"Jun Qing juga datang hari ini? Kamu sudah sihat?" Maharaja tersenyum lembut pada Jun Qing.

Jun Qing duduk dalam keadaan lemah di atas kerusi roda. Saat dia cuba bercakap, pernafasannya terganggu dan dia mula tercungap-cungap.

Wajah Maharaja berubah serta-merta dan Baginda terus bertitah, "Cepat! Tabib Diraja cepat periksa dia!" Setelah mendengar titah Maharaja, dua Tabib Diraja yang bersiap sedia cepat-cepat pergi ke sisi Jun Qing dan mula merawatnya.

Sepanjang proses ini, wajah Jun Qing kelihatan pucat dan nafasnya perlahan.

Jun Wu Xie hanya duduk diam dan menghirup air tehnya sambil memerhatikan kedua-dua tabib yang sedang memeriksa nadi Jun Qing.

Boleh tahan juga Pak Cik, bijak menambah-nambah. Tujuan Maharaja menjemput Jun Qing amat jelas. Sewaktu Maharaja mula mahu menyiasat, Jun Qing terus mengambil peluang.

Keadaan Jun Qing tidak berbeza dengan sewaktu tabib-tabib itu memeriksa nadinya dahulu. Nadinya amat lemah dan pernafasannya perlahan. Nyawanya dalam bahaya dan dia boleh mati bila-bila masa sahaja.

Selepas kedua-dua Tabib Diraja memeriksa Jun Qing dengan teliti, mereka berbisik sesama sendiri dan berpaling menghadap Maharaja. Mereka berkata dengan nada serius. "Ampun Tuanku, Patik berdua tidak dapat menyelesaikan masalah Tuan Muda. Patik hanya boleh menasihatkan Tuan Muda untuk berehat sebanyak mungkin dan tidak terlalu membebankan jantungnya." Begitu halus mereka menyampaikan diagnosis.

Kedua-dua Tabib Diraja ini tidak berdaya dan dengan diagnosis mereka, Jun Qing sudah dianggap mati.

Suasana menjadi muram dan semua menteri menunjukkan wajah penuh kesal. Sangat berbeza dengan perasaan sebenar di dalam hati.

"Pergi sediakan ginseng." Maharaja memberi titah kemudian mengeluh panjang, menunjukkan seolah-olah Baginda seorang pemerintah yang tidak berdaya. Baginda berpaling menghadap Jun Xian dan berkata, "Kalau ada apa-apa yang kamu perlukan, katakan saja. Memandangkan Bai Yun Xian turut hadir hari ini, apa kata kita biarkan dia memeriksa Jun Qing juga?"

Jun Xian bangun dengan penuh hormat. "Patik yang hina ini sangat tersentuh dan berterima kasih dengan limpah kurnia Tuanku!"

Maharaja mengangguk dan Bai Yun Xian yang duduk di sebelah Mo Xuan Fei bangun dari tempat duduknya lalu berjalan menuju Jun Qing untuk memeriksa nadinya.

Jun Wu Xie menopang dagunya dan memandang Bai Yun Xian yang sedang berjalan ke arahnya. Mata Jun Wu Xie bersinar dingin.

"Meow."

[Oran tua tak guna ini benar-benar jijik. Kalau dia benar-benar mahu menyelamatkan Pak Cik Jun Qing, dia akan suruh Bai Yun Xuan datang merawat awal-awal lagi. Apa gunanya minta dia datang sekarang?] Kucing kecil hitam itu mencemuh sambil menunjukkan perasaan tidak gembira dengan membusungkan dadanya. Kucing itu tentulah berpihak kepada keluarga Jun Wu Xie dan meratapi layanan tidak adil yang mereka terima.

"Dia bukannya mahu memeriksa sama ada dia boleh menyelamatkan Pak Cik, sebaliknya mahu lihat jika Pak Cik benar-benar sedang nazak." Jun Wu Xie menilai situasi ini dengan tenang. Maharaja ini fikirkan dia begitu bijak tapi sebenarnya tidak.

Mahu menggunakan Bai Yun Xian untuk memeriksa Jun Qing? Maharaja benar-benar terlalu memandang tinggi terhadap perempuan itu.

Anak murid Kumpulan Qing Yun? Jadi mengapa? Pada pandangannya mereka hanya layak menjadi bahan ketawa.

Bai Yun Xian kelihatan sombong sambil dia menutup pergelangan tangan Jun Qing dengan kain nipis, mengetuk-ngetuk lembut sebelum memeriksa nadinya.

Jun Xian berasa cemas sambil memandang Bai Yun Xian.

Lagipun dia bukanlah tabib biasa tetapi datang dari Kumpulan Qing Yun yang terkenal. Dia tidak pasti sebagus mana kemahiran wanita ini kerana dia tidak pernah menyaksikannya sendiri. Tetapi Jun Xian tahu mereka perlu mengambil risiko ini.

Hatinya menjadi resah tetapi sewaktu dia memandang ke arah Jun Wu Xie, dia terkejut melihat cucunya itu sedang sibuk dengan cawan tehnya dan kelihatan terlalu malas sehingga langsung tidak memandang Bai Yun Xian.

Melihatkan ketenangan Jun Wu Xie, Jun Xian menjadi lebih tenteram.

Tidak lama kemudian, Bai Yun Xian menegakkan badannya, ekspresi wajahnya dingin dan sombong. "Diagnosis Tabib Diraja tidak salah. Tok Guru saya sudah cuba sebaik mungkin untuk meneutralkan racun ini. Tapi jika Tok Guru saya sekalipun tidak boleh membersihkan racun ini, saya rasa tiada siapa yang boleh. Sudahpun menjadi satu keajaiban yang Tok Guru saya mampu menyekat racun ini selama bertahun-tahun." Selepas memuji-muji Tok Gurunya, dia memandang seluruh dewan itu dengan bangga.

avataravatar
Next chapter