12 12

BAZLI

Mimpi tadi membuatkan aku terjaga daripada tidur. Mimpi tadi juga membuatkan jantung aku berdegup dengan rancak. Aku terpinga-pinga dalam peluhan kegelapan malam ini.

Di luar hujan turun renyai-renyai membasahi bumi tanpa penghujungnya lagi. Aku bersandar pada kepala katil sambil menikmati suasana sunyi. Pukul 4.30 pagi, aku masih lagi termenung tanpa bicara.

"Ape yang Reza buat sekarang ni?" soal aku bertanya pada diri sendiri tanpa jawapan kukuh. Aku membiarkan peluh-peluh dingin yang mengalir di dahi jatuh hingga ke dagu. Keadaan jantung aku mula kembali normal seperti biasa. Hujan masih lagi renyai-renyai di luar sana.

Kaki aku turun menjejak lantai dan melangkah keluar daripada bilik menuju ke bilik Reza. Pintu bilik tersebut dikunci daripada dalam. Aku terlalu bengang dan pantas aku dekati laci di kabinet dapur untuk mencari kunci bilik itu dan akhirnya aku berjaya menjumpainya.

Pintu bilik ditolak sedikit setelah aku membukanya. Aku lihat Reza masih lena dibuai mimpi. Aku terbayang kalau Reza memeluk tubuh aku ketika ini. Perlahan-lahan aku mengusap-usap bahu Reza sehingga ibu jari kakinya yang sejuk. Sejak dia berpindah masuk ke sini, aku sudah mula menyukainya. Dia sama seperti 'Reza' aku yang dulu.

Perlahan-lahan aku beredar dan menutup pintu biliknya lalu segera ke dapur. Pintu peti sejuk dibuka. Aku mencapai sebotol air sejuk dan mencapai gelas di dalam rak dapur.

"Aku sayangkan kau Reza," kata aku tenang. Entah mengapa hati aku merindui Reza. Merindui seorang manusia yang betul-betul berada dekat dengan aku. Kalaulah dia tahu perasaan dan isi hati aku selama ini.

Pagi nanti, seperti biasa aku perlu bangun awal. Hari ini hari yang perlu aku hadir ke pejabat setelah lama aku bercuti. Segera aku membasuh gelas kotor tadi dan beredar ke bilik untuk menyambung tidur yang terganggu.

**

Skrin komputer dari pagi tadi menyala membuatkan mata aku penat. Banyak fail-fail yang sudah bertimbun di atas meja. Pekerja perempuan bernama Ika dan Syahira tidak habis memandang aku sambil berbisik-bisik. Aku tahu mereka berdua sedang mengumpat mengenai diri aku. Sejak aku masuk bekerja tahun lepas lagi, aku sudah mula membenci dua betina itu.

"Baz, nak rehat ni stoplah kerja tu,"  sapa Aiman, rakan sekerja aku di meja sebelah.

"Kau rehatlah, aku nak siapkan kerja," balas aku tanpa memandangnya. Aiman bangun lalu mendekati aku. "Pergi jelah," kata aku lagi. Aiman beredar meninggalkan aku dan kini tinggal aku dan dua orang minah bermulut puaka tadi.

"Eh Bazli kau ni tak teringin ke nak kawin?" soal Syahira yang gatal. Ika yang berada di sebelahnya menahan ketawa. Mungkin mereka sedang mencari topik perbualan dengan aku hari ini.

"Masalah kau ke?" kata aku tanpa memandang mereka berdua. Jari-jari aku pantas menaip pada papan kekunci. Sesekali aku gerakkan tetikus ke atas dan ke bawah.

"Kau kan mamat hensem kat sini takkanlah takde girlfriend?" soal Syahira lagi. Aku memandang wajah anak dara tua itu.

"Masalah kau ke?" tanya aku lagi. Kali ini aku Tarik nafas aku dalam-dalam menahan panas di hati.

"Takkan tu pun nak marah? Rileklah Baz," kata Ika yang kali ini baru bersuara. Dia menyengih membuatkan aku berasa seram dengan bedak tiga kilogram pada wajah Ika.

"Yang kau orang ni takde kerja lain ke selain mengacau aku?!" tanya aku. Kali ini mereka berdua memandang tepat pada mata aku.

"Kami ni prihatin dengan kau jelah," balas Syahira. Aku menghempaskan fail-fail di atas meja sehingga berteraburan di atas lantai. Syahira dan Ika cepat-cepat beredar. Aku pula bergerak ke pantri untuk membancuh air.

"Manusia dalam ofis ni tak boleh ke sehari tak tengok aku tenang!" kata aku sendiri setelah sampai di pantri. Aku capai bekas kecil berisi serbuk milo dan susu pekat. Aku cedok sedikit serbuk berwarna coklat itu.

"Sabarlah Baz, dorang memang macam tu. Syok kat kau kot," kata Aiman yang sedang makan di meja. Aku tidak sedar sejak bila dia masuk ke sini.

"Sabarlah ni. Kau tak nampak ke? Buta?" balas aku. Serbuk milo dan susu yang berada di dalam gelas aku isikan pula air panas. Setelah itu, aku kacau air milo dan duduk di atas kerusi berhadapan dengan Aiman.

"Kau tak lapar ke?" soal Aiman. Aiman muda 3 tahun daripada aku dan baru beberapa bulan bekerja di syarikat yang sama. Dia saja manusia yang boleh aku bergaul di sini.

"Aku makan kat rumah nanti. Pandai-pandailah aku nak masak nanti," balas aku sebelum menghirup air milo manis.

"Hmm, adik aku hilang dekat 2 hari beb. Mesti dia buat perangai lagi lari dengan boyfriend dia," Aiman mula mengadu. Dia mengunyah nasi di dalam mulut.

"Apa nama adik kau tu?" soal aku yang ingin tahu walaupun sudah tahu.

"Amiralah siapa lagi. Dia seorang je adik perempuan yang aku ada, yang lain lelaki," terangnya. Aku sedikit tersengih tanpa pengetahuannya. Amira Azhar sudah lama pergi dari dunia ini. Aku tidak kisah perempuan-perempuan yang aku hapuskan ada kena mengena dengan kawan-kawan aku atau keluarga.

"Esok lusa dia baliklah tu. Kau pun tahukan perempuan muda zaman sekarang ni liar-liar sikit," balas aku untuk meredakan keresahan Aiman. Aiman menyambung makan nasinya. Aku membuang pandangan ke arah bakul sampah berwarna merah.

**

Selesai waktu rehat, aku kembali ke meja dan lihat kesemua fail-fail yang ada di atas lantai tadi sudah berada di atas meja. Nampak seperti seseorang yang baik hati telah mengutipnya tadi. Aku memandang Ika yang sedang bermain telefon pintarnya. Aku tersenyum sinis.

Mata aku kembali tertumpu pada skrin komputer. Kerja-kerja yang tertangguh segera aku  siapkan sebelum pulang. Sesekali aku memandang Ika yang masih lagi bermain telefonnya dengan khusyuk. Pasti sedang berwhatsapp dengan teman lelakinya.

"Wei Bazli, balik nanti teman aku kejap nak cari baranglah," Kata Aiman di sebelah. Aku memandang Aiman lalu mengangguk. "Haa Baz..." panggil Aiman lagi.

"Kenapa?" soal aku tanpa memandangnya.

"Tak takde ape," balas Aiman lalu menyambung kerjanya semula. Aku berpaling memandang Aiman dan menjengketkan kening.

**

10 TAHUN LALU.

"Mana mak ayah awak?" Soal aku memandang keadaan rumah Juliana yang sunyi.

"Lupa eh saya dah bagitahu semalam yang mereka berdua takde," terang Juliana sambil mengupas kulit buah epal hijau. Aku memandang Juliana biasa-biasa. "Awak kenapa pandang saya macam tu?" soal Juliana sedikit tersipu-sipu. Aku tidak tahu mengapa dia perlu tersipu-sipu begitu.

"Kalau aku cakap aku nak bunuh kau, kau percaya tak?" soal aku sambil tersengih.

Juliana memandang aku. Kali ini pandangannya agak luar biasa dan lebih tajam. Aku cuba melarikan pandangan aku ke tempat lain. "Kenapa awak nak buat macam tu?" soalnya pelik.

"Err saja sajalah bosan..." balas aku lalu menelan air liur berkali-kali. Juliana memberi aku buah epal yang sudah dikupas kulitnya. Aku segera menyambutnya.

"Makanlah epal hijau ni. Sedap," arahnya padaku. Aku segera menggigit buah epal itu sedikit dan mengunyahnya. Mata Juliana tertumpu pada mulut aku yang sedang mengunyah. "Sedap tak?" soalnya lagi.

"Emm sedap sedaplah tak sangka epal hijau sedap selama ni makan epal warna merah tu je," balas aku lalu tersenyum.

"Lepas ni awak baliklah dulu sebab saya nak pergi belajar kat rumah kawan saya," kata Juliana lalu bangun ke sinki untuk membasuh pisau. Aku terus mengunyah epal hijau sambil memerhati pisau di sinki itu. Nampak menarik dan tajam. "Saya tahu awak pandang saya kan?" kata Juliana yang perasan lalu berpaling memandang aku. Dahi aku berkerut.

"Emm aku nak balik dulu. Thanks buah epal tadi," kata aku lalu bangun daripada kerusi. Juliana menemani aku jalan ke pintu. Aku keluar menuju ke rumah tanpa memandang Juliana. Pintu ditolak dan aku segera masuk ke dalam. Aku duduk di atas sofa sambil mengenangkan wajah Juliana kalau dia tahu yang aku ingin membunuhnya. Aku sudah lama tidak melihat darah manusia.

**

"Hoi?" sapaan Aiman mengejutkan aku daripada lamunan. Riak wajahnya bertukar pelik memandang aku.

"Sudah pukul berapa ni?" soal aku kembali kepada dunia realiti.

"Pukul 5 lah, kata nak teman aku cari barang," balas Aiman sambil mengemas barang-barang yang berselerak di atas mejanya. Begitu juga dengan aku. Kelibat Syahira dan Ika tidak lagi kelihatan. Mungkin dua manusia itu sudah lama berlalu pulang. "Aku tak bawa motorlah hari ni, kalau boleh kau hantar aku balik lepas cari barang nanti he he he," terang Aiman dengan ketawanya yang dibuat-buat.     

"Hmm boleh je, kan satu jalankan..." balas aku tanpa minat. Setelah selesai mengemas, aku dan Aiman turun mendekati kereta. Kami masuk ke dalam kereta tanpa banyak bicara. Aiman lebih seronok bermain telefon pintarnya.

"Kita nak pergi mana ni?" soal aku ketika berhenti di lampu isyarat.

"Mana-mana mall yang dekat dengan sinilah, aku nak cari barang untuk girlfriend aku. Esok birthday dia," terang Aiman. Aku berasa malas saat mendengar tujuan sebenarnya itu. Tangan aku masih setia memegang stereng.

Selepas hampir 20 minit di jalan, kami sampai di sebuah pusat membeli-belah yang agak terkenal. Aiman merapikan rambut dan kemejanya sebelum keluar daripada keretaku. Aku juga membelek wajah di cermin.

Kami keluar daripada kereta, menuju pintu utama. Aku berasa lega saat terkena penghawa dingin yang merupakan satu kenikmatan daripada azab panas sebentar tadi. Aiman mencari-cari kedai yang sesuai untuk mencari hadiah.

"Kau nak cari hadiah ape?" tanya aku bosan.

"Aku pun tak tahu perempuan suka ape sebenarnya," balasnya. Aku mula berasa bosan dengan keadaan ini.

"Perempuan suka benda mahal-mahal yang berkelip-kelip tak pun IPhone plus plus," kata aku bersahaja. Beberapa orang remaja perempuan yang sedang melepak memandang aku. Aku tahu aku terlalu kacak bagi mereka.

"Aku bukan ade duit nak beli intan permata kat dia. Baru couple sebulan kot," terang Aiman sedih.

"Habis tu? Belilah teddy bear kat yubiso, mimiso, kikiso, daiso pebenda entah," balas aku menahan ketawa.

"Murah sangat tu..." balas Aiman. Aku mengeluh panjang. Aku lihat seorang perempuan memandang ke arah kami berdua. Dia terus menghampiri kami.

"Eh baby buat apa kat sini?" soalnya pada Aiman. Aiman sedikit kaget. Aku dapat merasakan perempuan inilah teman wanita Aiman. Wajahnya biasa-biasa, bertudung ikan bawal singkat, makeup tebal dan berbaju hipster ketat-ketat nampak pusat.

"Eh sayang, I saja jalan-jalan..." balas Aiman dengan sengihannya. Perempuan itu mencuri pandang kepada aku. "Ini Kiera, girlfriend aku and sayang ini kawan I, Bazli," Aiman memperkenalkan kami berdua. Aku sekadar senyum. Perempuan itu memberi senyuman yang paling menawan.

"Kata nak cari hadiah girlfriend kau, cepatlah," kata aku pada Aiman. Wajah Aiman kaget lagi.

"What? You tengah cari hadiah I ke? Jomlah I nak beg kat parkson tadi tuu!"  kata Kiera sambil menarik lengan Aiman. Aiman memandang wajah aku meminta belas kasihan. Aku mengikuti mereka daripada belakang. Aku tahu perempuan ini hanya mahukan wang Aiman saja.

Kami menuju ke tempat menjual beg-beg wanita. Pelbagai jenis beg dijual dan berjenama. Gucci, Carlo Rino, Bonia, Dior semua ada. Inilah syurga bagi wanita agaknya. Pada mata lelaki, semua ini biasa-biasa. Belum masuk lagi ke tempat kasut, pakaian dan lain-lain lagi.

"I nak beg ni dengan beg kat hujung tu. You sayang I kan?" kata Kiera menggedik. Kali ini aku mula menguap. Aiman mampu tersenyum saja.

"You ambillah beg yang you nak tu," arah Aiman. Kiera memanggil jurujual untuk melayaninya. Aiman menuju ke arah aku. "Macam mana ni?" soalnya. Aku menjengketkan kening.

"Nanti aku bayarkan," kata aku pendek. Aiman mula rasa bersalah.

Di kaunter, aku membuat pembayaran bagi kedua-dua beg tersebut. Kiera terlompat riang seperti kanak-kanak diberi air ribena emas. Aiman menunggu kami berdua di luar. Mungkin dia berasa segan dengan tindakan aku ini.

"Thank you Bazli, I love you more and more. I rasa lebih baik I break je dengan Aiman and mula couple dengan You," kata kiera lalu memeluk aku erat tanpa rasa bersalah. Aku hanya tergamam. Aiman melihat kami tanpa bicara. Kiera meninggalkan kami berdua terpinga-pinga. Aiman mendekati aku dengan riak bersalah.

"Sorry beb, aku susahkan kau pulak," kata Aiman. Aku berasa kasihan melihat Aiman begini. Dipermainkan perempuan sesuka hati.

"Kita member, its okey," balas aku lalu menepuk bahu Aiman tiga kali. Kami menuju ke food court kerana Aiman mahu belanja aku makan.

Kini, Syakiera hijabista merupakan sasaran aku pula. Duit aku tadi perlu dibayar tunai dengan nyawa. Bumi ini tidak perlukan perempuan-perempuan berdosa begitu.

**

Aiman keluar daripada kereta dan melambaikan tangannya pada aku. Aku tidak membalas lambaian tersebut kerana agak kekok. Pedal minyak ditekan bagi meneruskan perjalanan pulang ke rumah.

Lagu entah apa-apa dimainkan di radio oleh dj radio yang entah apa-apa. Kadang-kadang rasa mahu hempuk kepala dj radio yang sentiasa membuat lawak bodoh. Aku tutup saja radio daripada terus menyakiti telinga dan hati. Mata aku menangkap sosok manusia yang amat aku kenali di sebuah restoran mamak. Serta merta aku menghentikan kereta di tepi jalan. Aku keluar dan menuju ke restoran tersebut.

"Reza!" Jerit aku. Reza menoleh dan melambaikan tangannya. Aku lihat Zizi juga ada di situ bersamanya.

"Baz? Baru balik ke?" soal Reza setelah aku duduk di kerusi sebelahnya. Mata Zizi tertumpu pada aku.

"Banyak kerja sikit, kau lepak apa kat sini? Balik dengan aku," balas aku tanpa mempedulikan renungan Zizi.

"Kepala aku rasa sakit petang tadi, Zizi teman aku pergi klinik," terangnya. Aku menongkat dagu sambil memandang Zizi. Zizi tidak senyum tetapi buat biasa-biasa saja.

"Ini hari dan masa terakhir adik aku hilang. Dia dengan kawan dia Sara tapi Sara kata Dina balik dengan boyfriend," terang Zizi sambil menghulurkan sekeping kertas dan memberikannya pada Reza. Reza mencapai kertas tersebut. "Ok tu saja, aku balik dulu," kata Zizi lagi lalu bangun dan berlalu pergi. Kini tinggal aku dan Reza ditemani manusia sekeliling.

"Jom balik," kata aku. Reza memanggil mamak yang berdekatan untuk mengira air-air di atas meja. Setelah membayar sejumlah wang, Reza mengikuti aku pulang. Aku tahu Reza sedang risaukan perempuan bernama Zizi tadi. "Kau teringatkan perempuan tadi ke?" soal aku padanya. Reza memandang aku kosong.

"Takdelah, jom balik sekarang. Aku tak larat," balasnya. Kami segera masuk ke dalam kereta dan beredar pulang. Reza termenung.

"Tak habis lagi ke dia cari adik dia tu..." aku memulakan topik perbualan.

"Aku nak tolong Zizi je. Kau tahu kan..." balas Reza yang bangkit daripada lamunannya tadi. Aku masih lagi setia memandu.

"Kau suka Zizi kan? Apa yang special sangat kat dia tu," tanya aku seperti kegeraman.

"Aku tak suka dia punlah dia kawan aku," balas Reza. "Jangan tanya aku soalan mengarut boleh tak?"

"Hmm..." aku menahan mulut aku daripada berkata-kata lagi. Reza memandang aku dengan tajam. Dia seperti tidak suka aku menanyakan hal ini.

"Aku sakit kepala," kata Reza. Kami diam dan tidak berkata apa-apa sehingga sampai di rumah. Aku tahu Reza aku soal tempoh hari. Aku berharap dia akan pulih seperti biasa pada esok pagi.

**

Satu persatu butang kemeja aku buka kemudian seluar slack aku tanggalkan. Hanya berseluar dalam dan memakai singlet yang sudah seharian melekat pada tubuh. Aku duduk seketika di atas katil sambil bermain telefon. Tiada sesiapa yang menghantar pesanan di Whatsapp dan hanya satu notifikasi daripada twitter saja. Semuanya sunyi seperti biasa.

Pintu bilik ditarik. Aku berdiri menghampiri tuala yang tergantung dan mencapainya. Tuala dililitkan pada pinggang. Aku segera keluar dan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.

Pili air dipulas. Butir-butir air jatuh mengenai tubuh dan juga terkena pada lantai. Bunyinya sungguh terlalu kuat dikala suasana sunyi begini. Tangan aku mencapai berus gigi dan colgate. Air sejuk masih lagi setia menuruni tubuh.

"Baz..." bisik seseorang di telinga aku. Jelas aku dengar suara seorang lelaki tadi. Aku memandang kiri dan kanan untuk mencari suara itu lagi. Tiada sesiapa. "Siapa tu?" soal aku untuk  kepastian. Namun tiada yang menyahut. Hanya aku, air dan colgate.

KLAK! Bunyi sesuatu jatuh ke dalam sinki. Dengan pantas aku membuka pintu bilik air. Aku lihat hanya sebilah pisau yang ada di dalam sinki. Tiada sesiapa kecuali hanya aku saja manusia yang masih tidak tidur. Tangan aku menutup kembali pintu dan meneruskan sesi mandian.

avataravatar
Next chapter