Seorang hamba menolak kerusi roda Jun Qing ke tepi kolam teratai di belakang rumah, supaya dia dapat melihat bunga teratai yang sedang mekar. Tetapi Jun Qing pula tidak berminat menikmati pemandangan itu.

Mendengar bunyi tapak kaki kecil dari sisinya, Jun Qing memusingkan kerusi rodanya dan tersenyum melihat Jun Wu Xie datang dengan wajah kemerah-merahan.

"Akhirnya kamu sanggup keluar?" tanya Jun Qing, pura-pura jengkel.

Sejak Jun Xian mengizinkan Jun Wu Xie belajar ilmu perubatan, dia asyik berkurung dan hanya keluar ke farmasinya. Kemunculannya ini memang sesuatu yang jarang dapat dilihat.

Jun Wu Xie melihat ke arah pak ciknya yang sedang tersenyum kepadanya. Dia sedikit terkejut kerana tubuhnya sudah mengalami perubahan intensif akibat biji benih teratai dan air mata Teratai Kecil yang istimewa dan walaupun dia belum dapat mengumpulkan kuasa roh, bunyi tapak kakinya sudah menjadi ringan. Melainkan dia berada dalam sudut pandangan seseorang, sesiapa yang berada kurang lima langkah daripada Jun Wu Xie tidak akan dapat mengesan kehadirannya.

Namun kali ini, dia baru saja memasuki kawasan laman belakang yang luas itu, dan pak ciknya yang sedang menghadap ke arah kolam teratai itu terus sedar akan kehadirannya. Deria pendengaran Jun Qing memang hebat!

"Kaki Pak Cik tercedera di medan perang?" Jun Wu Xie cuba menggali ingatannya berkenaan pak ciknya ini, tapi tidak banyak maklumat yang dia dapat. Seingatnya, Jun Qing sudah sekian lama duduk di atas kerusi roda dan jarang bercakap tentang kakinya, hanya pernah sekali ketika jamuan keluarga, Jun Qing menyebut tentang dia tercedera di medan perang.

"Ya." jawab Jun Qing.

"Ini bukan kecederaan biasa, betul tak?" Jun Wu Xie mendesak kerana dia yakin ini bukan hanya kecederaan perang yang biasa. Sewaktu Jun Qing tercedera, Istana Lin berada di kemuncak kuasa, jadi semua tabib terhebat dari seluruh dunia pasti dijemput untuk merawatnya.

Sewaktu Jun Wu Xie jatuh dari cenuram, kecederaannya juga sangat serius, dengan tulang-tulangnya yang patah antara kecederaan utamanya. Dalam masa sebulan, dia sudah boleh berjalan, jadi kecederaan biasa di medan perang tidak seharusnya membuatkan Jun Qing tidak boleh berjalan.

"Racun. Pak Cik ditikam di belakang oleh musuh menggunakan racun berbisa. Kalau tak kerana Datuk kamu, Pak Cik tak akan selamat. Datuk kamu berjaya mendapatkan Pemerintah Puak Qing Yun untuk menyembuhkan Pak Cik," kata Jun Qing dengan hiba sambil mengangkat bajunya untuk menunjukkan satu parut yang hodoh.

Walaupun luka itu sudah sedekad lamanya, masih ada kesan warna ungu gelap di sekelilingnya.

"Puak Qing Yun?" wajah Jun Wu Xie sedikit berkerut.

"Datuk kamu memberikan harta pusaka keluarga kita sebagai balasan pertolongannya," Jun Qing cepat-cepat menjelaskan sambil dia terfikirkan permusuhan ketat di antara Bai Yun Xian dari Puak Qing Yun dengan anak saudaranya.

Sebelum ini, apabila Jun Wu Xie memberitahu Jun Xian tentang niatnya untuk belajar ilmu perubatan, dia mahu mencadangkan Jun Wu Xie untuk belajar dengan Puak Qing Yun memandangkan itulah tempat tumpuan ilmu perubatan di dunia ini.

Malangnya, disebabkan hubungan di antara Mo Xuan Fei dan Bai Yun Xian, mustahil bagi Jun Wu Xie untuk menyertai Puak Qing Yun.

"Biar saya lihat kaki Pak Cik," Jun Wu Xie tidak pernah sekali pun memikirkan tentang pasangan yang curang itu.

"Baik." Jun Qing cepat-cepat memenuhi permintaan itu dan menggulung seluarnya.

Kaki Jun Qing kelihatan pucat dan kurus. Akibat kecederaan itu, sepasang kaki yang dahulunya tegap dan kuat kini menjadi kurus dan lemah. Selepas lebih satu dekad tidak digunakan, otot-ototnya mengecut dan kini, bahagian atas badannya serta kakinya menjadi tidak seimbang.

avataravatar
Next chapter