15 15

BAZLI

Semua pekerja berpusu-pusu masuk ke dalam lif termasuk aku. Mereka semua membuat hal masing-masing dalam keadaan sempit begini. Aku sempat menjeling ke arah Ika dan Syahira di sebelah.

Pintu lif terbuka. Mereka semua berebut keluar. Ada yang membawa kenderaan sendiri, ada yang menggunakan pengangkutan awam dan ada juga tunggu sugar daddy di luar. Aku menuju ke tempat parkir.

"Bazli! Woi tunggu jap!" jerit Syahira. Dia mengawal ayu berjalan ke arah aku. Aku meletak beg galas di dalam kereta sambil menunggu perempuan itu tiba.

"Hmm?"

"Rumah kita satu jalan je kan? Tumpang kau boleh?" tanya Syahira. Aku merenungnya dalam-dalam mengawal emosi marah.

"No." jawab aku. Aku terus masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Aku biarkan Syahira terpinga-pinga. Aku tinggalkan dia.

Kereta aku meluncur laju di atas jalan raya. Pelik sedikit kerana tidak banyak kenderaan yang menggunakan jalan raya. Aku terus memandu tanpa memperdulikan sesiapa. Hanya dj radio sahaja tidak habis dengan lawak bodohnya.

Aku berhentikan kereta di hadapan 7 eleven. Aku pantas keluar daripada perut kereta dan masuk ke dalam kedai itu. Aku mencari roti gardenia dan beberapa air tin pepsi. Selepas itu, aku membuat bayaran di kaunter. Seorang budak perempuan berumur dalam 9 tahun memilih coklat yang ada di rak kecil sebelah aku.

"Berapa?" soal aku pada perempuan bertudung hitam itu.

"RM8 je, jawabnya. Aku menghulurkan kepingan kertas merah padanya. Dia mengembalikan wang baki. Aku terus keluar.

"Mama! Adik sudah beli coklat," kata budak perempuan tadi pada ibunya. Aku memandang mereka anak-beranak. Aku teringat zaman aku kecil dahulu, tiada coklat dan tiada senyuman seperti budak tadi. Hanya penderitaan yang menemani aku sepanjang perjalanan ke alam remaja. Aku pantas masuk ke dalam kereta tanpa mempedulikan mereka lagi.

Budak kecil tadi juga masuk ke dalam kereta bersama mamanya. Aku tidak dapat melihat wajah mama budak itu kerana dia memakai sunglasses besar. Bertubuh tinggi, langsing dan agak seksi. Tidak sangka budak lelaki itu mempunyai seorang mama yang seksi. Aku merenung wajah budak perempuan tadi di dalam kereta. Dia juga memandang aku.

**

Tombol pintu tidak berkunci. Aku tolak lalu masuk ke dalam rumah. Reza tertidur di sofa. Aku dekati Reza dan lihat dia memegang buku nota kecil. Perlahan-lahan aku cuba ambil buku nota itu.

"Hmmm...Bazli kau nak buat apa?" soal Reza dengan mata terpejam.

"Saja nak baca isi buku nota tu," balas aku lalu beredar ke bilik. Aku membuka kemeja dan duduk di atas katil sambil memerhati beg galas yang aku bawa tadi. Aku segera mencapai beg galas itu dan mengambil sesuatu di dalamnya.

Sebotol cecair aku keluarkan dan memerhatinya dengan dekat. Di dalamnya terdapat sejenis cecair yang dinamakan Botulinum toxin oleh si penjual. Cecair ini dapat membantu aku dalam menyelesaikan mangsa-mangsa yang aku culik dalam masa singkat. Mungkin aku dapat gunakan ini untuk membunuh dua perempuan gedik di pejabat itu.

Aku memasukkan kembali cecair itu di sisi beg. Tuala dicapai dan aku segera ke tandas untuk mandi. Malam ini ada perkara yang harus aku selesaikan.

**

Bulan pada malam ini tidak begitu penuh. Selepas beberapa minit memerhati keadaan bulan,  aku menuju ke arah kereta. Aku keluarkan kunci setelah merapati kereta itu. Aku memandang kiri dan kanan untuk memastikan keadaan sunyi. Aku terus masuk ke dalam kereta. Kereta dihidupkan, aku meninggalkan bangunan itu dengan kadar segera. Bau Christian Dior Eau Sauvage menaikkan semangat aku untuk memandu.

"Hai selamat malam kepada pendengar setia ...." Dj radio memulakan kerjanya menghiburkan aku. Keadaan jalan tidak terlalu sesak ini menyenangkan aku untuk ke destinasi.

Tiba di sebuah café hipster, aku keluar daripada perut kereta. Belum sempat aku melangkah masuk ke dalam café itu, seseorang memegang bahu aku. Aku menoleh memandangnya. Dia menghadiahkan sebuah senyuman paling menggoda. Dia seolah-olah mencium bauan pada tubuh aku ini.

"Bazli kan?" soal Kiera.

"Kau awek Aiman kan?" soal aku pula. Dia menggeleng.

"Sudah breakup semalam," balas Kiera. "Nak pergi makan ke ni?"

"Ye..."

"Sekalilah jom," Kiera menarik lengan aku bersama masuk ke dalam café itu. Dia memilih meja paling hujung. Mungkin mahu mencari ketenangan. Pelayan berbaju serba hitam datang mendekati kami. Dia memberi dua buku menu. Aku hanya memesan jus begitu juga Kiera. Pelayan itu beredar.

"Kenapa break?" tanya aku.

"I tak suka lelaki miskin macam tu. Semua benda dia tak boleh tunaikan," terang perempuan itu sambil membuat gaya gedik.

"Carilah sugar daddy yang boleh beri kebahagian kepada you," balas aku memberi cadangan.

"I nak yang muda je macam you Baz, you handsome," terang Kiera si hijabista. Aku menjengketkan kening lalu tersenyum memandangnya. Kiera membalas senyuman aku.

"I pun suka perempuan macam you yang ayu," balas aku. Kiera tersipu malu. Pelayan tadi datang membawa pesanan kami. Dia perlahan-lahan meletakkan kedua gelas kami di atas meja.

Aku mengacau jus epal itu berkali-kali sebelum menyedutnya. Kiera tidak habis membetulkan selendang pocong.

"You tahu tak, Aiman tak macam you langsung. Dia tak habis beri alasan pasal adik dia hilang, mak dia sakit and bla bla bla," terang Kiera sambil membetulkan selendang.

"Kiera, I faham you yang you nak perhatian kan?" tanya aku. Kiera tersenyum lalu mengangguk lembut. Pipi putihnya makin merah merona.

"Lepas ni boleh tak you bawa I pergi jalan-jalan?" tanya Kiera lembut. Aku mengangguk tanda mahu. Kami berdua menghabiskan minuman masing-masing sambil berborak kosong. Kiera tidak habis bercerita tentang kehidupan cintanya yang tidak menjadi. Dari cara percakapannya aku tahu dia mahukan lelaki berpoket tebal.

Selepas membuat bayaran, aku berjalan ke kereta bersama Kiera. Kiera nampaknya sangat selesa berada dengan layanan aku. Aku akan melayan dia bagaikan permaisuri. "Sila masuk..." kata aku selepas membuka pintu kereta. Kiera menahan gediknya masuk ke dalam kereta. Senyumannya tidak lekang di bibir. Aku juga masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. "You tak kisah ke I bawa you kat mana-mana?" tanya aku untuk kepastian.

"Sikit pun I tak kisah Baz," balas Kiera. Dia mengamati suasana malam di luar tingkap kereta. Aku menjengketkan kening sambil membetulkan botol kecil cecair yang ada di dalam poket seluar. Kereta membawa kami ke kawasan yang jauh daripada orang ramai. "Sunyi kawasan ni," katanya. Ada sedikit senyuman terpancar pada wajah aku.

"Kalau you takut, you peluklah I," balas aku. Kiera terus memegang lengan aku dengan erat. Aku masih lagi fokus meneruskan pemanduan.

Tiba di kawasan taman lama, aku berhentikan kereta. Kiera masih lagi setia memeluk lengan aku. Aku biarkan saja dan mendiamkan diri buat seketika.

"Perempuan selalu tinggalkan lelaki bila dah takde duit. Senangkan?" kata aku yang mula beremosi. "Contoh macam ibu aku sanggup bunuh ayah aku sebab nakkan lelaki kaya. Ibu kata ayah tak mampu buat ibu bahagia macam mana Kamal beri."

Wajah Kiera terus berubah mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut aku. Dia melepaskan pelukan pada lengan aku. Bunyi cengkerik di luar makin bising. Aku memandang Kiera sambil memakai sarung tangan kulit berwarna hitam.

"Apa yang you mengarut ni?" soal Kiera.

"Aku tak pernah mengarut," balas aku. "Kau nak tahu? Aku benci perempuan macam kau yang sanggup tinggalkan lelaki demi duit! Kau memang biadap!!!"

"You ni kenapa Baz!" soal Kiera lagi.

"Kau tanya aku kenapa? kau yang patut tanya diri kau!" jerit aku.

Kiera cuba untuk membuka pintu kereta tetapi gagal.

"Aku nak keluarlah!" jerit Kiera sambil memandang kiri dan kanan.

"Keluarlah kalau kau nak!" balas aku. Tangan aku pantas menampar pipi Kiera sehingga dia terdiam seketika. Tidak lama. Dia kembali meronta-ronta untuk keluar.

"Lepaskan aku Baz!" jeritnya lagi. "Apa salah aku dengan kau!"

"Kau dengan ibu aku sama saja!"

Aku terus mencekik leher Kiera. Selendang di kepalanya hampir tercabut. Kiera meronta-ronta untuk melepaskan dirinya. Aku meludah berkali-kali pada muka Kiera yang semakin pucat. Botol kecil di dalam seluar aku keluarkannya lalu membuka penutup botol itu. Aku memasukkan kesemua cecair Botulinum Toxin ke dalam mulut Kiera. "Selamat tinggal perempuan sial!" mata aku makin tajam merenung wajah Kiera. Tangan, kaki dan seluruh badannya kian lemah. Tangan aku masih lagi mencekik lehernya dengan kuat.

"Matilah kau sial!" bisik aku buat kali terakhir. Kiera tidak lagi bernafas. Tangan aku melepaskannya. Dia tidur dalam keadaan tenang. Beg tangan Kiera aku letakkan di tempat duduk belakang. Aku membawa kereta ke tempat lain untuk membuang jasad perempuan itu.

Tiba di suatu tempat, aku keluar daripada kereta. Tubuh Kiera juga aku tarik keluar dan mengheretnya di atas rumput-rumput yang basah. Selendang yang terlilit di kepalanya aku tarik lalu mencapai gunting. Bilahnya yang tajam itu aku halakan pada mulut Kiera. Aku menarik keluar lidahnya dan mengeratnya perlahan-lahan kemudian aku mencampakkan lidahnya di atas rumput. Ada darah yang keluar pada kesan keratan itu.

Aku memikirkan sesuatu untuk mengerikan keadaan jasad itu dan aku mencapai gunting tadi kembali. Aku mengorek pula bebola mata kiri milik perempuan itu. Bunyinya sangat mengiurkan seperti ada sesuatu yang berair dicincang. Tidak sampai 10 minit, aku campakkan pula bebola matanya entah tergolek ke mana-mana.

Tangan aku mula menggunting seluar slacknya sehingga menampakkan seluar dalam berwarna merah. Aku bergegas ke but kereta untuk mengambil telefon dan kemudian aku mengambil gambar penuh keadaan perempuan itu. Jari aku mula membelek-belek gambar yang aku ambil tadi sehingga puas.

"Baru puas aku kau mati!" aku tersenyum sehingga menampakkan barisan gigi. Gunting yang aku gunakan tadi aku simpan kembali di dalam but kereta. Aku membiarkan jasad Kiera terbaring di situ supaya memudahkan orang menjumpainya. Aku melangkah masuk ke kereta. Aku tinggalkan dia. Sepanjang berada di dalam kereta, aku tidak henti tersenyum kerana berasa terlalu puas.

Sebelum tiba di kawasan apartment, aku menghentikan kereta di tepi jalan dan keluar mendekati tong sampah yang ada di situ. Kemeja yang aku pakai tadi ditanggalkan lalu membuangnya. Sarung tangan hitam tadi aku buang juga di situ. Aku kembali ke kereta.

Jam menunjukkan tepat 1 pagi. Tiada lagi manusia yang lalu di situ. Hanya aku dan roh Kiera yang sedang marah-marah. Aku kembali pulang ke rumah.

Setelah meletakkan kereta di ruang parkir, aku keluar perlahan. Aku hanya bersinglet dan berseluar jeans tadi berjalan menuju ke rumah. Hati aku mula merindui Reza di rumah dan berharap dia sudah tidur. Aku mahu melihatnya tidur untuk melepaskan rindu.

**

Pintu ditolak. Aku menyelami suasana gelap di seluruh rumah. Kaki aku melangkah perlahan masuk ke dalam bilik Reza. Dia sedang tidur di atas katil sambil memegang telefon. Aku mendekatinya lalu mencapai telefon Reza di tangan. Aku letakkan telefon itu di atas meja.

Aku memegang hidung Reza yang mancung. Dia serupa dengan 'Reza' aku yang dulu. Semenjak Reza berpindah masuk ke sini, aku selalu terbayangkan Muhd Reza walaupun di hadapan aku ini adalah Shahreza.

**

10 TAHUN LALU.

Kami tiba di rumah selepas habis sesi persekolahan hari ini. Aku mengajak Reza untuk melepak di rumah aku kerana mahukan kawan. Dia sepertinya tidak kisah dengan ajakkan aku ini dan mengikuti aku saja.

"Mana parent kau Baz?" soal Reza pelik memerhati keadaan sunyi.

"Aku mana ade sesapa dalam dunia ni," jawab aku sambil meletakkan beg galas di tepi sofa.

"Pandai kau buat lawak ye," kata Reza sambil menghadap skrin telefon.

"Kau buat ape tu?" soal aku ragu-ragu.

"Mesej makwe aku ni ha," balas Reza.

"Oh, kau ade makwe rupanya?" soal aku lagi.

Reza mengangguk laju. Dia lebih fokuskan telefon itu daripada aku yang dihadapannya. Aku beredar ke dapur dan mengambil air kosong.

"Minumlah," arah aku sambil menghulurkan gelas berisi air. Mata Reza masih lagi menghadap skrin telefon. Aku terlalu marah dan terus menumpahkan air di dalam gelas ke baju sekolahnya. Reza terkejut.

"Ape ni Baz?!" marahnya.

"Err...sorrylah aku salah peganglah tu terjatuh," balas aku dengan rasa bersalah.

"Takpelah, aku okey je," balas Reza lalu membuka kemeja sekolahnya dan tidak berbaju. Aku memerhati setiap inci tubuh Reza yang berkulit sawa matang. Dia tidak menyedari anak mata aku ini memerhatikannya. Jantung aku berdegup kencang.

"Aku rasa aku sukakan someone," kata aku memulakan topik perbualan.

"Seriuslah wei! Kau suka awek mana ni? Cuba cerita sikit dekat aku manalah tahu aku kenal," balas Reza bersemangat.

"Kau memang kenal dia pun," balas aku.

"Biar betul? Siapa wei?" tanya Reza.

"Aku sayangkan kau Reza..." terang aku. Wajah Reza terus bertukar dan tidak suka mendengarnya. Aku terus merapatinya.

"Ape benda kau ni Baz? Kau gila ke?" soalnya.

"Aku tahu kau dengan aku sama tapi aku betul-betul sukakan kau Reza!" tegas aku lalu berdiri.

"Aku nak baliklah dulu, sorry Baz," kata Reza. Belum sempat dia bangun aku terus menolaknya sehingga terbaring. Reza tergamam melihat tindakan aku begini. "Baz! Lepaskan akulah bodoh!" jeritnya. Aku seperti dirasuk dan mahu memeluk tubuh Reza. Aku menahan kaki Reza dengan lutut aku supaya dia tidak dapat bergerak. Dengan pantas aku meniarap di atas badannya dan cuba untuk peluk.

"Sekali ni je Reza! Tolonglah..." rayu aku. Reza menumbuk muka aku sehingga aku terjatuh terkena meja. Dia pantas mencapai baju dan beg untuk melarikan diri. Aku terus bangkit dan menerpa ke arahnya. Tangan aku membalas tumbukannya pula. Tepat mengenai batang hidungnya. Reza jatuh di atas sofa lagi.

Tanpa berfikir panjang, aku mencapai kerusi kayu di sudut ruang tamu lalu menghayunkannya ke arah Reza. Tepat mengenai kepalanya dan Reza jatuh tersembam di atas lantai. Kepalanya sedikit luka. Ada darah mengalir di dahi.

"Reza?! Reza..." panggil aku sambil menggerakkan kepalanya.

avataravatar
Next chapter