36 Perubahan (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Xian mahu menjerit memberitahu seluruh dunia tentang betapa hebatnya Jun Wu Xie! Dia mahu menunjuk-nunjukkan cucunya di hadapan orang-orang tua yang lain itu, bermegah-megah dengan ekspresi terkejut mereka dan lihat jika mereka masih berani menggelar cucunya sebagai sampah!

Kesusahan Istana Lin sekarang ini boleh diubah dengan bantuan Jun Wu Xie. Dia ialah kunci kepada kebangkitan Istana Lin dan demi melindungi Jun Wu Xie serta Istana Lin, mereka perlu merahsiakan segalanya sehingga Jun Qing benar-benar pulih.

Jun Xian sudah terlalu terseksa akibat rancangan jahat orang yang menyebabkan dia kehilangan salah seorang anak kesayangannya, manakala seorang lagi cedera parah dan tidak dapat menjalani kehidupan yang normal selama ini. Demi menyelamatkan Istana Lin, dia terpaksa mengurangkan jumlah anggota Tentera Rui Lin. Jika mereka dapat tahu yang Jun Qing boleh sembuh dan orang yang melakukan rawatan ke atasnya adalah Jun Wu Xie, dia tidak pasti dia mampu menjaga keselamatan mereka dengan kuasanya seorang.

Kini, menjaga keselamatan Jun Wu Xie menjadi keutamaannya.

Menurut arahan Jun Xian, Jun Wu Xie bebas melakukan apa sahaja yang dia mahu tanpa disoal oleh sesiapa. Semua hamba-hamba kini tidak lagi berlengah jika dia menyuruh mereka berbuat sesuatu.

Demi mengelak sebarang akibat buruk selepas makan biji benih teratai, Jun Wu Xie membuat keputusan untuk menggunakan herba bagi membantu memulihkan badan Jun Xian.

Jun Wu Xie menyediakan pelbagai jenis campuran herba dan makanan dengan teliti untuk melengkapkan proses pemulihan tubuh badan Jun Xian dan Jun Qing. Dia juga menambahkan setitis air mata Teratai Kecil setiap kali dia menyediakan ubatan dan makanan.

Sepanjang proses ini, setiap hari Pak Cik Fu sendiri akan menghantar ubat dan makanan yang disediakan oleh Jun Wu Xie kepada Jun Xian manakala Long Qi menghantarnya kepada Jun Qing.

Jun Wu Xie amat serius dalam hal ini dan hanya percayakan kedua-dua orang ini sahaja! Tidak ada orang lain dibenarkan terlibat kerana takut kalau-kalau ada yang menyelinap masuk dan mengubah apa-apa. Dengan cara ini, Jun Wu Xie sendiri dapat mengawasi perkembangan mereka tanpa perlu berasa risau.

Di bawah jagaan Jun Wu Xie, kedua beranak itu mengalami proses pemulihan yang amat cepat. Mangsa dalam hal ini hanyalah Teratai Kecil.

Memandangkan air matanya ialah 'bahan istimewa' yang diperlukan, selang beberapa hari, Teratai Kecil perlu memberikan sumbangannya. Setiap kali dia muncul, kucing hitam itu akan mengekorinya sambil menerkam dan mengejarnya. Bilik itu kemudiannya akan dipenuhi bunyi tangisan yang perlahan.

Teratai Kecil memang layak menerima simpati!

Teratai Kecil yang teraniaya itu sekali lagi menyumbangkan air matanya sambil dia mengerekot di satu sudut bilik itu, badannya yang kecil masih lagi menggigil. Dia memandang kucing hitam yang berada di tepi katil itu. Kucing itu sedang menjilat-jilat tangannya dengan tenang.

Jun Wu Xie baru saja selesai mengumpulkan air mata Teratai Kecil sewaktu dia terdengar ketukan perlahan di pintu. Dia cepat-cepat melambaikan tangannya dan Teratai Kecil terus hilang, bertukar menjadi sebentuk cincin yang hampir tidak dapat dilihat di jari manis tangan kanan Jun Wu Xie.

"Masuk."

Pintu itu terbuka dan Long Qi berdiri di situ sambil tunduk hormat sedikit. Dia mengekalkan posisi ini, dengan kepalanya ditundukkan, sambil menghulurkan dua gulung skrol.

"Tuan Kedua arahkan saya untuk serahkan skrol ini kepada Cik Muda." Long Qi orangnya tidak banyak cakap, tetapi nadanya kini amat berbeza dengan dahulu. Walaupun suaranya masih dingin, kini terdapat sedikit nada hormat.

Badan Jun Qing semakin bertambah sihat pada kadar yang amat mengejutkan dan dia tahu ini semua disebabkan oleh gadis muda yang berada di hadapannya ini.

"Letakkan di sana." Jun Wu Xie menunjuk ke arah meja yang berdekatan sambil dia perlahan-lahan mengangkat kepalanya.

Long Qi tunduk hormat sekali lagi sambil memasuko bilik itu tanpa bertentang mata dengan Jun Wu Xie. Dia masuk sambil merenung ke tanah. Selepas meletakkan skrol di meja, sedang dia berjalan keluar, Jun Wu Xie tiba-tiba bersuara, " Tunggu."

Long Qi terus berhenti bergerak.

"Ambil ubat di atas meja itu juga." kata Jun Wu Xie.

Long Qi mengangkat kepalanya, memandang ke arah meja dan terlihat satu botol porselin putih yang kecil. Long Qi mengambil botol itu sambil bertanya, "Bagaimana saya perlu gunakannya untuk Tuan Kedua?"

"Itu untuk kamu." Jun Wu Xie menjeling Long Qi.

Seluruh badan Long Qi menjadi kaku.

"Dengan kecederaan kamu, bagaimana kamu hendak melindungi Pak Cik saya dengan baik? Lain kali jangan buat perkara bodoh lagi."

Sebagai seorang doktor yang mempunyai deria bau yang tajam, mana mungkin dia tidak perasan bau darah itu?

avataravatar
Next chapter