Jun Wu Xie mula memeriksa kaki Jun Qing sambil menekan-nekan di beberapa tempat. "Pak Cik tak boleh rasa apa-apa langsung?"

"Kadang-kadang ada rasa dingin, tapi tak berapa ketara," jawab Jun Qing.

Jun Wu Xie terus memeriksa kaki Jun Qing dan akhirnya selepas beberapa ketika, dia mengangkat kepalanya dan bertanya dengan tenang, "Pak Cik percaya pada saya?"

"Sudah tentu!" Jun Qing tersenyum ke arahnya.

Jun Wu Xie memerhatikan keadaan sekelilingnya dan pandangannya tertumpu pada kolam teratai. Matanya bersinar penuh rasa teruja.

"Bunga-bunga teratai ni cantik sangat, terutama bunga yang sedang mekar ni. Hmmm… Saya tertanya-tanya, Pak Cik suka tak makan biji benih teratai?" Jun Wu Xie bertanya secara bersahaja.

Jun Qing berfikir sejenak dan menjawab, "Kadang-kadang Pak Cik makan juga."

"Semalam saya ada petik sedikit dan rasanya sangat sedap! Pak Cik nak cuba rasa tak?" tanyanya lagi.

"Mestilah, sebab kamu yang petik," Jun Qing berasa gembira. Anak saudaranya ini sekarang semakin bijak. Kalau dulu, jika dia ada memetik biji benih teratai, orang pertama yang akan diberikannya adalah Mo Xuan Fei!

"Pak Cik, bukalah mulut," kata Jun Wu Xie.

Jun Qing agak terkejut. Walaupun dia tidak tahu apa yang Jun Wu Xie mahu lakukan, sebagai pak cik yang penyayang, dia cuma mahukan anak saudaranya berasa gembira, jadi dia mengikut sahaja dan membuka mulutnya.

Sebaik saja dia berbuat begitu, Jun Wu Xie cepat-cepat memasukkan sebiji benih teratai ke dalam mulut Jun Qing dan sebelum sempat dia memberikan reaksi, Jun Wu Xie menutup mulut Jun Qing dan mendongakkan kepalanya untuk memaksa dia menelan biji benih teratai itu.

"...…." Akibat suapan Jun Wu Xie yang "lembut" ini, air mata Jun Qing hampir mengalir.

Dia ingatkan Jun Wu Xie sudah menjadi semakin bijak, rupa-rupanya tindakannya masih lagi sedikit...kasar.

Jun Wu Xie tidak boleh dipersalahkan atas caranya yang kasar untuk memberi makan ubat. Berlembut itu bukan sifatnya. Kalau pesakitnya tidak mahu makan ubat, dalam fikiran Jun Wu Xie cuma satu - paksa pesakit makan dan caranya memang kasar tapi berkesan.

"Sedap, bukan?" tanya Jun Wu Xie.

Jun Qing tercengang melihatnya. Jun Wu Xie hanya menyumbat biji teratai itu ke dalam tekak Jun Qing. Bagaimana nak tahu apa rasanya?

"Mmmm.... Sedap." Jun Qing mengambil hati Jun Wu Xie.

"Baiklah, kalau begitu, saya pergi dulu ya." Selepas melakukan apa yang dia mahukan, dia bergegas kembali ke kawasan halamannya.

Jun Qing kebingungan merenung Jun Wu Xie yang berlalu pergi. Budak ini datang ke sini dan bercakap dengan banyak, semata-mata untuk memberikan dia makan biji benih teratai?

"Badan Tuan masih ada kesan racun. Memandangkan biji benih teratai ini bersifat menyejukkan, Tuan mahu saya buat sup halia untuk memanaskan badan?"'Hamba' yang berdiri di belakangnya selama ini memecah kesunyian. Kalau diperhatikan betul-betul, lelaki ini tinggi dan badannya tegap. Dengan ekspresi wajahnya yang tidak berperasaan, dia langsung tidak kelihatan seperti seorang hamba.

Jun Qing mengangkat tangannya,"Tidak perlu susah-susah hanya kerana sebiji benih teratai. Saya tidaklah selemah itu."

Lelaki itu menyuarakan pendapatnya, "Cik nampak lain sejak kebelakangan ini."

Sejak Jun Qing tercedera, lelaki ini sudah menjaganya selama satu dekad dan dia melihat Jun Wu Xie membesar. Dia tidak mempunyai tanggapan yang baik terhadap Jun Wu Xie akibat perangai gadis itu yang angkuh dan sombong jadi dia tidak menegur Jun Wu Xie sewaktu melihatnya tadi.

"Kamu juga fikir begitu?" bibir Jun Qing melengkung sambil dia bertafakur. Dengan sedikit perasaan nostalgia, dia berkata tanpa sedar, "Melihat Jun Wu Xie sekarang mengingatkan saya sedikit terhadap Abang."

"Tolong jangan bergurau, sesetengah perkara tidak boleh dibandingkan," balas lelaki itu dengan tegas sambil mengerutkan wajahnya. Nampaknya dia tidak setuju dengan kata-kata Jun Qing.

avataravatar
Next chapter