85 Niat Jahat (3)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Tetapi sejak mengalami perubahan, Jun Wu Xie tidak mahu langsung memandang Mo Xuan Fei. Ini membuatkan pemuda itu berasa tidak gembira kerana dia langsung tidak dipedulikan.

Mo Xuan Fei sangkakan selepas dia meninggalkan Jun Wu Xie dan ada buah hati yang baru, gadis itu akan menangis berterusan dan mungkin cuba membunuh diri. Ataupun melutut dan merayu pada Mo Xuan Fei. Siapa tahu Jun Wu Xie berkelakuan seperti tiada apa yang berlaku dan lebih teruk lagi, dia melayan Mo Xuan Fei seolah-olah lelaki itu tidak wujud. Sudahlah begitu, kini Jun Wu Xie menjalin hubungan pula dengan Putera Mahkota!

Situasi ini sangat berbeza dengan apa yang Mo Xuan Fei bayangkan!

Sewaktu dia meninggalkan Jun Wu Xie, gadis itu sepatutnya patah hati. Bagaimana dia boleh tenang sebegini?

Kata-kata Mo Xuan Fei tadi menyebabkan mata Mo Qian Yuan bersinar dengan niat membunuh yang dingin.

"Dengan siapa sekalipun Kakanda mahu berkawan, Adinda tak perlu risau."

Mata Mo Xuan Fei asyik merenung Jun Wu Xie. Melihatkan gadis itu tidak memberi sebarang reaksi, dia menjadi lebih sakit hati. "Kakanda salah faham. Adinda cuma risaukan Kakanda. Selaku Putera Mahkota negara ini, orang yang Kakanda pilih sebagai isteri mestilah menjadi seperti ibu kepada rakyat kita. Ada orang cuma cantik sahaja tetapi kurang bijak. Kakanda belum mengenalinya dengan baik, Adinda risau Kakanda terpedaya."

Mo Qian Yuan sangat tidak gembira. Sejak bila Mo Xuan Fei berhak datang ke kediaman Putera Mahkota dan mengkritik segala-galanya? Sebaik dia mahu memarahi Mo Xuan Fei, dia menyedari Jun Wu Xie yang dari tadi hanya tunduk, tiba-tiba mengangkat kepalanya.

Sepasang mata yang dingin merenung Mo Xuan Fei, diiringi satu senyuman mengejek.

"Seronokkah memperbodohkan diri sendiri?" tiba-tiba Jun Wu Xie bersuara sambil memandang Mo Xuan Fei dan Bai Yun Xian dengan bersahaja.

"Apa kamu kata?" Mo Xuan Fei memandang Jun Wu Xie dengan marah.

Jun Wu Xie menjeling Pil Embun Jed.

"Meow"

Tiba-tiba seekor kucing hitam melompat naik ke atas meja. Ekornya yang gebu menyapu botol pil itu jatuh ke lantai.

Bunyi botol berkecai kedengaran dan beberapa biji pil berwarna putih bergolek ke atas permaidani.

"Jun Wu Xie! Tengok apa yang kamu dah buat!" Mo Xuan Fei menjerit dengan marah sambil merenung Jun Wu Xie dengan garang. Pil Bai Yun Xian sudah rosak!

Jun Wu Xie langsung tidak memandang Mo Xuan Fei. Dia hanya menumpukan perhatian kepada kucing hitam kecil yang sudah melompat turun ke atas permaidani. Kucing itu menghidu-hidu Pil Embun Jed itu. Jun Wu Xie segera menarik kucing itu kembali ke pangkuannya dan berkata dengan risau, "Jangan makan. Kotor."

Komen Jun Wu Xie terus membuatkan wajah Bai Yun Xian dan Mo Xuan Fei berubah.

Dia kata pil yang Bai Yun Xian buat itu kotor!

Wajah Bai Yun Xian menunjukkan kemarahannya. Dia tahu tentang Jun Wu Xie dan juga hubungannya dengan Mo Xuan Fei sebelum ini. Perempuan ini dahulunya asyik mahu berkepit dengan Mo Xuan Fei. Berani dia cakap begini tentang Bai Yun Xian?

Mo Xuan Fei baru sahaja mahu membalas tetapi Bai Yun Xian mengangkat tangannya untuk menghentikan lelaki itu.

"Cik Jun." Perlahan-lahan Bai Yun Xian bersuara. Nadanya dingin dan kedengaran sedikit sombong dan tidak puas hati.

Jun Wu Xie tidak mempedulikannya dan memberikan sepenuh perhatian pada kucing hitamnya. Dia mula memberus bulu kucing itu.

"Walaupun Pil Embun Jed ini bukanlah ubat yang paling berkualiti, pil ini masih sesuatu yang jarang ditemui. Kamu dah rosakkan pil milik Putera Mahkota. Kamu tak rasa biadapkah?" Bai Yun Xian memandang Jun Wu Xie solah-olah gadis itu menyakitkan matanya. Jadi kenapa kalau Jun Wu Xie itu Cik Muda dari Istana Lin? Dibandingkan dengan status Bai Yun Xian di dalam Kumpulan Qing Yun, Jun Wu Xie itu bukan siapa-siapa!

Di hadapan Bai Yun Xian yang merupakan anak murid Pemerintah Kumpulan Qing Yun, apa saja yang boleh dikatakan oleh Jun Wu Xie? Bai Yun Xian mencemuh di dalam hatinya.

Jun Wu Xie memandang Bai Yun Xian seperti mahu merendah-rendahkannya. "Jarang dijumpai?" Jun Wu Xie mengangkat keningnya sedikit, dan memandang Pil Embun Jed itu. Sangat tak masuk akal.

Kenapa dia berlagak sangat? Wajah Bai Yun Xian berkerut.

avataravatar
Next chapter