Kalau Pemerintah Kumpulan Qing Yun juga tidak dapat menyembuhkannya, siapa lagi di dalam dunia ini yang mampu buat begitu?

Diagnosis Bai Yun Xian membuatkan Maharaja berasa sangat lega. Baginda merasakan seolah-olah satu beban yang berat telah diangkat dari bahunya.

Jun Xian membisikkan kata-kata terima kasih dengan wajahnya yang pucat sambil dia kembali ke tempat duduknya. Mereka yang mempunyai pandangan yang tajam menyedari tangannya yang memegang cawan wain itu sedang menggigil.

Nampaknya keadaan Jun Qing memang sudah tiada harapan. Lihatlah, tangan Jun Xian juga menggigil! Memang tangannya menggigil, tetapi mereka tidak terfikir yang ini bukan disebabkan Jun Xian sedang sedih tetapi sebaliknya kerana dia sedang menahan ketawa.

Jika tidak kerana situasi yang sedang berlaku, dia tidak sabar-sabar mahu menjerit memberitahu dunia yang racun anaknya sudahpun dikeluarkan sepenuhnya oleh cucunya yang sangat bijak! Bukan itu sahaja, tidak lama lagi anaknya akan dapat berjalan semula! Kumpulan Qing Yun itu...hanya...senang kata mereka itu hanya sampah!!!

Di bawah bimbingan seorang guru yang hebat, cucunya seorang diri mampu membersihkan racun yang dianggap tiada harapan oleh Pemerintah Kumpulan Qing Yun. Bai Yun Xian ini berani mengatakan rawatan Tok Gurunya itulah yang terbaik dan jika Tok Gurunya tidak dapat menyembuhkan penyakit itu, tiada siapa yang mampu lakukannya! Hmph!

Sebelum ini, dia sungguh mengagumi Kumpulan Qing Yun. Walau bagaimanapun, selepas melihat dengan matanya sendiri yang cucunya dengan mudah dapat melakukan apa yang Pemerintah kumpulan itu tidak dapat buat, dia kehilangan rasa hormat pada kumpulan itu dan sebaliknya mencemuh mereka.

Selain daripada Wu Xie, siapa lagi yang layak mengatakan mereka yang paling hebat dalam dunia ini?

Jun Xian memerhatikan reaksi orang ramai di sekelilingnya dan bersumpah dalam hatinya yang selepas kemunculan semula Istana Lin, dia akan membuatkan mereka semua sedar diri! Dia tidak sabar untuk melihat ekspresi wajah mereka sebaik mereka mengetahui perkara sebenar!

Buat masa sekarang dia melakonkan watak lelaki yang sedang bersedih.

Jun Wu Xie sangat mengagumi bakat lakonan datuk dan pak ciknya dan memberikan mereka markah penuh.

Selepas menyelesaikan tugasnya, Bai Yun Xian kembali ke sisi Putera Kedua. Mo Xuan Fei terus memandangnya dengan lembut dan berkata, "Yun Xian, bagus usaha kamu."

Bai Yun Xian tersenyum manis.

"Adinda ini benar-benar romantik, nampaknya perasaan Adinda memang mendalam." Putera Mahkota yang selama ini diam, tiba-tiba bersuara. Matanya yang tajam merenung tepat pada Mo Xuan Fei.

"Kakanda memang pandai bergurau." Dia tidak tahu mengapa Mo Qian Yuan tiba-tiba memuji mereka berdua.

"Kakanda tak tahulah jika Adinda yang romantik ini terlalu tidak bertanggungjawab. Menyebelahi yang baru berbanding yang lama bukan kebiasaan Keluarga Diraja. Adinda berkasih sayang dengan Cik Bai di sini, tidak terfikirkah tentang perasaan orang lain?" cemuh Mo Qian Yuan.

Wajah Mo Xuan Fei menjadi kaku.

Orang yang dungu sekalipun tahu apa yang dimaksudkan oleh Mo Qing Yuan. Semua orang di situ secara tanpa sedar mengalihkan pandangan mereka ke arah Jun Wu Xie yang tidak dipedulikan sepanjang malam itu.

Gadis terkenal yang diperkatakan itu tanpa disangka sangat diam hari ini. Kalau Putera Mahkota tidak menyebut tentangnya, semua orang sudah hampir melupakan kehadirannya.

Mo Xuan Fei pernah bertunang dengan Jun Wu Xie. Walau bagaimanapun, selepas kemunculan Bai Yun Xian, Mo Xuan Fei tidak lagi kerap bertemu dengan Jun Wu Xie. Baru-baru ini juga Maharaja telah memutuskan pertunangan mereka.

Sewaktu pertunangan mereka diputuskan, kejadian itu menyebabkan kekecohan besar yang tersebar sehingga ke luar Kerajaan Qi. Semua orang menantikan masalah yang akan dibawa oleh Jun Wu Xie, namun dia sebaliknya tidak menonjolkan diri serta lama menghilang. Sebenarnya, inilah kali pertama mereka melihatnya selepas kejadian itu.

Walaupun dia lebih cantik sekarang, entah kenapa mereka merasakan ada sesuatu yang berbeza mengenainya berbanding dahulu.

Di seluruh negara, boleh dikatakan Jun Wu Xie ini salah seorang gadis yang paling cantik. Namun sikapnya yang terburu-buru, pemarah, biadab dan sombong itu bertentangan dengan kecantikan luarannya. Hari ini pula dia hanya duduk diam di satu sudut, membuatkan dia kelihatan seperti orang yang sangat berbeza!

avataravatar
Next chapter