72 Nektar Jed (1)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Walaupun dia direnung sewaktu sedang makan, Jun Wu Xie meneruskan dengan tenang. Matanya ditundukkan sambil dia memilih makanan menggunakan penyepit. Dia seolah-olah sedang bersendirian di dalam sebuah bilik dan bukannya duduk berhadapan dengan Putera Mahkota di dalam istana.

Selepas merenung lama, menyedari yang Jun Wu Xie tidak memberikan sebarang reaksi atau berniat untuk mengangkat kepalanya, Mo Qian Yuan mula berasa bosan. Dia mengangkat cawannya dan menghabiskan wain itu dengan sekali teguk.

Sebaik wain itu masuk ke dalam mulutnya, ada rasa pedas yang seolah-olah membakar seluruh tekaknya dan melarat hingga ke perutnya. Sebelum dia dapat memahami apa yang sedang berlaku, dia merasakan satu lagi gelombang api di dalam badannya sambil dia tersengguk ke depan dan muntah.

Tanpa sebarang amaran, Mo Qian Yuan memuntahkan isi kandungan perutnya ke atas meja yang dipenuhi makanan itu.

"...…." Jun Wu Xie akhirnya mengangkat kepalanya. Sebelah tangannya memegang mangkuk kaca dan sebelah lagi memegang penyepit gading. Dia memandang Mo Qian Yuan yang sedang muntah itu dengan matanya yang tenang,

Kucing hitam kecil itu menjadi kaku dan memandang bahagian ikan yang masih ada di atas meja dan kini sudah diliputi cecair yang mencurigakan. Cecair itu juga terpercik di bulunya.

"Beta...." Mo Qian Yuan tahu dia telah merosakkan suasana dan mahu menjelaskan dirinya. Namun sebelum dia dapat bercakap, dia berasa loya sekali lagi. Dia cepat-cepat menutup mulutnya, bergegas ke satu sudut bilik itu dan muntah ke dalam satu tong kayu.

"...…" Jun Wu Xie meletakkan mangkuk dan penyepitnya dengan tenang sambil dia bangun meninggalkan meja yang dipenuhi makanan yang tidak boleh dimakan lagi.

"Meow!" Kucing hitam kecil itu kembali sedar daripada terpegun dan melengkungkan badannya. Kucing itu terjun dari meja dan bersungguh-sungguh meleset-lesetkan badan di atas permaidani.

[Cik! Kenapa Cik suka buat begini? Cik tahu kalau ubat itu mengesan ada racun bunga gandum malam, ubat itu menyebabkan orang muntah! Kenapa Cik tak beri amaran pada si dungu tu?]

Air mata kucing hitam kecil itu mengalir sehingga membasahi bulunya sambil kucing itu mengosok-gosok badannya di atas permaidani itu. Kucing itu cuba membersihkan bulunya yang berharga.

"Saya lupa." Jun Wu Xie duduk dengan tenang di satu sudut. Dia memerhatikan Mo Qian Yuan yang sedang muntah sambil memegang kuat tong kayu itu. Di sudut lain bilik itu, kucing hitam kecil itu masih lagi bergolek-golek di atas permaidani. Jun Wu Xie tersenyum.

Dari luar bilik itu, para pengawal dapat mendengar bunyi kecoh. Tetapi mereka tidak berani masuk, hanya bertanya jika ada apa-apa yang berlaku. Mo Qian Yuan yang asyik muntah itu hampir menangis sewaktu menjerit menyuruh mereka pergi.

Seluruh wajah Mo Qian Yuan pucat.

Hanya selepas minum sepuluh cawan air barulah dia berasa lebih lega dan rasa pedas terbakar itu beransur surut. Dia duduk dengan lemah di sudut bilik bacaan itu. Seluruh tubuhnya terasa kehilangan tenaga. Dia duduk dengan lesu, pakaiannya selekeh dan kolar jubahnya terbuka sedikit. Matanya ada kesan tangisan sambil dia memandang Jun Wu Xie dengan sedih.

"Inikah racun bunga gandum malam?" Mo Qian Yuan bertanya dengan nada marah.

Jun Wu Xie mengangguk.

"Kenapa kamu tak beritahu awal-awal?" rintihnya. Kalau dipukul sehingga mati sekalipun dia tidak akan percaya yang Jun Wu Xie tidak mengetahui kesan ubat itu terhadap racun. Selepas melihat perilaku gadis itu yang tenang, dia tahu gadis itu sudahpun menjangkakan kesan ini!

"Tak ada bezanya." Jun Wu Xie duduk di sudut itu sambil kelihatan ceria, segar dan yang paling penting sekali, bersih. Dia mengeluarkan satu lagi botol porselin kecil dan membukanya. Haruman segar semerbak sewaktu Jun Wu Xie menuangkan isi botol itu ke tangannya dan menggosok-gosok tapak tangannya. Haruman segar itu memenuhi bilik itu dan bau busuk perlahan-lahan hilang.

Kalaupun dia beritahu awal-awal, Mo Qian Yuan masih akan muntah, jadi apa bezanya?

Itulah sebabnya dia tidak memberitahu lelaki itu.

Mo Qian Yuan merasakan pakatannya dengan gadis ini boleh mendatangkan kebaikan dan keburukan. Dia mungkin mati di tangan gadis ini, bukannya di tangan ayahanda dan adindanya!

"Jadi, apa yang kamu makan?" Jun Wu Xie bertanya dengan nada bersahaja tanpa rasa bersalah.

Mo Qian Yuan terkejut seketika sebelum menghalakan pandangannya yang berisi niat membunuh pada jag di atas meja itu.

avataravatar
Next chapter