Mo Qian Yuan memang benar-benar cekap. Sebaik selepas jamuan, pada keseokan harinya, dia menjemput Jun Wu Xie ke istana atas alasan 'kami berdua sangat serasi'.

Reaksi paling besar datang daripada Jun Xian dan Jun Qing. Mereka tidak faham mengapa Mo Qian Yuan tiba-tiba menjemput Jun Wu Xie. Lebih memeranjatkan lagi, Jun Wu Xie menyatakan niatnya untuk menerima jemputan itu. Mereka berdua tidak berupaya untuk menahannya.

Tengah hari itu Jun Wu Xie duduk bertentang dengan Mo Qian Yuan di dalam bilik bacaannya. Sebelah tangannya memegang pergelangan tangan putera itu untuk memeriksa nadi.

"Datuk kamu benarkan kamu datang?" Mo Qian Yuan bertanya dengan nada tidak percaya. Dia menopang dagunya dengan sebelah tangan sambil memandang Jun Wu Xie yang sedang meneliti nadinya.

Kebelakangan ini Keluarga Diraja tidak melayan Istana Lin dengan baik. Memandangkan situasi sedang tegang, dia terkejut Jun Xian membenarkan Jun Wu Xie datang seorang diri.

Jun Wu Xie tidak mengangkat kepalanya sambil meneruskan diagnosis. "Apa yang nak ditakutkan dengan putera yang dianggap tak berguna ini."

"..." Mulut Mo Qian Yuan bergerak sedikit. Kata-kata gadis kecil ini memang betul-betul berbisa. Dia memandang kucing hitam 'kecil' yang sedang berlingkar di hujung kaki Jun Wu Xie, sambil teringatkan kejadian yang berlaku semalam. Tanpa disedari dia meneguk air liurnya, jantungnya berdegup kencang kerana masih bersisa rasa takutnya terhadap kucing hitam itu.

"Kalau difikirkan semula, jika Beta ada sokongan yang kuat dan memegang sedikit kuasa, pasti Lin Wang tidak benarkan kita berhubung untuk mengelakkan timbulnya sebarang syak wasangka. Tapi kini status Beta hanyalah Putera Mahkota yang bakal kehilangan gelarannya. Orang yang bijak tidak akan mahu ada kaitan dengan Beta."

Istana Lin memegang separuh daripada kekuatan ketenteraan negara ini dan jika mereka menjalinkan hubungan yang rapat dengan Putera Mahkota, sekali imbas perikatan ini dilihat sebagai sangat berkuasa.

Namun jika difikirkan dengan teliti, kedua-dua belah pihak ibarat dua harimau yang sedang sakit dan berada di atas kapal yang sedang karam.

"Cuba kamu teka, apa sebab yang Beta berikan pada Maharaja untuk Baginda mengizinkan lawatan kamu?" Mo Qian Yuan memandang gadis itu dengan sepasang mata yang bersinar. Secara peribadi, dia tidak mahu memanggil lelaki itu sebagai Ayahanda.

Jun Wu Xie tidak mempedulikan lelaki itu dan meneruskan apa yang sedang dibuatnya.

Mo Qian Yuan menyambung dengan teruja, "Beta beritahu Maharaja yang Beta jatuh cinta dengan kamu."

Jun Wu Xie akhirnya mengangkat kepalanya tetapi matanya langsung tidak menunjukkan perasaan terkejut. Dia hanya memandang Mo Qian Yuan.

"Jadi kamu tak kisah biarkan Maharaja fikir kamu berminat dengan orang yang sudah dibuang oleh Mo Xuan Fei?"

"...…." Sebaik Jun Wu Xie mengatakan ayat itu, Mo Qian Yuan merasakan dia telah tewas dan tidak mampu membalas apa-apa. Lelaki itu ketawa pahit dan memandang Jun Wu Xie dengan bingung.

"Kamu memang selalu bercakap begini? Kamu memang tidak ada belas kasihan, walaupun untuk diri kamu?" Kenapa dia begitu tegas walaupun dengan dirinya sendiri? Menggunakan perkataan 'dibuang' dengan bersahaja untuk merujuk pada dirinya. Mo Qian Yuan merasakan Mo Xuan Fei memang kurang bijak dan kesilapan terbesarnya ialah melepaskan Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie yang dulu biasa-biasa sahaja, tetapi Jun Wu Xie yang sedang duduk di hadapannya ini ialah wanita yang paling menarik pernah ditemuinya. Lebih tepat lagi, bukan wanita, tetapi gadis muda.

Gadis muda yang berani membuatkan seorang putera tunduk kepadanya dan juga memaksa putera itu merampas takhta. Keberanian jenis apa yang ada pada gadis ini?

"Saya cuma nyatakan fakta." jawab Jun Wu Xie.

Mo Qian Yuan ketawa kecil, menggelengkan kepalanya dengan jengkel. Dia langsung tidak dapat membaca gadis ini.

"Sewaktu Beta membela kamu pada jamuan hari lahir Beta, tujuannya hanyalah untuk menyakitkan hati Maharaja. Siapa tahu sekarang ini kejadian itu menjadi alasan terbaik?" Mo Qian Yuan tertawa kecil mengingatkan kembali ekspresi wajah Maharaja sewaktu dia memberitahu tentang perasaannya terhadap Jun Wu Xie.

"Dua orang yang paling Tuanku mahu singkirkan sekarang ini sudah menjalin hubungan. Tuanku pasti gembira, bukan? Mudahlah kerja Tuanku selepas ini, ibarat sambil menyelam, minum air." Mo Qian Yuan ketawa memikirkan situasi penuh ironi ini.

avataravatar
Next chapter