6 Istana Lin (3)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie memandang tenang lelaki menawan yang memancarkan aura berbahaya itu – lelaki yang mendakwa dirinya 'Abang' Jun Wu Xie. Istana Lin tidak pernah mempunyai seseorang bernama Jun Wu Yao dalam pendaftaran keluarga. Lelaki yang sedang duduk di kerusi itu ialah lelaki yang sama telah dia selamatkan dari gua tempoh hari, bezanya cuma sepasang mata berwarna ungu gelap itu kini sehitam obsidia.

"Apa yang kamu sudah buat?" dia bertanya dengan ekspresi wajah yang dingin sambil merenung tajam ke mata lelaki itu.

Jun Wu Yao mengerling ke arah Jun Wu Xie, menongkat dagunya, mengangkat sedikit keningnya dan tersenyum mengusik sambil merenung gadis yang berani itu.

"Membalas budi," jawab lelaki itu.

"Tidak perlu," tempelak Jun Wu Xie.

"Malangnya, pilihan bukan di tangan kamu." Lelaki itu melemparkan senyuman penuh rahsia.

Jun Wu Xie mengerutkan keningnya. Lelaki ini berbahaya! Cara apa yang dia gunakan sehingga Lin Wang yang hebat itu mengakuinya sebagai cucu sendiri?

"Apa yang kamu sudah buat kepada orang-orang di Istana Lin saya?"

Jun Wu Yao tersenyum nipis ke arah Jun Wu Xie dan mengangkat tangannya untuk menunjukkan seekor ular sehalus rambut yang melingkari hujung jarinya. "Jangan takut, saya cuma biarkan binatang kecil ini masuk ke dalam badan mereka dan mengubah sedikit memori mereka buat sementara waktu. Saya tidak akan menyakiti sesiapa pun di sini, yakinlah."

Kucing hitam kecil itu amat terkejut.

Syaitan jenis apa yang Cik telah selamatkan kali ini? Ular-ular sehalus rambut itu juga membuatkan nalurinya berwaspada. Makhluk-makhluk itu tidak boleh dipandang ringan. Ular-ular itu boleh masuk ke dalam badan manusia dan mengubah memori mereka?

"Anak kucing ini roh kontrak kamu?" tanya lelaki itu dengan nada terhibur sambil memerhatikan pelbagai ekspresi kucing hitam itu.

"Itu tiada kena-mengena dengan kamu," cemuh Jun Wu Xie.

"Mengapa kamu begitu dingin, adikku sayang?" Jun Wu Yao tertawa kecil.

"Tempat ini bukan untuk kamu, sudah tiba masanya kamu pergi," kata Jun Wu Xie. Fikirannya kacau-bilau. Lelaki ini terlalu berbahaya. Tiada perkara yang baik akan berlaku jika dia terus berada di Istana Lin.

Sebaik sahaja Jun Wu Yao memperlahankan suaranya dan tersenyum, satu ledakan kuasa dapat dirasakan sambil ular-ular yang kelihatan seperti helaian rambut hitam itu mula menari di hujung jarinya. "Jangan begitu kejam, kamu selamatkan saya, apa yang saya mahukan hanyalah untuk membalas dendam kepada musuh-musuh saya. Kalau permintaan kecil ini pun kamu tidak dapat tunaikan, maka saya cuma boleh musnahkan binatang-binatang kecil dalam badan penghuni Istana Lin kamu. Cuma...Jika binatang ini dimusnahkan secara paksa dari dalaman, saya rasa orang-orang itu akan terseksa...Saya tertanya-tanya, apa agaknya yang akan berlaku pada Istana Lin?"

"Kamu mengugut saya?" Jun Wu Xie mengecilkan matanya.

"Tidak, ini cuma satu permintaan," jawab lelaki itu sambil tersenyum.

Permintaan? Kalau dia tidak setuju, lelaki ini akan membunuh semua orang? Ini yang dinamakan permintaan?

"Jangan gelisah sangat, buat sementara waktu ini tiada tempat lain boleh saya tuju, apabila tiba masanya, saya pasti akan pergi. Sebelum pergi, saya mahu membalas budi kamu. Yakinlah, saya tidak akan mencederakan sesiapa pun di sini," kata Jun Wu Yao sambil tersenyum.

"Kamu tidak akan bunuh semua orang bila kamu pergi?" tanya Jun Wu Xie dengan suara yang menakutkan.

"Tidak, bila tiba masanya untuk saya pergi, saya berjanji pada kamu yang saya tidak akan mencederakan sesiapa." Lelaki itu menjawab dengan sabar.

"Bukannya saya ada pilihan pun," kata Jun Wu Xie dengan dingin sambil mengetap giginya.

Jun Wu Yao mengangkat bahunya.

Menyedari yang dia tidak boleh menghapuskan lelaki berbahaya ini buat masa sekarang, Jun Wu Xie hanya menutup matanya untuk berehat dan tidak lagi memberi perhatian kepada lelaki itu.

Kucing hitam kecil itu yakin tiada kemudaratan akan menimpa tuannya ketika ini. Kucing itu menarik nafas lega sambil melompat ke atas katil dan melingkar di hujung bantal Jun Wu Xie, tetapi tetap berjaga-jaga sambil matanya tidak lepas dari memandang lelaki yang sedang duduk di kerusi itu.

Lelaki ini sangat-sangat berbahaya. Dia orang paling berbahaya yang pernah kucing itu jumpa.

avataravatar
Next chapter