webnovel

Bab 1

Selangkah demi selangkah Izzat, pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Sri Kayangan 1, berjalan pulang dari sekolah dengan perlahan sekali. Kepalanya terus menunduk bawah, walaupun dia tahu ada gadis yang sedang memerhatikannya dari hadapan. Pada hari biasa,Izzat akan membalas pandangan itu,tetapi tidak pada hari itu. Izzat malu.

Izzat berjalan melintasi jalan besar di hadapan sekolah, sampai di hadapan sekolah gadis itu, dan terus berjalan masuk ke jalan di tepi sekolahnya untuk menuju ke rumahnya. Selangkah demi selangkah. Kecil,perlahan,sedikit terkemut-kemut dan penuh hati-hati langkahnya. Kepalanya kekal tertunduk ke bawah.

Selepas masuk jalan itu, Izzat berasa salah pula. Dia memang berasa lega kerana sudah berada di jalan yang terhindar daripada pelajar-pelajar sekolahnya dan pelajar-pelajar perempuan sekolah di seberang jalan, namun dia juga berasa bersalah kerana tidak membalas pandangan gadis itu. Tentu gadis itu akan berasa hairan. Tetapi, apakan daya, Izzat memang tidak berkeyakinan pada hari itu.

Bukannya apa, seluarnya terkoyak semasa bermain bola sepak di sekolah tadi. Izzat terlupa membawa seluar sukannya, lalu seperti biasa, Izzat akan melipat kaki seluar sekolahnya sehingga ke paras lutut dan terus bermain di padang bola.

Semasa cuba menyelamatkan keadaan sewaktu serangan pihak lawan, Izzat cuba menggelecek sehingga akhirnya jatuh terkangkang di atas padang. Jahitan di tengah-tengah tulang seluar itu terus terkoyak. Tiada sesiapa pun yang sedar dan Izzat berpura-pura kakinya terseliuh dan tidak dapat meneruskan permainan. Dia berjalan dengan penuh terkemut-kemut dan terkial-kial, sebelum bergegas ke tandas sekolah untuk memeriksa kesan koyak pada seluarnya. Kesan koyak tidaklah besar sangat, dan tiada sesiapa mampu mengesan. Itulah pendapat Izzat, lalu sepanjang hari itu, Izzat hanya duduk di tempatnya sehingga tamat waktu persekolahan.