa juga, mengimbas semula bagaimana sebentar tadi mereka mengejek Yun Luofeng. Mereka dapat merasakan seperti ada api membakar muka mereka. Mereka berasa malu sehingga berharap dapat menguburkan diri sendiri...

Khususnya, awal-awal tadi ketika semua orang percaya Yun Luofeng tidak dapat melihat niat baik orang lain dan tidak ambil peduli sewaktu Mu Wushuang dengan baik hatinya memberikan beberapa petua.

Berdasarkan kebolehan perubatan Mu Wushuang, bagaimana dia hendak mengajar Yun Luofeng? Dia yang sepatutnya mengajar Mu Wushuang! Mu Wushuang berangan mengatakan dengan panduannya Yun Luofeng akan dapat belajar sepuluh tahun lebih cepat!

Tidak tahu malukah dia?

Di kalangan semua yang hadir itu, orang paling berasa dimalukan dan air mukanya jatuh ialah Mu Wushuang sendiri.

Perbuatan Yun Luofeng tadi tanpa ragu-ragu sememangnys bagaikan tamparan kejam pada mukanya, dan ini membuatkan hatinya penuh cemburu, dengki, dan benci! Dia tidak mampu mengekalkan penampilannya yang ayu seperti biasa, matanya merenung penuh kedengkian terhadap Yun Luofeng.

avataravatar
Next chapter