68 Putera Mahkota (4)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Mo Qian Yuan memandang Jun Wu Xie. Ekspresi terkejut di wajahnya perlahan-lahan bertukar kepada senyuman. Dia mula ketawa seperti orang gila.

"Hahahah! Kalau kamu mahu, kenapa tidak? Memandangkan mereka mahu bunuh Beta, kenapa Beta tak boleh buat perkara yang sama? Kamu benar-benar boleh selamatkan nyawa Beta?" Dia merenung Jun Wu Xie, tanggapannya tentang gadis itu sudah berubah. Jun Wu Xie bukan lagi gadis melampau dan tidak berguna seperti yang difikirkannya sebelum ini.

"Sudah tentu." Jun Wu Xie menjawab ringkas, matanya penuh tekad.

"Tapi ini tidak cukup." Wajah Mo Qian Yuan berkerut. "Tidak ada orang yang akan menyokong Beta dalam pergelutan merebut takhta. Walaupun Beta sembuh sepenuhnya, Beta tidak ada jalan untuk mendapatkan takhta daripada Maharaja. Jika Tuanku benar-benar mahu membunuh Beta, ada banyak caranya."

"Kamu ada penyokong." Jun Wu Xie membalas dengan bersahaja.

"Istana Lin akan menyokong kamu. Tentera Rui Lin akan menyokong kamu dalam perebutan takhta. Tapi kamu perlu ingat ya. Saya boleh selamatkan nyawa kamu, saya juga boleh mencabut nyawa kamu. Istana Lin boleh menyokong kamu untuk mendapatkan takhta, tapi kami juga ada kuasa untuk menyingkirkan kamu."

Sebaik kuasa bertukar tangan, dia memerlukan seseorang daripada Keturunan Diraja sebagai pemerintah seterusnya. Istana Lin cuma perlu berada di belakang tabir.

"Tentera Rui Lin...tapi…" Mo Qian Yuan kelihatan ragu-ragu. Keadaan Jun Qing lebih teruk daripada dirinya. Siapa yang akan memimpin Tentera Rui Lin selepas kematiannya? Adakah mereka akan dapat mengekalkan kekuatan yang sama?

"Kamu tak perlu risaukan hal ini. Fikirkan masalah sendiri sahaja. Kalau kamu mahu hidup dan membalas dendam, kamu perlu terima syarat-syarat ini. Kalau kamu mahu mati, saya tak akan memaksa. Pil yang kamu makan tadi cuma boleh melegakan keadaan kamu buat sementara. Terlalu banyak toksin sudah terkumpul dalam badan kamu jadi kita perlu lebih banyak masa untuk menyingkirkan semuanya," jelas Jun Wu Xie.

Mo Qing Yuan menarik nafas dalam-dalam. Dia tahu dia tidak ada pilihan kerana dia dalam keadaan terdesak akibat perbuatan keluarganya sendiri. Dia masih perlu membalas hutang darah ini! Apa sahaja syarat yang dikenakan, dia tidak peduli. Kalau perlu tempuh lautan api sekalipun, dia sanggup!

"Beta setuju." Dengan pantas dia membuat keputusan yang akan mengubah hidupnya.

"Bagus. Selepas ini kamu perlu cari alasan untuk kita bertemu. Saya akan singkirkan semua racun itu secara perlahan-lahan." Dia memandang tepat ke mata Mo Qian Yuan sebelum berpusing dan berkata dengan perlahan, "Mo Qian Yuan, kamu tak akan menyesal dengan pilihan yang kamu buat hari ini."

Jun Wu Xie membawa kucing hitam kecil itu dalam dakapannya dan berjalan kembali ke dewan jamuan.

Melihat susuk tubuh gadis itu berlalu pergi, Mo Qian Yuan menggenggam penumbuknya untuk cuba menahan segala emosi yang dirasainya. Selama bertahun-tahun dia merasakan jiwa dan mindanya perlahan-lahan musnah sehingga dia mahu berputus asa. Dia tidak pernah terfikir hari ini akan tiba. Dia merasakan hari ini dia sudah menemui kembali sebahagian kecil daripada dirinya dan dia bertekad untuk mendapatkan kembali segala-galanya.

Jun Wu Xie, apa saja yang kamu mahu, asalkan kamu bantu saya capai apa yang saya mahukan, hidup saya ini milik kamu!

Di dalam dakapan Jun Wu Xie, Hitam Kecil menggoyang-goyangkan ekornya dengan penuh teruja.

"Meow."

[Sudah lama saya tidak bertukar, saya masih belum biasa. Macam mana Cik tahu Maharaja yang menyebabkan kematian Maharani? Macam mana Cik tahu Maharaja juga yang memusnahkan keluarga Maharani?]

Hitam Kecil yakin yang berita ini tidak datang dari Jun Xian dan Jun Qing, jadi bagaimana tuannya dapat maklumat penting ini?

"Saya tak tahu."

[Apa?]

"Saya saja-saja cakap." jawab Jun Wu Xie dengan tenang.

Dia kembali ke jamuan dan duduk dengan diam.

Maharaja duduk di atas singgahsana. Baginda sedang berseronok bercakap dan ketawa dengan kuat bersama para menteri. Jamuan semakin meriah dengan muzik dan tarian berlangsung sepanjang malam.

Tetamu utama majlis itu, Mo Qian Yuan, telah meninggalkan majlis lebih awal. Ini memberikan Mo Xuan Fei peluang untuk memainkan peranan sebagai calon pemerintah terbaik. Dia dan Bai Yun Xian melayan para menteri dan kelihatan seperti pasangan yang ideal. Mereka semua langsung tidak mempedulikan Jun Wu Xie. Sebaliknya, Jun Qing kerap mencuri pandang ke arah anak saudaranya itu, bimbang gadis itu sedang patah hati.

Namun begitu, teori Jun Qing sebenarnya tersasar jauh.

Sepanjang jamuan itu, Jun Wu Xie tidak ambil peduli dan langsung tidak memandang pasangan itu.

avataravatar
Next chapter