33 Pakar Misteri (3)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Walaupun Pak Cik telah lumpuh, kadangkala dia masih boleh berasa dingin dan tendonnya tidak rosak, jadi saya fikir saya boleh cuba merawat penyakitnya. Saya juga makan biji benih teratai itu, walaupun ada sedikit rasa tidak selesa, badan saya tak memberikan reaksi seperti badan Pak Cik. Kesan racun itu menakutkan saya tapi mujurlah Tok Guru mengajar saya cara merawatnya."

Jun Wu Xie bercakap dengan tenang, walaupun suaranya sedikit tidak matang, dia kedengaran seperti seseorang yang boleh dipercayai.

Cerita ini difikirkan selepas dia mempertimbangkan cara menyembunyikan asal sebenar ubat itu.

Pada mulanya dia mahu membina resam tubuh mereka secara diam-diam, siapa tahu biji benih teratai itu akan mengakibatkan kejadian sebegini besar! Sekarang dia perlu mencari alasan yang munasabah untuk menyembunyikan kebolehannya dalam bidang perubatan. Jadi dia dan kucing hitam itu berbincang dan akhirnya mereka mencipta 'Tok Guru'. Meletakkan semuanya di atas Tok Guru misteri itu akan membolehkan dia melepaskan diri dari sebarang masalah pada masa akan datang.

Selepas mendengar penjelasan Jun Wu Xie, Jun Xian dan Jun Qing terkejut. Mereka tidak terfikir yang Wu Xie akan menerima sesiapa sebagai Tok Guru.

Sewaktu dia pulang tempoh hari, memori mereka telah diubah dan apa yang mereka tahu ialah 'Abang' Wu Xie yang membawa dia pulang, tetapi mereka tidak tahu butiran kejadian itu.

Penjelasannya mungkin kedengaran sedikit tidak masuk akal, apalah tuah Jun Wu Xie dapat berjumpa pakar seperti itu? Tetapi, penjelasan itu menjawab segala persoalan yang bermain di fikiran mereka, seperti perubahan pada personaliti Jun Wu Xie serta minatnya dalam bidang perubatan.

"Jadi Wu Xie, selama ini kamu bertemu Tok Guru kamu di Istana Lin?" Ekspresi wajah Jun Xian agak pelik sewaktu bertanyakan Jun Wu Xie soalan ini.

Jun Wu Xie mengangguk.

Jun Xian dan Jun Qing saling bertukar pandangan. Kalau diperhatikan dengan teliti, dapat dilihat kening mereka bergerak-gerak.

Istana Lin mungkin kelihatan seperti tidak dikawal ketat tetapi ada ramai anggota Tentera Rui Lin yang mengawalnya secara rahsia. Jangan katakan orang asing, kalau haiwan menceroboh Istana Lin sekalipun, mereka yang pertama sekali akan tahu.

Tetapi kali ini, mereka tidak mendapat sebarang maklumat. Ini maksudnya Tok Guru Jun Wu Xie ini seorang pakar yang boleh keluar masuk kubu ini sesuka hatinya sambil mengelak pengawasan ketat Tentera Rui Lin. Tok Guru ini tidak meninggalkan sebarang bukti.

Mereka mempunyai rasa ingin tahu terhadap Tok Guru ini, tetapi mereka tahu dia tidak mahu mengapa-apakan mereka atau dia tidak akan menyelamatkan Jun Wu Xie dan mengajarnya ilmu perubatan.

"Untuk kamu mendapatkan Tok Guru seperti ini, memang kamu sangat bertuah. Memandangkan dia tidak mahu bertemu sesiapa, tolong sampaikan rasa terima kasih kami atas segala pertolongannya." Melalui pengalaman luasnya, Jun Xian dapat menyimpulkan yang Tok Guru ini tidak mahu terlibat dengan hal-hal duniawi, maka sebab itulah Jun Xian tidak mendesak lebih lanjut lagi.

Mempunyai Tok Guru seperti ini baik untuk Wu Xie dan juga Istana Lin. Jun Xian berasa amat gembira.

"Baiklah." Jun Wu Xie membalas dengan tenang, sambil kucing hitam dalam dakapannya memberinya pandangan seolah-olah tidak percaya dan mengiau.

[Cik nampaknya sudah rosak akhlak. Cik sudah belajar berbohong secara terang-terangan!]

avataravatar
Next chapter