57 Sambutan Hari Lahir (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Selama bertahun-tahun hanya Jun Xian dijemput ke jamuan hari lahir Putera Mahkota. Namun, tahun ini lain sedikit. Istana Lin mempunyai dua tetamu tambahan dan ini membuatkan Jun Xian sedikit risau.

Jemputan Jun Wu Xie kerana Maharaja 'baik hati' menjemputnya sebagai 'permohonan maaf' kerana membatalkan pertunangannya.

Manakala jemputan Jun Qing pula tiba lewat kerana sudah lebih sebulan sejak dia sakit dan semua orang fikir dia akan mati dalam tempoh ini. Walau bagaimanapun, berita kematiannya belum lagi diterima dan ini membuatkan ramai orang tidak senang duduk.

Nampaknya jamuan hari lahir Putera Mahkota esok bukan hanya sambutan biasa.

Ramai yang mahu mengambil peluang ini untuk menyiasat keadaan Jun Qing.

"Bagaimana dengan proses penyembuhan Pak Cik selama ini?" Jun Wu Xie tidak terus menjawab pertanyaan Jun Xian dan melakukan rutin pemeriksaan kesihatannya. Dia berpusing menghadap Jun Qing dan memeriksa perkembangan proses pemulihannya.

Keadaan Jun Qing bertambah baik secara mendadak. Selepas darahnya dibersihkan dan semua racun dikeluarkan daripada badannya, mereka memulakan peringkat pemulihan badannya. Dengan penggunaan akupuntur serta ubat-ubatan yang disediakan sendiri oleh Jun Wu Xie, kedua-dua kakinya juga sudah pulih. Kini ada deria rasa pada kaki Jun Qing. Ketika ini dia sedang menjalani terapi untuk menguatkan otot-otot kakinya dan berlatih untuk mula berjalan semula menggunakan topang ketiak bagi membantu proses pemulihannya.

Walaupun Jun Qing sedang menempuh kesusahan, ini satu perkembangan yang sangat baik berbanding dengan keadaannya sebelum ini.

"Lebih baik daripada sebelum ini, rasanya. Pak Cik rasa akan boleh berjalan semula dalam masa enam bulan lagi." Jun Qing tersenyum berseri-seri dan ketawa kecil. Tempoh pemulihannya ini ialah masa paling menggembirakan baginya sejak sedekad yang lalu.

"Semuanya tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru. Walaupun proses penyembuhan Pak Cik berjalan lancar, kita tidak boleh keterlaluan melakukannya atau semua usaha ini akan sia-sia." Jun Wu Xie memberi amaran kepada Jun Qing.

Walaupun Jun Qing kelihatan seperti seseorang yang lemah lembut dan menurut kata, kalau dia sedang melakukan sesuatu, dia menjadi sangat tegas serta agresif. Dia juga ada kecenderungan untuk berusaha terlalu keras. Ini dapat dilihat kebelakangan ini apabila dia melakukan terapinya. Dia hanya berhenti berlatih apabila hampir pengsan dan perlu diangkat oleh Long Qi. Disebabkan hal ini, sudah berkali-kali Jun Wu Xie dipanggil untuk merawat Jun Qing.

Jun Wu Xie terpaksa memberi amaran keras kepada Jun Qing. Sikap terlalu teruja itu akan membawa keburukan kepadanya.

Jun Qing ketawa kuat dan menampar kakinya sewaktu dileteri oleh anak saudaranya sendiri. Matanya penuh semangat. "Wu Xie, Pak Cik faham apa yang mahu katakan. Cuma sudah lebih sepuluh tahun...Pak Cik lumpuh. Lebih sepuluh tahun! Kini Pak Cik ada peluang untuk berjalan semula. Pak Cik benar-benar tak boleh tunggu lagi. Perasaan dapat berjalan semula itu, Pak Cik tak fikir orang biasa boleh memahaminya."

Selepas dia menjadi lumpuh, tidak terkira berapa banyak penghinaan dan cemuhan yang diterimanya. Tidak banyak waktu-waktu yang dia boleh ketawa gembira. Segala perasaan putus asa Jun Qing semuanya lenyap disebabkan anak saudaranya yang bijak ini.

Hampir tiba harinya di mana dia boleh bangkit semula dan dia akan membalas semuanya!

"Kalau begitu, anggap saja saya tidak kata apa-apa. Saya akan tambahkan lebih tonik untuk Pak Cik." Jun Wu Xie pernah melihat pesakit-pesakit yang terlampau bersungguh-sungguh sebelum ini. Peringkat terapi selepas rawatan ini pula sepatutnya bukan menjadi tanggungjawab dia sepenuhnya.

Tetapi Jun Qing berbeza dengan pesakit-pesakit lain. Jun Wu Xie tidak akan membiarkan apa-apa terjadi kepadanya.

"Kamu sudah berusaha keras," Jun Qing memandang Jun Wu Xie dengan mesra. Sebelum ini, dia sayang anak saudaranya ini kerana mereka ada hubungan darah. Tapi kini dia benar-benar menyayangi Jun Wu Xie sepenuh hatinya.

Dia mahu cepat sembuh supaya dia boleh menggunakan sepenuh kudratnya untuk melindungi keluarga yang amat disayanginya ini.

avataravatar
Next chapter