87 Ini Cuma Pil Ubat (1)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Oh?" Jun Wu Xie mengangkat sedikit keningnya.

"Yun Xian ialah tetamu kehormat Kerajaan Qi dan seorang yang penting! Binatang liar ini membuat perkara mengarut di hadapannya. Kejadian ini tidak boleh diterima! Hari ini kamu perlu membunuh kucing kamu sebagai tanda minta maaf kepada Kumpulan Qing Yun dan mengelakkan perkara yang sama berulang lagi!" Mata Mo Xuan Fei bersinar dan dia tersenyum jahat. Walaupun dia tidak boleh menyentuh Jun Wu Xie di Kediaman Putera Mahkota, amat mudah baginya untuk menyalahkan kucing itu dan membuatkan kucing itu dibunuh.

Dia sedar Jun Wu Xie amat menyayangi kucing hitam kecil itu dan buat masa sekarang, apa yang dia mahu lakukan ialah merosakkan ekspresi wajah Jun Wu Xie yang tenang dan bersahaja itu.

Mo Qian Yuan boleh melindungi Jun Wu Xie tetapi bukan kucing hitam itu. Jika dia mahu melindungi kedua-duanya, perbuatannya itu ibarat memberi tamparan pada Kumpulan Qing Yun.

Hal ini kecil sahaja tetapi membesar-besarkannya mendatangkan faedah. Mo Xuan Fei mahu memberi tekanan ke atas Mo Qian Yuan dengan menggunakan nama Kumpulan Qing Yun.

Mo Qian Yuan mengecilkan matanya, dan dia kelihatan marah.

Jun Wu Xie memegang kucing hitam kecil itu sambil memberi pandangan bersahaja terhadap Mo Xuan Fei yang sedang membebel.

Mata kucing hitam itu semakin mengecil dan satu perubahan dapat dirasakan di ruang udara sekeliling mereka. Bayang-bayang kucing itu menunjukkan tanda-tanda akan berubah bentuk. Jun Wu Xie yang dapat mengesan keadaan yang berlaku, terus menekan tangannya ke tengkuk kucing hitam kecil itu. Dia cuba menenangkan kucing itu bagi mengelak kucing itu menjadi lebih marah.

"Itu cuma benda biasa saja. Kalau kamu terlalu pentingkannya, saya akan berikan pampasan." Jun Wu Xie tiba-tiba bersuara.

"Pampasan? Kamu mahu guna apa sebagai pampasan? Pil Embun Jed itu tidak boleh dibeli dengan duit. Kamu sudah melupakan perkara penting ini, dan membuatkan hal ini nampak mudah saja," cemuh Mo Xuan Fei.

Wajah Bai Yun Xian bertukar hodoh saat dia mendengar Jun Wu Xie memanggil Pil Embun Jed itu sebagai 'benda biasa'. Dia tak pasti mahu katakan budak dari Istana Lin ini angkuh atau bodoh.

Walaupun Pil Embun Jed itu tidaklah sama taraf seperti Pil Qing Yun, resipi pil ini tidak boleh didapati di mana-mana kecuali di Kumpulan Qing Yun. Resipi rahsia ini milik eksklusif anak-anak murid Kumpulan Qing Yun dan bukan orang biasa tidak boleh mendapatkan resipi ini. Bagaimana Jun Wu Xie mahu memberikan pampasan padanya?

Jun Wu Xie tidak mempedulikan Mo Xuan Fei. Sambil memegang kucing hitam kecil itu, dia bertanya pada Mo Qian Yuan, "Ada bilik relau untuk kegunaan pembuatan pil?"

Soalan itu membuatkan Mo Qian Yuan terkejut dan dia memandang Jun Wu Xie dengan mata terbeliak.

Mo Qian Yuan langsung tidak tahu apa rancangan Jun Wu Xie. Walaupun dia tidak sukakan Bai Yun Xian, dia tidak meragui kebolehan gadis itu. Dia cepat-cepat berkata, "Wu Xie, kamu tak perlu terlalu berusaha. Jangan risau, Beta tak akan benarkan mereka menyentuh kamu."

"Ada atau tidak?" Jun Wu Xie tidak mempedulikan rayuan Mo Qian Yuan dan tetap tegas dengan kemahuannya.

Mo Qian Yuan mengeluh pasrah dan memanggil seorang hamba suruhan.

Selepas kemangkatan bondanya, kesihatan Mo Qian Yuan merosot. Pada mulanya, Maharaja menunjukkan kebimbangan dan telah memanggil pelbagai tabib terbaik. Disebabkan badannya yang lemah, Mo Qian Yuan tidak banyak keluar dari kediamannya. Demi menjaga kesihatannya, Maharaja mengarahkan satu bilik relau khas dibina di Kediaman Putera Mahkota. Awalnya, pelbagai usaha Maharaja telah membuatkan Mo Qian Yuan berasa amat tersentuh. Dia menyangkakan ayahandanya benar-benar mahukan dia cepat sembuh. Sewaktu dia mengetahui niat sebenar Maharaja, dia telah menghalau kesemua tabib dan memusnahkan pil dan ubat-ubatan lain yang dibuat khusus untuknya.

"Biar dia bawa kamu ke sana. Kalau ada apa-apa yang kamu perlukan, beritahu saja padanya. Tetapi bilik itu sudah lama tidak digunakan, Beta tak pasti jika relau itu masih berfungsi atau tidak." Akhirnya Mo Qian Yuan mengalah dan memandang Jun Wu Xie dengan pandangan tidak berdaya.

Jun Wu Xie mengangguk dan berpusing untuk mengikut hamba suruhan itu.

Mo Qian Yuan memandang Jun Wu Xie yang berlalu pergi. Dalam diam dia menggenggam tangannya dengan kuat sehingga menjadi pucat.

avataravatar
Next chapter