86 Niat Jahat (4)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Jun Wu Xie,kalau kamu tak faham, jangan bercakap dengan tak tahu malu! Pil Embun Jed ini dihasilkan menggunakan resipi rahsia Kumpulan Qing Yun. Berapa ramai orang yang mengimpikan untuk memilikinya tetapi tak boleh mendapatkannya." Mo Xuan Fei tidak dapat menahan dirinya daripada berkata-kata. Entah kenapa kata-kata Jun Wu Xie hari ini telah menyebabkan dia menjadi resah sehingga butiran percakapannya sendiri menjadi tidak tentu hala.

Walaupun dia yang meninggalkan Jun Wu Xie, gadis itu sepatutnya terus mengaguminya di dalam hati. Bukan tidak mempedulikannya seperti sekarang ini. Berani betul!

Sebelum ini Jun Wu Xie begitu tergila-gilakan dia dan sentiasa menurut kemahuannya. Gadis itu dilamun cinta dan setiap kali memandang Mo Xuan Fei, matanya dipenuhi perasaan kagum. Tapi itu dulu, kini dia anggap Mo Xuan Fei seperti udara yang tidak dapat dilihat. Perbezaan layanan ini menyebabkan Mo Xuan Fei sakit hati.

"Mempunyai impian untuk memilikinya tetapi tak boleh mendapatkannya?" Jun Wu Xie mempermainkan kata-kata Mo Xuan Fei tadi. Matanya memandang tepat pada pasangan yang curang itu.

Kata-kata ini seperti pernah didengari sebelum ini. Sewaktu berada di Bandar Hantu, bukankah orang ramai juga mengatakan begitu tentang Pil Qing Yun?

Akhirnya, pil itu telah ditolak oleh orang tua yang banyak ilmu itu.

"Meow." Kucing hitam kecil itu duduk selesa di dalam pelukan Jun Wu Xie sambil memandang hina pasangan yang curang itu.

[Memalukan betul. Menunjuk-nunjuk macam orang bodoh dengan menganggap pil taraf sebegitu seperti pil yang jarang ditemui. Tuan saya boleh buat pil yang jauh lebih berkualiti dan lebih bagus dari Tok Guru kamu itu. Jadi apa yang nak dibanggakan sangat? Tuan saya boleh melangkaui Tok Guru kamu, apatah lagi kamu.] Kucing hitam kecil itu mencemuh sambil mendongakkan kepalanya dengan penuh bangga.

Seumur hidupnya, Bai Yun Xian tidak pernah dipersendakan secara terang-terangan. Lebih-lebih lagi orang yang mencemuhnya ini cuma gadis muda yang tidak layak untuk memegang kasut Bai Yun Xian sekalipun.

"Cik Jun bencikan pil saya? Tapi pil ini bukan diberikan kepada Cik Jun. Kamu telah merosakkan ubat Putera Mahkota. Ini perbuatan yang tak patut." Bai Yun Xian dengan bangganya memandang ke arah Mo Qian Yuan. Di dalam negara ini, Istana Lin sememangnya berkuasa. Tetapi jika dibandingkan dengan Kumpulan Qing Yun, Istana Lin ibarat semut. Mo Qing Yuan sepatutnya cukup bijak untuk tahu apa yang perlu dia katakan.

Perbuatan Jun Wu Xie menyinggung perasaan anak murid Pemerintah Kumpulan Qing Yun bukanlah sesuatu yang bijak.

Bai Yun Xian memandang pasangan itu, bermula dari Mo Qing Yuan sehinggalah dia matanya akhirnya tertumpu pada Jun Wu Xie.

Benar pendapat Bai Yun Xian. Orang yang bijak akan tahu untuk memihak kepada siapa. Lihat sahaja Mo Xuan Fei yang memilih Bai Yun Xian.

Tetapi...

Mo Qian Yuan mencemuh, "Barang milik Beta, milik Wu Xie juga. Apa sahaja dia mahu buat dengan barang-barang itu, Beta tak kisah." Kemudian dia memandang Jun Wu Xie dengan pandangan mesra dan penuh kasih sayang.

Apa hebatnya Kumpulan Qing Yun?

Bai Yun Xian dan Mo Xuan Fei memang rapat, semua orang tahu hal ini. Jadi kalau Mo Qian Yuan memilih untuk menyokong Bai Yun Xian, apa faedah yang dia dapat?

Mo Qian Yuan bukannya bodoh, dia tahu Jun Wu Xie ialah sekutu sebenar untuknya.

Wajah Bai Yun Xian kelihatan sedikit terkejut. Jelas sekali yang Mo Qian Yuan memihak kepada Jun Wu Xie.

Mo Xuan Fei mengetap giginya dalam diam. Dia tidak tahu bagaimana Jun Wu Xie dan Mo Qian Yuan boleh menjalin hubungan. Bukankah mereka hanya bertemu beberapa kali? Kalau hendak dikatakan cinta pandang pertama, sepatutnya ini berlaku pada pertemuan pertama mereka. Tetapi mereka berdua bertemu pertama kalinya pada jamuan hari lahir Mo Qian Yuan dan ketika itu Jun Wu Xie sangat sukakan Mo Xuan Fei, bukannya Putera Mahkota! Hal ini baru sahaja berlaku dan kini mereka begitu rapat?

Mula-mula Mo Qian Yuan begitu murah hati memberikan wain Nektar Jed kepada Jun Wu Xie. Kini dia secara terang-terangan menentang Bai Yun Xian untuk melindungi Jun Wu Xie.

Mo Qian Yuan ini tidak ada otak? Demi melindungi Jun Wu Xie, dia tidak takut untuk menyinggung Kumpulan Qing Yun?

"Itu cuma pil ubat." Jun Wu Xie membalas dengan tegas. Dia merasakan Bai Yun Xian ini kelakar juga, membesar-besarkan perkara yang kecil dan membuat kecoh hingga begini.

"Cuma pil ubat? Cara kamu cakap itu mudah sahaja. Kamu tahu berapa banyak masa dan tenaga Yun Xian dihabiskan untuk membuat pil-pil itu? Kamu terlalu memanjakan kucing kamu. Kucing itu yang menjatuhkan pil dari atas meja tapi kamu langsung tak mahu bertanggungjawab. Kakanda melindungi kamu dan tidak mahu menyebut perkara ini lagi. Jadi saya juga tidak mahu mengatakan apa-apa lagi. Tapi sejak bila kamu berhak meluahkan kata-kata seperti ini?" Mo Xuan Fei ketawa dingin. Mo Qian Yuan memandang wajah Jun Wu Xie yang acuh tak acuh itu. Dia merasakan Jun Wu Xie kelihatan sangat menawan.

avataravatar
Next chapter