webnovel

Kemasukan (1)

Editor: EndlessFantasy Translation

Sekembalinya di rumah penginapan tersebut, Fei Yan menyerahkan satu kristal yang jernih dan bersinar-sinar pada Jun Wu Xie.

"Proses kemasukan ke Akademi Zephyr memerlukan pemeriksaan roh berkontrak. Kamu tak perlu seru roh berkontrak kamu. Cuma letakkan saja tangan kamu di sini dan kristal ini akan membuat salinan roh berkontrak kamu serta menentukan grednya. Lebih baik kalau kamu gunakan kucing hitam kecil dan bukannya teratai itu." Dalam masa setengah hari saja Fei Yan sudah mendapat tahu semua maklumat tentang proses kemasukan berkenaan. Tak ada apa yang perlu dirisaukan tentang mereka yang lain. Cuma roh berkontrak Jun Xie sahaja yang tidak boleh didedahkan.

"Qiao Chu beritahu saya yang kucing hitam kecil itu juga roh berkontrak kamu. Cubalah." Asal usul kucing hitam kecil milik Jun Xie itu masih menjadi misteri dan Fei Yan serta yang lain tidak banyak bertanya tentang hal itu.

Jun Wu Xie mengangguk. Selepas Fei Yan beredar, dia meletakkan tangannya ke atas kristal tersebut. Tidak lama kemudian, satu imej kabur berbentuk teratai muncul pada kristal tersebut. Imej itu begitu kabur sehingga hampir tidak dapat dilihat.

Jun Wu Xie mengecilkan matanya dan membuka beg kosmos untuk mengeluarkan satu sfera yang bertutup. Bahagian bawah sfera itu dipenuhi air dari Mata Air Syurga. Teratai Salji pula berada di atas permukaan air di dalam sfera tersebut.

Sewaktu meninggalkan Akademi Phoenix, Jun Wu Xie membawa Teratai Salji bersama-sama dengannya. Ini kerana Jun Wu Xie memiliki Kelalang Syurga dan dia tidak perlu risau kehabisan air dari Mata Air Syurga.

Disebabkan Teratai Kecil tidak berada di dalam badan Jun Wu Xie, kristal itu telah membentuk imej kabur tersebut. Namun begitu, bentuk bunga teratai masih dapat dilihat secara samar-samar.

Jun Wu Xie sudah mengalami sendiri bencana yang disebabkan oleh orang lain mengetahui tentang kewujudan roh berkontrak jenis tumbuhan di dalam badannya. Peta kulit manusia yang menunjukkan lokasi makam Maharaja Kegelapan berasal dari tujuh daripada Dua Belas Istana. Sekarang apabila mendapat tahu satu bahagian peta tersebut ada di dalam Akademi Zephyr, Jun Wu Xie yakin mereka menerima peta berkenaan dari Dua Belas Istana. Mata Jun Wu Xie bersinar dingin. Akademi Zephyr pasti mempunyai hubungan rahsia dengan Dua Belas Istana.

Fei Yan faham tentang keadaan berbahaya ini dan membawa kristal itu kepada Jun Wu Xie sebentar tadi supaya dia boleh membuat persediaan.

Menggunakan kucing hitam kecil itu untuk menggantikan roh berkontraknya yang sebenar. Jun Wu Xie tidak pernah melakukannya sebelum ini dan dia hanya boleh mencuba-cuba sendiri. Dia menumpukan kuasa rohaninya ke tangannya. Sewaktu Jun Wu Xie meletakkan tangannya ke kristal itu sekali lagi, imej kabur teratai itu lenyap. Sebaliknya, imej kucing kecil yang samar-samar muncul menggantikannya.

Dia hanya melakukannya beberapa ketika sahaja, namun usaha dan tumpuan yang diperlukan membuatkan dia tercungap-cungap.

Kucing hitam kecil itu masih lagi koma dan rohnya hampir-hampir lenyap. Jun Wu Xie tidak berani menggerakkan kucing kecil itu terlalu banyak dan hanya boleh menggunakan pertalian di antara roh dia dan kucing itu untuk menyembunyikan keadaan sebenar. Roh Jun Wu Xie sendiri masih belum pulih dan penggunaan kuasa rohnya dalam masa yang singkat itu membuatkan dia berpeluh-peluh.

Jun Wu Xie memakai replika cincin pada jarinya dan merebahkan diri ke kerusi untuk berehat.

Awal pagi esoknya, Jun Wu Xie dan rakan-rakannya terus menuju ke Akademi Zephyr. Disebabkan jangkaan yang ramai orang akan datang ke situ untuk mendaftar masuk, kelima-lima orang rakan ini membuat keputusan untuk berpecah.

Waktu masih lagi awal sewaktu mereka tiba di sana dan tak ramai orang berada di pintu masuk akademi. Dalam masa yang singkat, kelima-lima orang rakan itu berjaya mendapatkan stesen berlainan untuk menjalani pemeriksaan. Jun Wu Xie pergi ke stesen paling hujung. Lelaki yang menjaga stesen itu memandangnya dari atas ke bawah sebelum dengan tidak sabarnya menghulurkan tangan untuk menghayunkan satu kristal di hadapan mata Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie menekan tangannya ke atas kristal itu tanpa berkata apa-apa lalu menolak kuasa rohaninya ke dalam kristal tersebut. Sepantas kilat, imej kabur seekor kucing muncul di dalam kristal itu. Lelaki berkenaan memandang sekilas dengan bersahaja lalu berkata, "Roh binatang…. Tunggu!"

Lelaki itu nampaknya telah menyedari sesuatu dan ekspresi malas di wajahnya terus lenyap. Dia memandang imej kabur di dalam kristal itu penuh tanda tanya sebelum mengalih pandangan ke arah Jun Wu Xie. Matanya seoalh-olah sedang tercari-cari sesuatu.

"Masukkan kuasa rohani kamu ke dalam kristal ini." Lelaki itu mengeluarkan satu lagi kristal dan meletakkannya di hadapan Jun Wu Xie sekali lagi.