77 Jangan Ganggu Saya (1

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie tidak sedar masa berlalu sambil dia duduk diam dan menyerap tenaga rohani.

Tidak lama kemudian keadaan di luar menjadi gelap dan cahaya bulan masuk melalui tingkap.

"Sedapnya bau."

Jun Wu Xie mengangkat kepalanya dan sebelum dia sempat berpusing, dia dipeluk dari belakang oleh sepasang tangan yang kuat.

"Kamu ni hampir kurus kering tapi masih lagi mahu minum wain?" Satu suara mengusik kedengaran dari belakang sambil Jun Wu Yao memandang lembut gadis di dalam dakapannya itu.

Sebelum dia masuk ke dalam bilik itu, dia sudah terhidu haruman yang kuat bercampur satu bau yang amat dikenalinya. Bau itu datangnya dari wangian teratai yang dipakai oleh Jun Wu Xie.

Bau ini sangat memabukkan.

Jun Wu Xie mengangkat kepalanya dan menjeling lelaki itu secara bersahaja. Nampaknya dia sudah mula terbiasa dengan cara lelaki itu menunjukkan kemesraannya. Walaupun sebahagian daripada dirinya tidak rela, tetapi hal ini tidaklah memberi kesan besar kepadanya. Jadi dia tidak terlalu memikirkannya. Dia tidak mahu membazir tenaga bertengkar dengan Jun Wu Yao jadi dia tidak peduli tentang hal ini.

Jun Wu Yao memusingkan gadis itu ke tepi, dan mengangkatnya sebelum dia duduk. Gadis itu kini berada di atas pangkuannya sambil Jun Wu Yao terus memeluknya dari belakang. "Mo Qian Yuan beri kamu benda ni?" Walaupun dia sedang tersenyum, matanya dingin dan mempunyai niat membunuh. Dia merenung wain itu dengan perasaan tidak senang.

Tanpa menantikan jawapan dari Jun Wu Xie, dia mengambil jag wain itu. Dia mengangkat keningnya dan mendekatkan jag itu ke mulutnya sambil mengerling gadis itu.

"Wain ini tidak layak untuk mulut kamu." Selepas mengatakannya, dia mahu menuang habis wain itu untuk membuangnya.

Jun Wu Xie mengecilkan matanya dan menjeling dingin. Dia mahu menghalang Jun Wu Yao tetapi cengkaman lelaki itu sangat kuat. Jun Wu Xie tidak berdaya kerana lelaki itu memeluknya dengan sangat erat.

"Beri balik. Letak semula!" Kemarahannya meluap-luap.

Jun Wu Yao memandangnya sambil tersengih dengan berahi. Langsung tidak terlihat ada perasaan marah.

"Wu Xie…Jangan marah. Kalau kamu sukakan wain, saya boleh carikan wain yang berkualiti. Bagaimana kamu boleh minum wain sampah seperti ini?"

"Letak semula." Pandangan Jun Wu Xie penuh ancaman.

Jun Wu Yao terus tersenyum tanpa bergerak. Terlihat ada sedikit kilauan warna ungu di matanya yang hitam pekat itu.

"Le…Lep…Lepaskan Tuan saya…" satu suara penuh tangisan kedengaran dari sisi mereka.

Di satu sudut dinding, Teratai Kecil berdiri dengan matanya menunjukkan kebingungan dan wajah yang kemerah-merahan. Badannya yang kecil bersandar di dinding dan kakinya sedikit menggeletar.

"Ini…?" Jun Wu Yao mengangkat keningnya, menunjukkan minat.

Jun Wu Xie menjadi muram. Teratai Kecil masih berada dalam bentuk fizikalnya. Dengan kemunculan Jun Wu Yao secara tiba-tiba itu, Teratai Kecil masih berada di situ.

Mudah sahaja bagi Jun Wu Yao untuk mengetahui identiti sebenar Teratai Kecil.

"Oh? Saya ingatkan kucing hitam itulah roh berkontrak kamu. Nampaknya saya telah tersalah teka." Jun Wu Yao menundukkan kepalanya untuk memandang Jun Wu Xie sambil tersenyum.

"Ka..Kamu! Kalau kamu tak lepaskan Tuan saya, jangan salahkan saya berkasar dengan kamu." Teratai Kecil mengembungkan pipinya yang kemerah-merahan, membuatkan dia kelihatan sangat comel.

Kucing hitam kecil itu yang sedang duduk dengan diam di atas meja, mengangkat tangan untuk menutup mata.

Bukanlah kucing itu terlalu lemah, cuma musuh ini terlalu kuat.

Si kecil yang dungu itu pasti mati!

"Oh?" Jun Wu Yao memandang budak kecil itu dengan dingin. Dia mengangkat sedikit jarinya dan satu ledakan cahaya ditembak ke dahi Teratai Kecil.

"Aduh!" Merasakan kesakitan yang menyucuk di dahinya, Teratai Kecil jatuh berguling ke lantai dan mengerekot kesakitan.

"Aku sedang bercakap dengan Wu Xie. Apa layaknya kau nak menganggu kami?" Jun Wu Yao ketawa kecil seolah-olah tiada apa yang berlaku. Sebaik dia berpaling untuk menghadap Jun Wu Xie, dia terkejut.

Sepasang mata yang dipenuhi niat membunuh yang dingin sedang merenungnya. Jun Wu Xie masih dibelenggu pelukan Jun Wu Yao, tetapi salah satu tangannya memegang beberapa bilah jarum yang dihalakan ke leher lelaki itu.

"Saya tak ingin nak melayan perangai merepek kamu ni! Jangan ganggu saya." Dia menjeling lelaki itu dengan dingin. Selalunya Jun Wu Xie tidak mempedulikan apa yang Jun Wu Yao lakukan, tetapi jika lelaki itu mengganggunya, dia tidak akan berdiam diri.

avataravatar
Next chapter